Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts
Showing posts with label Belasungkawa. Show all posts

Friday, January 30, 2009

Setelah Setahun Berlalu...

Saya masih ingat Allahyarham pernah berkata pada saya suatu ketika dahulu bahawa hidup menjadi perempuan di zaman ini cukup sulit. Walaupun Allahyarham tidak memberi sebarang nasihat tapi saya cukup faham akan maksud tersirat kata-katanya itu.

Hari ini sudah cukup setahun Allahyarham pergi meninggalkan kita. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham Rosli Khamis atau Loloq.

Al-Fatihah!

p/s: Bila saya dengarkan lagu Apokalips, pasti saya teringatkan pesan Allahyarham.


Apokalips
1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

Ada masanya aku suka berteman
Ada masanya aku suka bersendiri
Ada masanya aku suka berjalan
Ada masanya aku suka berehat

Ada masanya engkau suka berteman
Ada masanya engkau suka bersendiri
Ada masanya engkau suka berjalan
Ada masanya engkau suka apa yang ku suka

Hidup dan nasib roler koster
Susah dan senang bersilih ganti
Bila-bila boleh naik dan turun
Apokalips

1 2 3 Do Re Mi
Apa nak jadi
Alif Bata A B C
Apa nak jadi
Akan terjadi
Hujan pasti berhenti

Ada masanya kita suka berteman
Ada masanya kita suka bersendiri
Ada masanya kita suka berjalan
Ada masanya kita suka apa yang ku suka

Thursday, January 29, 2009

Belangsukawa Arena Wati

Allahyarham SN Arena Wati

Saya tahu catatan ini sudah terlambat. Namun, sebagai salah seorang individu yang mengaku mengagumi karya-karya Allahyarham, saya merasa bertanggungjawab dan terpanggil meninggalkan sedikit catatan mengenai Allahyarham.

Sejujurnya, rasa "jatuh cinta" pada karya Allahyarham Pak Arena Wati hanya timbul setelah saya kembali semula "bermesra" dengan dunia kesusteraan ini. Saya hadami dan menyudahkan novel "Sakura Mengorak Kelopak" yang sudah lama terperuk di kutub kanah peribadi saya di rumah. Kemudian, semacam perasaan puas menjelma dalam sanubari. Tanpa berlengah, saya cukupkan koleksi trilogi yang terlalu berharga itu. Terima kasih untuk Nasriah Abdul Salam yang sudi memberi dan mencari novel "Bunga Dari Kuburan" sempena hari lahir saya tempohari.


Sedari itu, kecintaan ini semakin menebal pada karya-karya Allahyarham Pak Arena. Saya sanggup menabung dan berhabis hanya untuk buku-buku Allahyarham. Karya-karya Allahyarham sangat teliti penyusunan cerita, plot malah saspens yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Umpamanya dalam trilogi Armageddon kesemua elemen ini bagaikan bersepadu dan tidak dapat saya nafikan saya hampir-hampir tertipu pada penghujung buku pertamanya; Mandala.


Apabila diberitahu beliau sakit dan terlantar di hospital, Nasriah dan saya adalah antara mereka yang turut bersedih. Masih teringat kata-kata Nasriah, "Baharu sahaja ingin memesrai karya-karya beliau, beliau ditimpa sakit yang begitu rupa". Percakapan dengan Nasriah itu baharu sahaja sebulan yang lalu dan pagi ahad yang lepas, sms daripada Nissa' Yusof dan entri blog Kak Nisah Haron, bagaikan merengut tangkai hati diri ini. Saat itu saya menyalahkan diri apabila tidak sempat bertegur sapa dengan Allahyarham ketika Kongres Sebudaya Serumpun pada akhir tahun 2007 yang lepas.

Sumbangan beliau sangat berharga dalam nuansa sastera tanahair kita ini. Saya akan merindui karya-karya segar dan bersemangat tulisan beliau.

Untuk Allahyarham, selamat belayar ke dunia yang satu lagi. Tenang dan berbahagialah.

Al-Fatihah.

Sunday, May 25, 2008

Suatu Hari Yang Menyedihkan...


Rumah peninggalan Arwah Atuk (sebelah emak) yang sudah kosong di Kampung Lubuk Kepong, Simpang Ampat, Melaka.


Terakhir kali melihat gumpal tanah merah perlahan-lahan menutupi liang lahad adalah pada Ramadhan 1426 Hijrah, 2 minggu sebelum 1 Syawal ketika Allahyarham Datuk saya (sebelah emak) meninggal dunia. Masih utuh dalam memori ketika dihubungi Allahyarham meninggal, saya sedang menunggu giliran ujian lisan bahasa Mandarin semasa menuntut di semester 4, Oktober 2005. Kehilangan Allahyarham sememangnya membuat kami sekeluarga sedih kerana sepanjang 2 minggu ramadhan, beliau dirawat dan dijaga seluruh ahli keluarga saya di Kajang.

Semalam (24 Mei 2008), salah seorang lagi ahli keluarga telah pulang ke daerah abadi. Kali ini, "Puan" sebelah ayah pula (orang kampung ayah dan emak saya di Ayer Pa'abas juga Simpang Ampat, Melaka memanggil nenek dengan gelar "Puan"). Kehilangan ini merupakan sesuatu yang berat untuk ayah namun, kewarasan dan ingatan pada Allah SWT yang masih utuh dijemala fikir, membuatkan ayah tenang. Sungguh matanya sendiri saya lihat sudah merah menahan rasa. Tambah-tambah baru sahaja seminggu balik bertemu Allahyarhamah ibunya di kampung.

Allahyarhamah selamat dikebumikan 11.00 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Ayer Pa'abas, Alor Gajah, Melaka. Seluruh keluarga terutamanya ayah memanjat syukur ke hadrat Yang Maha Esa. Berharap dan berdoa kepadaNYA, semoga roh arwah Puan diletakkan bersama Orang-Orang Yang Beriman. Amin!

Untuk ayah dan seluruh keluarga, kita perlu tabahkan diri. Mungkin ini hanya suatu cobaan untuk kita semua...


Rumah peninggalan "Puan" saya di Ayer Pa'abas, Melaka

Thursday, January 31, 2008

Belasungkawa Loloq

Dari Kiri, Allahyarham Loloq, M Nasir & Mawi
(Gambar sewaktu Anugerah Juara Lagu 21)

Pertama kali berjumpa dengan Allahyarham Loloq (Rosli Khamis), adalah di Studio NAR, Taman Tun Dr Ismail. Waktu itu saya hanya jadi pendengar bualan diantara abang, Mohariz Yaakup dan Allahyarham. Mulai daripada itu saya agak menghormati figur seorang penulis lirik ini kerana idea dan cara pemikirannya. Allahyarham mengaku beliau gemar membaca selain mengumpul CD lagu. Maka, tidak hairanlah jika idea dan cara berfikirnya juga berbeza.

Secara jujur, Allahyarham bukanlah kenalan rapat saya. Namun, banyak sekali peristiwa yang membuatkan saya (terutama keluarga) akan berasa sangat sedih bila terkenangkan Allahyarham. Emaklah yang paling terasa akan 'kehilangan' ini. Pertama kali ke rumah kami di Kajang Allahyarham teruja melihat banyak sekali koleksi tasbih emak dan ayah yang dibeli di tanah suci. Emak yang sememangnya 'murah hati' terus menghadiahi Allahyarham dengan tasbih berkenaan.

Masih acap dalam ingatan kami beliau berkata dengan hadiah tersebut, Allahyarham berharap agar diri beliau akan semakin 'rapat' dengan Sang Maha Kuasa. Sewaktu lawatan ini juga emak sempat bercerita mengenai 'kenikmatan' mengerjakan umrah di tanah suci. Saya bertanya emak macam mana emak boleh mengajak Allahyarham menunaikan umrah? Emak nyata tidak tahu kenapa beliau tergerak hati bercerita mengenai umrah & Mekah kepada Allahyarham.

Seminggu selepas itu, Allahyarham meminta abang memberitahu emak bahawa Allahyarham berminat untuk ikut serta dengan emak dan ayah yang merancang untuk mengerjakan umrah sebelum bulan ramadhan lepas. Oleh kerana urusan tertentu, emak dan ayah tidak dapat meneruskan rancangan tersebut. Maka, Allahyarham yang sudah teruja, meneruskan niat tersebut dengan salah satu sahabat Allahyarham. Alhamdullilah, Allahyarham sempat juga ke sana!

Pulang sahaja dari mengerjakan umrah, Allahyarham berharap untuk mengerjakan umrah sekali lagi (jika diizinkan Allah SWT) setelah usai Anugerah Juara Lagu. Namun, apa yang menyedihkan sejak pulang itu, beliau sering dikatakan sakit dan juga "menghilangkan diri" daripada bertemu rakan-rakan, bahkan abang saya. Tup...tup...khabar terakhir yang diterima, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara kerana pendarahan dalam otak.

Allah SWT lebih menyayangi Allahyarham. Allahyarham menemui Sang Maha Pencipta pada 30 Januari 2008 pada jam 1.37 petang dalam usia 50 tahun. Semoga Allah mencucuri rohnya dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Insyallah.

Al Fatihah untuk Allahyarham.



Keroncong Nostradamus
Lagu: M Nasir
Lirik: Loloq

p/s: Beliau pernah ditegur abang kerana memakan gula-gula kepunyaan saya tanpa izin. Saya tidak kisah sebenarnya (Abang saya je lebih-lebih). Agaknya selepas ini kalau saya makan gula-gula berkenaan, pasti saya akan terkenangkan beliau dan teh tarik yang sering kami minum di Taman Tun Dr Ismail.