Saturday, May 25, 2013

Guru, Sasterawan dan Cenderahati


Tajuk: Cikgu Shahnon Di Mata Kami
Editor / Penyusun: Rahimidin Zahari
Tahun Terbitan: 2013
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Genre: Sastera
Harga: RM 25.00 (Semenanjung Malaysia)

            RM 30.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman: 194 halaman

No Resit: ITBM 02000052


Berburu ke padang datar,
 Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
 Bagai bunga kembang tak jadi.


Dalam adab menuntut ilmu, darjat seorang guru itu senantiasa berada pada martabat yang tinggi. Malah dalam tradisi hidup golongan Melayu, guru antara golongan yang perlu dihormati setelah ayah bonda. Jika kita lihat pada tahun-tahun awal sebelum merdeka dan selepas merdeka, mempunyai kelulusan sebagai seorang guru itu dipandang hebat orang seisi kampung. Menjadi guru adalah profesion paling ‘hip’ dalam sela waktu yang dirincikan kerana sering dianggap golongan yang mampu untuk memiliki kereta dan rumah sendiri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan pada waktu ini bermenantukan guru lebih dipandang mulia.

Meneruskan siri “…Di Mata Kami”, kali ini Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (PENA) kembali dengan buku keduanya, Cikgu Shahnon Di Mata Kami susunan Rahimidin Zahari, penyair dan penulis mapan tanah air. Secara amnya buku ini memaparkan pandangan peribadi seramai 26 orang penulis daripada berbagai latar belakang. Semuanya berkongsi rasa dengan para pembaca mengenai pengalaman peribadi serta ketokohan Sasterawan Negara yang kedua, Prof Emeritus Dato’ Haji Shahnon Ahmad.  Barangkali ada yang akan bertanya apa kaitannya seorang Sasterawan Negara yang berpangkat Profesor Emeritus dengan panggilan ‘cikgu’? Semestinyalah seorang yang mempunyai pangkat seumpama ini akan lebih mesra dipanggil sekurang-kurangnya Prof, Dr atau paling tidak pun Dato’. Buku ini akan memberi jawapan apa yang menyebabkan beliau lebih akrab disapa dengan panggilan ‘cikgu’ oleh mereka yang mengenalinya secara dekat.

26 buah tulisan daripada 26 orang penulis ini antara lain memperihalkan atau berkongsi pengalaman mereka mengenai ‘cikgu’ yang mereka mesrai ini daripada pelbagai aspek. Yang utama pastilah kenangan, jasa baik dan sebagai tanda cenderahati bagi menghargai guru mereka. Perkara ini dapat dilihat menerusi tulisan oleh Amelia Hashim, Fatimah Busu, Faisal Tehrani, Norhisham Mustafa, Osman Ayub, Rahimidin Zahari, Sabri Buang, Salleh Yaakob, Wan Ahmad Ismail dan Azhar Abu Bakar. Berguru disini termasuklah menuntut ilmu dibawah didikan formal di sekolah yang pernah Shahnon bertugas, di Universiti Sains Malaysia (USM) dan (dimana Shanon betindak sebagai pensyarah disitu) ataupun menuntut ilmu menerusi bengkel penulisan yang kerap kali disertai Shahnon sebagai fasilitator. Selain daripada penghormatan seorang pelajar terhadap gurunya, buku ini turut menampilkan tulisan berkaitan ketokohan Shahnon menerusi persatuan penulis yang disertainya dan diterajuinya secara aktif seperti GATRA (Gabungan Sasterawan Sedar), PENULIS yang kemudiannya ditukar kepada ASASI (Angkatan Sasterawan Nasional) seperti yang dikisahkan oleh Rejab F.I., Puzi Hadi, Ismail Restu dan Hassan Basri Budiman. Aspek ketiga yang dikongsi bersama pembaca semestinya ketokohan Shahnon dalam bidang sastera terutamanya menerusi novelnya yang mengangkat tinggi namanya iaitu Ranjau Sepanjang Jalan. Hal ini dikisahkan oleh SM Zakir dan Rebecca Ilham. Disamping itu juga kita akan turut merasai perhubungan baik seorang penulis dengan editor menerusi tulisan Mohamad Yussop Ishak, seorang pengagum yang akhirnya bertindak sebagai seorang pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka oleh Zaiton Ajamain dan pandangan peribadi seorang Sasterawan Negara kepada seorang Sasterawan Negara melalui tulisan sumbangan SN Dato’ Nordin Hassan.

Pembaca semestinya tidak boleh lepas membaca tulisan Sutung Umar RS berkenaan fungsinya sebagai editor yang bertindak dalam kontroversi Shahnon Ahmad- Kassim Ahmad berkenaan isu sastera islam. Sutung berkata;

“Apabila Shahnon menjawab gagasan yang diberikan Kassim tidak berapa minggu selepas saya menghantarkan salinan kepadanya, saya berasa cukup gembira, kerana Shahnon pada pandangan saya waktu itu, tidak ada buruk sangka terhadap tulisan dan pandangan Kassim. Begitulah selanjutnya apabila menerima jawapan Shahnon yang mempertahankan hujah-hujahnya, saya menghantar pula kepada Kassim dan meminta Kassim menjawabnya. Begitulah berlangsungnya polemik itu dengan licin sekali”.

Seterusnya turut menarik untuk diberi perhatian adalah pandangan penulis mengenai penglibatan Shahnon dalam Al-Arqam. Ini disuarakan oleh Salleh Rahamad menerusi tulisannya ‘Biarlah Shahnon Menulis’ dan Fatimah Busu yang menyuarakan pengalaman melihat Shahnon dan isterinya memberi tumpang kepada sekumpulan ahli jemaah Al-Arqam dirumah mereka. Yang menarik bagaimana mereka menulis tentang kesan penyertaan Shahnon menerusi pertubuhan ini dan akhirnya menjadi ilham kepada novel Ana dan Abang Syeikhul dan Tok Guru. Malah hanya untuk beroleh pengalaman juga, Shahnon akhirnya ‘termakan pujukan’ untuk turut sama menjadi seorang wakil rakyat bagi kawasan kampungnya di Sik, Kedah. Bagaimana pengalaman ini memperlihatkan kredibiliti seorang Sasterawan Negara mula dipandang rendah oleh Ahli Dewan Negara yang lain (kerana menjadi Wakil Rakyat menerusi tiket parti lawan), bagaimana Shahnon membela penduduk di kawasan yang diwakilinya dan bagaimana akhirnya Shahnon ditimpa penyakit Myasthenia Gravis (MG) dirincikan oleh penulis seperti Amelia Hashim, Osman Ayob dan Nassury Ibrahim misalnya.

Memberi pengiktirafan sebagai seorang penyair dan penulis wanita pula adalah bahagian paling manis saya kira. Ini akan kita raih melalui tulisan Zurinah Hassan. Zurinah menceritakan disaat sarjana dan pengkaji sastera yang lain seakan enggan meneliti atau melihat sumbangan tulisan para penulis wanita, Shahnon Ahmadlah orang pertama mengiktiraf Zurinah Hassan dan akhirnya menjadikan kumpulan puisi pertama tulisan Zurinah Hassan sebagai realiti. Ini berlaku apabila Shahnon memberi sokongan penerbitan kepada Naib Canselor USM ketika itu. Shahnon juga malah telah menulis beberapa tulisan ilmiah berkaitan hasil karya Zurinah. Tidak ketinggalan juga adalah pandangan  mengenai novel kontroversi tulisan Shahnon seperti TiVi dan Shit seperti dalam tulisan Nassury Ibrahim. Disebalik kontroversi ini kita juga disajikan dengan permohonan maaf secara terbuka seorang penulis dan penyair mapan tanah air, Shamsudin Othman. Permohonan maaf ini dilihat sebagai sesuatu yang agak ‘lucu’ bila mana penulis mengakui pernah menjual novel Shit secara pasar gelap ketika menuntut di Universiti Malaya bersama-sama dengan Nassury Ibrahim.

Beberapa perkara menarik selain 26 buah tulisan ini semestinya kulit buku itu sendiri. Muka hadapan memperlihatkan Shahnon berkain pelikat dan kemeja-T lengan panjang tersenyum mesra dan seakan mengiakan panggilan ‘cikgu’ yang tertera di kulit hadapan sebagai tajuk. Sebuah lagi elemen menarik adalah konsep memberi highlight dengan membesarkan tulisan yang merupakan gist setiap tulisan. Namun sayangnya, setiap tulisan tidak disertakan latar belakang penulis seperti siri sebelum ini. Jadi pembaca tertanya-tanya siapakah penulis dan bagaimana kaitannya dengan Shahnon? Adakah sebagai pelajar, pengagum, sarjana, editor atau pembaca novel Shahnon sahajakah?
 
Malah berbeza dengan siri sebelum ini, gambar yang disertakan adalah gambar yang bukan hanya milik peribadi Shahnon tetapi, milik peribadi penulis yang menyumbang tulisannya. Ini seperti membangkitkan aura tersendiri kepada sesebuah tulisan berkenaan. Catatan hujung mengenai proses penerbitan buku ini turut dilampirkan bersama. Ya ternyata perkara berkenaan sangat lucu dan memberi sedikit rasa yang berlainan daripada tulisan lain. Malah pembaca ‘seakan’ diajak bersama mengembara ke Penang, Sik sehingga ke Bandar Baharu Bangi dan berkongsi rasa senang serta susah hanya dalam usaha menerbitkan buku ini.
  
Seperti kata Shahnon menerusi Ranjau Sepanjang Jalan:

“Mati hidup susah dan senang dipegang Tuhan. Dipegang Allah Azzawajala”

Semoga Allah Azzawajala memberi kesihatan yang baik untuk SN Prof Emeritus Dato’ Hj Shahnon Ahmad. Semoga ada lagi Lahuma dibendang, perkongsian derita tetapi menginsafkan seperti dalam Detik-Detik Diri di Daerah Daif malah semoga ada guyur memercik ke tingkap lagi dalam Pabila Hujan Turun di Dewan Sastera. Begitu juga hendaknya semoga tulisan dalam mengingatkan dan memperkenalkan generasi muda mengenai karya sastera terbaik dan ketokohan seseorang Sasterawan Negara perlulah diteruskan. Tidak hanya berhenti disini.

*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Pertandingan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2013.

0 comments: