Ibu saya beberapa hari yang lalu berkata pada saya, betapa ramadhan tahun ini terasa cepat berlalu. Belum puas serasanya beramal ibadat dan mendekatkan diri dengan Yang Maha Kuasa tiba-tiba panggilan lebaran sudah jelas semakin mendekati kita. Saya hanya menyetujui apa yang dikatakan ibu saya. Ramadhan sedikit demi sedikit menjauh dan bakal meninggalkan kita.
Namun begitu, rasa syukur saya panjatkan pada Yang ESA. Alhamdulilah, ramadhan kali ini dapat kami jalani sekeluarga dengan rasa aman dan bahagia. Tiada kisah-kisah yang melara atau duka menyelit, masalah kesihatan yang kronik (batuk-batuk dan selsema yang biasa tu adalah) mahupun apa-apa sahaja yang tidak tertanggung oleh kami. Hampir sebulan berjaya kami lalui. Tambah-tambah tahun ini semua ahli keluarga berada dikalangan kami. Tidak seperti tahun lalu, kakak saya beraya di Perth bersama suami dan anak-anaknya. Sesekali disenggang hujung minggu dapat berbuka bersama semua ahli keluarga, keseronokan itu menjadi intinya.
Buat ramadhan, kami bakal merinduimu dan menantikanmu. Semoga diberikan Allah SWT kesempatan untuk berada disampingmu lagi.
Sempena lebaran ini, izinkan saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas segala khilaf yang sengaja atau tidak disengajakan kepada semua kenalan, sahabat ataupun kepada pengunjung laman ini. Kesalahan itu datangnya daripada diri yang kekurangan serba serbi. Kesempurnaan itu hanya milikNYA yang kekal abadi.
Selamat Hari Lebaran. Maaf lahir batin.
Pemanduan berhemah mampu memeriahkan aidilfitri anda semua.
Seperti biasa 15 September itu datang lagi. 15 september adalah tarikh menambah usia. Setiap kali 15 september saya akan mengenang kembali sudah sejauh manakah saya berlari, berjalan dan sudah setakat manakah impian saya sudah tercapai. Semakin usia bertambah, saya menyedari banyak lagi yang belum saya lakukan dalam kehidupan saya. Insyallah, semoga dipermudahkan Allah untuk saya meraihnya.
Saya juga tidak pernah berharap ada ucapan selamat untuk hari lahir saya. Namun, kehadiran ucapan-ucapan bermakna ini lewat pesanan ringkas di telefon genggam, mesej di Yahoo Messenger, penggilan telefon sekaligus menyanyikan lagu ulang tahun, ucapan di laman sosial Facebook malah emel sungguh menyentuh. Untuk semua, terima kasih daun keladi untuk ucapan selamat serta doa yang berkali-kali ;)
Kredit gambar: http://img4.cookinglight.com/i/2005/05/birthdaycake-0505p116-l.jpg
Pagiku cerahku, matahari bersinar Kugendong tas merahku dipundak Slamat pagi semua, kunantikan dirimu Didepan kelasku menantikan kami
Guruku tersayang, guruku tercinta Tanpamu apa jadinya aku Tak bisa baca tulis Mengerti banyak hal Guruku terima kasihku
Nyatanya diriku kadang buatmu marah Namun segala maaf kau berikan
Guruku tersayang, guruku tercinta Tanpamu apa jadinya aku Tak bisa baca tulis Mengerti banyak hal Guruku terima kasihku
Bulan mei sememangnya membawa terlalu banyak erti untuk diri. Bulan ini beberapa orang penting dalam kehidupan diberi sebuah hari untuk kita kenang dan hargai jasa mereka (secara rasmi). Namun begitu, ini tidaklah bererti saya tidak mengenang dan menghargai jasa mereka sepanjang kehidupan saya. 16 mei membawa banyak erti dalam hidup. Dedikasi untuk seluruh guru-guru yang sememangnya membawa terlalu banyak erti dan perubahan yang signifikan dalam diri kita ini. Menjadikan diri saya adalah saya seperti hari ini.
Ucapan selamat hari guru ini saya mulakan untuk guru-guru saya di tadika Budi, Kampung Melayu Ampang tahun 1989. Meskipun setiap nama guru-guru berkenaan tidaklah saya ingat lagi hari ini, namun kerana jasa-jasa anda, saya mengenal huruf dan boleh membaca dengan sempurna waktu ini. Terima kasih cikgu!
Begitu juga dengan guru-guru sekolah rendah saya di Sekolah Kebangsaan Ampang (1990-1992) dan Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (1993-1995). Terutama kepada Cikgu Badariah, Cikgu Nilawati Sarih, Cikgu Fakhrul Radzi, Cikgu Sharifah dan Cikgu Ismail. Anda semua telah banyak memberi warna dan membentuk rasa ingin belajar itu mengebu dalam diri saya sehingga kini. Terima kasih banyak cikgu!
Dr Asiah Sarji & Kak Ji dan Kami Sewaktu Majlis Makan Malam Mention, UKM
Seterusnya untuk semua pensyarah saya di Universiti Teknologi MARA (Diploma Komunikasi & Media 2001-2004) dan juga sewaktu melanjutkan pengajian dalam bidang penyiaran (Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) (Penyiaran) ). Antara mereka yang senantiasa saya pegang kata-kata dan nasihatnya adalah, Puan Noraini (yang kini sudah menjadi ketua program diploma mass comm di Melaka), Encik Ahmad Farami (yang kini di Melbourne menyambung pengajian), Encik Mohammad Yaacob, Dr Normah (yang membuatkan statistik itu mudah!), Dr Rahmat Ghazali, Dr Halimaton Shaari, Dr Baharuddin (yang senantiasa cool), Encik Zulkifli (mantan penerbit di NTV 7 dan merupakan pensyarah sambilan)-- (sekadar menyebut beberapa nama) Terima kasih! Terima kasih!
Prof Dr Samsudin A Rahim bersama saya dan rakan sekelas
Kini, semua pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pengurusan Komunikasi) yang memberi banyak sekali motivasi, bimbingan dan tunjuk ajar agar saya bisa menyudahkan apa yang sedang saya lalui kini dengan lebih baik. Mereka adalah, Dr Mus Chairil Samani (yang suka senyum bila saya tidak tahu menjawab!), Prof Samsudin A Rahim (yang membuatkan teori dan metodologi yang payah nampak lebih mudah), Prof Safar Hasim (yang kadang-kadang sudi menyanyi dalam kelas!), Dr Faridah Ibrahim (penasihat akademik saya!), Dr Latiffah Pawanteh, Dr Normah juga Kak Ji (die hard fan Arsenal). Terima kasih yang tidak terhingga!
Kak Ji & Dr Yusof bersama kami sekelas sewaktu Affiliation Day, Mac 2009
Terakhir adalah adiguru-adiguru saya dalam bidang penulisan dan senantiasa membuka mata saya untuk terus mengali apa yang ada dalam lubuk sastera itu. Terima kasih untuk mereka di Minggu Penulis Remaja (MPR) --Tuan Haji Faisal Tehrani, Kak Raihani Mohd Saaid, Kak Nisah Haron, Abang Zaen Kasturi, Nasriah Abdul Salam (sekadar menyebut beberapa nama) serta penulis-penulis Malaysia yang saya belajar secara langsung, tidak langsung ataupun pernah memberi nasihat untuk memperbaiki diri ini, Terima Kasih Yang Sesungguhnya!
Dengan sebahagian guru-guru dalam bidang penulisan ketika HSKU 2007
Warga MPR dengan sebahagian guru-guru kami
Juga kepada semua individu yang pernah menyumbang, menasihati atau membentuk saya individu yang lebih baik hari ini, Terima kasih daun keladi!
Sesungguhnya tidak terbalas jasa guru dalam membentuk kita sehingga menjadi apa kita pada hari ini. Semoga Allah SWT meletakkan guru-guru kita ini dalam keadaan yang lebih baik setiap hari, dikurniakannya kesihatan juga rezeki yang melimpah ruah. Dipermudahkan apa sahaja hendaknya.
2008 telah pun kita harungi dan sudah pun tiba ke penghujung. Begitu juga dengan tahun hijrah yang sudah berganjak ke 1430 Hijrah. Banyak sekali yang terpaksa ditempuhi dalam proses mendewasakan diri sendiri. Alhamdulliah, dengan pertolongan YANG DIATAS, semuanya dapat saya lalui dengan baik. Yang pasti, saya masih mengharapkan pemberianNYA dalam menempuh perjalanan hidup yang tidak pasti kemana arah tujunya ini lagi. Untuk tahun seterusnya, saya tidak mahu mengimpikan sesuatu yang "aneh-aneh" meskipun semua impian saya sebelum ini bukan tidak realistis. Biarlah masa berlalu seperti yang dikehendakiNYA. Agar nanti, tidak saya dibalut rasa dan perasaan yang "sedih-sedih" lagi. Insyallah, AMIN.
Kehidupan ini bagi saya umpama menaiki tangga. Diatas sana kebiruan langit indah menanti kita untuk kita miliki. Proses menaiki tangga itu juga merefeksi bahawa dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa berubah dan berubah ke suatu tahap yang lebih baik.
2009 dan 1430 hijrah ini, semoga kita semua berubah ke suatu tahap yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya doakan yang terbaik untuk saya dan kita semua. Insyallah!.
"Si gadis manis di pagi Aidilfitri. Oh, sungguh saya merindukan saat riang berkumpul bersama semua puteri-puteri comel saya ini"
Aduhai terasa sebentar sahaja kita bermukim di daerah Ramadhan. Perlahan-lahan terpaksa juga kita meninggalkannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke daerah Syawal. Tiba sudah hari kemenangan bagi semua umat Islam. Keindahan bulan penuh maaf bermaafan ini sungguh bermakna untuk kita semua meraih semula ikatan yang terenggang kerana kekhilafan di masa lalu. Maka, permudahkan diri untuk maaf memaafi sesama kita. Moga diberikan Sang Maha Pencipta kemanisan hidup bersama.
Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pelayar blog "Yang Bernama Cinta" Dimaafkanlah segala keterlanjuran kata-kata yang menyentuh mana-mana pihak yang sempat dan sudi membaca (sekiranya ada) Jemputlah merayakannya di teratak saya di Kajang (pada yang sudi boleh emel saya minta alamat)
Suatu perasaan yang berbeza akan saya alami setiap kali kedatangan musim bulan Ramadhan. Perasaan yang bentuknya bagaimana, payah hendak saya perincikan di sini. Yang pasti, saya sukakan perasaan yang begini dan berdoa padaNYA agar ia kekal berada dalam pojok jiwa.
Ramadhan kali ini hendaknya kita sentiasa berada di bawah payungan rahmat Sang Maha Pencipta. Musim yang ditunggu-tunggu semua penduduk alam untuk menanam pahala dan menabur benih cinta pada DIA.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa dengan hati penuh tunduk padaNYA buat semua pengunjung blog saya ini. Semoga bertemu kita dengan kemanisan Ramadhan itu bersama-sama. Insyallah! Amin...
Ayah saya mantan tentera laut. Oleh kerana itu, dia memang jarang berada di rumah seperti ayah kawan-kawan seusia dengan saya. Namun, saya tidak berasa sangat akan ketidakberadaan ayah di rumah hatta, saya sangat kecil sekali waktu itu. Ayah saya bersara awal daripada tugasnya sebagai tentera laut. Maka, usia kanak-kanak saya sentiasa sahaja bersama ayah.
Sejak ayah masih bekerja sebagai tentera lagi, waktu kelapangannya akan dipenuhi dengan upacara minum air tebu di pekan Sitiawan, Perak. Selain daripada itu, saya juga akan dibawa berjalan-jalan ke pasar malam mahupun ke mana sahaja dengan motor biru ayah (Motor biru itu pun masih ada di rumah kami di Kajang, cuma tidak boleh digunakan lagi). Selepas ayah pencen, kami berpindah ke Ipoh dan diwaktu ini ayah membeli sebuah kereta. Kereta merah pertama kami itu adalah kereta Mitsubishi Tredea berplat BCA 1662. Daripada bermotor biru kesana kemari, kami sudah bertukar angin naik kereta pula.
Abang-abang dan kakak memberi saya jolokan "anak ayah". Haha...saya hanya ketawa. Mungkin kerana saya yang paling bongsu dan kebetulan abang dan kakak semuanya ke sekolah berasrama lalu, perhatian itu lebih tercurah pada saya.
Lumrah seorang ayah lebih banyak memerhati daripada bersuara. Begitu juga ayah saya. Jika dahulu saya kurang dan agak takut untuk berkongsi segala permasalahan atau kusut dihati. Namun, sejak ke universiti oleh kerana pergaulan yang semakin melebar, saya lebih senang untuk berkongsi dengan ayah mengenai apa sahaja termasuklah hal-hal kecil sekalipun. Nyata pendapat yang diberi kadang-kadang lebih bernas dan lebih berkesan daripada pemikiran seorang anak yang bergelar perempuan.
Teringat banyak sungguh pengorbanan yang diberi ayah, membuat saya kadang-kadang sendu. Beliaulah orang yang beria-ia mengusahakan diri saya ke universiti, bersusah payah menghantar dan mengambil saya setiap hari pergi juga pulang dari Kajang-Shah Alam (sewaktu beliau belum mampu membelikan saya sebuah kereta), penyokong dan pendorong untuk saya sentiasa berjaya dalam pengajian (selain emak) dan bermacam-macam lagi.
Saya selalu melihat wajah beliau (juga emak) kini. Terutama sewaktu mereka lena tidur. Saya takut sekali saya tidak mampu dan sempat membalas semua jasanya. Apa yang mampu saya lakukan hanya hari-hari berdoa untuk kesejahteraan hidup, kesihatan yang baik, keimanan Allah SWT untuk mereka dan keredhaan daripada mereka untuk saya dalam menjalani kehidupan setiap hari.
Dua orang penting dalam kehidupan saya...Emak (Hjh Jaharah Yusof) & Ayah (Hj Yaakup Maakip)
Tuan Haji Yaakup b Maakip, semoga hidup kita bersama kekal berbahagia selama-lamanya. Selamat Hari Ayah!
Semalam semasa mengambil Nurin Farhanah pulang dari kelas mengaji, tidak sudah-sudah dia memberitahu saya dia mendapat markah 100% untuk ujian matematik. Saya hanya angguk-angguk dan memberi upah ke kedai serbaneka di petronas berhampiran. Kemudian terus melayan si kecil ini berbual macam-macam hal. Namun sesuatu dalam kata-katanya buat saya berfikir. Katanya begini;
"Esok teacher's day. Yin nak bagi teacher kad teacher's day!"
Anak berumur 5 tahun pun sudah pandai menghargai sang guru yang mengajarnya. Kita?
Dr Othman (Dr O) bersama teman-teman dan saya
Untuk semua guru-guru yang telah mengajar saya semasa di Sekolah Kebangsaan Ampang (1990-1992), Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (1993-1995), Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang (1996-2000) juga pensyarah-pensyarah sewaktu saya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (Diploma Komunikasi Massa, 2001-2004), (Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), 2004-2006) serta sarjana saya (jan 2008-sekarang) yang telah memberi ilmu tidak terbandingkan dengan luasnya laut dan terbentangnya langit.
Tiada hadiah yang mampu saya berikan cuma ucapan terima kasih yang tidak terhingga! Anda semualah menjadikan saya kini mampu berdiri sebagai manusia yang menghargai hidup dan kehidupan.
Juga untuk semua mentor, pembimbing, abang-abang dan kakak-kakak MPR, Tunas Karyawan dan penulis-penulis Malaysia yang telah ataupun pernah mengajar saya, memberi nasihat dan panduan...anda juga saya anggap guru dalam diari hidup ini!
Dalam perjalanan menuju kedewasaan kehidupan ini, bukanlah semudah menulisnya pada sehelai lembar kertas. Liku, duka, dugaan malah kesedihan itu sering kali mencabar diri yang maha kerdil disisi NYA. Berkali-kali kecewa dan berkali-kali tertunduk mengalah. Saya tidak sekuat mana untuk menongkat dunia ini keseorangan tanpa dia seorang ibu, umi, mama, bonda, ibunda, emak mahupun apa sahaja yang bisa kita beri gelar wanita ini.
Sebalik setiap kejayaan adanya dia. Malah setiap kekecewaan, ribanya juga tempat air mata ini pasti berjujuhan. Dialah pemangkin semangat dan perawat duka dikalbu. Tiada galang, tiada ganti tempatnya di hati saya. Pernah suatu ketika dahulu saya tertekan berat dengan masalah dan pengajian. Dia disitu memberi dorongan untuk melawan semuanya. Alhamdullilah semester itu saya dianugerahkan keputusan yang memeranjatkan. Beberapa mata sahaja hendak ke 4.00.
Emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf) & Nurin Farhanah
Memang benar kata pepatah;
"Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban nyawa".
Kasih kekasih? Itu masih boleh dipersoalkan.
Apa kata sempena 11 Mei ini, luangkan masa yang tersisa untuk bersama ibunda tercinta. Meraikan satu sambutan kasih sayang. Namun, diharap agar kasih sayang itu bukan setakat dikenang, disambut, dirai atau dimeriahkan pada tanggal 11 Mei itu sahaja tetapi, hendaknya berkekalan sepanjang masa.
Jadi, teman-teman dan semua pembaca sekalian, sempena hari ibu ini saya ingin mengucapkan (wah, dah macam PM bagi ucapan selamat hari raya pulak!) selamat menyambut hari ibu kepada semua ibu dimana sahaja anda berada. Tidak kiralah yang telah lama bergelar ibu, baru bergelar ibu, bakal bergelar ibu dan yang akan bergelar ibu. Jasa anda membesarkan kami semua, anak-anak ini sungguh tidak terbalas walau dibungkus langit dan bintang menjadi kado untuk ucapan selamatnya.
Untuk emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf), selamat hari ibu dan teruskan menjadi cerucuk semangat diri ini!
*** Terharu membaca entri teman saya, Ady. Kuatkan semangat ya!
Alhamdulillah...semalam (24 April 2008), tepat jam 6.15 petang (mengikut jam bapanya), saya telah dianugerahi Allah SWT seorang buah hati baru. Amir Luqman, anak lelaki abang saya Mohariz Yaakup telah selamat dilahirkan...Tahniah buat abang dan kakak!
Dalam pada mengejar deadline untuk beberapa presentation, case study, ujian pertengahan semester, lara dan kerja-kerja pembacaan yang semakin bertambah hari ke hari, saya menerima sebuah lagu dari seorang teman "dalam talian". Hati saya teruja dengan pemberian itu kerana beberapa ketika kembali dapat mendengar radio secara konsisten, saya tertarik dengan lagu ini (dendangan Altimet & Adeep (Fabulous Cats) -- Chantek).
Untuk informasi anda, lagu ini adalah lagu asal nyanyian kumpulan Khanitna (sebuah kumpulan dari Indonesia) yang agak terkenal di Malaysia sekitar tahun 90an. Cuma lagu versi baru ini telah ditukar liriknya.
Terima kasih kepada teman saya, ady, kerana pemberian anda. Saya menghargainya!
Kepada semua pengunjung blog ini, doakanlah untuk dipermudahkan persembahan lagu "Kasihnya Balqis" oleh Aishah pada malam Anugerah Juara Lagu pada malam ahad ini (27 Januari 2008). Semoga semuanya selamat!
Dikesempatan ini saya ingin memohon maaf zahir dan batin kepada semua kenalan, sahabat handai malah sesiapa sahaja yang mengenali diri saya. Manalah tahukan sepanjang "perkenalan" kita saya ada terkasar bahasa, tersalah bicara menyinggung rasa mana-mana hati. Halalkan apa-apa termakan terminum yer (jika ada).
Yang pulang kampung (pinjam gaya "Orang Seberang") berhati-hati di jalanan. Jumpa lagi! ;)
Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang menghantar ucapan hari jadi (lewat SMS, mesej di ruang sosial Friendster & Myspace, MMS, mahupun secara lisan) kepada saya pada 15 September yang lalu. Semoga Allah memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita bersama. Insyallah. Amin!
p/s: Sedar tak sedar banyak sekali gambar kek dalam koleksi saya. Kek di atas gambar kek harijadi Abang saya, Mohariz & Milia (Anak saudara kami). Kek Black Forrest...hehe!