Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Tuesday, May 19, 2009

Laskar Pelangi, Kick Andy & Sesuatu Yang Menjentik Emosi



Anak-anak Laskar Pelangi menanyikan lagu "Seroja", lagu asal S Effendi

Sejujurnya saya menonton filem Laskar Pelangi terlebih dahulu sebelum sempat untuk menekuni novel yang dikatakan "berhantu" ini. Saya berpeluang menontonnya pun setelah salah seorang teman baik saya dari seberang memberikannya pada saya. Ma kasih ya Jeng Wulan!.

Reaksi saya terhadap filem ini? Adalah sebuah rasa bersalah pada diri sendiri.

Malah sepanjang filem ini saya tonton, saya menangis. Mungkin saya melankolik pada pandangan anda. Namun terlalu banyak alasan kenapa saya menangisi dan terkadang tertawa menonton filem ini. Salah satunya adalah dalam keadaan daif dan seperti mahu roboh tenaga pengajar SD Muhammadiyah tetap mempertahankan sekolah itu untuk memberi ilmu yang bisa merubah kehidupan anak-anak kuli ini. Figura Ibunda guru, Muslimah dan Pak Harfan menjentik emosi saya.

Oh guru-guru ini membuatkan kita menghargai setiap ilmu itu, saudara! Oleh kerana mereka, saya semakin menghargai semua jasa guru-guru saya selama ini. Malah setiap kali mendengar lagu "Terima Kasih Guruku" pada entri dibawah semacam ada rasa sayu bergayutan di tangkai hati. Terima kasih semua guru-guru saya!

Keduanya pula adalah figura Lintang, seorang anak miskin pesisir Pulau Belitong yang digambarkan filem ini. Anak minda genius anugerah alam ini walaupun perlu menunggang "kereta angin" (seperti yang dikatakan Bu Muslimah pada babak-babak awal filem ini) sejauh 80KM pergi dan pulang sekolah tetapi, sedikit pun tidak pernah melemahkannya. Bukan dekat perjalanan itu kalau perlu menunggang basikal, mengharung segala jenis mahluk Allah SWT yang melintangi sepanjang perjalanan (termasuk buaya-buaya besar) juga fenomena alam (seperti hujan, ribut dan sebagainya). Jika itu adalah saya mungkin sudah lama saya mengalah. Itu semua Lintang lakukan kerana sebuah perkara yang dipanggil "Ilmu".

Poster Filem "Laskar Pelangi"

Selain itu, figura-figura yang lucu seperti figura jagoan seni dan perkara-perkara mistik seperti Mahar dan Flo, watak yang mahukan badanya sakti seperti Samson, anak istimewa yang hanya menurut iaitu Harun dan banyak lagi, menambahkan "kesan" dalam diri saya. Dalam miskin serta daif, anak-anak ini mampu bergembira dan menggali ilmu untuk kegunaan masa hadapan mereka.

Tidak dapat dinafikan, Riri Riza dan Mira Lesmana adalah gabungan hebat dalam pengarahan dan penulisan skrip. Sinematografi dan grafik yang dipertontonkan pada kita menambahkan lagi nilai yang mencipta "keindahan" filem ini. Walaupun begitu, mustahillah pada pandangan saya jika semua yang terkandung dalam novel Andrea Hirata ini hendak ditonjolkan dalam bentuk filem. Banyak juga babak dan butir-butir tertentu yang telah diubah untuk diserasikan dalam filem. Maka, pada mereka yang menonton filem ini tanpa membaca, nasihat saya setelah menonton filemnya apa kata luangkan sedikit masa untuk membaca apa sebenarnya yang meragukan anda sepanjang filem berkenaan.

Abang saya Mohariz telah menonton filem ini lebih 10 kali. Katanya, dia sudah tersihir pada banyak hal lewat filem berkenaan. Oh, saya kira saya masih tidak segila itu...hahaha!. Minatnya pada filem ini telah menemukannya dan saya pada sebuah rancangan bual bicara Indonesia, Kick Andy, yang telah menemubual Andrea Hirata serta watak-watak sebenar Laskar Pelangi seperti Bu Muslimah, Syahdan serta rakan-rakannya yang lain. Melalui rancangan ini juga, pembawa acara, Andy telah membawa beberapa orang yang nyata telah terinspirasi kerananya. Melalui Kick Andy juga seorang anak yang tercandu dadah juga telah berubah hanya semata-mata rasa bersalahnya tidak mensyukuri apa yang diterimanya dan diraihnya dalam pelajaran.

Secara peribadi, Laskar Pelangi membawa sebuah motivasi bagi saya dalam mensyukuri dan merasa lebih berani serta tabah untuk menamatkan pengajian yang sedang saya lalui kini. Figura Lintang seakan-akan memandu semangat saya yang kadang-kadang merasa kurang percaya diri, layu, tidak berdaya dan putus asa.

Memoir Andrea Hirata yang disuntik elemen sastera adalah sesuatu yang menjentik emosi. Tidak sabar untuk saya baca sambungan tetralogi yang seterusnya iaitu Edensor, Sang Pemimpi dan Maryamah Karpov. Pada anda, mari baca dan tonton filem ini. Ayuh!

Monday, April 20, 2009

Aku Mahu...

Titipan dari tanah seberang sudah pun saya dapat. Terima kasih pada Incik Kharil (abang saya yang sulung) kerana sanggup bersusah payah untuk mencari dua perkara ini. Agak terkilan kerana beliau "terlupa" pesanan saya akan kesemua tetralogi Andrea Hirata. Walaubagaimanapun, terima kasih ya untuk "Denias: Senandung Diatas Awan" dan Novel "Laskar Pelangi"nya! Bisa dititip lagi ngak mas?


Vcd "Denias Senandung Diatas Awan" dan Novel "Laskar Pelangi" versi Indonesia

Jadi kini saya sudah tidak sabar untuk menanti 30 April 2009. Sudah tidak sabar untuk "dihanyutkan" filem dan novel ini. Peperiksaan dan laporan, cepatlah usai!

Monday, April 06, 2009

O Re Piya...Haye

Saya sukakan sesuatu yang mudah menjentik hati dan emosi kini. Oleh kerana itu, saya selalu terkesan dengan puisi-puisi Sapardi Djoko Domono, Usman Awang, filem-filem seperti The Bucket List, iklan-iklan televisyen malah cuaca kini yang sering membuatkan saya terfikir dan merenung diri.

Beberapa hari yang lalu, saya berkesempatan menonton filem arahan terbaharu Yasmin Ahmad, Talentime. Ulasan mengenai filem berkenaan belum berkesempatan untuk saya coretkan disini. Insyallah, mungkin selepas usai segala tugasan saya nanti akan saya tuliskan juga. Insyallah...insyallah.

Baiklah bercerita mengenai Talentime, bagi saya apa yang menarik mengenainya dan sehingga kini bermain di relung perasaan saya adalah pemilihan lagu yang amat mengoncang perasaan. Yang luar biasa adalah walaupun anda tidak mengetahui terjemahan malah maksud yang disampaikan oleh sesebuah lagu berkenaan, emosi anda bagai menyiakan segala-galanya.

Salah satunya adalah lagu ini, O Re Piya (My Beloved) dendangan penyanyi, Rahat Fateh Ali Khan yang merupakan lagu untuk runut bunyi filem Aaja Nachle lakonan Mahduri Dixit. Lagu ini bermain dalam fikiran dan hati turut ikut sama berdendang. Ah, indahnya





o re piyaa haaye o re piyaa...
(O beloved...)

uRne lagaa kyon man baawlaa re
(Oh, why did my crazy soul begin to fly?)
aayaa kahaa.n se yah ho.nslaa re
(Oh, where did this courage come from?)
o re piyaa o re piyaa haaye
(O beloved...)

taanaa-baanaa taanaa-baanaa buntii hawaa haaye buntii hawaa
(The breeze teases and taunts me, oh, the breeze plays havoc with me.)
buu.nde.n bhii to aaye nahii.n baaz yahaa.n
(Even the raindrops won't shower here again.)
saazish me.n shaamil saaraa jahaa.n hai
(The whole world is part of the intrigue.)
har zarre zarre ki yah intezaar hai
(I never stop waiting.)

o re piyaa
(O beloved!)
o re piyaa haaye o re piyaa haaye
(O beloved...)
o re piyaa
(O beloved!)

ni re re re ga ga ga ma ma ma pa pa ma ga re sa sa re re sa ga ga re ma ma
ga pa pa ma dha dha pa ni ni sa sa pa pa sa ma pa dha ni sa ni re ni sa sa sa...
[Notes in Indian classical music.]

nazare.n bole.n duniyaa bole
(The glances are telling, the world is telling)
dil kii zabaan haaye dil kii zabaan
(the story of my heart, oh, the story of my heart.)
ishq maa.nge ishq chaahe koii tuufaan
(Love prays, love wishes for a hurricane.)
chalnaa aahiste ishq nayaa hai
(A new love slowly walks in.)
pahalaa yah waadaa ham ne kiyaa hai
(This is the first promise we gave.)

o re piyaa haaye o re piyaa haaye
(O beloved...)
o re piyaa piyaa
(O beloved, beloved.)
yah piyaa
(This beloved.)

na.nge pairo.n pe a.ngaro.n chaltii rahii haaye chaltii rahii
(You were stepping on burning charcoal barefoot, oh, you kept walking.)
lagtaa hai ke gairo.n me.n me.n paltii rahii haaye
(Oh, it seems that you were brought up among strangers.)
le chal wahaa.n jo mulk teraa hai
(Take me to your country.)
zaahil zamaanaa dushman meraa hai haaye
(Oh, the cruel world is my enemy.)

o re piyaa haaye o re piyaa haaye...
(O beloved...)

Sunday, March 01, 2009

Sebuah Eskapisme

"Poster filem Slumdog Millionaire"

Sudah beberapa kali saya merancang untuk pergi menonton filem ini. Namun, kesempitan masa yang selalu sahaja saya alami kini, membataskan pergerakan. Apabila saya bertanyakan rakan sekelas mengenai hal ini, terus sahaja dia meminta 'thumb drive' dan kemudian memberikan saya filem berkenaan. Saya teruja.

Alhamdulilah, selain menjimatkan wang yang kurang ada ini, secara tidak langsung, saya berkesempatan untuk menonton filem yang insyallah bakal saya muatkan dalam kajian saya nanti. Kepada anda, kalau punya kelapangan bolehlah terus ke pawagam yer...jangan tiru saya!

Slumdog Millionaire. Wajar sungguh pada saya andai filem yang berbajet rendah ini memenangi sekian banyak pengiktirafan dalam Anugerah Academy ke 81 lalu. Yang buat saya lebih terharu apabila A R Rahman dinobatkan sebagai pencipta runut bunyi terbaik itu merupakan orang Asia pertama yang mendapat anugerah sebegitu rupa sejak 81 tahun acara berkenaan dijalankan. Sebagai seorang orang Asia...tentunya saya bangga dan berharap pada masa akan datang lebih ramai orang Asia diberi pengiktirafan seumpama itu. Biarlah masyarakat dunia sedar bahawasanya kesan globalisasi filem itu turut berlaku dari timur ke barat dan bukan hanya barat ke timur.


Secara amnya, cerita dan naratif filem ini tidak banyak bezanya dengan naratif filem-filem hindi dan tamil yang sering kita tonton lewat kaca televisyen. Oleh kerana itulah, filem-filem keluaran India ini mampu menarik perhatian masyarakat secara umumnya. Meskipun naratif filem-filem ini diangkat daripada novel seperti juga filem Slumdog Millionaire yang asalnya merupakan sebuah novel Vikas Swarup, Q&A. Kesannya saya alami adalah serupa seperti yang pernah saya alami ketika menonton filem The Namesake filem adaptasi novel karya karya Jhumpa Lahiri.

Slumdog Millionaire menceritakan perjalanan kehidupan Jamal Malik dalam merentasi kehidupan sebagai anak jalanan bersama abangnya (Salim). Sepanjang mencari rezeki untuk meneruskan hidup yang sukar sebagai anak jalanan, mereka bertemu dengan seorang lagi anak jalanan bernama Latika. Namun, kerana hidup yang terdesak dan mengecewakan itu, beberapa kali Jamal terpaksa berpisah dengan Latika dan kemudiannya Salim. Oleh kerana ingin bertemu semula Latika, Jamal Malik berusaha untuk menyertai kuiz televisyen yang popular iaitu, Who Want To Be A Millionaire.


Menerusi filem Slumdog Millionaire ini selain naratifnya, apa yang menjadikan filem ini unik dan menarik adalah gabungan semua elemen yang ada didalamnya. Komposisi shot, sinematografi, aksi, lakonan, bunyi malah pemilihan pelakon pun memberi banyak kesan kepada apa yang menjadikannya menarik pada pandangan saya. Yang perlu saya tegaskan disini, meskipun filem dijalankan sepenuhnya dalam kawasan setinggan, kekotoran dan kesesakan manusia, pemandangan ini menimbulkan suasana yang menarik.

Sebolehnya saya tidak mahu menjadi spoiler filem ini. Saya juga tidak mahu menghilangkan rasa keghairahan anda menonton filem ini. Tambahan pula, saya bukan orang filem sejati yang pandai memberi kritikan dan saranan kekuatan dan kelemahan sesebuah filem berkenaan. Biarlah anda sendiri menikmati dan mengalami perjalanan perasaan yang cuba dipamerkan kepada anda melalui filem ini. Kemungkinan apa yang saya katakan disini mungkin berbeza tafsirannya dengan apa yang anda akan atau telah saksikan.


Slumdog Millionaire merupakan sebuah eskapisme seorang anak jalanan untuk keluar daripada derita jiwa dan zahir? Itu saya serahkan pada anda...

Selamat terhibur!

Jayaho...jayaho...jayaho!

Sunday, February 15, 2009

Upin & Ipin, Geng & Saya

"Geng: Pengembaraan Bermula"

Betul, betul, betul!

Ramai sudah dimagis kecomelan dua orang karektor budak kampung ini. Siapa lagi kalau bukan si kecil berjambul satu, Upin dan adiknya yang gemar menggulang perkataan sebanyak tiga kali, Ipin. Jadi, tidak hairanlah kalau saya tidak mampu menempah tiket atas talian (panggung GSC dan juga TGV) untuk tontonan pada hari sabtu (14 Februari 2009) sejak sehari sebelum itu. Namun, untuk tidak mengecewakan kedua-dua orang anak dara abang sulung saya, Khaleeda & Khamilia, seawal 11 pagi saya sudah terpacak beratur membeli tiket di Panggung GSC, Alamanda, Putrajaya. Malah sewaktu tiba sahaja disitu, saya diserbu perasaan terkejut kerana sudah ramai torang yang turut beratur untuk membeli tiket menonton filem berkenaan. Kebanyakan daripada mereka pastilah ibu bapa yang merancang membawa anak-anak mereka menonton filem berkenaan.

"Lima keping tiket yang berjaya dibeli!"

Ini bukanlah sesuatu yang biasa dapat dilihat terutama di panggung GSC, Alamanda. Sejak panggung dibuka disini, payah sekali untuk melihat orang ramai beratur sepanjang itu. Malah saya pernah memberi jolokan "panggung paling bahagia" untuk pergi menonton. Jika di KLCC, mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini secara tidak langsung memberitahu bahawa suatu perubahan yang baik dalam industri perfileman tempatan terutama filem-filem animasi tempatan sedang berlaku. Jika benar, moleklah.

Alhamdulilah dalam 15 minit beratur, saya berjaya membeli tiket terakhir untuk tayangan jam 2 petang. Betul-betul 5 seat terakhir dan di depan sekali. Setelah saya membeli tiket terakhir berkenaan, skrin yang memaparkan waktu untuk tayangan filem berkenaan sudah berkelip merah menandakan tiket untuk jam berkenaan sudah habis dijual dan untuk tayangan-tayangan yang lain sudah mula berkelip-kelip kuning menandakan sedang hangat dijual. Orang semakin ramai dan barisan di belakang saya semakin panjang.

"Tayangan filem Geng sudah habis dijual sehingga jam 10.30 malam"

Setengah jam sebelum bermula tayangan, saya kembali bersama keluarga. Syukur kerana telah membeli tiket awal kerana setiba kami di kawasan panggung, tiket untuk tayangan sehingga jam 10.30 malam sudah habis dijual. Namun, bilangan orang yang datang dan pergi semakin ramai. Semua berwajah duka kerana tiket yang hendak dibeli sudah tidak mampu dimiliki.

Saya tidak mahu jadi spoiler untuk mereka yang belum berkesempatan menonton filem ini. Namun, apa yang boleh saya katakan, saya gembira melihat produksi animasi tempatan mampu untuk membuat sesuatu yang saya kira amat membanggakan. Filem ini memaparkan sesuatu yang "cantik" daripada segi visual, pergerakan watak malah warnanya. Saya kira untuk sesuatu yang dicipta oleh produksi tempatan dan 100% mereka yang terlibat membuat filem ini adalah warga tempatan, setidak-tidaknya membuatkan kita sudah mampu untuk bersaing di peringkat global. Melampaukah impian saya? Saya fikir tidak kerana tanpa niat seumpama itu, tidak mungkin ada hasrat untuk mencipta yang terbaik.

"Apabila GSC, Alamanda diserang!"

Biasalah jika dalam setiap filem itu mempunyai kelemahan dan kekuatan. Begitu juga dengan filem ini. Pada pandangan saya, filem ini mempunyai permulaan dan penceritaan yang baik pada permulaannya namun, setelah tiba di pertengahan filem ini seperti sudah tiada elemen yang menarik daripada segi penceritaan yang cuba digambarkan. Disamping itu, kurangnya penekanan watak utama adik beradik kembar, Upin & Ipin juga sedikit sebanyak "mengganggu" saya. Saya rasa tidak melampau juga saya katakan, ramai yang datang untuk melihat lebih banyak Upin & Ipin daripada watak-watak lainnya.

"Abang saya Kharil (yang sudah berbelas tahun tidak menonton) , anak sulungnya Khaleeda (yang sudah tidak sabar hendak menonton) dan Khamilia (yang gembira dapat beg sandang Upin & Ipin)"

Walau bagaimanapun, filem ini setidak-tidaknya membawa "kegembiraan" dan mengisi hari minggu saya bersama keluarga. Filem yang menarik dan saya syorkan untuk ditonton seisi keluarga.

Betul, betul, betul!

Sunday, September 14, 2008

Zapin Bunga Hutan

Tidak ada apa-apa coretan terbaharu mahu saya kongsikan bersama dengan anda. Cuma kini saya sedang "gilakan" lagu Zapin Bunga Hutan dari filem Bawang Puteh Bawang Merah lakonan Dato' Mustafa Maarof & Latifah Omar terbitan tahun 1959 (bukan senetron lakonan Nia Ramadhani yang memualkan itu ya!). Filem ini arahan Allahyarham S Roomai Noor dan diterbitkan oleh Studio Chaty Keris, Singapura. Lagu asal nyanyian Orkes Budi.

Kali ini biarlah saya berkongsi keriangannya bersama anda pula. Ayuh, mari berzapin!



Saya juga gemarkan versi Bunga Hutan oleh Dewangga Sakti!