Sunday, September 07, 2008

Bolehkah Anda Membantu Saya?

Kulit Buku Ketiga Trilogi Oleh Pak Arena Wati, Sakura Mengorak Kelopak

Sebenarnya saya kecewa dengan sikap diri sendiri yang tidak pernah pun ada hati hendak membeli dan membaca antara trilogi terhebat Arena Wati ini dahulu. Kali pertama digiat untuk membaca trilogi ini adalah ketika mengikuti MPR dalam tahun 2001 di Genting Highlands. Saya ingat lagi Abang Faisal Tehranilah (antara pembimbing MPR tahun berkenaan) yang bersungguh-sungguh menyuruh kami meletakkan trilogi ini dalam senarai buku mesti baca oleh calon penulis.

Mungkin waktu itu saya terlalu muda untuk menilai buku-buku malar hijau sebegini. Ditambah pula semasa itu saya masih lagi terpaksa mengharapkan wang saku dari mak ayah. Lalu, payah benarlah hendak membeli sekian-sekian buku. Mak ayah tidak menghalang jika saya mahu membeli buku apa sekali pun. Tetapi, waktu itu saya lebih tidak mahu membebankan mereka dicampur pula dengan tiada desakan yang menggila dalam hati untuk saya miliki buku berkenaan.

Jujur saya katakan disini, saya membaca trilogi ini bermula daripada buku ketiga, Sakura Mengorak Kelopak. Terus diterjah busur kenikmatan membaca. Isinya yang fanastik membuat saya terkedu beberapa ketika. Pak Arena memiliki suatu keistimewaan iaitu bercerita dan pemikirannya yang berbeza dalam sesuatu novel yang ditulisnya menghambat saya untuk setia membaca. Tidak saya nafikan novel Pak Arena memang berat (daripada segi isi, pemikiran malah timbangan bukunya kerana majoriti buku Pak Arena tebal-tebal belaka -- Kak Nisah Haron pun bersetuju dengan saya kerana katanya sesetengah buku Pak Arena perlu dibaca diatas rehal kerana tebal).

Justeru itulah sebenarnya kelazatan himpunan trilogi ini. Saya "kelelahan" untuk menghabiskan Sakura Mengorak Kelopak. Namun, sebuah perasaan malah terbit dalam sukma seusai saya menghadam buku berkenaan. Saya cari buku-buku lain dalam triloginya. Alhamdulillah saya terjumpa di DAWAMA, buku keduanya iaitu Kuntum Tulip Biru bersama Nasriah tahun lepas. Sekali lagi saya jatuh cinta.

Tapi, sayang sayang sayang buku pertama dalam trilogi ini malah tidak ada dan tidak pernah diulang cetak oleh DBP dan mana-mana rumah penerbitan. Ah, sayunya nasib buku di Malaysia. Buku yang baik seakan tidak pernah dihargai!

Jadi bolehkah anda membantu saya menjejaki buku pertama dalam trilogi ini yang diberi tajuk Bunga Dari Kuburan? Saya benar benar benar dan sangat sangat sangat sangat inginkan buku berkenaan. Saya tegaskan sekali lagi, saya INGIN MILIKI buku berkenaan. Jika anda ingin menjual naskah yang anda punya atau mungkin mengetahui dimana dapat saya beli buku berkenaan, saya minta benar anda khabarkan pada saya. Biarlah harganya sedikit mahal asalkan saya mempunyai trilogi lengkap buku ini.

Bantu saya ya! Oh terlupa lagi sebuah buku yang sedang saya cari adalah buku berjudul Enda Gulingku sebuah buku biografi Pak Arena. Tolong ya...!

0 comments: