Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah Diri. Show all posts

Tuesday, March 03, 2009

Duhai Hati...

Jika ianya masih bukan rezekiku, bersabarlah dulu wahai Hati...




Telah Kuhapus Kata-Kata

Telah kuhapus kata-kata yang pernah kutuliskan

sebab tak ada lagi yang bisa kutawarkan
selain kesunyian dan kecemasan
atau kekosongan dan kekecewaan
hingga langit yang kutasbihkan
pecah berkeping dan jatuh dilautan

telah kuhapus kata-kata yang pernah kuucapkan
sebab laut jiwaku tak kuasa menterjemahkan

rahasia angin, badai dan gelombang

sebab perahu jiwaku yang retak makin gamang

putar haluan atau meneruskan saja pelayaran

telah kuhapus kata-kata

dan biarlah segalanya kulupakan

sebelum matahari, bulan dan bintang-bintang

tak lagi memancarkan sinarnya

pada diriku yang tiada

Micky Hidayat
100 Puisi Indonesia Terbaik 2008


Kredit foto : http://www.travelblog.org/Wallpaper/pix/tb_fiji_sunset.jpg

Monday, February 23, 2009

Surat Cinta


Sudah lama saya mencari-cari semula sebuah puisi yang telah memberi kesan yang mendalam pada saya. Individu yang bertanggungjawab memperkenalkan puisi ini pada saya adalah kakak saya yang kini di Australia.

Anda pernah menulis surat cinta? Mungkin sesuatu yang biasakan. Namun, pernahkah anda menulis pula "surat cinta" kepada DIA yang senantiasa disana memerhatikan kita dan menyayangi kita selama ini?



AKU SEPATUTNYA MALU MENULIS SURAT CINTA KEPADAMU

Aku sepatutnya malu menulis surat cinta pada-Mu
kerana ia tidak mungkin jadi sempurna
dan setelah terlalu banyak mengingkari-Mu
Kau mungkin tidak sedia menerima.

Mengapa harus aku tiba pada-Mu
bagai seekor kupu-kupu yang meninggalkan rimbanya
keragaman rahsia yang mentaati kata-kata
“tidak kuberi ilmu
melainkan sedikit sahaja”
aku jadi marah pada ketetapan itu
dan meluru menuju lampu
tapi hanya terhumban pada kaca
lalu jatuh ke kaki-Mu
apakah kau sedia memaafkan
carik-carik di kepakku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpegun
pada kesempurnaan jari-jari-Mu?

Mengapa aku harus tiba pada-Mu
bagai sungai yang menemui muaranya
dalam murung rasa tua
setelah terlalu banyak meronta
mahu melepaskan diri dari sekatan tebingnya
tapi hanya menambahkan bebanan
sehingga tiba ada keluasan lautmu
apakah Kau sedia memaafkan
kekeruhan di tubuhku?

Atau apakah kau sengaja
memilih pertemuan begini
untuk aku jadi lebih terpesona
pada kejernihan matamu?

Kau terlalu banyak menyimpan keindahan
mengapakah aku tidak melihatnya dahulu
atau apakah Kau sengaja menyembunyikan
supaya aku jadi lebih kasih pada-Mu?

~ Zurinah Hassan ~


***Kredit gambar www.cnx-translation.com/.../2_Love-letter.jpg


Thursday, February 05, 2009

Kesabaran


Saya baharu sahaja sembuh daripada demam yang panjang. Alhamdulilah. Semoga ilham dan semangat untuk terus berjuang menyudahkan apa yang sedang saya lakukan ini dipermudahkan Allah SWT. Dalam jeda ripuh dan senggang menempuh hari-hari untuk setahun ini, hanya kesabaran yang menemani.

Saya selalu memupuk qalbu dan rasa agar kekuatan itu terus ampuh dalam cepu jiwa ini. Lalu puisi Chairil Anwar bertajuk, "Kesabaran" ini banyak sekali mengubat hati dan diri semoga terus gigih dalam perjalanan pada batas-batas laluan yang kian mencabar.

Insyallah!


Kesabaran

Aku tak bisa tidur
Orang ngomong, anjing nggonggong

Dunia jauh mengabur

Kelam mendinding batu

Dihantam suara bertalu-talu

Di sebelahnya api dan abu

Aku hendak berbicara
Suaraku hilang, tenagaku terbang
Sudah! tidak jadi apa apa!
Ini dunia enggan disapa, ambil peduli

Keras membeku air kali
dan hidup bukan hidup lagi

Kuulangi yang dulu kembali
Sambil bertutup telinga, berpicing mata
Menunggu reda yang mesti tiba

Maret 1943

(Daripada Kumpulan Puisi "Aku Ini Binatang Jalang" karya Chairil Anwar)


Picture source: www.pictureofthe.net/.../pt/s/pn/cat/n/1/

Wednesday, December 31, 2008

2009 dan 1430 Hijrah


2008 telah pun kita harungi dan sudah pun tiba ke penghujung. Begitu juga dengan tahun hijrah yang sudah berganjak ke 1430 Hijrah. Banyak sekali yang terpaksa ditempuhi dalam proses mendewasakan diri sendiri. Alhamdulliah, dengan pertolongan YANG DIATAS, semuanya dapat saya lalui dengan baik. Yang pasti, saya masih mengharapkan pemberianNYA dalam menempuh perjalanan hidup yang tidak pasti kemana arah tujunya ini lagi. Untuk tahun seterusnya, saya tidak mahu mengimpikan sesuatu yang "aneh-aneh" meskipun semua impian saya sebelum ini bukan tidak realistis. Biarlah masa berlalu seperti yang dikehendakiNYA. Agar nanti, tidak saya dibalut rasa dan perasaan yang "sedih-sedih" lagi. Insyallah, AMIN.

Kehidupan ini bagi saya umpama menaiki tangga. Diatas sana kebiruan langit indah menanti kita untuk kita miliki. Proses menaiki tangga itu juga merefeksi bahawa dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa berubah dan berubah ke suatu tahap yang lebih baik.

2009 dan 1430 hijrah ini, semoga kita semua berubah ke suatu tahap yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya doakan yang terbaik untuk saya dan kita semua. Insyallah!.

Wednesday, September 17, 2008

Usia Suku Abad & Rasa Yang Payah Diungkapkan


"Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun...lalalala"

Tidak tahu bagaimana saya perlu membalas ucapan yang masuk lewat SMS ke telefon genggam, di Friendster, Facebook, mesej pada YM, panggilan telefon malah ucapan yang ada di blog ini. Saya terharu kerana ada juga yang mengingati tarikh "menambah" umur saya tahun ini. Setiap tahun itu jugalah ada sahaja teman-teman baharu yang sudi menghulur ucapan. Wah, betapa tidak sedarnya saya bahawa setiap masa ada sahaja kenalan baharu yang kita ciptakan ya?

Walaubagaimanapun, TERIMA KASIH BANYAK! Hanya itu yang mampu saya balas. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki saudara semua...Amin!


"Trilogi Armageddon"

Banyak benar yang menggembirakan hati dan membuatkan rasa sayang saya semakin membuak-buak dalam diri. Pertama, untuk emak. Emak telah menghadiahkan antara trilogi Arena Wati yang pingin sekali saya miliki (setelah usaha mencari "Bunga Dari Kuburan" tidak membawa sebarang penghasilan). Untuk emak, terima kasih banyak!

Seterusnya buat Abang saya Mohariz (abang nak sign...gegege!) & Kak Ina. Untuk sambutan hari lahir alias majlis berbuka yang walaupun tampak sederhana tapi, sangat-sangat-sangat bererti buat adik anda yang baru berusia suku abad ini. Anda boleh lihat betapa "meriah"nya acara makan-makan kami dibawah. Amaran, jangan lihat gambar ini sekiranya anda sedang berpuasa. Segala ke'batal'an puasa anda tidak akan di jamin...gegege!


"Buah hati saya, Amir Luqman dan Ayahnya"


"Kak Ina Yang Menjadi Tukang Dengar Radio untuk Azan"


"Luq...tengok ayah punya spagetti ada bola-bola api"


"Amir Luqman diberi peluang "ambil bau". Macam filem "3 Abdul" la pulak"

"Chicken Mushroom"


"Chicken Kebab"

Untuk teman sekelas saya di UKM, terima kasih juga untuk ucapan "belated"nya dan Idahyah yang sempat membeli Marble Cheese Cake di Starbucks, Bangsar semata-mata mengenangkan hari jadi saya. Kamu buat saya rasa mahu menangis!

Usia di suku abad ini (bak kata Nas, usia perak. Hehe!), banyak sekali membuat saya berfikir dan menetapkan kembali matlamat dan cita-cita yang seringkali seakan mahu tercicir dari gendongan jemala fikir. Tahun ini sambutan hari lahir sangat bererti kerana di sambut pada bulan ramadhan (juga seperti tahun lepas) dan berada pula pada 15 Ramadhan. Bulan yang mulia untuk memulakan sesuatu cita-cita yang murni.

Seiring dengan pertukaran nombor pada usia ini, saya diserang tanya dalam sanubari sendiri. Kenapa perasaan "itu" pada sesuatu yang "lama" perlu hadir lagi? Payahkah sempena bulan mulia ini dia mengangkat telefon dan memohon kemaafan? Lalu, berkata 'Ayuh, mari kita bersahabat lagi'. Ah, rasa ini kenapa begitu payah untuk diungkapkan?

Monday, December 31, 2007

Tentang 2007 & Diri


Antara koleksi gambar terbaik 2007 simpanan peribadi saya...hehe...dengan Ode & Lan (adik-adik MPR)

Hari ini sudah mencapai "garis mati" untuk tahun 2007. Macam selalu bila tiba sahaja akhir tahun (31 Disember secara lebih terperinci) kita akan mula dilambung kenangan setahun berkenaan. Saya juga tidak terkecuali. Namun, kenangan yang cuba saya panggil semula menjenguk minda kali ini lebih menjurus kepada muhasabah diri sendiri. 2007...apa yang saya telah lakukan dan raih?

2007 saya mulakan dengan perasaan debar debur dalam dada mencari pekerjaan setelah sah menamatkan pengajian sarjana muda saya di UiTM Shah Alam, pada akhir tahun 2006. Memang payah untuk mendapat pekerjaan. Jadi nasihat saya pada adik-adik yang hendak tamat pengajian atau sudah tamat pengajian, rancang masa depan anda dengan lebih realistik. Teringat kembali bagaimana saya membawa diri sehingga ke Johor Bahru gara-gara ingin bekerja. Nasib baik sahaja tidak mendapat tawaran berkenaan, kalau tidak saya pun tidak dapat menduga bagaimana keadaan saya kini.

Menjelang akhir februari, saya secara rasmi dilamar pekerjaan pertama saya. Saya berkhidmat di salah sebuah institusi perbankan di Malaysia. Wah, saat itu macam tidak percaya saya akan bekerja di sebuah bank. Alhamdulillah bila saya kenang kembali kini memang Allah itu menyayangi saya hingga saya "keluar" dari bank berkenaan. Kenapa? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu! Setelah keluar dari situ, saya "tercampak" pula ke UPM sebagai pembantu penerbitan alias juruhebah untuk radio mereka. Macam-macam kenangan yang menarik & tidak berapa menarik telah saya raih disini.

2007 juga menyaksikan saya mencari, memulakan, menjalin semula & berjinak-jinak dengan rakan-rakan MPR yang memang sudah dikenali, baru hendak mengenali serta mentor-mentor dan "sifu-sifu" penulisan yang selama ini hanya ikut perkembangan tapi, sudah lama tidak bertegur sapa. Tujuan saya selain mengeratkan ikatan silaturahmi dengan kawan-kawan dalam bidang penulisan ini adalah untuk mendekatkan diri semula dengan penulisan. Syukur, perhubungan ini akhirnya membuat saya kembali menulis. Saya berharap agar api semangat yang semakin terang ini tidaklah pula dipadamkan pula. Teman-teman, terus beri saya semangat, ok?

Konvokesyen adalah sesuatu yang sangat bererti dalam hidup saya. Itu juga berlaku dalam tahun 2007! Saya pernah bercerita mengenainya dalam salah sebuah entri dalam blog ini juga bagaiman gembiranya saya serta harapan untuk bergraduasi lagi. Nampaknya Allah mendengar permintaan saya yang satu itu, saya akan mula meneruskan pengajian di peringkat sarjana pula pada minggu ini. Saya berharap agar saya dapat melakukan sarjana saya dengan lebih baik lagi. AMIN.

2007. Bila saya lihat semula tahun ini, sebenarnya lebih banyak kesedihan yang menyelibungi diri daripada kegembiraan pada suku pertamanya. Mungkin kekuatan yang masih berbaki sahaja yang membuatkan saya bangkit dan merenungi kembali diri. Suku kedua tahun ini nyata lebih membaik dengan pelbagai aktiviti-aktiviti baru yang saya ceburi. Sebenarnya kekecewaan ini banyak mengajar saya meredhai apa yang belum Allah suratkan pada saya lagi. Saya jadi lebih dekat padaNYA dan semakin memahami apa yang saya mahukan dalam hidup.

Saya mahu tinggalkan 2007 dengan baik. Saya tidak mahu menyalahkan dia kerana yang patut menanggung segalanya bukan nombor 2007 itu tetapi, lebih kepada diri sendiri.

2008. Saya berdoa agar saya menjadi insan yang lebih baik tahun tersebut. Berharap permulaannya yang akan saya mulakan dengan kembali menjadi pelajar akan merubah corak kehidupan dan kematangan diri dalam berfikir dan bertindak.

2008, saya mahu yang terbaik!

Wednesday, January 17, 2007

10 Tahun Mengenang Diri

Idea menulis entri ini timbul malam semalam (15 Januari) ketika sedang asyik berbual dengan abang saya, Mohariz dari rumah seorang kenalan ke rumah saya. Tiba-tiba saya boleh membuka cerita mengenang diri abang saya 10 tahun lepas...Tawa berselang tawa dalam bercerita...

Setelah dia menurunkan saya di depan rumah (dia kembali meneruskan perjalanan ke Kota Damansara) saya terkenang diri saya sendiri 10 tahun lalu. 10 tahun bukanlah satu jangka masa yang lama. Waktu itu(10 tahun lalu) mungkin kita rasa seperti tidak mungkin menjangkau tahun 2007. Namun,bila kita buka mata hari ini...sudah tahun 2007.

Seingat saya, tahun 1997 pelbagai kenangan terpahat erat dalam jiwa. Yang pasti yang utuh diingatan tahun itu Puteri Wales kesayangan dunia meninggal dunia bersama teman lelakinya, Dodi Al Fayed dalam kemalangan jalan raya di sebuah terowong Pont de l'Alma Kota Cinta, Paris. Mulalah bergema sebuah lagu tribute khas "Goodbye England Rose" atau “Candle in the Wind” bergema di segenap pelosok dunia mengenangkan kehilangan "puteri". Kehilangan yang mendapat publisiti besar dimana-mana sahaja. Manakan tidak jika yang menonton upacara kebumi sahaja lewat tivi sudah mencecah 2.5 Billion! Hampir berjuta-juta manusia pula menitis air mata walaupun tidak pernah mengenali Diana secara dekat. Aneh…bukan?

Kembali pada cerita saya. Tahun itu saya di tingkatan 2 di sebuah sekolah di Kajang. Sepanjang menjadi pelajar, tahun itulah paling meriah. Masih saya ingat tahun itu saya duduk sekelas dengan "Manusia-Manusia Genius". Kenapa saya kata begitu? Mudah sahaja. Ini adalah kerana saya tidak pernah menganggap diri saya ini layak untuk duduk sebaris apalagi sekelas dengan mereka ini. Saya pernah terfikir mungkin guru-guru tersalah perkiraan meletak saya di kelas ini (sampai begitu sekali!)

Walaupun ada rasa rendah diri sedikit sebanyak tapi, saya masih beranggapan teman sekelas di 2 Setia, 1997 adalah “teman” sekelas yang paling seronok. Pelbagai aktiviti kami lakukan bersama dan yang paling terkesan hingga hari ini adalah berlakon dalam drama sketsa “Beauty and the Beast” untuk minggu pusat sumber. Kawan-kawan adakah anda masih teringat waktu itu seluruh sekolah bertepuk tangan memberi penghormatan untuk persembahan drama itu… ;)

Hari ini jika saya bertanya teman-teman sebaya (yang turut menuntut di tingkatan 2 tahun tersebut), pasti mengangguk jika saya bilang antara lagu-lagu yang “famous” tahun itu adalah daripada Puff Daddy and Family, I’ll be Missing You. Katanya lagu ini tribute untuk Mendiang Notorius B.I.G. selain daripada itu mungkin kumpulan boy band semacam Backstreet Boys, 98 Degrees, N SYNC, 911 dan 5ive (sekadar menyebut beberpa nama) semacam hero bagi sesetengah daripada kita. Bila tersedar hari ini, kenapa waktu itu nama-nama “group” ini membawa semacam kesan pada diri? Kelakarkan?

Waktu itu (1997) banyak sekali anjakan paradigma berlaku pada diri saya. Mungkin barangkali waktu itu saya masih cuba membiasakan diri menikmati usia di alam sekolah menengah (di tingkatan satu dahulu…masih malu-malu mencuba…hehehehehe).Daripada aspek kekeluargaan, 1997 tahun saya menyambut kakak ipar sulung (perkahwinan pertama dalam adik beradik saya).

Hari ini setelah sepuluh tahun (2007), saya baru menamatkan pelajaran di UiTM dalam bidang penyiaran dan masih terkulat-kulat mencari pekerjaan yang sesuai untuk diri saya ini. Pelbagai kesukaran, kekecewaan, dugaan, cabaran, leteran, kutukan yang telah saya tempoh untuk berjaya mendapatkan hanya secebis kelulusan dan pengiktirafan di peringkat pengajian tinggi. Famili pula kian membesar. Saya sudah punya tambahan seorang lagi kakak ipar dan seorang abang ipar dengan 6 orang anak saudara yang comel dan banyak keletahnya.

Bila melewati hari-hari 10 tahun lalu dengan saya yang kini, terlalu banyak perubahannya. Oleh kerana itu, saya amat tidak bersetuju jika ada diantara kita berkata “Apa yang ada pada sejarah?” dan “Untuk apa dikenang hal yang lalu?”. Bagi saya, dengan menoleh ke masa lalu, kita akan senantiasa memperbaiki diri dan kelemahannya. Jadi, apa salahnya memperbaiki diri jika itu untuk kebaikan? Malah dalam agama kita juga banyak sekali mengsyorkan kita sesekali untuk bermuhasabah diri…Jadi saya kira…sampai di coretan yang nanti…Jumpa Lagi!!!

p/s: Misai pendek tidak bercahaya,

Ibarat kuda hampir mati,

Jika adinda tidak percaya,

Operatelah dada, X-Traylah hati…

(Adbul Wahib—

S Kadarisman

“Filem Tiga Abdul”)

Thursday, January 11, 2007

Hari Ini Dan Semalam

Wah tajuk entri saya kali ini serupa macam tajuk lagu J.Mizan yang popular sekitar tahun 70an. Hehehehehehhe...

Saya ini memang gemar membaca. Maka tidak hairanlah saya kira kalau saya rajin juga membaca isi "blog" orang lain. Pada saya dengan membaca blog lain orang kita semacam mendapat "idea" dan pandangan baru. Itu pandangan saya. Bagi anda saya tidak tahulah.

Hari ini saya terjumpa blog adik-adik Mantan MPR 2006. Wah, adik-adik kita kali ini lebih bersemangat dalam memperjuangkan dan mempertingkatkan diri mereka dalam bidang penulisan. Jadi, taniah saya kira tapi, jangan hanya setakat hangat-hangat tahi ayam. (Teringat kami dulu juga ada pelbagai sudut berkongsi itu ini mengenai bermacam-macam isu...tapi hanya sementara sahaja laman itu berfungsi...hehehehhehehhehehe).

Saya sangat terkesan dengan penulisan Nisah Harun dalam blognya mengenai soalan yang telah beliau dan Raihani Mohd Saaid utarakan kepada bakal-bakal penulis dalam MPR 2006 tempohari mengenai berapa lamakah mereka ingin kekal sebagai penulis? Tersenyum sendiri saya membacanya malah tidak malu kalau saya katakan memang tepat terkena batang hidung sendiri.

Saya kira sudah agak lama saya tidak duduk bersendirian, menari-narikan jari jemari saya untuk menulis sesuatu dengan penuh konsentrasi dan serius (jika ada itu semua untuk memenuhi kehendak pelajaran di universiti atau menyediakan skrip untuk produksi di radio tempat saya berkerja sambilan).

Serasa saya teknik penulisan dan daya kreativiti saya juga tidak sebaik dulu (kira-kira 5 tahun lepas...seusai MPR 2001). Saya masih ingat semasa dan selepas MPR saya rajin menulis. Banyak sekali yang keluar dari cepu minda saya. Mungkin kerana terlalu sibuk ke kuliah semasa berada di UiTM menyibukan saya hingga terlupa dengan dunia penulisan ini.

Terkedu (wah statement) bila saya lihat saya sudah jauh meninggalkan dunia kreatif ini. Percubaan untuk "PULANG" ke dunia ini memang satu cabaran juga saya kira. Beberapa menjak saya kembali menulis (walaupun hanya di blog,skrip untuk radio dan lirik untuk lagu kanak-kanak)...alhamdulillah saya lihat bahasa saya masih lagi baik untuk menulis. Jadi pertanyaan Kak Nisah dan Kak Rai saya palingkan pada saya sendiri...sampai bilakah saya akan menjadi penulis?...saya harap sehingga saya masih lagi berdaya menulis.

Namun saya kira saya tidak dapat lari jauh dari dunia ini. Mungkin perasaan saya saja yang tidak perasan. Bagaimana boleh saya lari dari dunia ini. Saya ini graduan pengajian media. Hendak atau tidak senantiasa bermain kata-kata (dengan menulis) dalam segala hal (bidang kerja saya). Cuma untuk menulis karya kreatif secara serius...saya harap saya dapat lakukannya sekali lagi. Waktu di Universiti dulu...entah kemana kesedaran ini hilang...Aduhhh!!!

Bagi saya menulis ini banyak sekali faedahnya dalam hidup saya. Malah dalam iklan kerja kosong yang saya minta semua mahukan pemohonya pandai menulis...Berbaloi sungguh saya kira...

Sampai Nanti!!!