Showing posts with label Wisata. Show all posts
Showing posts with label Wisata. Show all posts

Tuesday, June 23, 2009

Catatan Pulang Berwisata dari Jawa Barat

Provinsi Jawa Barat

Wilujeng Sumping (Selamat datang--dalam bahasa Sunda) semua pembaca,

Sebenarnya sudah patut benar catatan yang berdebu dibawah diganti baharu. Cuma selain banyak sekali acara rasmi dan non rasmi, pembacaan yang banyak sempena libur panjang pengajian, wisata ke negara orang, saya dilanda penyakit "malas" yang tidak mahu kebah-kebah. Akhirnya saya ambil keputusan untuk keluar dari rumah dan membawa buku catatan digital (notebook la tu) ini ke sebuah tempat sambil mencicip kopi yang enak. Barangkali, untuk mendapat mood selain perlukan tempat baharu yang selesa dan nyaman, saya perlukan kopi!.

Bandung, di pagi hari

Baiklah izinkan saya berbicara mengenai pengalaman yang telah saya kutip sepanjang ke Jawa Barat pekan lalu. Untuk informasi, ini adalah kali pertama saya ke Jawa Barat. Lebih khusus ke Bandung. Pernah ke Jakarta, ibu negara Islam terbesar di Asia itu. Namun, secara jujur, Jakarta sering buat saya tidak pernah "nyaman". Jakarta bukanlah tempat untuk anda berwisata. Namun, Jakarta menghidangkan sebuah rasa yang berbeza. Rasa yang pas (sesuai) untuk bahan penceritaan (wah gitu!).

Ortu saya di LCCT menanti pesawat

Hotel kami diwaktu malam, Hotel Sukajadi, Jalan Sukajadi, Bandung


Hotel Sukajadi, Jalan Sukajadi, Bandung

Kali ini pergi berwisata, saya turut disertai oleh ayah dan emak. Saya telah menempah pakej yang sesuai dengan mereka. Ada makan, hotel, pengangkutan yang elok dan destinasi yang baik. Maka, perjalanan itu jadi lebih santai, lebih relaks dan teratur bagi kedua-dua ortu (orang tua) saya itu.

Bandara Husein Sastranegara, Bandung

Turun dari pesawat yang kami tumpangi dari LCCT di Bandung, saya tertarik dengan nama lapangan terbang berkenaan. Bandara Husein Sastranegara, itulah nama Bandara (bandar udara) di Bandung. Lapangan terbangnya kecil tapi, lebih molek jika dibandingkan dengan Bandara Soekarno Hatta di Jakarta. Mungkin kerana bandara ini lebih kecil dan hanya disinggahi oleh tidak sampai 5 jenis syarikat penerbangan pun.


Siapa kata orang Malaysia tiada duit? Ini buktinya.

Pada hemat saya, lapangan terbang Langkawi pun lebih besar dan gah daripada bandara ini. Cuma namanya seronok banget didengar kerana kemungkinan ada sasteranya disitu. Saya juga tidak pasti siapa Husein (yang pasti tiada kena mengena dengan "Bertemu Pakcik Husin"). Mungkin sahaja nama tokoh sastera disitu ataupun tidak ada kena mengena langsung dengan sastera. Cuba bayangkan mana-mana lapangan terbang di Malaysia menggunakan nama sasterawan negara sebagai nama lapangan terbangnya. Entah-entah mungkin ada yang bertanya nama siapa ini, tidak pernah dengar pun? Saya tidak hairan kerana pernah calon jabatan penulisan sebuah IPTA menjawab terdapat 100 orang Sasterawan Negara di Malaysia. Salah seorangnya adalah Tiara Jacquelina. Hehe.

Agus dengan kartu nama kami

Tiba sahaja, supir merangkap pemandu pelancong kami, Agus, sudah siap siaga memegang kartu tercatat nama kami sekeluarga. Saya ketawa sendiri. Selama ini selalu lihat orang di lapangan terbang dengan nama-nama begitu. Kali ini giliran diri kita pula ditunggu oleh orang yang seumpama itu. Hai...kelakar. Macam VIP pun ada juga.

Setelah itu, Agus terus sahaja membawa kami menikmati makan siang di rumah makan masakan Padang, Restoran Serdahana. Nama sahaja serdahana tetapi, hidangannya lumayan mewah saya kira. Biasalah kalau makan makanan padang. Sekian banyak hidangan dihidangkan. Tinggal cuci tangan dan makan sahaja. Yang saya perasan jika anda makan di mana-mana rumah makan di Indonesia, setiap hidangan itu akan datang bersama segelas air teh. Mungkin sudah jadi adat mereka makan agaknya disulami air teh. Juga tidak hairan kalau "Teh Botol Sostro" lebih popular daripada Coke di Indonesia.


Juadah di Rumah Makan Padang, Serdahana


Agus juga pusing memilih lauk mana mahu dimakan

Teh Botol Sosro

Disebelah petang pula, Agus membawa kami ke Jalan Riau untuk berbelanja di Factory Outlet yang bisa bikin kantung kering. Setelah itu ke Paris Van Java, sebuah pusat membeli belah terbuka untuk ke toko Gramedia pula. Seperti biasa kalau ke Gramedia, saya akan naik sinting melihat pelbagai koleksi buku. Cuma di Paris Van Java koleksinya lebih sedikit jika dibanding dengan toko Gramedia cabang Jalan Palmerah di Jakarta.


Paris Van Java Mal sedang diubahsuai

Paris Van Java, Lantai Dasar

Toko Gramedia, Paris Van Java

Sebelah malamnya pula makan malam di rumah makan masakan Sunda, Pak Chi Met. Restoran milik seorang ahli perniagaan Cina. Namun, jangan khuatir dari tukang masak sehingga ke pekerjanya semua orang Sunda Islam. Hidangan malam itu adalah yang berbeza dan enak sepanjang wisata itu. Ada ikan, cumi (sotong) dan udang bakar. Ikannya anda boleh pilih sama ada mahukan ikan garumi (kaloi) atau ikan bawal. Hidangan makanan laut bakar ini rasa berlainan dengan rasa makanan laut bakar di Melaka misalnya. Makanan laut bakar ini terasa manis tapi, sedap.


Nyum nyum. Masakan Sunda di Pak Chi Met, Bandung

Kami yang kekenyangan di depan Rumah Makan Pak Chi Met, Jalan Sukajadi

Hari kedua, kami ke tempat wajib semua para wisatawan, Gunung Tangkuban Perahu. Gunung ini sangat terkenal dengan kisah Sangkuriangnya. Tangkuban itu bermaksud terbalik. Kononnya gunung ini terhasil apabila Sangkuriang menyepak perahu kerana marah setelah mengetahui bahawa Dayang Sumbi itu adalah emaknya. Itu mitosnya. Realitinya, gunung ini sangat indah. Apa yang tidak indahnya adalah bau belerang seperti telur busuk yang membuatkan tekak terasa perit dan diserbu sekian ramai penjual cenderamata. Mereka ini mengikut sahaja kemana-mana anda pergi. Kadang-kadang sehingga tidak tertahankan.

Perjalanan ke Gunung Tangkuban Perahu


Kawah Ratu




Tangkuban Perahu pada pagi hari jam 8.00 pagi WIB

Usai itu, kami ke Pasar Baru yang tiada dalam aturcara lawatan. Agus kata "wisata kan sepatutnya lebih fleksibel untuk wisatawan". Jadi, Agus bawa sahaja kami kemana-mana yang kami suka. Maka, kami ke tempat-tempat yang kami mahu pergilah.




Sempat Agus membawa ayah ke tempat mendapat barangan mesin jahit. Untuk informasi, bapa saya seorang pembaik mesin jahit dan pembekal barang-barangan seumpama itu. Setelah pencen, perniagaan itulah yang menyara kami.




Malah Agus juga membawa saya ke Jalan Palasari. Sempat jugalah membeli beberapa buah buku. Buku titipan rakan-rakan juga saya dapati disana. Harga yang ditawarkan jauh lebih murah jika dibandingkan dengan Gramedia. Terasa menyesal pula membeli buku di Gramedia. Namun, apa yang agak menyedihkan jika dahulu koleksi buku-buku langka dan lama masih terdapat disini. Tetapi, setelah mengalami kebakaran kata peniaga disitu, buku-buku berkenaan sudah agak payah untuk didapati kini.


Motor untuk Ojek (teksi motor)


Tukang beca di Bandung

Tukang Beca Berkaus Oren: Ceritain men, gimana cara lho dapatin uang iseng aja
Tukang Beca Bertopi: Loh...seneng banget. Cuma isapin rokoknya hingga ujung

7 Titik?

Makan siang kali ini di rumah makan di Simpang Raya. Makanan Padang dihidangkan.


Setelah itu kami ke Factory Outlet di Jalan Dago iaitu di Cascade dan kemudian ke Rumah Mode. Mungkin sudah tidak bertemu dengan apa yang kami mahukan disitu, akhirnya kami pulang sahaja dan menikmati makan malam di Rumah Makan, Dapur Sangkuriang. Agus sempat berseloroh. Katanya, "Siang ke Gunungnya, malam makan didapurnya pula,".


Berhenti minum di Grande, Jalan Dago

Pintu depan Grande

Makanan Sunda sekali lagi dihidangkan malam itu. Ada sup ikan, garumi goreng pedas, ayam goreng, tempe goreng, cumi masak masam manis dan sambal belacan. Sesungguhnya saya tidak suka sup ikan. Tetapi, malam itu saya boleh menghirup (walaupun tidak habis) sup ikan itu. Tidak hanyir dan rasanya enak. Ketika sedang enak menikmati hidangan itulah, pelayan restoran berkenaan menyuakan dodol nenas untuk dirasai dan CD lagu tradisional Sunda yang sedang melatari suasana restoran.

Bekas nasi masyarakat Sunda






Kami di Dapur Sangkuring. Kata Agus, sebelum makan mari berfoto dulu.

Kami yang kekenyangan di depan Dapur Sankuriang

Cuma yang buat saya ketawa, "CD Rossa juga ada mbak,". Mulanya saya hairan. Namun setelah Agus memberitahu ramai orang Malaysia ke mari mencari CD Rossa, saya tertawa.

Cd yang saya beli di Paris Van Java Mal

Tidak lupa juga buku

Patutlah Agus bertanya CD apa saya beli ketika ke Toko Duta Suara di Paris Van Java.

Tugu Jeneral Sudirman

Walaupun wisata ini hanya berdurasi 3 hari 2 malam tetapi, sudah cukup untuk kami sekeluarga. Insyallah akan kembali lagi ke tanah yang hawanya dingin, nyaman dan tempat belanjanya murah-murah.

Emak & saya di Balai Berlepas, Bandara Husein Sastranegara, Bandung


Kencangkan sabuk pengaman

Untuk ketika ini kencangkan sabuk pengaman (pakai tali pinggang keledar) dan mari terbang pulang.

Hatur Nuhun (Selamat Tinggal)

Monday, December 22, 2008

Kenangan di Perth 3 (Perth City, King's Park & Frementle)


Saya mohon maaf pada anda yang ternanti-nanti sambungan entri gambar-gambar saya ke Perth tempohari. Sejak pulang beberapa agenda dan majlis perlu saya hadiri. Salah satu daripada majlis penting tersebut adalah Minggu Penulis Remaja 2008, di Sri Cempaka Service Suite, Menara PGRM, Cheras. Entri mengenai MPR akan menyusul kemudian...sabar ya! Yang lebih mengharukan, setelah semua agenda dan majlis ini selesai, saya diserang sakit yang teruk pula. Aduhai!


Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dan kenangan di tiga tempat berasingan yang telah saya rakamkan fotonya. Pertama adalah Perth City (Bandar Perth). Tiada apa yang menarik sangat mengenai bandar Perth selain lokasinya yang berhampiran dengan laut dan dipenuhi dengan hutan batu pencakar langit. Di bandar ini kepada anda yang mungkin tidak berapa tahan dengan kedinginan, adalah disarankan membawa pakaian tebal, pakaian berlengan panjang, mafla, shawl, jumper atau apa sahaja yang boleh menghalang anda diserang sejuk yang telalu. Kawasan bandar ini lebih dingin mungkin kerana angin sejuk yang dibawa laut tidak bebas bergerak seperti di kawasan-kawasan lapang di pinggir bandar yang tidak mempunyai bangunan tinggi pencakar langit.



Jalan-jalan malam di Bandar Perth


Hiasan Krismas di Bandar Perth



Siang hari di Bandar Perth


Tahukah anda kawasan ini seperti gambaran filem mana?



Terasa di Diagon Alley membeli tongkat sakti!


Ada wanita Melayu berbaju kurung tersesat di "Diagon Alley" Perth


Bandar ini disusun berstruktur dan memudahkan kita mencari bangunan atau kedai yang tercatat dalam peta lawatan untuk pelancong. Bandar yang teratur ini juga bebas daripada kesesakan dan hanya penuh dengan kereta, lori dan kenderaan yang sewaktu dengannya pada waktu pulang kantor. Selain waktu tersebut, jalan rayanya tenang.

Destinasi seterusnya adalah King's Park. Taman botanik ini mempunyai keluasan 400 hektar. Jadi rugi kalau tidak kesana. Pada pendapat saya jika anda hendak ke taman ini pastikan anda datang dua kali iaitu sekali pada waktu siang (petang) dan sekali lagi pada waktu malam. Keindahan yang anda akan rasai memang berbeza. Siang hari anda hanya akan melihat bandar Perth dari atas bukit tapi, pada waktu malam dari lokasi yang sama anda akan melihat bandar Perth seperti diserang kunang-kunang yang senantiasa berkelip-kelip. Keindahan ini disapa pula bayu laut yang membawa rasa dingin yang menenangkan. Oh, indahnya. Tidak tertulis oleh saya betapa syahdu dan senangnya hati!



Pemandangan dari King's Park di waktu malam yang dingin!


Emak saya kesejukan di King's Park

Kau laksanakan kunang-kunang yang mengindahkan

Saya pohon maaf kerana suasana bandar Perth pada waktu siang dari King's Park tidak dapat saya rakam untuk kita kongsikan bersama-sama disini. Ini adalah kerana pada petang hari saya ke sana tiada tempat parkir kereta kerana terdapat konsert Simply Red disana. Ampunkan saya ya! Suatu perkara lagi yang menyedihkan, pada petang 12 Disember tempohari ketika dalam perjalanan ke hospital tempat kakak saya bekerja, bahagian tertentu di King's Park terbakar kerana cuaca panas yang keterlaluan. Nasib baiklah pihak bomba Perth yang cekatan memadamkan api telah mengelakkan kebakaran itu daripada merebak ke kawasan dalam taman berkenaan. Alhamdulilah. Selamat kawasan yang indah itu.


Riang ria di King's Park

Terakhir adalah kawasan Frementle. Frementle adalah kawasan pelabuhan yang terletak di permulaan sungai swan (swan river) dan hanya 19 kilometer dari bandar Perth. Frementle dijumpai pada 1829 oleh Kapten Charles Howe Frementle. Kini, kalau anda ke sana anda akan dapat melihat banyak banguan warisan peninggalan kolonial yang masih rapi terjaga. Banyak sekali tempat yang menarik yang ada di Frementle. Namun, sayang saya hanya sempat ke Frementle Market. Ini adalah kerana lawatan saya ke sana adalah pada hari ahad dan tempat-tempat menarik yang lain semua tutup pada hari tersebut.


Suasana di Frementle Market


Ada sesiapa mahu berikan saya sejambak bunga daisy putih seperti dihadapan gambar itu?


Si gadis comel ini sudah mula merindui atuknya!

Di Frementle Market, bukan hanya barangan basah seperti ikan dan daging sahaja dijual, malah anda boleh mengurut kaki, membeli cenderamata, membeli buah-buahan dan apa sahaja disana. Kalau di Malaysia mereka yang bergaya dan berkasut tumit tinggi mungkin tidak rela ke pasar. Namun, jika disini anda tidak perlu risau baju dan kasut anda kotor kerana bukan sahaja pasarnya tidak becak tetapi, hendak memilih ikan pun anda perlu menggunakan sepit.

Sejujurnya, banyak lagi tempat yang menarik yang tidak dapat saya lawati. Kekangan kakak saya yang tidak dapat memperoleh cuti dan tempat-tempat (termasuk kedai) yang tutup seawal jam 5 petang juga menyukarkan kami untuk bergerak. Insyallah, kalau tiada aral tahun depan kami akan ke Perth lagi untuk musim gugur pula. Nah, kita lihat bagaimana pula suasananya nanti!