Friday, May 22, 2015

Membakar Kerinduan





Pada penjuru petang
menghadap bias matahari jatuh
aku cuba membakar kerinduan
semoga cair, tersejat dan naik ke permukaan langit
kembali kepada pemiliknya.

Justeru, sejurus tersejat
tidak ia kembali padaNYA
tapi meresap tubuhku
memesrai jiwaku
kemudian tenang
memilih kembali kasurnya
di penjuru dadaku.

Putrajaya
22 Mei 2015

Thursday, May 21, 2015

Cinta Yang Datang Kemudian: Secangkir Seduhan Hujan



Ini kisah cinta yang datang kemudian (setelah cinta-cinta lain yang datang, pergi, mati ataupun tidak mahu datang-datang lagi). Amboi bunyinya macam semacam sahajakan?


Alhamdulilah. 'Anak' saya yang kedua telah selamat 'dilahirkan' pada April 2015 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015. Saya secara jujurnya perlu menyatakan ini: karya ini bukanlah yang terbaik. Saya masih belajar menyulam kata-kata dengan lebih baik. Menuntut ilmu itu bukan hal sepele dan bukan hal yang mampu dihabiskan dalam jangka masa tertentu. Doakan saya menjadi lebih baik di masa hadapan.


Untuk setakat ini, terimalah buah tangan terbaharu saya ini. Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan (bukan menghentam tanpa hikmah atau rasa negatif yang membuak-buak). Setiap penyair/penulis besar itu bermula dengan langkah pertama, kemudian jatuh, berjalan, berlari, kadang terjatuh kembali dan bangun lalu terus berlari tanpa berhenti. Begitu juga saya. Mohon tunjuk ajar.

Thursday, May 29, 2014

Manusia, Lingkungan dan Perasaan: Pulau Kepunyaan Muhammad Haji Salleh



Tajuk: Jatuh Ke Pulau Menjadi Pulau (Jilid 1)
Penulis: Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Penerbitan: 2014
ISBN: 978-967-430-397-6
Harga: Semenanjung Malaysia RM 150.00
            Sabah/Sarawak RM 165.00
Jumlah Halaman: 347
No Resit: ITBM02000176



“Granted, in daily speech, where we don't stop to consider every word, we all use phrases like "the ordinary world," "ordinary life," "the ordinary course of events" ... But in the language of poetry, where every word is weighed, nothing is usual or normal. Not a single stone and not a single cloud above it. Not a single day and not a single night after it. And above all, not a single existence, not anyone's existence in this world.
It looks like poets will always have their work cut out for them.”
Wislawa Szymbroska, syarahan bertajuk “The Poet and The World” sempena penganugerahan Hadiah Nobel Kesusasteraan 1996.




PUISI. Tidaklah semudah menyebutnya pada khalayak. Malah mencipta sesebuah kata dalam hanya sebaris ayat sahaja memerlukan ketajaman bukan hanya dari sudut bahasa yang baik tetapi mainan ‘rasa’ yang dimainkan puisi itu sendiri. Menulis puisi adalah seperti menulis hati. Menyirat segala kemarahan, ketidak pedulian, cinta, sayang dan penghargaan dalam bentuk paling padat tetapi cukup menyampaikan segala pesanan yang hendak diperkatakan kepada pembacanya. Oleh itu, puisi tidak sesekali mudah dituliskan dan dinikmat jika sekadar curahan hati sembarangan yang cuba dihidangkan penyairnya. Hilang segala kemanisan puisi dan namanya sendiri.

            Hal ini sekaligus menyetujui pandangan yang diutarakan penerima anugerah Nobel bagi kesusasteraan, Wislawa Szymborska. Bagi penyair, sesuatu yang barangkali dipandang biasa oleh mereka yang lain, bukanlah sesuatu yang biasa bagi penyair. Setiap perkara, peristiwa dan manusia yang melingkungi persekitarannya seringkali menjentik emosi dan rasa yang dimiliki seseorang penyair. Dalam kata lain, penyair mempunyai magis memberi ‘kehidupan’ pada hal-hal ini. Di tangan penyair, angin mampu berkata-kata, hujan tahu apa yang dikatakan sebagai rajukan dan dingin bukan hanya membeku tetapi memberi ketenangan. Penyair, selalu dan tidak akan pernah lepas dari tanggung jawabnya memeri, ‘menghidupkan’ lalu menelurkan bait-bait kata bernama puisi.

            Lalu untuk memperhaluskan rasa dan tajamnya penulisan, seseorang penyair dituntut untuk menjadi perenung dan sensitif pada setiap sesuatu yang berada di persekitarannya. Malah, hal berkenaan hendaklah selalu berdamping dengan penyair. Namun, bukanlah sesuatu yang menghairankan bila keghairahan dan imbangan sensitif mula diterjah muak serta bosan. Disaat ini, mengembara membawa sebuah nuansa lain kepada seseorang penyair dalam penulisannya. Menjadi penulis apa lagi seorang penyair, mengembara sudah menjadi kewajiban. Begitu juga apa yang dilakukan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dalam jilid pertama kumpulan sajak-sajak lengkapnya, Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau.

            Kumpulan sajak-sajak lengkap yang di datangkan dalam tiga jilid ini merupakan buku yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Menerusinya sebenarnya pembaca dibawa untuk mengikut penyairnya mencari, menyelami dan merasai musim dingin, semi, kering dan indahnya Amerika Syarikat. Baik di siring tangga perpustakaan Universiti Cambridge, melihat koleksi manuskrip lama yang tersimpan baiknya dan perasaan seperti mendakapnya sendiri, bersahabat dengan imigran di tengah kesibukan New York, melihat budaya dan generasi pewarisnya di Hawaii, mengejar kenangan di Mass Avenue, menyuarakan kemarahan terhadap setiap tindakan kapitalis kepada masyarakat terpinggir dan yang terpenting adalah mencari diri di antaranya.

            Jilid pertama dimulakan dengan kumpulan puisi terbaharu (2013) iaitu Kuntum Biru Kembang Lestari yang terdiri daripada dua seksyen “berkata-katalah” dan “di pantai asal”. Kumpulan puisi ini terdiri daripada puisi-puisi pendek. Namun jangan kita hanya memandang kepada panjang-pendek puisi yang disampaikan. Penyair menerusi kata-kata ringkas dan padat ini membawa kita menyelami silang pangkah hidup dalam falsafahnya. Puisi “Tidak Mengapa” sebagai contoh begitu membujuk pembacanya untuk bangkit dari sebuah kekalahan dengan kata-kata paling melegakan, mendalam meskipun pendek:

pilihlah perlahan,
tidak mengapa.

bukan semua jaya
hadiah buat mereka
yang memburu.

yang duduk
memerhati laku
dan laluan
juga belajar,
kerana di luar
terkelip lorong setapak
ke hujung setapak

            Sementara puisi “Memikul Cerita” mengajak kita melihat lingkungan alam persekitaran kita sebagai tamsil ibarat yang mengajar dan memperindah pengalaman diri:

setiap jadian
memikul ceritanya
ke sini.

di alir suaranya
berkicak kisah.

burung berkicau
cerita diri,
unggas
menjeritkan riwayatnya.

biarlah mereka berhikayat
dan terus berwujud.

            Penyair gemar akan tema ini. Beberapa kali ia diulang terutama di bahagian “Andes Di Awan” menerusi puisi berjudul “Sebuah Wujud Dalam Lima Unsur” (halaman 171). Menerusi puisi ini, penyair merincikan peranan batu, air, api, bintang dan tanah . Ataupun melalui puisi “Batu Dingin” (halaman 334):

empat ketul batu
berdiri di tengah sejuk sungai,
dari pagi tebingnya
basah berteman hari.

setiap ketul berwatak diri
seginya melakar besar
tebalnya mengukur gempal
setiapnya menyapa jiran

            Kemudian, jilid ini diteruskan dengan kumpulan puisi yang diterbitkan pada tahun (2008), Setitik Darah Di Bilik Bundar. Kumpulan di dibahagikan kepada 18 bahagia. Nah disini, kembara pembaca akan bermula di Hawaii dengan melintas garis tarikh antarabangsa, bau nenas, melihat warisan kebudayaan masyarakat tempatan menari tongga mahupun duka seorang pelancong yang mencari negara baharu:

walau di depan waikiki
yang seharusnya
tak pandai membaca duka,
julie yamada juga manusia,
rapuh di depan riang pelancong
dan merasa dihempas pasifik

(Hawaii, Negara Baru; 47)

            Beranjak ke bahagian “di depan perpustakaan tua” membawa kita berenang dalam nostalgia yang sempat dicatatkan berkenaan kehidupan penyair yang merupakan sarjana, penggemar buku, pencari akar umbi sejarah, dunia akademik dan dingin Cambridge sebagai sesuatu yang membahagiakan. Mengenali seseorang biblioholik, menikmati secangkir minuman panas (biasanya kopi) sambil membaca merupakan salah satu kesenangan yang tidak dapat diperincikan. Penyair memimpin lengan kita berjalan ke “Di Kedai Kopi”:

ya, bahagia
tak sering berhenti
di mana dia meneguk kopi
bersama buku

dan setelah itu jalan beriringan ke perpustakaan melihat “Penjaga Buku” (halaman 57):

dia menjaga
supaya ilmu selalu tersedia
dan buku akan terbuka
bila keperluan meminta-minta

            Mengenali sosok seorang Marquez menerusi karyanya yang sinonim menggambarkan akan ‘bau’, penyair mengangkat hal yang sama lewat “Selama Tiga Tahun” dan nanti sekali lagi penyair menyentuh tentang ‘bau’ di bahagian ‘new york, new york, new york’ menerusi puisi berjudul “Mencari Bau Busuk New York” (halaman 280). Lalu tangan pembaca ditarik kembali untuk sama-sama teruja berdiri “Di Depan Perpustakaan Tua” (halaman 69) berkongsi kisah tentang dunia luar yang hingar-bingar dengan flora dan fauna tetapi, tidak mengetahui kehadirannya di hadapan perpustakaan.

            Bergerak melihat manusia di lingkungannya, penyair menyuara kekesalan, nasib, perenungan dan kemarahan mengenai nasib para imigran yang terpaksa datang ke Amerika untuk meneruskan langkah hidup. Meski seperti gambaran penyair tidak semuanya berjaya, mendapat hasil yang lumayan dan kerap kali menjadi mangsa ekonomi ataupun penjarah. Seperti dirinya yang juga seorang pendatang ke dunia serba moden yang laju, hal ini seperti sebati dan lancar mengalir ke gelas kata-katanya. Penyair seperti menulis sebuah memoir lara nasib kaum pendatang ini. Pembaca ditarik untuk membaca nasib pendatang yang ada di Cambridge, Florida, New York (apatah lagi), Vancouver, California sehingga ke Montana. Melihat dan mengenai “Abdulla” pelajar dari Pakistan yang berada di perpustakaan (halaman 240):

reseki jatuh dari aksara
terbuka pada majalah
yang setiap hari bersusun.
pakistan disimpan
dalam harian peribadi,
kerana sekarang
dia abdulla yang
bertali leher dan bersarung tangan,
dan bersweter warna rusuh dan bangga.

            Mahupun membeli kebab si “Rafiqi Kebab” di  3rd Avenue, New York:

dia tidak gembira
di sudut jalan lain
walau lesennya membenarkannya
menjual falafel dan kebab
yang berbau sampai central station

anak dan isteri menangis dalam mimpinya
dan bom yang meletup
memecahkan hari dan minggunya

apakah dia akan kekal di sini
dalam konkrit kesepian
atau pun pulang ke longgokan bata
dan lubang bom –
apakah yang akan dipilihnya?


            Selain nasib pendatang, penyair juga menyentuh nasib rakyat Amerika sendiri. Ini termasuklah penindasan kapitalis yang mencekik seperti dalam puisi “Diapung Anggur” yang berkisah mengenai pengemis yang tinggal di jalanan (halaman 79):

di mass. ave.yang lebar kecamuk
dekat central square yang berjiran m.i.t
mereka menadah pagi
buat nafkah bir
atau anggur tengah hari,
rokok dan roti mungkin bonusnya.

Juga menerusi puisi berjudul “Mimpi Murah”(halaman 125):

kami tidak punya akaun bank
atau tanah bersungai
untuk dibentang ladang,
ragut kambing
dan juga rumah mudah
dipinggir kota.

            Di Amerika juga, penyair mencitrakan tokoh kecil di tempatnya. Puisi “Mrs Nick” berkisah tentang perjuangan seorang guru matematik yang bahagia meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru.

dia membaca jiwa kecil
seperti membaca teorem,
ada aturan dan ada juga jentik perasaan
di bawah bumbung atau di celah rhodendoron

(halaman 194)

            Kembara pada akhirnya adalah pencarian diri sendiri ataupun memberi wajah baharu tentang sesuatu yang biasa dan ditinggalkan. Begitu juga puisi-puisi dalam kumpulan ini. Puisi pada halaman 104 berjudul “Berapa Jauhkah?” membawa kenangan bernostalgia di laman ingatan penyairnya:

“berapa jauhkah
ann arbor
     dari cambridge yang berpaut
  pada tebing hitam charles?
aku ingin kembali
ke kedai bukunya
dan tasik air batu
serta sungai bermusim gugur.

di sana aku pernah muda
dan belajar hidup
dari kerut dunia.”

            Juga perenungan mengenai diri dan pengalaman yang dilalui sejauh ini:

pulang ke malaysia aku lega sedikit
kerana sekurang-kurangnya nama salahku
tidak diulang petang dan pagi
aku dikenal seperti sebelum berangkat

(Ada Apa Pada Nama?, halaman 341-344)

            juga coretan peralihan usia:

pada usia tua
jawapan tidak lagi
berdiri tunggal dan tegak

soalan pun, walau betapa jelas
membaur samar samping
di tengah belantara kenyataan.


(Pada Usia Tua, halaman 340)

            Inilah pulau milik Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh. Padat dengan lingkungan flora dan fauna kehidupan, disentuh ombak perasaan yang cukup rasa manis, masin, pahit dan tawar, sesekali bertukar musim semi, dingin dan bunga di peralihan usia. Segala-galanya saling lengkap-melengkapi di pulau puisinya. Kerana semua segalanya mungkin.

semuanya yang mungkin
sudah menjadi harus.
            apakah yang mungkin berlaku
            di jalan samping yang tak dilalui
ke mana akan aku dibawa
kalau aku tidak memilihnya?

kakiku tidak memijak sekarang.

dan kasih tak jadi
kerana malu atau lambat menyerbu?

dan siapakah orang ketiga
yang mencelah dan merubah?

ke manakah rumahku
dan siapakah isteri,
dan anak kami bagaimana?


Semuanya Yang Mungkin, halaman 143.




*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014.

Thursday, February 27, 2014

Kekasih



Seperti hujan di musim kemarau

Aku

cuma mahu 
kau kembali

Cukup sudah.




Hani Salwah Yaakup
27 Februari 2014


*Foto dari sini

Tuesday, February 18, 2014

Mishima dan Filem Melayu

Hamzah Hussin pernah berkata (dlm Hamzah Hussin 2004: 41): Sebuah lakon layar berasaskan kepada novel Yukio Mishima (uwaa...suka suka suka!) telah ditulis untuk mengisi 'kekosongan' dan 'kekontangan' tema filem Malaysia sejak tahun 1963. Namun kerana lakon layar berkenaan tidak disesuaikan dengan adat resam tempatan, filem berkenaan itu tidak menjadi ke bentuk filem akhirnya.


Eh, buku yang mana tu ya? Mahu tahu juga. Tiba-tiba terbuai kembali plot dan kisah "After The Banquet". Saya suka wanita dalam kisah itu.

Wednesday, February 12, 2014

Sesal, Takdir dan Merantau

1.
Apa pandangan anda pada sesebuah perkara yang terjadi kepada diri anda? Tidak kisahlah sama ada perkara itu manis atau sebaliknya. Adakah anda pernah menyesali setiap perkara yang berlaku dalam hidup anda?

Ya pada saya menyesal itu perlu. Malah dituntut untuk sentiasa menimbang kelakukan baik dan buruk yang pernah kita buat sebagai pengajaran untuk diri sendiri dan tidak berbuat hal sama pada masa hadapan. Namun, selain menyesal dan menimbang hal berkenaan janganlah kita terlupa bahawa setiap yang terjadi pasti ada sebabnya yang mahu DIA katakan pada kita secara tanpa sedar dan tidak langsung.

Bukanlah saya berkata berbuat salah, tidak benar itu tidak mengapa. Oh tidak sama sekali. Tetapi, cuba kita renungkan setiap perkara yang terjadi ini pasti ada yang hendak DIA 'ucapkan' kepada kita.

2.
Banyak sekali perkara yang ketika saya lalui yang saya tempuh dengan rasa sedih, azab dan merasa sungguh tidak adil. Keputusan saya membungkus barangan dan pakaian ke Borneo suatu ketika dahulu adalah antara perkara yang benar menjerut leher. Namun, saya nekad juga. Mencuba sesuatu yang berbeza dan berlainan dalam hidup. Malah ketika berpergian jauh dari ibunda, ayahanda, keluarga serta teman-teman rapat memang menguji keteguhan hati dan perasaan.

Waktu itu sendiri selain membuat keputusan mencuba sesuatu baharu, saya dalam fasa "lari" sebentar untuk mencerahkan beberapa perkara dalam minda dan hati. 

Menambah cekal hati untuk terus bergerak meninggalkan rumah dan berhijrah adalah kata-kata daripada seorang tokoh Islam, Imam Shafei R.A. Syair itu berbunyi begini:

Dan tiadalah duduk setempat bagi orang cerdik dan beradab itu dianggap sebagai rehat # Tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah,Berkelanalah, engkau akan dapat pengganti orang yang kamu tinggalkan # Berusahalah, kerana keindahan hidup itu ada pada berpenat-penatan.Aku melihat air yang tenang bertakung, mencemar kandungannya sendiri # Sekiranya ialah mengalir, ia akan baik, sekiranya ia tidak mengalir, tercemar.Singa sekiranya tidak keluar daripada kepompong dunianya, nescaya tidak akan dijinakkan # Anak panah, kalau tidak berpisah dengan busurnya, nescaya tidak akan mengena sasaran.Matahari sekiranya tidak bergerak daripada orbit selama-lamanya # nescaya akan bosanlah manusia, Arab dan ‘AjamEmas hitam (di dalam tanah lombong lagi) adalah sama seperti tanah biasa sekiranya tidak dikeluarkan # Dan kayu ‘aud (dibuat minyak wangi/gaharu-sic) sekiranya kekal di tanah, maka samalah seperti kayu biasa.Jika (kayu ‘aud) itu dikeluarkan, maka hebat dan tinggilah permintaannya # dan jika (emas tanah hitam) itu dikeluarkan, maka hebatlah ia seperti (menjadi) emas.
Kinabalu dari kamar kerja
3.
Dugaan dalam merantau itu biasa. Ya, jika tanya saya kini adakah keputusan saya itu saya sesali kini? Jujurnya tidak satu pun saya sesali. Yang baik dan buruk yang terjadi ketika merantau sebenarnya menjadikan siapa saya kini. Bila kenang semula, saya ketawa dan menginsafi diri.

Teman serumah

Pertama rupanya saya ditakdirkan sebagai 'orang tengah' membantu seorang teman serumah yang selalu keputusan sumber kewangan. Kebetulan dia bekerja sebagai pensyarah sambilan di sebuah IPTA di sana dan tidak setiap bulan menerima wang gajinya. Kami benar hidup susah senang bersama. Dia setiap pagi dan petang yang menghantar menjemput saya di kampus dan kadangkala dia tidak beritahu pun pada saya di kantungnya tiada sebarang wang untuk minyak keretanya. Ya Allah sedih sebenarnya saat itu melihat dia. Namun kecekalan dia selalu buat saya sendiri berfikir. Rupanya rezeki yang saya terima untuk dikongsi. Syukur saat sukar begini untuk saya menyesuaikan diri, dia selalu ada dan menemani. Sekadar berkongsi makanan yang saya masak di rumah, apalah yang besar pun saya buat untuk dia. Melihat orang makan, adalah sebuah kepuasan untuk saya yang tidak mampu digambarkan.

Sebuah kopitiam tempat kegemaran saya bersantai dan sarapan setiap pagi ahad di Gaya Street, KK

Kedua pula saya semakin menghargai kepelbagaian yang wujud di Malaysia. Terutama di Borneo. Berbilang kaum dan agama bukan halangan sebenarnya untuk bersahabat dan bergaul. Di Semananjung, hal ini barangkali hanya mampu diucap tanpa dipraktikkan sebenar-benarnya. Saat ini saya bertemu juga dengan teman yang telah saya kenali atas talian sejak tahun 2007 ketika saya bekerja di Putra FM. Waktu itu dia sedang mengandung anak sulung dan saat saya sampai di Borneo, anaknya sudah dua. Anak sulungnya sudah berumur 5 tahun. Malah, tanpa pernah bertemu wajah, dialah individu yang pertama bertemu saya, menumpangkan saya semalam di rumahnya dan menghantar saya ke rumah sewa setelah itu. Oh, mana boleh bertemu sahabat baik begini? Betul kata Imam Shafie, 'merantau akan menemukan ganti kepada sahabat dan keluarga'. Alhamdulilah. Terima kasih, Aniza dan Yusz.

Ketiga merantau telah mengajar saya untuk lebih menghargai. Jarak dan masa sebenarnya mengajar dan mendewasakan. Tentang duka, tentang rasa yang sebentar menghuni relung hati. Kadangkala tanpa sedar bila kembali ke tempat asal, semua tentang rasa yang kejap dan menyesakkan sebelum itu memberi kelainan yang berbeza.

4.
Barangkali begitulah manusia kan? Hanya mampu menghargai setelah menikmati sesuatu yang menjeruk hati dan perasaan. Bak, kata seorang sahabat "duka memang tidak pernah abadi tetapi manusia yang memilih untuk menjadi abdi terhadap duka".Oh betapa benar.

Percayalah setiap perkara yang terjadi, setiap pertemuan, setiap perkenalan, setiap sesuatunya ada sebab kenapa ditakdir Allah untuk kita. Barangkali bukan pada waktu berkenaan tetapi, setelah itu. DIA tahu apa yang baik dan buruknya buat kita. Kadangkala kita yang enggan untuk melihat dengan mata yang luas dan udara yang baharu kerana kita terlalu selesa untuk berada, berperasaan atau menghuni perkara yang pasti. Begitu juga saya. Semoga kita selalu dekat padaNYA dan meminta untuk selalu dalam rahmat dan rahimNYA. In sha Allah.




Gaya Street setiap ahad ada tamu



Juga bertemu teman-teman baharu saat dirantau. Yang banyak membantu, dan menghilami. Terima kasih.

Monday, February 10, 2014

Si Kecilku

Alhamdulilah sebesar-besarnya untuk DIA, pemilik segala-galanya. Ini percubaan pertama yang manis. Yang paling berharga adalah bisa duduk bersekali dan menang dengan mereka yang saya kagumi sejak kecil dan sejak mula aktif semula menulis kembali. Walaupun menerima sagu hati untuk Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH, saya sudah bersyukur amat sangat. Mahu tidak, daripada 317 buah manuskrip yang dihantar, manuskrip 'kecil' saya itu dapat 'menyelit' dalam 10 terbaik.

Terimalah sebuah sumbangan kecil saya untuk nuansa sastera tanah air, Kumpulan Puisi Tentang Pertanyaan. Boleh dibeli di laman sesawang ITBM ataupun langsung daripada saya.



Kulit "Tentang Pertanyaan"


Saya di acara penyampaian hadiah Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH di Sri Satria, Putrajaya


Salah sebuah puisi dalam "Tentang Pertanyaan"

Sunday, May 26, 2013

Tuhan, Manusia dan Yang Dekat Dihati



1.
Ramai kata filem ini bagus. Ya, sampai rasa teruja, lalu saya pun pergilah menonton.


2.
The Great Gatsby (2013) adalah sebuah filem adaptasi daripada novel karya F Scott Fitzgerald daripada novel bertajuk yang sama dan diarahkan oleh Baz Lurmann. Antara lain filem ini bermula apabila Nick Carraway (Tobey Maguire) seorang veteren Perang Dunia Pertama dan juga seorang graduan Yale ingin memulakan kehidupan dengan mempelajari bagaimana untuk menjual bond di New York. Untuk itu, Carraway telah berpindah ke Long Island dan sering diperhatikan oleh jirannya, Jay Gatsby (lakonan Leonardo Dicaprio), seorang kaya yang memilik rumah seumpama istana yang sering didatangi ramai orang yang berpesta pora. 

Konflik bermula apabila Carraway di undang makan malam di rumah sepupunya Daisy Buchanan (Cary Mulligan) dan suaminya Tom Buchanan (Joel Edgerton) dimana rumahnya terletak di seberang rumah Carraway di East Egg (rumah Carraway di West Egg). Disini Carraway berkenalan dengan seorang pemain golf wanita bernama Jordan Baker (Elizabeth Debici). Sewaktu makan malam, konsentrasi mereka diganggu oleh panggilan telefon. Disini terlihat konflik dalaman rumah tanggan Daisy dan Tom. Dimana antara lain Jordan memberitahu Carraway tentang perempuan simpanan Tom yang tinggal di New York. Malah, reaksi tidak terduga di wajah Daisy (seperti sedang jatuh cinta) apabila mendengar nama Gatsby ketika Carraway menyatakan berjiran dengan lelaki itu. 

Suatu hari dalam perjalanan ke New York dengan kereta api, John telah mengajak Carraway untuk pergi Mrtyle Wilson, wanita simpanan John di Long Island berhampiran kawasan yang disebut sebagai Valley of Ashes dimana suami Mrtyle, George Wilson mempunyai garaj berhampiran sebuah bilboard mengenai kedai optikal dengan gambar mata seorang doktor. Mereka telah berpesta pora dan ketika ini John meminta Carraway untuk merahsiakan hubungannya dengan Mrtyle.

Nick kemudiannya menerima jemputan daripada Gatsby untuk turut serta dalam pesta pora yang berlangsung dirumahnya. Malah yang mengejutkan adalah, hanya Nick sahaja menerima undangan itu dan tetamu yang lain, tidak. Namun sedikit ironi, Gatsby tidak pernah dikenali pengunjung ke pesta-pestanya. Lalu,pelbagai cakap-cakap yang diterima Nick mengenai Gatsby antaranya adalah seorang pembunuh, seorang Kaiser dari Jerman dan ahli kongsi gelap. Namun, siapa Gatsby masih menjadi tanda tanya. Pertemuan tidak sengaja (meski seperti dirancang Gatsby), Nick berkenalan dengan Gatsby mulai dari itu. Hubungan itu mulai rapat dan Gatsby memperkenalkan siapa dirinya yang kononnya seorang anak orang kaya, bekas tentera dan pernah belajar di Oxford. Akhirnya terbongkar rahsia hubungan baik Gatsby dan Nick adalah untuk mempertemukan kembali Gatsby dan Daisy yang terpisah selama lima tahun kerana terlibat perang. Lalu mereka bertemu di rumah Nick atas jasa baik Nick.

Berlakulah sebuah hubungan Daisy-Gatsby, Martyle-John.


3.
Sebagai penonton, kita akan dibawa untuk mengasihani watak Daisy pada permulaan kisah ini. Bagaimana suaminya berlaku curang dengan perempuan lain dan bagaimana melihat kekasih lamanya masih menyintainya sepenuh hati. Namun, seiring dengan pergerakan cerita menuju klimaks, kita akan semakin membenci watak ini kerana dia sendiri sebenarnya tidak pernah jujur dengan dirinya sendiri. Dia gambaran wanita moden, cantik, sophistikated dan bergaya tetapi, hanya mementingkan diri sahaja. Bayangkan ketika beromansa dengan Gatsby dia hanya inginkan kegembiraan, nikmat seksual dan berpesta pora. Jika benar dia sebenarnya memikirkan keutuhan keluarga, mencintai suaminya dan anak perempuannya (seperti yang dia katakan pada babak Nick datang makan malam dirumahnya bahawa dia tidak sabar melihat anaknya itu bahagia), awal lagi dia boleh menolak Gatsby dengan baik, tidak  memberi harapan jauh sekali datang melawat secara senyap-senyap ke kediaman Gatsby.

Seterusnya watak John itu sendiri. Dia merepresentasi watak lelaki kaya tipikal, yang sukakan polo (ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan semangat suka bersaingnya itu), miang (lihat bagaimana lelaki ini mudah mengadakan hubungan dengan perempuan dahi licin diluar). Bukanlah kerana cinta atau cemburu dia masih bertahan dengan Daisy tetapi, rasa ego untuk tidak pernah mengalah. Lihat babak dia rela isterinya dibawa Gatsby dan dia membawa Jordan dan Nick untuk ke New York. Begitu juga apabila mahu pulang semula ke Long Island.


Nick. Manusia biasa seperti kita. Penuh manusiawi. Diawal kisah pun dia menegaskan, dia tidak beranggapan buruk pada manusia lain. Lalu, kisah putus cinta-terpisah-tidak dapat bersatu Daisy-Gatsby adalah sesuatu yang mendatangkan kesedihan luar biasa. Tambahan lagi melihat usaha Gatsby membina rumah besar-menjadi kaya raya-terkenal-masyhur-mengada pesta pora untuk menarik perhatian Daisy. Itu adalah pergorbanan yang luar biasa seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya. Lihat dia sanggup berhujan diluar rumahnya semata-mata untuk memberi privasi kepada Daisy-Gatsby. Ketika terpaksa merahsiakan hubungan John-Martyle, Nick tahu itu salah. Lihat babak dimana dia melihat orang memandang ke atas dari kaki lima ke tingkap-tingkap bangunan yang mendiaminya.

Gatsby. Lelaki ini adalah lelaki yang positif dalam kehidupannya. Lihat bagaimana dia melihat hidup seperti ada cahaya dihujung sebuah terowong yang gelap. Itu adalah konsep cintanya pada Daisy. Kadang kala dia seperti tidak mahu hidup di masa hadapan. Dia mahu kekal hidup dalam dunia lama dimana dia masih bersama Daisy dan kekal berbahagia. Lihat usahanya untuk memenangkan kembali Daisy dengan rumah agamnya yang berlapis tingkat, pakaian berjenis fabrik, mobilnya yang ditempah khas, pesta poranya yang gemilang malah segala-galanya perlu hebat hanya untuk menyatakan pada Daisy, dia mampu mengembirakannya. Hampir akhir kisah, kita akan marah juga dengan lelaki bernama Gatsby ini. Move on. Kamu kacak, bergaya dan hebat!


4.
Ada beberapa adegan yang buat air mata saya bergenang. Ada yang membuatnya mengalir. Sudah lama Leornardo Dicaprio tidak buat saya menangis. Terakhir mungkin Titanic dengan 'you jump I jump' tu. Adegan pertama adalah bila dia menerangkan harapan untuk hidup bersama dengan Daisy kepada Nick selepas pesta kedua di rumahnya. Kedua penjelasan bahawa dia tidak melanggar Mrtyle tetapi Daisy. Ketika adegan menanti panggilan dari Daisy. Sangat melara. Dicaprio anda buat saya tersentuh. Malah mengingatkan saya seseorang dalam kehidupan realiti. Semoga sahaja dia bukan sebegitu (seperti sangkaan saya dan selalunya dia prove saya salah :P).

Bilboard gambar mata itu sangat mengesankan. Cuba lihat bilboard itu mengarah hanya ke kawasan dari mata datangnya watak-watak utama filem ini. Bukan mengadap ke New York. Nampak tak simbol bahawa semuanya berlaku di sebelah sini. Masalahnya besar dan bukan enteng. Dan ya...imej jelas bahawa Tuhan melihat semua dan akan memulangkannya satu satu setimpal harga.

Saya tidak faham apa fungsi bunyi seksafon tidak sedap sewaktu babak skandal Mrtyle-John. Mungkin ada yang saya terlepas pandang. Ya mungkin. Tapi, saya suka imej ais dan bunyi ketukan pada ais. Seperti ada dendam belum terlerai. Malah bunyi itu masuk dahulu sebelum adegannya.

Pemilihan Amitabh Bachcan tu macam sesuatulah. Memang Meyer Wolsheim dalam novel adakah kacukan India atau memang black atau macam mana? Dia disitu tetapi, auranya tidak dirasai.


5.
Berbaloi tonton. Terpaksa ke dua pawagam berlainan kerana sebuah penuh dan waktu tayangannya tidak kena dengan waktu sendiri. Menonton fiem ini bukan hanya melihat ceritanya tetapi menonton 'kedalamannya'. Kadang kala dia muncul dalam bentuk semiotik tanda penanda pada latar, pada elemen mise-en-scene dan watak itu sendiri.

Ok itu sahaja nak tulis. Saya pun baru tulis rebiu filem. Ok nanti cuba lagi.

Saturday, May 25, 2013

Guru, Sasterawan dan Cenderahati


Tajuk: Cikgu Shahnon Di Mata Kami
Editor / Penyusun: Rahimidin Zahari
Tahun Terbitan: 2013
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Genre: Sastera
Harga: RM 25.00 (Semenanjung Malaysia)

            RM 30.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman: 194 halaman

No Resit: ITBM 02000052


Berburu ke padang datar,
 Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
 Bagai bunga kembang tak jadi.


Dalam adab menuntut ilmu, darjat seorang guru itu senantiasa berada pada martabat yang tinggi. Malah dalam tradisi hidup golongan Melayu, guru antara golongan yang perlu dihormati setelah ayah bonda. Jika kita lihat pada tahun-tahun awal sebelum merdeka dan selepas merdeka, mempunyai kelulusan sebagai seorang guru itu dipandang hebat orang seisi kampung. Menjadi guru adalah profesion paling ‘hip’ dalam sela waktu yang dirincikan kerana sering dianggap golongan yang mampu untuk memiliki kereta dan rumah sendiri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan pada waktu ini bermenantukan guru lebih dipandang mulia.

Meneruskan siri “…Di Mata Kami”, kali ini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) kembali dengan buku keduanya, Cikgu Shahnon Di Mata Kami susunan Rahimidin Zahari, penyair dan penulis mapan tanah air. Secara amnya buku ini memaparkan pandangan peribadi seramai 26 orang penulis daripada berbagai latar belakang. Semuanya berkongsi rasa dengan para pembaca mengenai pengalaman peribadi serta ketokohan Sasterawan Negara yang kedua, Prof Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad.  Barangkali ada yang akan bertanya apa kaitannya seorang Sasterawan Negara yang berpangkat Profesor Emeritus dengan panggilan ‘cikgu’? Semestinyalah seorang yang mempunyai pangkat seumpama ini akan lebih mesra dipanggil sekurang-kurangnya Prof, Dr atau paling tidak pun Dato’. Buku ini akan memberi jawapan apa yang menyebabkan beliau lebih akrab disapa dengan panggilan ‘cikgu’ oleh mereka yang mengenalinya secara dekat.

26 buah tulisan daripada 26 orang penulis ini antara lain memperihalkan atau berkongsi pengalaman mereka mengenai ‘cikgu’ yang mereka mesrai ini daripada pelbagai aspek. Yang utama pastilah kenangan, jasa baik dan sebagai tanda cenderahati bagi menghargai guru mereka. Perkara ini dapat dilihat menerusi tulisan oleh Amelia Hashim, Fatimah Busu, Faisal Tehrani, Norhisham Mustafa, Osman Ayub, Rahimidin Zahari, Sabri Buang, Salleh Yaakob, Wan Ahmad Ismail dan Azhar Abu Bakar. Berguru disini termasuklah menuntut ilmu dibawah didikan formal di sekolah yang pernah Shahnon bertugas, di Universiti Sains Malaysia (USM) dan (dimana Shanon betindak sebagai pensyarah disitu) ataupun menuntut ilmu menerusi bengkel penulisan yang kerap kali disertai Shahnon sebagai fasilitator. Selain daripada penghormatan seorang pelajar terhadap gurunya, buku ini turut menampilkan tulisan berkaitan ketokohan Shahnon menerusi persatuan penulis yang disertainya dan diterajuinya secara aktif seperti GATRA (Gabungan Sasterawan Sedar), PENULIS yang kemudiannya ditukar kepada ASASI (Angkatan Sasterawan Nasional) seperti yang dikisahkan oleh Rejab F.I., Puzi Hadi, Ismail Restu dan Hassan Basri Budiman. Aspek ketiga yang dikongsi bersama pembaca semestinya ketokohan Shahnon dalam bidang sastera terutamanya menerusi novelnya yang mengangkat tinggi namanya iaitu Ranjau Sepanjang Jalan. Hal ini dikisahkan oleh SM Zakir dan Rebecca Ilham. Disamping itu juga kita akan turut merasai perhubungan baik seorang penulis dengan editor menerusi tulisan Mohamad Yussop Ishak, seorang pengagum yang akhirnya bertindak sebagai seorang pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Zaiton Ajamain dan pandangan peribadi seorang Sasterawan Negara kepada seorang Sasterawan Negara melalui tulisan sumbangan SN Dato’ Nordin Hassan.

Pembaca semestinya tidak boleh lepas membaca tulisan Sutung Umar RS berkenaan fungsinya sebagai editor yang bertindak dalam kontroversi Shahnon Ahmad- Kassim Ahmad berkenaan isu sastera islam. Sutung berkata;

“Apabila Shahnon menjawab gagasan yang diberikan Kassim tidak berapa minggu selepas saya menghantarkan salinan kepadanya, saya berasa cukup gembira, kerana Shahnon pada pandangan saya waktu itu, tidak ada buruk sangka terhadap tulisan dan pandangan Kassim. Begitulah selanjutnya apabila menerima jawapan Shahnon yang mempertahankan hujah-hujahnya, saya menghantar pula kepada Kassim dan meminta Kassim menjawabnya. Begitulah berlangsungnya polemik itu dengan licin sekali”.

Seterusnya turut menarik untuk diberi perhatian adalah pandangan penulis mengenai penglibatan Shahnon dalam Al-Arqam. Ini disuarakan oleh Salleh Rahamad menerusi tulisannya ‘Biarlah Shahnon Menulis’ dan Fatimah Busu yang menyuarakan pengalaman melihat Shahnon dan isterinya memberi tumpang kepada sekumpulan ahli jemaah Al-Arqam dirumah mereka. Yang menarik bagaimana mereka menulis tentang kesan penyertaan Shahnon menerusi pertubuhan ini dan akhirnya menjadi ilham kepada novel Ana dan Abang Syeikhul dan Tok Guru. Malah hanya untuk beroleh pengalaman juga, Shahnon akhirnya ‘termakan pujukan’ untuk turut sama menjadi seorang wakil rakyat bagi kawasan kampungnya di Sik, Kedah. Bagaimana pengalaman ini memperlihatkan kredibiliti seorang Sasterawan Negara mula dipandang rendah oleh Ahli Dewan Negara yang lain (kerana menjadi Wakil Rakyat menerusi tiket parti lawan), bagaimana Shahnon membela penduduk di kawasan yang diwakilinya dan bagaimana akhirnya Shahnon ditimpa penyakit Myasthenia Gravis (MG) dirincikan oleh penulis seperti Amelia Hashim, Osman Ayob dan Nassury Ibrahim misalnya.

Memberi pengiktirafan sebagai seorang penyair dan penulis wanita pula adalah bahagian paling manis saya kira. Ini akan kita raih melalui tulisan Zurinah Hassan. Zurinah menceritakan disaat sarjana dan pengkaji sastera yang lain seakan enggan meneliti atau melihat sumbangan tulisan para penulis wanita, Shahnon Ahmadlah orang pertama mengiktiraf Zurinah Hassan dan akhirnya menjadikan kumpulan puisi pertama tulisan Zurinah Hassan sebagai realiti. Ini berlaku apabila Shahnon memberi sokongan penerbitan kepada Naib Canselor USM ketika itu. Shahnon juga malah telah menulis beberapa tulisan ilmiah berkaitan hasil karya Zurinah. Tidak ketinggalan juga adalah pandangan  mengenai novel kontroversi tulisan Shahnon seperti TiVi dan Shit seperti dalam tulisan Nassury Ibrahim. Disebalik kontroversi ini kita juga disajikan dengan permohonan maaf secara terbuka seorang penulis dan penyair mapan tanah air, Shamsudin Othman. Permohonan maaf ini dilihat sebagai sesuatu yang agak ‘lucu’ bila mana penulis mengakui pernah menjual novel Shit secara pasar gelap ketika menuntut di Universiti Malaya bersama-sama dengan Nassury Ibrahim.

Beberapa perkara menarik selain 26 buah tulisan ini semestinya kulit buku itu sendiri. Muka hadapan memperlihatkan Shahnon berkain pelikat dan kemeja-T lengan panjang tersenyum mesra dan seakan mengiakan panggilan ‘cikgu’ yang tertera di kulit hadapan sebagai tajuk. Sebuah lagi elemen menarik adalah konsep memberi highlight dengan membesarkan tulisan yang merupakan gist setiap tulisan. Namun sayangnya, setiap tulisan tidak disertakan latar belakang penulis seperti siri sebelum ini. Jadi pembaca tertanya-tanya siapakah penulis dan bagaimana kaitannya dengan Shahnon? Adakah sebagai pelajar, pengagum, sarjana, editor atau pembaca novel Shahnon sahajakah?
 
Malah berbeza dengan siri sebelum ini, gambar yang disertakan adalah gambar yang bukan hanya milik peribadi Shahnon tetapi, milik peribadi penulis yang menyumbang tulisannya. Ini seperti membangkitkan aura tersendiri kepada sesebuah tulisan berkenaan. Catatan hujung mengenai proses penerbitan buku ini turut dilampirkan bersama. Ya ternyata perkara berkenaan sangat lucu dan memberi sedikit rasa yang berlainan daripada tulisan lain. Malah pembaca ‘seakan’ diajak bersama mengembara ke Penang, Sik sehingga ke Bandar Baharu Bangi dan berkongsi rasa senang serta susah hanya dalam usaha menerbitkan buku ini.
  
Seperti kata Shahnon menerusi Ranjau Sepanjang Jalan:

“Mati hidup susah dan senang dipegang Tuhan. Dipegang Allah Azzawajala”

Semoga Allah Azzawajala memberi kesihatan yang baik untuk SN Prof Emeritus Dato’ Hj Shahnon Ahmad. Semoga ada lagi Lahuma dibendang, perkongsian derita tetapi menginsafkan seperti dalam Detik-Detik Diri di Daerah Daif malah semoga ada guyur memercik ke tingkap lagi dalam Pabila Hujan Turun di Dewan Sastera. Begitu juga hendaknya semoga tulisan dalam mengingatkan dan memperkenalkan generasi muda mengenai karya sastera terbaik dan ketokohan seseorang Sasterawan Negara perlulah diteruskan. Tidak hanya berhenti disini.

*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Pertandingan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2013.

Friday, November 09, 2012

Terbaharu


Alhamdulilah akhirnya secuit tesis sarjana ini sudah diberi nafas lain untuk pembaca majalah biasa. Jemput baca tulisan saya dalam majalah Dewan Budaya, November 2012 bertajuk "Antara Pengulas dengan Mengulas". Harap-harap tiada yang memulas sudahlah ya :P