Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Sunday, October 10, 2010

Kuih Goyang Nenek (2)


Sambungan cerpen saya...


Kuih pertama, gigitan pertama. Rangup. Abang Lias mengunyahnya perlahan-lahan. Kemudian mengambil kuih kedua, ketiga dan seterusnya, seterusnya, seterusnya. Setelah itu, Abang Lias diberi gelar penikmat ‘kuih goyang Nenek nombor alif’ oleh semua ahli keluarga. Abang Lias kini sudah tidak malu lagi untuk mengangkat botol kaca nenek hatta sampai ke depan televisyen. Malah lebaran pada tahun-tahun setelah itu, Abang Liaslah yang akan menghubungi Nenek memesan supaya tidak lupa untuk membuat kuih goyang. Nenek hanya senyum dan senyum yang khas itulah selalu meruntuhkan ego sesiapa sahaja.

Tahun-tahun terakhir sebelum Nenek pergi, Nenek masih lagi menyediakan kuih raya untuk kami semua. Meski tiada lagi kuih bahulu gebu dan biskut roda dunia bersalut kelapanya, kuih goyang masih sahaja dibikin Nenek. Tetapi, kali ini kuih goyangnya tidak lagi sebanyak dahulu. Namun dua balang besar itu masih tetap ada. Kehilangan kuih muih buatan Nenek kini diganti dengan kuih muih yang dibeli anak menantu Nenek. Saya sering memuji-muji kuih yang dibeli. Sedap, cantik dan menarik. Waktu itu, saya masih belum belajar dan memahami apa yang disebut rasa dan perasaan yang sebenar. Malah masih dangkal akan erti memberi dan menerima. Anak dan menantu Nenek pula terasa bangga dengan puji-pujian saya.

Nenek seperti biasa tidak berkata apa-apa. Meskipun dia berterima kasih kepada anak menantunya, namun lewat binar mata tuanya saya tahu dia cukup terkilan. Terkilan tidak dapat menyediakan kuih muih seperti biasa untuk santapan ahli keluarga. Kudratnya tidak mampu bertahan lama untuk ini semua lagi. Dia pasrah dan menikmati sahaja lebaran dengan kepulangan anak menantunya yang disayangi. Namun saya mengerti, ada yang kehilangan dalam diri Nenek. Aduh, kenapa saya tidak cukup matang untuk memahaminya saat itu?

Tahun berikutnya Nenek sudah tidak berdaya langsung untuk bangkit daripada pembaringan. Ramadhan tahun berkenaan, doktor telah mengesahkan nenek menghidap kanser tulang belakang tahap empat. Nenek sudah tidak berdaya untuk bersuara. Tugas membuat kuih pula sudah pun diserahkan kepada pembantu rumah yang dibayar untuk menjaga nenek. Kuih muih kali ini sudah hilang langsung ‘rasa’. Nenek yang disuakan kuih berkenaan hanya berladung air mata. Selaku cucu yang paling hampir, saya faham bahasa Nenek. Bentuk kuih tidak mengikut aturan dan yang lebih penting, kuih itu tidak hadir dari hati yang penuh rasa kasih sayang. Kemek dan kelopaknya tidak terbentuk cantik. Namun yang lebih meretakkan hati nenek adalah, kuih berkenaan bukan hasil air tangan Nenek. Nenek kecewa.

Nenek kembali pada minggu kedua syawal saat matahari malu-malu berselindung dibawah lapis deru pagi. Setelah itu, tiada lagi kuih goyang buatan Nenek yang mewarnai syawal kami. Malah, kami pula seakan-akan ingin melupakan kuih goyang Nenek sepertimana kami sering menghalau rasa yang terdetik mengenai kerinduan terhadapnya yang membibit dalam naluri sendiri. Mungkin kesakitan kehilangan itu yang cuba kami tabirkan barangkali.

“Termenung ingatkan siapa tu Lia?”. Teguran Kak Ainul mengejutkan saya. Kembali memakai semula mahkota kejernihan fikiran.

“Terkenangkan arwah Nenek, Kak Ainul,” jawab saya pendek.

“Kak Ainul pun teringatkan arwah akhir-akhir ramadhan ni. Rindu,”.

Pengakuan ikhlas Kak Ainul benar-benar mengujakan saya. Jarang benar sejak akhir-akhir ini ahli keluarga saya mahu mengaku terkenangkan Nenek.

Jeda.

Masing-masing melayan lagu sayu yang dipetik gitar hati. Saya memerhati piring yang sebenar tadi terletak ‘karya’ Kak Ainul.

“Eh, mana ‘masterpiece’ Kak Ainul tadi,” tanya saya hairan.

Kak Ainul tertawa lucu.

“Haha. Keras-keras pun habis dimakan Abang Azri lepas pulang terawih tadi. Katanya sedap,”.

Ada senyum paling manis menghias ulas bibir Kak Ainul. Senyum kepuasan yang pernah saya lihat diwajah nenek suatu ketika dahulu. Memberi pada yang terkasih sebuah tanda hati yang tepu dengan rasa sayang.

“Kak Ainul, tahun ni kita buat kuih goyang nak?,”

“Nak!,” sambut Kak Ainul bersemangat.

Ada kangen yang menyalut kebahagiaan ini. Terselit pula senyum Nenek yang paling manis diantaranya. Syawal ini kuih goyang warisan Nenek bakal mengubati segala kenangan yang bertakhta di atma. Ada aura dan hati Nenek yang datang memberi rasa. Selamat pulang wahai kerinduan pada Nenek yang kami kasih. Meski pada sebuah ingatan dalam sekeping kuih goyang. Mata saya bertakung sendunya.


Gambar dari sini

Saturday, October 09, 2010

Kuih Goyang Nenek (1)


Akhirnya setelah hampir setahun tidak menerbitkan atau menghantar karya ke mana-mana penerbitan, cerpen saya yang bertajuk "Kuih Goyang Nenek" diterbitkan pada 26 September 2010 di Berita Minggu. Saya perturunkan bahagian pertama cerpen ini setelah ramai (ramai ke?) yang mahu membaca cerpen ini. Insyallah bahagian keduanya akan saya terbitkan nanti :)



Kuih Goyang Nenek

Oleh Hani Salwah Yaakup

http://haniesalwah.blogspot.com

“Meski kuih ini keras, ia diperbuat dengan rasa kasih sayang”

Begitulah kata-kata Abang Azri yang menyentuh hati saya. Meskipun sepetang itu saya dan Kak Ainul tertawa melihat hasil ‘karya’ Kak Ainul yang keras dan besar-besar. Tidak langsung mengikut spesifikasi pembuatan kuih yang sepatutnya. Hendak dikatakan seperti kuih telunjuk—gelar kepada kuih muih yang dibeli—memang jauh panggang daripada api malah Kak Ainul juga bukanlah gerau profesional. Tambah-tambah pula Kak Ainul memang jarang sekali mencipta ‘karya-karya’ berkaitan biskut, kek dan pastri. Bukan seperti Kak Masitah, yang memang jagoan dalam pembuatan kek dan pastri. Betapa penghargaan dan kata pujian yang ikhlas daripada Abang Azri mengujakan bukan sahaja Kak Ainul tetapi, saya sendiri.

Kuih yang dibuat Kak Ainul tidaklah seteruk mana. Sedap, manis tetapi cuma sedikit keras sahaja. Masih boleh dimakan dan diterima tekak. Benarlah kata seorang teman, kuih yang dibeli dikedai meski cantik, sedap dan sempurna tetapi, masih ada kekurangannya disana sini. Teman itu menambah, kuih hasil sendiri walaupun tidak cantik, dibakar tidak sekata, terhangus, bentuknya tidak sempurna tetapi, masih ada ‘rasa’ yang sering hilang dalam kuih muih yang dibeli. Rasa itu adalah kasih sayang yang dialirkan melalui air tangan si pembuatnya.

Pada mulanya saya hanya tersenyum dan sesekali mengejek teman berkenaan kerana saya menganggap ayat itu adalah sekadar ayat ‘pujuk diri’ kerana kuih muihnya tidaklah secantik mana. Ketika membuat kesimpulan yang sebegitu, umur masih lagi hijau dan tidak mengerti sebarang falsafah yang terselit disebaliknya. Pujian Abang Azri membuatkan saya benar-benar teruja dan berfikir. Oh, inilah dia resepi kebahagian dan rasa cinta yang tidak pernah putus dalam hati seseorang individu kepada individu yang lain.

Pujian Abang Azri juga mengingatkan saya pada arwah Nenek. Saat-saat lebaran kian mendekat, gumpalan-gumplan ingatan padanya terus sahaja mengapung dalam cepu minda. Malah rindu yang berbuku-buku di kalbu ini bukan hanya pada ramahnya senyum dan bahagia pelukan arwah. Lebih daripada itu saya rasa ‘kehilangan’. Kehilangan ‘rasa’ dalam sekeping kuih goyang mahakarya arwah Nenek. Inilah dia ingatan yang sukar untuk dilupakan oleh sukma jiwa. Mungkin anda akan mentertawakan saya. Tidak kalah juga yang bakal menyatakan saya terlalu emosional dengan rasa yang bukan-bukan. Anda belum tahu rahsia kuih goyang Nenek. Maka, inilah ceritera sebuah bahagia melalui sekeping kuih buatan ikhlas daripada hati.

Kuih goyang yang terdiri daripada adunan paling mudah ini bukanlah kuih mahal seperti yang dibeli dikedai, penuh dengan mentega dan marjerin, pewarna dan perhiasan tambahan. Warnanya hanya keperang-perangan dengan corak bunga mawar berkelopak dua belas. Tiada apa pun yang terlihat canggih dan cantik menerusi kuih buatan Nenek ini. Malah adunannya pun bukanlah renyah dan rumit. Tepung beras, telur, santan, gula dan esen vanilla. Tidak perlu bersesak-sesak ke pasar raya ataupun merasa radang dan kecewa andai bahan yang diperlukan dalam menyiapkan kuih tidak dijual atau sudah kehabisan stok. Namun, oleh kerana kebiasaan inilah justeru itulah dia luar biasanya kuih goyang buatan Nenek.

Dengan daya tuanya yang tidak seberapa, saya selalu kagum melihat Nenek mampu menyiapkan pelbagai aneka kuih untuk hidangan sempena lebaran. Daripada kuih bahulu yang tiada tolok banding kegebuannya, biskut roda dunia yang bersalut kelapa sehinggalah kuih goyang yang garing pasti akan tersedia disusun cantik dalam botol kaca bertutup merah muda di atas kabinet dapur rumah Nenek. Jumlah ini meski terlihat sikit bilangan jenisnya, namun sebotol kuih sahaja sama dengan saiz botol biskut kati yang dijual dikedai. Aduh, keampuhan tenaganya luar biasa. Hanya untuk menyediakan juadah buat kami leluhurnya ini.

Nenek kebiasaannya telah mula membuat kuih goyang sedikit demi sedikit daripada akhir minggu ketiga ramadhan. Jumlah kuih goyang yang banyak menyebabkan Nenek terpaksa membuatnya berdikit-dikit. Mana tidaknya, selain untuk dijadikan hidangan sempena 1 syawal, persediaan untuk membekalkan anak menantu Nenek perlu juga diambil kira. Nenek mahu anak menantu Nenek tidak perlu bersusah payah membeli kuih muih dan menyediakan hidangan lain untuk diberikan kepada tetamu mereka. Juga sebagai tanda kasih daripada seorang ibu yang senantiasa mengasihi keluarganya.

Bertahun-tahun menyediakan kuih ini telah menjadikan Nenek mahir dalam membentuk kelopak bunga yang cantik dan sempurna. Beberapa kali juga saya membantu Nenek untuk menghasilkan kuih goyang. Nenek hanya tertawa melihat kelopak bunga saya selalu sahaja tidak sekata besarnya ataupun terkemek ketika digoreng. Namun, Nenek tidak pula pernah memarahi saya atau melarang saya untuk membuat kuih berkenaan. Kata Nenek, tanpa kesalahan saya tidak akan pernah belajar. Kemudian nenek tersenyum. Walaupun Nenek tidak pernah berang, akhirnya saya yang mengalah kerana tidak mahu hasil ‘karya’ Nenek yang satu ini kelihatan tidak menarik dan aneh dihidang nanti. Lalu, saya ‘angkat kaki’ dan membantu Nenek dalam urusan-urusan lain. Seperti Kak Ainul, saya juga tidak begitu berbakat dalam menyediakan kuih-muih.

Kuih goyang nenek ini seringkali menjadi jalan tengah dalam menyatukan dua hati yang sering sahaja bertelagah, tidak dapat berunding ataupun payah untuk disatukan. Saya masih teringat pada kisah di suatu lebaran. Abang Azri dan Kak Ainul bertelagah gara-gara mahu semua ahli keluarga mendengar cadangan mereka untuk menu makan tengah hari. Abang Azri mahu memasak mee goreng sahaja kerana semua sudah lapar dan hidangan ini yang nampaknya paling mudah dan cepat dimasak dalam masa yang singkat. Manakala Kak Ainul pula berdegil supaya Abang Azri menunggu nasi briyani yang ada diatas dapur benar-benar masak. Kak Ainul degil. Abang Azri pun degil. Mereka tidak bertegur sapa dan memasak juga kedua-dua hidangan. Perkara ini berlanjut sampai ke petang. Tiada siapa yang berani meleraikan. Kekusutan itu boleh merebak parah jika ada yang pandai-pandai memberi usul.

Nenek perlahan-lahan mengembangkan teh dan menyorongkan secangkir kepada Kak Ainul dan secangkir lagi kepada Abang Azri bersama sepiring kuih goyang. Kedua-duanya yang pada permulaan enggan memandang satu sama lain, akhirnya mengangkat muka, tersengih dan mengakui kebodohan tindakan yang mereka ambil. Kakak dan abang ipar saya akhirnya kembali seperti biasa. Oh, itulah dia kerana kuih goyang, hati yang hampir retak dan ikatan perasaan yang sedikit tergelincir kembali semula ke landasan yang benar.

Saya juga teringat akan raya pertama Kak Masitah setelah berkahwin dengan Abang Lias. Abang Lias merupakan orang kota dan tidak pernah merasai kuih goyang. Malah Abang Lias enggan mencuba kenikmatan kuih goyang pada mulanya. Entah apa yang menakutkan Abang Lias, tidaklah saya ketahui. Mungkin kerana kuih goyang Nenek tidak kelihatan menarik dan trendy atau dirasakan kurang sedap. Nenek hanya tersenyum bila mendengar aduan Kak Masitah mengenai sikap suaminya. Melihatkan senyuman Nenek yang khas atau merasa takut menyinggung hati Nenek, Abang Lias akur mencuba kuih berkenaan.

(bersambung...)

Gambar dari sini

Saturday, November 28, 2009

SAKM X, Hadiah & Beberapa Catatan Tertangguh

Sejujurnya, saya rasa bersalah dengan diri sendiri. Blog ini sahaja bagai tidak terurus. Hanya puisi-puisi pendek atau puisi orang lain yang saya muat naikkan. Masa senggang sudah tidak bersahabat baik lagi dengan saya. Beberapa perkara perlu saya lakukan setiap hari dan menuntut kesabaran yang tinggi juga. Doakan semuanya bakal dipermudahkan oleh NYA. Insyallah catatan kali ini, saya akan tulis panjang sedikit daripada biasa.


Teman-teman pengajar di Perkhemahan Cuti Sekolah Permatapintar, UKM

Mulai esok, saya telah diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa kita mengenal, mencintai ataupun sekurang-kurangnya tahu apa yang disebut sebagai sastera Melayu. Program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar ini akan berlangsung dari 29 November hingga 18 Disember 2009. Tugas saya lebih kepada membantu pengajar utama. Hendaknya tanggungjawab ini dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa. Amin.

Oklah ada beberapa cerita yang ingin saya kongsikan bersama dengan anda. Sebelum ke Bengkel Tenaga Pengajar Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar iaitu dari 20-25 November 2009, saya telah berkesempatan menambah sedikit sebanyak ilmu di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X di fakulti kesayangan saya kini di UKM pada 18-19 November 2009. Seminar yang diadakan oleh Pusat pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, FSSK dibawah kendalian salah seorang sifu, figur dan rakan penulis yang saya hormati, Dr Mawar Shafie.


Saya dan Dr Rahmat Haroun Hashim (kepada penggemar karya-karyanya jangan cemburu!)

Apa yang membuatkan saya tertarik untuk mengeluarkan sedikit biaya menyertai seminar ini adalah kerana tajuk yang dibawakan pada kali ini, "Kesusteraan Melayu Dalam Rentas Ilmu". Di Malaysia sendiri kita lihat begitu ramai sekali penulis kita yang kini telah cuba membawa ilmu lain dalam penulisan sastera mereka. Ambil sahaja contoh seperti Dr Rahmat Haroun yang mengangkat ilmu perubatan dalam karya-karyanya, begitu juga dengan Nisah Haron dan Nasriah Abdul Salam (yang menyuntik elemen undang-undang), Isa Kamari dengan ilmu arkiteknya serta ramai lagi penulis yang cuba menerapkan ilmu lain dalam karya mereka. Usaha ini seharusnya diberi perhatian. Barulah sastera kita di negara ini bukan hanya bergerak dengan elemen yang sama sahaja saban masa. Itulah yang saya raih dalam SAKM X.

Prosiding Seminar Yang Mahal Daripada Aspek Ilmunya!

Malah saya kini pun sedang cuba-cuba untuk menyuntik elemen-elemen media, komunikasi dan filem (yang saya pelajari di UiTM dan UKM) dalam karya-karya saya. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memberikan pemahaman tentang apa yang saya pelajari dengan kaedah yang mudah kepada pembaca yang bukan ahlinya. Namun, ada yang sedikit menyedihkan di SAKM X adalah kerana elemen-elemen lain dalam sastera tidaklah diperkupas dengan lebih mendalam. Cuma sekadar dipermukaan. Ada juga sesi yang sekadar membicarakan teori-teori sahaja tanpa memperbincangkan elemen-elemen ini secara lebih mendalam dan meluas. Mungkin barangkali sesuatu isu itu dapat diperincikan sesuai dengan kehendak temanya. Berharap dua tahun lagi, isu ini dapat juga diberi perhatian oleh penganjur.

Acara-acara sastera sebegini juga turut memberi peluang kepada saya bertemu dengan rakan-rakan sedia ada dan baru. Sempat juga saya berkenalan dengan beberapa rakan dari Indonesia yang selama ini hanya berlaga bahu ketika bertemu dan bersua muka dengan teman-teman yang hanya bertemu di laman sosial Facebook seperti Kak Siti Jasmina Ibrahim dan beberapa orang lagi. Seronok sesekali menambahkan rakan-rakan yang sealiran, minat dan 'kegilaan'. Tidak disangka, banyak juga ilmu yang dibawa bersama dengan hanya berbual-bual iseng dengan mereka ini.

Di SAKM X, saya juga turut membalas "dendam" membeli hadiah beberapa buah buku untuk diri sendiri. Saya sememangnya sudah lama hendakkan buku tulisan salah seorang budayawan, penyair, pelukis dan sarjana, Dr Siti Zainon Ismail, Delima Ranting Senja juga buku terbaharu tulisan Nisah Haron, Lentera Mustika. Saya juga menghadiahi diri dengan sebuah lagi buku kumpulan cerpen S M Zakir, Sekeping Roh Diatas Bantal. Semua buku ini adalah untuk hadiah hari lahir yang tertangguh dengan duit hasil honororium beberapa karya yang terbit di TC bulan ini. Dua dalam satu saya kira. Rasa puas hati! Hehe...


Hadiah untuk diri

Selain dari SAKM X, kegembiraan berganda saya adalah apabila dua buah puisi saya telah dipilih untuk diterbitkan pada hari ahad yang lalu (22 November 2009). Yang kelakarnya, dua buah karya itu adalah dua buah karya pertama saya yang terbit di akhbar media arus perdana, diterbitkan serentak dalam dua buah media yang berlainan iaitu di Mingguan Malaysia (puisi bertajuk "Kangen") dan Berita Minggu (puisi bertajuk "Jeda") dan turut dihantar serentak. Terima kasih kepada editornya, Encik Ku Seman dan Puan Salbiah Ani (kalau tidak salah?). Saya juga ingin berterima kasih kepada Lan (Zulfazlan Jumrah) yang berkali-kali mendesak saya untuk menghantarnya. Terima kasih dik. Terima kasih juga yang menghantar mesej ke telefon genggam, FB dan ruang sembang YM. Doakan saya semakin tekal untuk menulis dan diberikan DIA kekuatan dan idea yang baik untuk dikreatifkan.


Kangen

Ada rindu yang kulepaskan ke langit malam
namun dia enggan pulang
katanya bulan temaram
bintang hilang dan langit menghitam!
kelam yang dingin
kalbu nan kering
tiada jawapan dalam ingin
lalu, tinggallah aku
digiris bayu malam

-Mingguan Malaysia, 22 November 2009



Jeda

Sesekali
ingin aku mesrai
debar rasa guruh.

Belajar mencintai
guyur titis hujan
yang menimpa rumah
kalbuku

Sesekali
aku hanya mahu diam di sini
dan merenung jiwa yang
tertebar di langit
mengharap warna jingga itu ada...

- Berita Minggu, 22 November 2009

Monday, November 02, 2009

Saya Di TC November


Sebenarnya saya merasa diri masih terlalu "kecil" dan "hijau" dalam lapangan sastera tanahair. Saya bukanlah seorang penulis yang prolifik dan banyak menghasilkan karya. Namun, peluang yang diberikan kepada saya oleh editor Tunas Cipta (TC), Bonda Ani telah saya gunakan sebaik mungkin.


November ini saya dipilih untuk menghiasi ruangan "Buah Pena Alumni MPR" dalam majalah Tunas Cipta(TC). Dalam artikel dua halaman itu saya berkongsi sedikit pengalaman dan bagaimana saya boleh terlibat dalam nuansa sastera tanahair. Turut saya sertakan bersama adalah sebuah cerpen, "Surat Merah Kepada Putih" yang telah setahun saya peramkan sendiri. Karya ini juga telah dibedah dalam bengkel KEPEZI, ogos tahun ini.


Cubaan pertama untuk menerbitkan sebuah puisi juga telah menunjukkan hasilnya. Puisi saya berjudul "Digiris Hujan" turut sama dipilih dalam ruang puisi TC bulan ini. Semoga dengan disiarkan karya-karya saya ini, diharapkan semangat untuk menghasilkan yang terbaik itu akan senantiasa bersama saya. Insyallah.


Selain itu TC bulan ini mengupas mengenai penulis muda wanita di Malaysia. Jika anda ingin mengenali dengan lebih rapat siapa penulis muda wanita yang mewarnai dan mewangikan nuansa sastera kita, apa lagi dapatkan Tunas Cipta November! (Yang kulitnya berwarna merah hati).

Friday, March 06, 2009

Titis Hujan

Saya tidak pandai menulis puisi. Malah, saya masih belajar bagaimana mahu menulis sebuah puisi.


Hujan yang turun saban hari kini semacam memberi ilham untuk saya mencoret sebuah puisi. Pagi semalam sewaktu saya baru bangun daripada tidur, saya lihat diluar hujan sedang mula menitis. Tiba-tiba, saya merasa syahdu dan terlahir puisi ini.

Kata Ady, puisi ini bernada seperti mahu "reject" seseorang. Namun, sebenarnya ini hanya lakaran imiginasi seorang penulis baharu sahaja.


Titis Hujan

Titis hujan itu membawa rasa syahdu
yang bergema dalam nada rindu
pada diriku yang kehilangan lagu

Titis hujan itu membawa rasa pilu
yang berirama hiba dan sayu
pada dirimu yang menginginkan aku


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor
5 Mac 2009


Tuesday, March 03, 2009

Duhai Hati...

Jika ianya masih bukan rezekiku, bersabarlah dulu wahai Hati...




Telah Kuhapus Kata-Kata

Telah kuhapus kata-kata yang pernah kutuliskan

sebab tak ada lagi yang bisa kutawarkan
selain kesunyian dan kecemasan
atau kekosongan dan kekecewaan
hingga langit yang kutasbihkan
pecah berkeping dan jatuh dilautan

telah kuhapus kata-kata yang pernah kuucapkan
sebab laut jiwaku tak kuasa menterjemahkan

rahasia angin, badai dan gelombang

sebab perahu jiwaku yang retak makin gamang

putar haluan atau meneruskan saja pelayaran

telah kuhapus kata-kata

dan biarlah segalanya kulupakan

sebelum matahari, bulan dan bintang-bintang

tak lagi memancarkan sinarnya

pada diriku yang tiada

Micky Hidayat
100 Puisi Indonesia Terbaik 2008


Kredit foto : http://www.travelblog.org/Wallpaper/pix/tb_fiji_sunset.jpg

Sunday, July 27, 2008

Karya Saya di DS Ogos: Kebetulan atau Kesilapan?

Muka hadapan Dewan Sastera Ogos, 2008

Ketika sedang bersantai-santai petang semalam (setelah pulang kuliah yang memenatkan), telefon genggam saya didatangi pesanan ringkas daripada salah seorang adik MPR, Aidil Khalid. Isi SMSnya seputar karya saya yang diterbitkan di Dewan Sastera Ogos. Saya sebenarnya terkejut kerana setahu saya karya terakhir yang saya hantar ke DS sudah pun diterbitkan dalam keluaran februari lalu. Selepas itu terjahan SMS daripada Wan Nor Azriq juga mengenai hal yang serupa. Menambahkan kejutan.

Mungkin berlaku kesalahan atau keadaan terlepas pandang pihak editorial mengenai hal ini. Selaku penulis, saya hanya mampu gelak dan tersenyum sahaja. Sah-sahlah bukan salah saya kan? Padahal saya baru sahaja ingin menghantar karya terbaharu kepada editorial DS. Mungkin saya perlu tangguhkan pengiriman karya atau hantar pada pihak lain dahulu.

Dewan Sastera Februari, 2008

Apabila keadaan ini berlaku, suatu perasaan yang baik menjelma dalam diri saya. Saya harap ia kekal tumbuh segar dalam relung jiwa ini. Saya masih perlu banyak mencuba dan mencuba. Belajar dan belajar lagi mendalami ilmu dalam bidang penulisan.

Kepada pihak editorial yang "sudi" menyiarkan kembali karya "tak seberapa saya setelah bertahun-tahun tidak menulis di media", terima kasih untukmu.

Saya perlu prolifik menulis selepas ini? Oh, saya berharap sifat "pemalas" yang "besar" dan "kekangan" pengajian yang semakin menghimpit ini, terus membenarkan nafas saya ini segar menghirup udara didalam sastera negara.


(Teringin benar hendak menulis lirik semula...uwaa...)


....Cuba lihat apa persamaan pada kulit Dewan Sastera kedua-dua bulan diatas? Apa agaknya ya?


-------------------------------------------------------------

Sedikit cuplikan dari cerpen "Terima Kasih Untukmu / Terima Kasih, Encik Arez!"

Selesai kelas, awak memberi catatan pada saya. Lolita tarik muka bila awak memberi catatan itu kepada saya. Dia marah kerana awak gemar suruh saya buat apa sahaja yang diminatinya. Padahal dia tahu saya tidak suka filem klasik dan subjek awak. Lolita kecewa.

Dalam catatan berkenaan, saya diminta menonton filem Chinta untuk diskusi kelas seterusnya. Saya tersenyum-senyum sendiri membaca ejaan awak pada tajuk filem itu. Nyata, awak bukan sahaja jenis orang muda berjiwa klasik kerana mengajar filem-filem lama tetapi, cara mengeja pun sudah ketinggalan zaman. Ketawa saya menjadi-jadi.

“Cik adik boleh ceritakan pada kelas apa komen awak mengenai filem Chinta?” Awak meminta saya memberi penerangan.

Saya menerangkan apa yang telah saya tonton. Sewaktu saya sedang sibuk memberikan pandangan, air muka awak berubah berkali-kali. Mula-mula semacam terkejut kemudian, awak menutup mulut menahan gelak. Padahal tidak saya kesani sebarang kelucuan dalam penerangan saya.

“Sudah...sudah. Duduk...duduk.” Awak melambai saya supaya duduk.

“Cik adik, itu filem Khabir Bhatia yang awak terangkan. Yang saya mahu awak tonton adalah filem Chinta arahan B.S. Rajhans pada tahun 1948. Sebab itu ejaannya C.H.I.N.T.A. Lain kali kalau tidak pasti, tanya!,”. Roman wajah saya waktu itu berubah. Sikap bangga diri memakan saya.

(Versi penuh terkandung dalam Dewan Sastera Ogos, 2008)