Tuesday, September 30, 2008

Salam Lebaran


"Si gadis manis di pagi Aidilfitri. Oh, sungguh saya merindukan saat riang berkumpul bersama semua puteri-puteri comel saya ini"

Aduhai terasa sebentar sahaja kita bermukim di daerah Ramadhan. Perlahan-lahan terpaksa juga kita meninggalkannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke daerah Syawal. Tiba sudah hari kemenangan bagi semua umat Islam. Keindahan bulan penuh maaf bermaafan ini sungguh bermakna untuk kita semua meraih semula ikatan yang terenggang kerana kekhilafan di masa lalu. Maka, permudahkan diri untuk maaf memaafi sesama kita. Moga diberikan Sang Maha Pencipta kemanisan hidup bersama.

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pelayar blog "Yang Bernama Cinta"
Dimaafkanlah segala keterlanjuran kata-kata yang menyentuh mana-mana pihak yang sempat dan sudi membaca (sekiranya ada)
Jemputlah merayakannya di teratak saya di Kajang (pada yang sudi boleh emel saya minta alamat)

Thursday, September 25, 2008

Hadiah Yang Tidak Disangka-sangka

"Sepotong kek & Sebuah Buku~~Terima Kasih banyak, Nas!"

Hampir seminggu lebih saya diserang selsema dan demam yang teruk hingga saya sekarang boleh menyanyi lagu genre rock tanpa perlu menyerak-yerakkan suara (hehe!). Saya tidak mampu menjawap panggilan telefon (hanya boleh membalas sms!). Maaflah kepada sesiapa yang saya tidak jawap panggilan anda itu ya!. Barangkali, selepas ini anda tidak perlu membuat panggilan. Hanya perlu sms sahaja!

Dalam menempuh dugaan berpenyakitan ini, saya menerima hadiah yang tidak saya sangka-sangkakan. Saya sudah hampir mahu menutup lembar keinginan memilikinya namun, rezeki saya barangkali di bulan yang penuh rahmat ini. Alhamdulillah. Maka, terlengkaplah impian untuk memiliki antara trilogi fantastik Sasterawan Negara, Arena Wati, Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Itulah agaknya nikmat bersabar dan meredhai segalanya dalam kehidupan!

"Bunga Dari Kuburan~~Arena Wati, Sasterawan Negara"

Pertama-tama saya ingin mengucapkan terima kasih saujana luas lautan, selebar payungan langit buat Nasriah (yang sabar mencari dan ingin membuat kezutan buat saya~~hehehe). Terharu saya mendengar bagaimana payahnya dia hendak mencari buku ini untuk dihadiahkan sempena ulang tahun usia perak saya tahun ini. Nas, eh aku tak tahu macam mana nak cakap lagi...TERIMA KASIH SANGAAAAAT...MUUUAHH!!!.

Hal yang kedua, saya menerima sesuatu lagi yang membuatkan saya gembira. Mungkin inilah langkah pertama persediaan saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik. Saya tidak memikirkan sangat (fikir jugakla) habuan yang bakal saya terima kerana dipenghujung jalan nanti yang saya mahukan adalah ilmu daripada pekerjaan itu. Semoga ilmu itu boleh menjadi bekal bagi memudahkan penulisan ilmiah untuk pengajian saya kini.

Teman-teman, kita sudah berada dalam 5 malam terakhir bulan mulia ini. Terasa sayu pula tiba-tiba mencuit rasa...

Ramadhan kali ini, banyak sekali mengajar saya jadi manusia. Banyak mengajar saya supaya lebih redha dan bersabar! Semoga rasa ini berterusan sehingga akhirnya...AMIN.

Wednesday, September 24, 2008

Sweet Child Of Mine...Versi Sitar!

Sebuah lagi iklan yang menyentuh deria. Lagu rock diberi suntikan tradisional India iaitu Sitar. Menarik bunyinya. Ayuh, mari sama-sama kita lihat dan dengar bila Sweet Child of Mine dendangan Kumpulan Gun n Roses sudah jadi semacam lagu dari negara India dan tidak pun menunjukkan ciri-ciri rocknya...!

Wednesday, September 17, 2008

Usia Suku Abad & Rasa Yang Payah Diungkapkan


"Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun...lalalala"

Tidak tahu bagaimana saya perlu membalas ucapan yang masuk lewat SMS ke telefon genggam, di Friendster, Facebook, mesej pada YM, panggilan telefon malah ucapan yang ada di blog ini. Saya terharu kerana ada juga yang mengingati tarikh "menambah" umur saya tahun ini. Setiap tahun itu jugalah ada sahaja teman-teman baharu yang sudi menghulur ucapan. Wah, betapa tidak sedarnya saya bahawa setiap masa ada sahaja kenalan baharu yang kita ciptakan ya?

Walaubagaimanapun, TERIMA KASIH BANYAK! Hanya itu yang mampu saya balas. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki saudara semua...Amin!


"Trilogi Armageddon"

Banyak benar yang menggembirakan hati dan membuatkan rasa sayang saya semakin membuak-buak dalam diri. Pertama, untuk emak. Emak telah menghadiahkan antara trilogi Arena Wati yang pingin sekali saya miliki (setelah usaha mencari "Bunga Dari Kuburan" tidak membawa sebarang penghasilan). Untuk emak, terima kasih banyak!

Seterusnya buat Abang saya Mohariz (abang nak sign...gegege!) & Kak Ina. Untuk sambutan hari lahir alias majlis berbuka yang walaupun tampak sederhana tapi, sangat-sangat-sangat bererti buat adik anda yang baru berusia suku abad ini. Anda boleh lihat betapa "meriah"nya acara makan-makan kami dibawah. Amaran, jangan lihat gambar ini sekiranya anda sedang berpuasa. Segala ke'batal'an puasa anda tidak akan di jamin...gegege!


"Buah hati saya, Amir Luqman dan Ayahnya"


"Kak Ina Yang Menjadi Tukang Dengar Radio untuk Azan"


"Luq...tengok ayah punya spagetti ada bola-bola api"


"Amir Luqman diberi peluang "ambil bau". Macam filem "3 Abdul" la pulak"

"Chicken Mushroom"


"Chicken Kebab"

Untuk teman sekelas saya di UKM, terima kasih juga untuk ucapan "belated"nya dan Idahyah yang sempat membeli Marble Cheese Cake di Starbucks, Bangsar semata-mata mengenangkan hari jadi saya. Kamu buat saya rasa mahu menangis!

Usia di suku abad ini (bak kata Nas, usia perak. Hehe!), banyak sekali membuat saya berfikir dan menetapkan kembali matlamat dan cita-cita yang seringkali seakan mahu tercicir dari gendongan jemala fikir. Tahun ini sambutan hari lahir sangat bererti kerana di sambut pada bulan ramadhan (juga seperti tahun lepas) dan berada pula pada 15 Ramadhan. Bulan yang mulia untuk memulakan sesuatu cita-cita yang murni.

Seiring dengan pertukaran nombor pada usia ini, saya diserang tanya dalam sanubari sendiri. Kenapa perasaan "itu" pada sesuatu yang "lama" perlu hadir lagi? Payahkah sempena bulan mulia ini dia mengangkat telefon dan memohon kemaafan? Lalu, berkata 'Ayuh, mari kita bersahabat lagi'. Ah, rasa ini kenapa begitu payah untuk diungkapkan?

Sunday, September 14, 2008

Zapin Bunga Hutan

Tidak ada apa-apa coretan terbaharu mahu saya kongsikan bersama dengan anda. Cuma kini saya sedang "gilakan" lagu Zapin Bunga Hutan dari filem Bawang Puteh Bawang Merah lakonan Dato' Mustafa Maarof & Latifah Omar terbitan tahun 1959 (bukan senetron lakonan Nia Ramadhani yang memualkan itu ya!). Filem ini arahan Allahyarham S Roomai Noor dan diterbitkan oleh Studio Chaty Keris, Singapura. Lagu asal nyanyian Orkes Budi.

Kali ini biarlah saya berkongsi keriangannya bersama anda pula. Ayuh, mari berzapin!



Saya juga gemarkan versi Bunga Hutan oleh Dewangga Sakti!

Wednesday, September 10, 2008

Hadiah 4 Bulan

Buah hati saya dapat naik kereta merah yang dipandunya sendiri. Yang tak best...muka dia monyok sangat. Agaknya "dipaksa" memandu kereta dalam keadaan mengantuk teramat barangkali.

"Aiyaa Apek ini stereng apa pasat talak bulih pusing-pusing punya?"

"Bilalah agaknya Ayah nak beli kereta ni. Boleh aku bawak awek aku kat taska tu jalan-jalan"

Sempena hari jadi yang ke empat bulan, ayah dan mama Amir Luqman membelikan hadiah kerusi goyang untuk memudahkannya menonton televisyen dengan lebih relaks. Ini antara koleksi gambar Mir Luq sempena mendapat hadiah barunya.

"La hai...Ayah nak beli kerusi goyang ni je ke? Bolehla daripada tak de"

"What are you looking at?"

Terakhir adalah wajah terbaharu Mir Luq yang dibotakkan dengan sengaja. Kata Mir Luq secara peribadi kepada saya, perbuatan ini adalah untuk menambahkan kekacakkannya. Dia berharap dengan ketampanan wajahnya kini, dia dapat mencuri hati gadis-gadis manis berhampiran dengannya. Terutama kawan-kawan perempuannya di taska.

"Amacam hensem tak saya dah takde rambut? Ada can tak nak tackle anak perempuan pakcik dan makcik?"

Sunday, September 07, 2008

Bolehkah Anda Membantu Saya?

Kulit Buku Ketiga Trilogi Oleh Pak Arena Wati, Sakura Mengorak Kelopak

Sebenarnya saya kecewa dengan sikap diri sendiri yang tidak pernah pun ada hati hendak membeli dan membaca antara trilogi terhebat Arena Wati ini dahulu. Kali pertama digiat untuk membaca trilogi ini adalah ketika mengikuti MPR dalam tahun 2001 di Genting Highlands. Saya ingat lagi Abang Faisal Tehranilah (antara pembimbing MPR tahun berkenaan) yang bersungguh-sungguh menyuruh kami meletakkan trilogi ini dalam senarai buku mesti baca oleh calon penulis.

Mungkin waktu itu saya terlalu muda untuk menilai buku-buku malar hijau sebegini. Ditambah pula semasa itu saya masih lagi terpaksa mengharapkan wang saku dari mak ayah. Lalu, payah benarlah hendak membeli sekian-sekian buku. Mak ayah tidak menghalang jika saya mahu membeli buku apa sekali pun. Tetapi, waktu itu saya lebih tidak mahu membebankan mereka dicampur pula dengan tiada desakan yang menggila dalam hati untuk saya miliki buku berkenaan.

Jujur saya katakan disini, saya membaca trilogi ini bermula daripada buku ketiga, Sakura Mengorak Kelopak. Terus diterjah busur kenikmatan membaca. Isinya yang fanastik membuat saya terkedu beberapa ketika. Pak Arena memiliki suatu keistimewaan iaitu bercerita dan pemikirannya yang berbeza dalam sesuatu novel yang ditulisnya menghambat saya untuk setia membaca. Tidak saya nafikan novel Pak Arena memang berat (daripada segi isi, pemikiran malah timbangan bukunya kerana majoriti buku Pak Arena tebal-tebal belaka -- Kak Nisah Haron pun bersetuju dengan saya kerana katanya sesetengah buku Pak Arena perlu dibaca diatas rehal kerana tebal).

Justeru itulah sebenarnya kelazatan himpunan trilogi ini. Saya "kelelahan" untuk menghabiskan Sakura Mengorak Kelopak. Namun, sebuah perasaan malah terbit dalam sukma seusai saya menghadam buku berkenaan. Saya cari buku-buku lain dalam triloginya. Alhamdulillah saya terjumpa di DAWAMA, buku keduanya iaitu Kuntum Tulip Biru bersama Nasriah tahun lepas. Sekali lagi saya jatuh cinta.

Tapi, sayang sayang sayang buku pertama dalam trilogi ini malah tidak ada dan tidak pernah diulang cetak oleh DBP dan mana-mana rumah penerbitan. Ah, sayunya nasib buku di Malaysia. Buku yang baik seakan tidak pernah dihargai!

Jadi bolehkah anda membantu saya menjejaki buku pertama dalam trilogi ini yang diberi tajuk Bunga Dari Kuburan? Saya benar benar benar dan sangat sangat sangat sangat inginkan buku berkenaan. Saya tegaskan sekali lagi, saya INGIN MILIKI buku berkenaan. Jika anda ingin menjual naskah yang anda punya atau mungkin mengetahui dimana dapat saya beli buku berkenaan, saya minta benar anda khabarkan pada saya. Biarlah harganya sedikit mahal asalkan saya mempunyai trilogi lengkap buku ini.

Bantu saya ya! Oh terlupa lagi sebuah buku yang sedang saya cari adalah buku berjudul Enda Gulingku sebuah buku biografi Pak Arena. Tolong ya...!

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Menjenguk Lagi


Suatu perasaan yang berbeza akan saya alami setiap kali kedatangan musim bulan Ramadhan. Perasaan yang bentuknya bagaimana, payah hendak saya perincikan di sini. Yang pasti, saya sukakan perasaan yang begini dan berdoa padaNYA agar ia kekal berada dalam pojok jiwa.

Ramadhan kali ini hendaknya kita sentiasa berada di bawah payungan rahmat Sang Maha Pencipta. Musim yang ditunggu-tunggu semua penduduk alam untuk menanam pahala dan menabur benih cinta pada DIA.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa dengan hati penuh tunduk padaNYA buat semua pengunjung blog saya ini. Semoga bertemu kita dengan kemanisan Ramadhan itu bersama-sama. Insyallah! Amin...

Friday, August 15, 2008

Bila Mataku Merenungi Wajahmu...


"Bila Mataku Merenungi Wajahmu, Ada Rasa Cinta Yang Menggebu Mengusik di Tangkai Kalbu"


Oh...memang saya gilakan buku! Itu sudah pasti. Tiada istilah menolak pada buku (meskipun dalam bentuk salinan photocopy). Namun, bila diberi jeda waktu yang begitu sedikit dan saya perlu hadami semuanya sekali, saya rasa geram. Seperti hak peribadi saya untuk 'berseronok' membaca 'dirampas' oleh si dia yang bergelar masa.

Oh...saya mahukan masa yang lebih sedikit! Tolonglah waktu jangan cemburui aku...

Thursday, August 14, 2008

Asam Gelugor Si Asam Keping


Buah apakah ini?

Seorang adik MPR pernah bertanya pada saya apakah itu buah asam gelugor atau asam keping?

Waktu itu hendak saya perincikan bentuknya memanglah sangat mustahil. Memberi gambaran pada orang yang tidak pernah melihat sesuatu itukan payah. Kita gambarkan buah itu seperti labu. Mempunyai seksyen-seksyen pada buahnya seperti labu, dibayangkan buah itu seperti labulah pula. Untuk Lan, ini dia bentuk buah asam gelugor atau asam keping, ya dik!

Selain pengajian saya di waktu petang (yang hampir setiap hari), disela masa senggang dan ripuh (yang memaksa saya untuk menghadam pelbagai jenis buku), inilah salah satu pekerjaaan yang menghiburkan di rumah emak. Memotong buah ini untuk dijadikan asam keping atau asam gelugor. Kegiatan ini bukanlah sesuatu yang terlalu menyeronokkan tetapi, cukuplah untuk menghilangkan tekanan terhadap pengajian yang menagih seluruh masa untuk saya curahkan.


Inilah buah asam gelugor. Yang hijau masih muda. Jika dibuat asam keping kurang masam berbanding dengan yang kuning (yang sudah masak)

Rumah saya bukanlah didalam sebuah dusun yang menempatkan pelbagai jenis buah-buahan, pucuk, ulam atau tanaman. Dah sah-sahlah saya tinggal di kawasan taman perumahan! Untuk semua itu kami terpaksa pulang ke kampung nun di Melaka. Yang kerap pulang ke kampung sudah pastilah ayah. Semuanya diangkut pulang. Baik durian, rambutan, pisang, langsat...eh apa-apa sahajalah yang ada di kampung itu hendak dibawa pulang. Agaknya rumah kampung arwah nenek dan arwah atuk pun kalau boleh hendak di bawa pulang bersama.


Buah asam yang sudah kering

Kadang-kadang, saya dan emak sudah naik rimas dengan produksi asam keping kami. Cuaca yang tidak menentu, kekurangan tempat menjemur dan yang paling penting adalah tidak cukup tenaga manusia yang hendak memotong asam keping membuatkan kami bersikap sebegitu. Namun bila melihat ayah yang berpenat lelah membawa pulang buah asam dari kampung, tidak tergamak pula hendak membiarkan buah asam itu tidak berpotong.


Asam keping yang sudah siap untuk dipek

Tujuan ayah membawa pulang ke rumah pun kerana tidak sampai hati melihat buah-buahan itu membusuk dibumi. Daripada terbiar begitu sahaja nah, boleh juga bersedekah kepada jiran-jiran dan menambahkan pendapatan keluarga (meskipun bukanlah banyak benar yang kami dapat sekali jual!)

Kalau yang mengambil dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa pun adalah ustazah di tempat emak selalu berurut. Sekali beli 5 ke 6 kilogram. Katanya hendak membuat ubat kurus cara tradisional yang kerap habis dikedainya.

Asam keping

Thursday, August 07, 2008

Dalam Usaha Mencari Kado*

(*Kado bermaksud "Hadiah")

Kesulitan yang sering saya alami adalah apabila terpaksa duduk berlama-lama di sesebuah kedai mencari kado atau hadiah untuk teman, keluarga atau sesiapa sahaja yang relevan di hati saya. Sering benar kepayahan ini membuatkan saya bingung. Hadiah apa yang sesuai, paling disukai dan yang paling penerima ingin benar sempena ulang tahun kelahiran sekian-sekian umur, hari perkahwinan malah untuk hari-hari penting dalam hidup mereka.

Saya suka hadiah yang praktikal dan sentiasa digunakan penerimanya. Namun begitu, saya tidak pula menggemari andai membeli hadiah meskipun praktikal tapi, setiap orang yang datang berkunjung akan menghadiahi penerima hadiah yang lebih kurang sama.

Jika penerima itu sememangnya seorang pengila buku (bibliohisme) seperti saya, itu tidak pernah pula mendatangkan permasalahan besar buat saya. Hati saya berbunga ria jika mengetahui penerimanya nanti tidak pernah menolak, akan membaca dan akhirnya menjadikan pemberian buku daripada saya sebagai koleksi simpanannya. Sudah pasti buku itu bukan hanya menjadi pemenuh almari "suci dalam debu" tapi, akan dibaca dihadam sehingga halaman terakhir. Oh bahagianya!


Pernah untuk suatu majlis perkahwinan teman, saya terpaksa mengitar hampir sebuah gedung beli belah di Kuala Lumpur semata-mata untuk membelikan hadiah untuk dia dan pasangannya. Akhirnya yang tercapai dek tangan saya hanya sebuah bingkai gambar yang ringkas benar. Saya tiada idea apa yang sepatutnya saya berikan pada mereka suami isteri. Jika hendak dibelikan pinggan mangkuk, pasti mereka nanti sendiri meluat tengok bila dikoyak sampul hadiah pada malam kenduri, balik-balik pinggan mangkuk...balik-balik pinggan mangkuk. Sebenarnya hadiah bingkai gambar pun macam idea yang basi juga tapi, hanya itulah yang dapat saya beli dan cari dalam masa singkat dengan kos yang efektif. Jangan tiru saya!

Suatu lagi masalah dalam memilih dan mencari hadiah yang sesuai adalah apabila diminta untuk membeli hadiah buat lelaki. Kalau hanya membeli hadiah untuk ayah saya, itu bukan menjadi masalah besar. Dia tidak kisah apa sahaja yang saya dan emak beli. Dia menerimanya dengan senang hati sahaja.

Namun, pada teman, sahabat sepejabat, sekuliah, sepermainan, sealiran dan lain-lain lagi itu agak menyukarkan untuk saya. Kalau dihadiahkan jam tangan (wah klisenya saya) umpamanya, semampu saya pun hanya untuk jam sekitar RM 500 ke bawah. Padahal jam pada tangan penerima lebih mahal dan berjenama daripada apa yang mahu saya berikan. Sudah pastilah nanti jam pemberian saya hanya jadi pemenuh almari koleksi jam tangan penerima atau paling tidak akan diberikan penerima pada orang bawahannya, kawan-kawannya atau adiknya. Ah, susahnya!

Apakah hadiah yang sesuai jika ingin membeli hadiah kepada seseorang? Apa pendapat anda?

(Photo credit to: www.chrysalis-business-systems.com/images/wra...)

*** Tetamu blog ini dan teman-teman yang telah, sedang, bakal menyambut hari lahir dan majlis perkahwinan pada bulan ini...selamat untuk anda semua. Diberikan Allah jalan yang mudah untuk mengusaikan segala cita-cita hendaknya! AMIN...

Monday, August 04, 2008

Lalu Saya Jatuh Cinta...Lagi dan Lagi...

Saya ter’jatuh’ cinta sekali lagi. Cinta ini walau bagaimanapun, bukan pada spesies homo sapiens yang diberi gelar lelaki. Itu belum lagi saya ketemu penyudahnya. Haha.

Baiklah berbalik pada cerita.

Geng saya di MPR

Setelah seminggu dua berpenat lelah diantara kuliah disebelah malam di UKM dan persediaan untuk diskusi Minggu Penulis Remaja (bersama Nasriah), dengan capek yang masih ada sisa-sisanya disana sini, saya gagahkan juga untuk ke MASKARA X.

Apa itu MASKARA? Pasti ramai yang tertanya-tanya. MASKARA adalah baca naskah yang dianjurkan oleh pihak Sindiket Sol-Jah. Untuk pengetahuan lanjut, sila ke blog mereka disini.

Mulanya saya mampir hanya untuk menyokong teman mantan MPR (yang baca naskah), teman-teman dari Republic Theatre (yang bermonolog malam itu), dan bertemu teman-teman sealiran jalan fikiran, minat dan kesukaan (wah!).

Namun, kecapekan dan kantuk yang ada bagai dimagis dengan persembahan malam itu.

Saya sukakan semua persembahan. Baik dari kumpulan DEP, sajak berduet Jonos & Alfie (yang buat saya gelak tak sudah), persembahan MTV tanpa plug (Reez & Ajami), Art (yang menyentuh), Salman Sulaiman yang memulakan persembahan deklamasi puisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran malah Azree Ariffin yang berpantun sebelum bersajak juga mencuit rasa.

Puncak kemagisan itu datang apabila menyaksikan persembahan kumpulan Dewangga Sakti. Memang sah mereka ini ada “sakti” dalam persembahan. Asal jangan diasapkan gendang, akordion, biola, shaker dan gambus untuk itu sudahlah ya! Haha…

Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai Dewangga Sakti lewat penulisan di blog-blog tertentu dan terbaharu di akhbar. Tidak sangka muzik mereka memang muzik untuk golongan gila klasik macam saya. Kak Rai, anda juga diminta melayan muzik mereka. Haha.

Pertama kali mendengar lagu Mabok Kepayang sahaja sudah buat saya tertarik. Teringat akan lagu “Opening Titles” OST The Kite Runner. Saya ini kalau dengar muzik yang menjentik hati dan fikiran, mulalah idea gila-gila menerjah setiap inci minda. Haha…

Tapi, agak mengecewakan kerana lagu berkenaan tiada dalam mini EP mereka yang dijual pada malam itu. Namun, walau bagaimanapun tidak dapat saya nafikan saya jatuh cinta berkali-kali pada muzik yang dimainkan mereka malam itu.

Andai mereka ini diberi peluang untuk merakamkan album semacam Alberto Iglesies dalam Kite Runner…aduhai kan seronok bunyi muzik produksi album mereka!

Sunday, July 27, 2008

Karya Saya di DS Ogos: Kebetulan atau Kesilapan?

Muka hadapan Dewan Sastera Ogos, 2008

Ketika sedang bersantai-santai petang semalam (setelah pulang kuliah yang memenatkan), telefon genggam saya didatangi pesanan ringkas daripada salah seorang adik MPR, Aidil Khalid. Isi SMSnya seputar karya saya yang diterbitkan di Dewan Sastera Ogos. Saya sebenarnya terkejut kerana setahu saya karya terakhir yang saya hantar ke DS sudah pun diterbitkan dalam keluaran februari lalu. Selepas itu terjahan SMS daripada Wan Nor Azriq juga mengenai hal yang serupa. Menambahkan kejutan.

Mungkin berlaku kesalahan atau keadaan terlepas pandang pihak editorial mengenai hal ini. Selaku penulis, saya hanya mampu gelak dan tersenyum sahaja. Sah-sahlah bukan salah saya kan? Padahal saya baru sahaja ingin menghantar karya terbaharu kepada editorial DS. Mungkin saya perlu tangguhkan pengiriman karya atau hantar pada pihak lain dahulu.

Dewan Sastera Februari, 2008

Apabila keadaan ini berlaku, suatu perasaan yang baik menjelma dalam diri saya. Saya harap ia kekal tumbuh segar dalam relung jiwa ini. Saya masih perlu banyak mencuba dan mencuba. Belajar dan belajar lagi mendalami ilmu dalam bidang penulisan.

Kepada pihak editorial yang "sudi" menyiarkan kembali karya "tak seberapa saya setelah bertahun-tahun tidak menulis di media", terima kasih untukmu.

Saya perlu prolifik menulis selepas ini? Oh, saya berharap sifat "pemalas" yang "besar" dan "kekangan" pengajian yang semakin menghimpit ini, terus membenarkan nafas saya ini segar menghirup udara didalam sastera negara.


(Teringin benar hendak menulis lirik semula...uwaa...)


....Cuba lihat apa persamaan pada kulit Dewan Sastera kedua-dua bulan diatas? Apa agaknya ya?


-------------------------------------------------------------

Sedikit cuplikan dari cerpen "Terima Kasih Untukmu / Terima Kasih, Encik Arez!"

Selesai kelas, awak memberi catatan pada saya. Lolita tarik muka bila awak memberi catatan itu kepada saya. Dia marah kerana awak gemar suruh saya buat apa sahaja yang diminatinya. Padahal dia tahu saya tidak suka filem klasik dan subjek awak. Lolita kecewa.

Dalam catatan berkenaan, saya diminta menonton filem Chinta untuk diskusi kelas seterusnya. Saya tersenyum-senyum sendiri membaca ejaan awak pada tajuk filem itu. Nyata, awak bukan sahaja jenis orang muda berjiwa klasik kerana mengajar filem-filem lama tetapi, cara mengeja pun sudah ketinggalan zaman. Ketawa saya menjadi-jadi.

“Cik adik boleh ceritakan pada kelas apa komen awak mengenai filem Chinta?” Awak meminta saya memberi penerangan.

Saya menerangkan apa yang telah saya tonton. Sewaktu saya sedang sibuk memberikan pandangan, air muka awak berubah berkali-kali. Mula-mula semacam terkejut kemudian, awak menutup mulut menahan gelak. Padahal tidak saya kesani sebarang kelucuan dalam penerangan saya.

“Sudah...sudah. Duduk...duduk.” Awak melambai saya supaya duduk.

“Cik adik, itu filem Khabir Bhatia yang awak terangkan. Yang saya mahu awak tonton adalah filem Chinta arahan B.S. Rajhans pada tahun 1948. Sebab itu ejaannya C.H.I.N.T.A. Lain kali kalau tidak pasti, tanya!,”. Roman wajah saya waktu itu berubah. Sikap bangga diri memakan saya.

(Versi penuh terkandung dalam Dewan Sastera Ogos, 2008)

Tuesday, July 22, 2008

Diskusi Novel & Antologi Puisi Mantan MPR, 2008

Sukacitanya menjemput semua pengunjung blog ini untuk memeriahkan diskusi novel dan antologi puisi Mantan MPR (Minggu Penulis Remaja), 2008. Butir-butir acara adalah seperti berikut:

Bila?

2 Ogos 2008

Hari?

Sabtu

Waktu?

8.00 pagi- 1.00 tengahari

Di Mana?

Dewan Bahasa & Pustaka

Berapa yuran?

Percuma

Novel & kumpulan puisi yang akan dibincangkan?

Faisal Tehrani (Manikam Kalbu),
Nisah Hj Haron (Puisi Untuk Esdyzuar)
Zaid Akhtar (Salju Sakinah)
Ridzuan Harun (Suluk Cinta)
Shamsudin Othman (Taman Percakapan)
Fahd Razy (Menggeledah Nurani)

Apa yang Menarik?


Biarlah rahsia dan menjadi kejutan kepada semua yang hadir nanti. Mungkinkah kami juga akan membawa Datuk Siti Nurhaliza menyanyi?
(Semacam meniru acara HSKU 2007 lalu? Hehehehe...)
Ha...oleh itu marilah meriahkan diskusi itu nanti.


Semua dijemput hadir tanpa mengira status, umur dan juga paras rupa. Namun begitu, kepada Mantan MPR yang wanita diharap anda dapat berbaju merah jambu dan yang lelakinya berbaju perang atau coklat.

***Untuk informasi lebih lanjut sila lawat blog rasmi Minggu Penulis Remaja disini


Mantan MPR sewaktu Majlis Penutupan MPR 2007 dengan konsep hitam. Diskusi kali ini warna konsep adalah "baju yang gelap kini sudah terang"...hehehe...

Wednesday, July 16, 2008

Biar Menjadi Tauladan

Pernahkah anda terasa ingin kelihatan lebih kecil dan anggun daripada sosok tubuh yang anda miliki kini? Saya mengerti benar dengan perasaan yang selalu bermain dalam minda dan hati setiap daripada kita yang selalu benar ingin kelihatan cantik, menarik dan tertarik. Saya juga pernah berperasaan begitu. Jadi sudah lumrahlah kalau semua pernah berasa hal yang sama. Itu membuktikan kita ini masih normal.

Terlalu ingin cantik (dalam konteks ini kurus) seorang daripada sepupu saya mengalami penyakit yang tidak diundang. Tidak semena-mena dia dimasukkan ke hospital dan tanpa menunggu lebih lama terus sahaja dioperasi kerana penyakit yang menular dalam perutnya sudah parah. Beliau menghidap penyakit ulser perut secara tiba-tiba. Lalu, untuk menghilangkan segala kepayahan dan kesakitan yang dialaminya itu nasihat doktor hanya dengan pembedahan.

Bercerita mengenai sepupu saya yang satu ini, kata makcik saya dia sudah tidak menyentuh nasi semenjak melanjutkan pengajian disalah sebuah IPTS di Lembah Klang. Sepupu saya baru sahaja menamatkan pengajian sarjana mudanya. Bermakna dia sudah tidak makan nasi secara normal sejak 4 hingga 5 tahun lalu. Begitu lama sekali kan?

Entahlah kalau saya yang diletak dalam situasi sepupu saya itu adakah saya mampu bertahan? Saya orang Asia sejati. Makanan ruji orang Asia itukan nasi. Oh, mungkin nanti jika terpaksa, seminggu sekali benarkanlah saya makan nasi!

Situasi sepupu saya itu begini...

Dia hendak berdiet. Mungkin pada fikirannya kaedah yang terbaik untuk mengecilkan tubuhnya adalah dengan tidak ambil nasi. Sudahlah tidak makan nasi kemudian rutin pemakanannya menjadi carca marba. Aduh, itukan sudah menyeksa tubuh sendiri. Menyeksa tubuh sendirikan sudah berkali-kali ditegah agama kita.

Bila ditanya apa yang dimakan sepupu saya ini setiap hari, jawab makcik, dia makan apa-apa sahaja asal tidak nasi. Payahnya berdiet seperti ini...menakutkan!

Meskipun dalam diet tidak bererti anda tidak boleh menyentuh nasi. Pengambilan nasi dalam kuantiti yang sedikit pun boleh membuatkan anda berdiet dalam keadaan yang betul. Asal jangan tinggalkan jadual pemakanan anda. Wah, kata-kata saya macam pakar diet. Sedang diri sendiri pun tidak mampu berdiet!

Makcik saya berulang-ulang kali berpesan pada saya sebelum pulang hari itu agar tidak mengamalkan diet seumpama ini. Makan itu perlu walau ingin kurus dan cantik. Makcik saya sendiri serik melihat sepupu berguling-guling menahan sakit beberapa hari. Terseksa katanya.

Jadi, teman-teman yang sedang berdiet...nasi bukan musuh utama anda sewaktu berdiet. Diet itu sendiri bermakna makanan seimbang. Berdiet berdiet juga...kesihatan perlu juga anda jaga. Jangan hendak cantik, badan pula jadi mangsa...

Tuesday, July 08, 2008

Iklan Obsesi Sang Penyair

Selain daripada filem, penyiaran radio, muzik, penulisan, buku & sastera salah satu lagi kegilaan saya adalah iklan. Abang (Mohariz Yaakup) pernah berkata bahawa saya memang sudah di sihir magis media bernama iklan. Selalu juga dia menegur dengan gelagat saya yang suka benar menyanyi lagu iklan dan membaca-baca kembali skrip-skrip iklan. Rupanya bukan saya seorang dihinggap "penyakit" sewel ini. Teman sekuliah yang mengikuti pengajian perhubungan awam, Fiza, juga ada penyakit serupa. Hahaha...(patutlah kami jadi warga media!)

Malah, ketika membuat permohonan menyambung pengajian di peringkat sarjana muda pernah saya berkata pada rakan baik saya, Pear, andai kata permohonan ke bidang penyiaran tidak mendapat restu "ketua program"nya, saya akan membuat permohonan alias rayuan ke ketua program periklanan pula. Walaubagaimanapun, nasib saya untuk mendalami bidang periklanan tidak kemana setelah saya terjelepuk jatuh cinta kerana diberi peluang mendalami bidang penyiaran. Terima kasih Encik Farami yang sudi ambil saya untuk krusus rebutan ramai di Fakulti Komunikasi Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA!

Meskipun begitu, didikan yang diberi sebagai penyiar di kampus dan ditambah lagi dengan pengalaman yang saya raih secara langsung dan tidak langsung dalam bidang penyiaran itu sendiri, telah membuatkan saya terus menjadi pemerhati iklan. Setelah mendapat didikan formal dalam bidang penyiaran pemerhatian dalam bidang iklan bukan hanya suka-suka tetapi sudah menjadi landasan saya membuat perbandingan secara ilmiah dalam mencari kekuatan, kelemahan dan corak iklan.

Oleh kerana sikap memerhati ini, setiap kali berangkat ke luar negara, perkara kedua selepas mengikuti siaran radio sesebuah negara (meneliti cara juruhebahnya berkomunikasi, bentuk rancangan dan isi sesebuah rancangan juga pembahagian genre lagu), perkara kedua yang pasti akan saya lakukan adalah menonton iklan di televisyen. Baru-baru ini sewaktu ke Jakarta, saya sangat tertarik dengan iklan yang di tayangkan untuk produk rokok jenama Mild. Kebanyakan iklan Mild pastinya akan bergenre komedi. Kadang-kadang ada juga tersimpan elemen-elemen sindiran dan kritik sosial yang tidak harus dipandang remeh.

Salah sebuah iklan Mild yang saya suka adalah berkenaan obsesi seorang penyair. Dibawah telah saya sediakan iklan berkenaan untuk tontonan semua pembaca disini. Maaf andai pada bahagian terakhir terpotong sedikit. Saya sudah cuba mencari versi penuhnya tetapi, tidak ketemu. Iklan ini secara amnya menceritakan seorang pemuda yang terobsesi dengan puisi-puisi Chairil Anwar dan membaca sebuah puisi hasil ciptaannya yang merupakan gabungan puisi-puisi Chairil. Yang melucukan cuba lihat kemeja T yang dipakai sang penyair obsesi ini. Gambarnya menghisap rokok yang seumpama wajah Chairil! Hahaha...



Bila berbicara mengenai dunia kesusasteraan dan iklan ini, saya rasa amat tersentuh. Apa salahnya jika sesekali iklan kita disuntik elemen sastera. Bukan tidak ada iklan yang seumpama itu, tapi jumlahnya boleh benar dihitung dengan jari. Yang paling baharu pun iklan Pak Samad mengenai kemerdekaan tahun lalu. Setiap kali menontonnya roh kedamaian, kesejahteraan dan keharmonian yang dijadikan mesej hari kemerdekaan pasti akan sentiasa berkobar dalam diri. Malah pertama kali menonton iklan itu, saya sudah beri standing ovation untuk Pak Samad. Saya mengaku saya ini kadang-kadang agak sinting.

Monday, July 07, 2008

Hijrah...

Kalau sampai waktuku
Ku tak mahu seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak perduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi

(AKU: Chairil Anwar, Maret 1943)

Puisi Chairil Anwar ini mengasak-gasak di relung hati. Puisi ini adalah gambaran tepat refeksi sebenar jiwa saya atas beberapa hal yang saya simpan kemas-kemas dalam hati sendiri. Bukanlah saya membenci atau memarahi sesiapa tapi, sebagai insan yang sudah pandai berfikir dan mempunyai hak mutlak pada dirinya sendiri, saya muak dengan "ugutan" dan "perli" yang dilemparkan.

Penghijrahan saya adalah suratan Yang Di ATAS. Saya yakin dengan keputusan ini kerana telah saya serahkan semuanya padaNYA. Nampaknya, ALLAh telah memberi petunjuk pada saya di hujung jalan. Jadi, apa hak kamu untuk menghalang saya?

Friday, June 27, 2008

Jakarta...Jakarta...


Segitiga Emas Jakarta


Kawasan di bawah hotel


"Jakarta kebanjiran, di Bogor angin ngamuk.
Rumah ana kebakaran...gara-gara kompor mleduk..."


(Benyamin S, Kompor Meleduk)

***Kompor = Dapur


Saya tiba di Jakarta sehari sebelum perayaan ulang tahun ke 481 tahun ibu kota berkenaan. Ketibaan saya di bandar yang padat dengan penduduk ini dengan berbaki rasa capek dan kantuk beberapa hari sebelum itu. Jadual saya sangat padat sebelum berangkat ke Batavia ini. Malam sebelumnya sahaja saya terpaksa tidur sekitar jam 4 pagi mengusaikan segala hal. Namun, kerana wisata ini sudah mungkin mendatangkan pelbagai rasa dan pengalaman baharu, saya teruja untuk mendarat ke buminya.


Kawasan perumahan yang padat di bawah hotel

Di Bandara Soekarno Hatta (Bandar Udara atau Lapangan Terbang) sahaja, saya sudah lihat Jakarta memang berbeza dengan negara sendiri malah negara-negara yang pernah saya singgah. Keadaan Bandara Soekarno Hatta bolehlah saya samakan dengan keadaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur di Subang. Seingat saya ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur sekitar tahun 1990an, begitulah kesimpulannya dan perbandingan dengan Soekarno-Hatta. Di luar balai ketibaannya, suasana biasa yang perlu anda tempuh dalam hari-hari di Jakarta sudah pun dilihat dihadapan mata iaitu macet.

Saya dinasihatkan berkali-kali mengenai Jakarta. Rata-ratanya dari Abang saya, Mohariz Yaakup yang kerap ke sana. Katanya jangan berharap Jakarta itu dapat menerimamu seperti Kuala Lumpur. Disana, jangkalah apa yang tidak terjangkakan. Expect the unexpected. Nah, saya mengalamainya dan mengakuinya sepenuh hati.

Keadaan stesen minyak Partamina berhampiran Bandara Soekarno-Hatta

Maaf jika entri ini tidak bisa menyediakan anda gambar-gambar lambang kemegahan bumi Sunda Kelapa. Tidak ada gambar tugu monas, tugu selamat datang, patung Jeneral Sudirman malah Patung Pak Karno dan Dr Hatta. Bukan saya tidak berniat untuk mengetik gambar-gambar begitu. Tetapi, beberapa kali mengitar bundaran di hadapan tugu monas malah tugu selamat datang, saya tidak pernah berkesempatan untuk mengeluarkan kamera dari dalam tas saya.

Bukan tidak mahu memegang kamera di tangan. Bukan juga tidak mahu menggunakan kamera pada telefon. Saya cuma tidak berani berbuat begitu. Hatta dari dalam taksi. Apabila taksi berhenti kerana macet yang gila cuba bayangkan disekitar anda ada pengamen bermain alat muzik meminta sedekah, ada mas-mas yang berjualan koran dan majalah (suratkhabar dan majalahnya, 2+1 lagi dalam bungkusan plastik) malah ada juga yang berjualan keropok. Kadang-kadang saya fikir seronok juga kalau ada yang berjualan suratkhabar dan majalah sebegini dalam macet di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya, mereka yang tersekat itu dapat juga menambah ilmu dan menggunakan masa yang terbuang itu dengan aktiviti berfaedah. Haha!


Ada yang sempat "bersanding" di Natrabu

Jika di Malaysia, jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kebanyakannya dalam kereta dan kalaupun ada motosikal pun semuanya sudah selesa ke hadapan atau ada juga yang mencelah di antara mobil-mobil yang berhenti. Di bumi Jakarta ini, motosikal sudah tidak bisa untuk mencelah kerana bilangannya lebih banyak daripada jumlah mobil yang ada. Rata-rata penduduknya lebih mudah bergerak dengan motosikal. Malah jika bermotorsikal pun anda akan terperangkap dalam kesesakan. Setiap kali ingin melihat kandungan dalam tas sendiri pun perlu berhati-hati jika didalam taksi yang tersekat dalam macet Jakarta. Ada sahaja mata-mata diluar mobil yang memerhati.

Kepada anda yang mungkin bercadang untuk memanfaatkan cuti anda ke Jakarta mungkin nasihat ini penting untuk anda:

1) Jangan cuba-cuba berbahasa Indonesia jika anda bukanlah ahli. Pokoknya anda mudah sekali dikuras!
2) Naik hanya teksi berlabel "Blue Bird". Taksinya berwarna biru. Taksi ini lebih selamat kerana mereka terikat dengan peraturan syarikat taksi. Jika ada antara pemandunya menguras duit anda, anda boleh laporkan pada pihak atasan.
3) Jika anda dikuras (selalunya oleh pemandu taksi) beri hanya caj yang tertulis pada meter taksi dan keluar. Pokoknya, kalau mereka berkeras dengan anda, anda juga perlu berkeras dengan mereka. Berkeras disini bukan menunjukkan kurangnya budi bahasa tetapi, untuk mendapatkan hak anda daripada ditipu.

Keadaan sekitar Jakarta sama seperti yang kita lihat melalui drama-drama (sinetron) yang ditayangkan di televisyen kita. Jalan rayanya dipenuhi orang (berjalan kaki, berspeda, bermotor, berbajaj ataupun bermobil). Di pinggir-pinggir jalan dipenuhi kedai-kedai kayu wartel (warung telefon), warnet (warung internet), kedai runcit (di hadapannya pasti ada peti sejuk menjual Teh Botol Sosro dalam botol...asyik dong!), kedai tampal tayar dan juga warung-warung berjual makanan (seperti yang banyak kita lihat di kawasan Kampung Pandan). Tidak pernah saya lihat kawasan yang lapang tidak berpenghuni, tidak ada orang berjalan. Semuanya pasti ada orang dimana-mana.

Bibik memberitahu pada saya di Jakarta ini memang payah untuk bertemu dengan kawasan yang merimbun hijau mahupun berbukitan. Jika dilihat dari atas kapal terbang, tiada kawasan yang tidak mempunyai kerdip lampu. Padat dan rata kawasan tanahnya. Tidak mustahillah jika penduduk Jakarta tidak dapat melakukan apa-apa semasa banjir teruk akhir tahun 2006 yang lalu.


Penghibur dikala ripuh dan senggang di Jakarta

Berkisah mengenai tempat penginapan, saya dan keluarga menginap di salah sebuah hotel yang tidak berapa jauh dari Pasar Tanah Abang dan juga Toko Sarinah. Pasar Tanah Abang ini mungkin sudah lama benar dibina. Kepada peminat lagu klasik pasti ingat pada lirik lagu "Bujang & Dara" nyayian Sam Saimun yang pernah menyebut kisah Pasar Tanah Abang ini. Disinilah tempat dimana masyarakat disekitar mungkin di seluruh Indonesia datang membeli barangan secara grosir (borong). Kebanyakan mereka yang datang kemari adalah mereka yang berjualan. Namun, ada juga yang datang kesana untuk membeli barangan secara eceran seperti kami sekeluarga. Pasar Tanah Abang ini sungguh besar dan mempunyai 8000 buah kedai. Barangannya cantik, murah dan berkualiti. Cuma kebolehan yang anda perlu ada adalah tawar menawar. Pandai menawar, semakin murah harga yang boleh anda dapat.

Tidak lengkap kunjungan seorang beluncas buku kalau tidak mencari buku di Jakarta. Ada juga niat di hati hendak ke Kwitang atau Pasar Senen memborong buku-buku terpakai. Namun, semacam saya nukilkan sebelum ini, saya tidak berani. Mujur sahaja ada Chrisna & Tiwi yang sudi menemani saya ke Mataraman. Kalau ke Mataraman apa lagi yang dikejarkan kalau tidak ke Toko Buku Terbesar di Asia Tenggara, Toko Gramedia lah!


Buku...buku...ooo..buku

Chrisna dan pacarnya Tiwi sudah menggeleng melihat gelagat saya. Jumpa buku terus ambil, jumpa buku terus ambil. Penuh dan sarat tas belanja saya dengan buku-buku yang sudah lama saya cari dan idam-idamkan. Mereka kata saya gila. Saya hanya gelak-gelak lihat mereka. Kata saya perkara begini adalah benda biasa bagi saya. Semasa berbelanja buku-buku ini teringat saya pada Nasriah. Nas, kalau kau di Gramedia aku fikir kau juga naik gila macam aku!.


Beluncas kena berhenti beli buku tahun ni. Masalahnya beluncas mana reti nak membeli buku...hahaha...

Sebenarnya terlalu banyak buku yang ingin saya ambil dan masukkan ke tas belanja saya. Namun memikirkan wang rupiah yang tersisa di tangan, saya meletak kembali beberapa buah buku yang sememangnya saya mahu benar. Terpaksa yang bertoleransi dengan Khaled Hosseini yang bukunya sudah pun dialih bahasa ke dalam bahasa Indonesia. Semasa melihat buku terjemaahan ini saya teringat Kak Rai yang gemarkan buku alih bahasa. Kata Kak Rai, buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, lebih "sedap" bacaannya. Lalu, saya rembat juga Dunia Sophie, Jostein Gaarder. Bolehlah nanti kita bandingkan dengan versi-versi yang pernah dibaca Kak Rai dan Kak Nisah!.

Kegilaan saya pada muzik Indonesia juga seakan-akan terubat. Nah, lihat betapa "kegeraman" saya pada Maliq & d'Essentials, Tompi, Naif, Marcell , Afgan juga Yovie & Nuno dapat juga saya lunaskan. Seperti, koleksi buku-buku yang banyak saya rembat, sebenarnya banyak lagi koleksi CD yang ingin saya beli. Namun, sebagai pemegang segala perbelanjaan yang diamahkan ayah dan emak, saya tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri. Kalau ikutkan hati, aduh...semua nak dicapai dan dimasukkan ke dalam beg. Haha...


Antara koleksi yang sempat tercapai tangan

Jakarta di usia 481 telah memanggil saya tiba ke buminya. Bila agaknya kesana lagi? Wah, pinta saya agar dalam masa-masa terdekat!


Matahari Jakarta yang menghantar saya pulang. Walaupun sebenarnya penerbangan pulang saya delay ke malam...haha...

Saturday, June 21, 2008

HSKU, Rakan MPR & Saya


Buku aturcara HSKU 2007

Oh betapa perasaan gembira yang menggebu-gebu hadir saat Nasriah meminta pertolongan saya sekaligus untuk turut serta dalam majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 (HSKU 2007). Berpeluang ke HSKU (walaupun tidak memenangi apa-apa), memang membuat saya terlalu teruja. Melihat teman-teman di MPR, penulis-penulis yang saya kenal lewat ruang siber dan buku ataupun perkenalan di majlis-majlis sastera menerima hadiah masing-masing aduh, manisnya.

Nas, yang menang dua tahun berturut-turut. Mari cukupkan hetrik kau Nas!

Saya diserang macam-macam kata semangat, cabaran dan motivasi untuk menang tahun hadapan. Sesungguhnya saya berasa amat dan terlalu kecil untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka dalam dunia kesusasteraan ini. Bila membaca novel, antologi cerpen dan antologi puisi hasil pemenang HSKU, saya berasa saya belum layak untuk menang. Banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk itu.


Novelis yang sedang mencipta nama, Ummu Hani. "Ummu, tajuk & kulitnya membuat saya tak sabar nak baca..."

Namun, kata-kata semangat mereka semacam membawa keyakinan di bucu-bucu hati. Insyallah, saya akan mencuba juga untuk ke HSKU. Jika, tidak menang dulu pun, pengalaman dan didikan untuk menerbitkan karya ke antara media terbaik ini akan mendidik cepu jiwa dan gelas ilham untuk terus dan terus menulis.


Ghafirah & Saya

Untuk anda yang memberi kekuatan untuk menang...terima kasih banyak-banyak kerana mempercayai saya. Akan saya ikhtiarkan untuk itu. Insyallah.


Ambil berkat HSKU...haha

Turut saya muat turun disini, antara gambar-gambar yang sempat saya ambil menggunakan "kamera" saya. Mungkin untuk anda yang tidak berpeluang ke HSKU 2007 kali ini...santaplah imej yang saya hidangkan ;)



Kak Nisah menang untuk kategori novel, Tawarikh Cinta.


Kak Rai ajak menang tahun depan sama-sama...hehe...

Mantan MPR yang menang...dimana saya menumpang gembira dan senang juga menjadikan contoh untuk kehadapan

Tuesday, June 17, 2008

Lagu Buluh Mensiang (The Song of the Reed)

Jalal ad-Din Muhammad Balkhi-Rumi

Puisi ini menarik perhatian saya ketika sedang ralit melihat bahan pameran di Muzium Kesenian Islam, Malaysia. Puisi "The Song of the Reed" atau dalam terjemahannya yang sempat saya salin ke telefon genggam, "Lagu Buluh Mensiang". Disini saya perturunkan kedua-dua versi puisi yang sempat saya lihat di dewan pameran muzium. Pada pendapat anda, puisi ini lebih "murni" dan "indah" di dalam bahasa yang mana satu? (Maaf, versi bahasa Parsi yakni bahasa aslinya tidak dapat saya tempel di sini kerana saya juga kurang arif bahasa berkenaan). ;-)



Dengarkan coretan buluh mensiang
dan kisah yang menceritakannya,
ia menyanyi tentang perpisahan:

"sejak mereka memisahkan aku dari rumpun mensiang,
aku mahukan hati yang terbuka dengan kerinduan,
siapa sahaja yang dipisahkan dari tempat asalnya,
ingin pulang ke pangkuan itu semula..."

(Lagu Buluh Mensiang, Rumi, Masnawi 1, 1-35)



Listen to the reed (flute),* how it is complaining!
It is telling
about separations,

(Saying), "Ever since I was severed from the reed field,
men
and women have lamented in (the presence of) my shrill cries.

"(But) I want a heart (which is) torn, torn from separation,
so that
I may explain* the pain of yearning."

(The Song of the Reed, Rumi, Masnawi 1, 1-35)


* Image credit to www.sheilaomalley.com/archives/rumi.JPG