Tajuk: Jatuh Ke Pulau Menjadi Pulau (Jilid 1)
Penulis: Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji
Salleh
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Tahun Penerbitan: 2014
ISBN: 978-967-430-397-6
ISBN: 978-967-430-397-6
Harga: Semenanjung Malaysia RM 150.00
Sabah/Sarawak RM 165.00
Sabah/Sarawak RM 165.00
Jumlah Halaman: 347
No Resit: ITBM02000176
No Resit: ITBM02000176
“Granted, in
daily speech, where we don't stop to consider every word, we all use phrases
like "the ordinary world," "ordinary life," "the
ordinary course of events" ... But in the language of poetry, where every
word is weighed, nothing is usual or normal. Not a single stone and not a
single cloud above it. Not a single day and not a single night after it. And above
all, not a single existence, not anyone's existence in this world.
It looks like
poets will always have their work cut out for them.”
Wislawa
Szymbroska, syarahan bertajuk “The Poet and The World” sempena penganugerahan
Hadiah Nobel Kesusasteraan 1996.
PUISI. Tidaklah semudah
menyebutnya pada khalayak. Malah mencipta sesebuah kata dalam hanya sebaris
ayat sahaja memerlukan ketajaman bukan hanya dari sudut bahasa yang baik tetapi
mainan ‘rasa’ yang dimainkan puisi itu sendiri. Menulis puisi adalah seperti
menulis hati. Menyirat segala kemarahan, ketidak pedulian, cinta, sayang dan
penghargaan dalam bentuk paling padat tetapi cukup menyampaikan segala pesanan
yang hendak diperkatakan kepada pembacanya. Oleh itu, puisi tidak sesekali
mudah dituliskan dan dinikmat jika sekadar curahan hati sembarangan yang cuba
dihidangkan penyairnya. Hilang segala kemanisan puisi dan namanya sendiri.
Hal ini sekaligus menyetujui pandangan yang diutarakan
penerima anugerah Nobel bagi kesusasteraan, Wislawa Szymborska. Bagi penyair,
sesuatu yang barangkali dipandang biasa oleh mereka yang lain, bukanlah sesuatu
yang biasa bagi penyair. Setiap perkara, peristiwa dan manusia yang melingkungi
persekitarannya seringkali menjentik emosi dan rasa yang dimiliki seseorang
penyair. Dalam kata lain, penyair mempunyai magis memberi ‘kehidupan’ pada
hal-hal ini. Di tangan penyair, angin mampu berkata-kata, hujan tahu apa yang
dikatakan sebagai rajukan dan dingin bukan hanya membeku tetapi memberi
ketenangan. Penyair, selalu dan tidak akan pernah lepas dari tanggung jawabnya
memeri, ‘menghidupkan’ lalu menelurkan bait-bait kata bernama puisi.
Lalu untuk memperhaluskan rasa dan tajamnya penulisan,
seseorang penyair dituntut untuk menjadi perenung dan sensitif pada setiap
sesuatu yang berada di persekitarannya. Malah, hal berkenaan hendaklah selalu berdamping
dengan penyair. Namun, bukanlah sesuatu yang menghairankan bila keghairahan dan
imbangan sensitif mula diterjah muak serta bosan. Disaat ini, mengembara
membawa sebuah nuansa lain kepada seseorang penyair dalam penulisannya. Menjadi
penulis apa lagi seorang penyair, mengembara sudah menjadi kewajiban. Begitu
juga apa yang dilakukan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji
Salleh dalam jilid pertama kumpulan sajak-sajak lengkapnya, Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau.
Kumpulan sajak-sajak lengkap yang di datangkan dalam tiga
jilid ini merupakan buku yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku
Malaysia (ITBM). Menerusinya sebenarnya pembaca dibawa untuk mengikut
penyairnya mencari, menyelami dan merasai musim dingin, semi, kering dan
indahnya Amerika Syarikat. Baik di siring tangga perpustakaan Universiti
Cambridge, melihat koleksi manuskrip lama yang tersimpan baiknya dan perasaan
seperti mendakapnya sendiri, bersahabat dengan imigran di tengah kesibukan New
York, melihat budaya dan generasi pewarisnya di Hawaii, mengejar kenangan di
Mass Avenue, menyuarakan kemarahan terhadap setiap tindakan kapitalis kepada
masyarakat terpinggir dan yang terpenting adalah mencari diri di antaranya.
Jilid pertama dimulakan dengan kumpulan puisi terbaharu
(2013) iaitu Kuntum Biru Kembang Lestari
yang terdiri daripada dua seksyen “berkata-katalah”
dan “di pantai asal”. Kumpulan puisi
ini terdiri daripada puisi-puisi pendek. Namun jangan kita hanya memandang
kepada panjang-pendek puisi yang disampaikan. Penyair menerusi kata-kata
ringkas dan padat ini membawa kita menyelami silang pangkah hidup dalam falsafahnya.
Puisi “Tidak Mengapa” sebagai contoh begitu membujuk pembacanya untuk bangkit
dari sebuah kekalahan dengan kata-kata paling melegakan, mendalam meskipun
pendek:
pilihlah perlahan,
tidak mengapa.
bukan semua jaya
hadiah buat mereka
yang memburu.
yang duduk
memerhati laku
dan laluan
juga belajar,
kerana di luar
terkelip lorong setapak
ke hujung setapak
Sementara puisi “Memikul Cerita” mengajak kita melihat
lingkungan alam persekitaran kita sebagai tamsil ibarat yang mengajar dan
memperindah pengalaman diri:
setiap jadian
memikul ceritanya
ke sini.
di alir suaranya
berkicak kisah.
burung berkicau
cerita diri,
unggas
menjeritkan riwayatnya.
menjeritkan riwayatnya.
biarlah mereka berhikayat
dan terus berwujud.
Penyair gemar akan tema ini. Beberapa kali ia diulang
terutama di bahagian “Andes Di Awan” menerusi puisi berjudul “Sebuah Wujud
Dalam Lima Unsur” (halaman 171). Menerusi puisi ini, penyair merincikan peranan
batu, air, api, bintang dan tanah . Ataupun melalui puisi “Batu Dingin”
(halaman 334):
empat ketul batu
berdiri di tengah sejuk sungai,
dari pagi tebingnya
basah berteman hari.
setiap ketul berwatak diri
seginya melakar besar
tebalnya mengukur gempal
setiapnya menyapa jiran
Kemudian, jilid ini diteruskan dengan
kumpulan puisi yang diterbitkan pada tahun (2008), Setitik Darah Di Bilik
Bundar. Kumpulan di dibahagikan kepada 18 bahagia. Nah disini, kembara pembaca
akan bermula di Hawaii dengan melintas garis tarikh antarabangsa, bau nenas, melihat
warisan kebudayaan masyarakat tempatan menari tongga mahupun duka seorang
pelancong yang mencari negara baharu:
walau di depan waikiki
yang seharusnya
tak pandai membaca duka,
julie yamada juga manusia,
rapuh di depan riang pelancong
dan merasa dihempas pasifik
(Hawaii, Negara Baru; 47)
Beranjak ke bahagian “di depan perpustakaan tua” membawa
kita berenang dalam nostalgia yang sempat dicatatkan berkenaan kehidupan
penyair yang merupakan sarjana, penggemar buku, pencari akar umbi sejarah,
dunia akademik dan dingin Cambridge sebagai sesuatu yang membahagiakan.
Mengenali seseorang biblioholik, menikmati secangkir minuman panas (biasanya
kopi) sambil membaca merupakan salah satu kesenangan yang tidak dapat
diperincikan. Penyair memimpin lengan kita berjalan ke “Di Kedai Kopi”:
ya, bahagia
tak sering berhenti
di mana dia meneguk kopi
bersama buku
dan setelah itu jalan
beriringan ke perpustakaan melihat “Penjaga Buku” (halaman 57):
dia menjaga
supaya ilmu selalu tersedia
dan buku akan terbuka
bila keperluan meminta-minta
Mengenali sosok seorang Marquez menerusi karyanya yang
sinonim menggambarkan akan ‘bau’, penyair mengangkat hal yang sama lewat “Selama
Tiga Tahun” dan nanti sekali lagi penyair menyentuh tentang ‘bau’ di bahagian ‘new
york, new york, new york’ menerusi puisi berjudul “Mencari Bau Busuk New York”
(halaman 280). Lalu tangan pembaca ditarik kembali untuk sama-sama teruja berdiri
“Di Depan Perpustakaan Tua” (halaman 69) berkongsi kisah tentang dunia luar
yang hingar-bingar dengan flora dan fauna tetapi, tidak mengetahui kehadirannya
di hadapan perpustakaan.
Bergerak melihat manusia di lingkungannya, penyair
menyuara kekesalan, nasib, perenungan dan kemarahan mengenai nasib para imigran
yang terpaksa datang ke Amerika untuk meneruskan langkah hidup. Meski seperti
gambaran penyair tidak semuanya berjaya, mendapat hasil yang lumayan dan kerap
kali menjadi mangsa ekonomi ataupun penjarah. Seperti dirinya yang juga seorang
pendatang ke dunia serba moden yang laju, hal ini seperti sebati dan lancar
mengalir ke gelas kata-katanya. Penyair seperti menulis sebuah memoir lara
nasib kaum pendatang ini. Pembaca ditarik untuk membaca nasib pendatang yang
ada di Cambridge, Florida, New York (apatah lagi), Vancouver, California
sehingga ke Montana. Melihat dan mengenai “Abdulla” pelajar dari Pakistan yang
berada di perpustakaan (halaman 240):
reseki jatuh dari aksara
terbuka pada majalah
yang setiap hari bersusun.
pakistan disimpan
dalam harian peribadi,
kerana sekarang
dia abdulla yang
bertali leher dan bersarung tangan,
dan bersweter warna rusuh dan bangga.
Mahupun membeli kebab si “Rafiqi Kebab” di 3rd Avenue, New York:
dia tidak gembira
di sudut jalan lain
walau lesennya membenarkannya
menjual falafel dan kebab
yang berbau sampai central station
anak dan isteri menangis dalam mimpinya
dan bom yang meletup
memecahkan hari dan minggunya
apakah dia akan kekal di sini
dalam konkrit kesepian
atau pun pulang ke longgokan bata
dan lubang bom –
apakah yang akan dipilihnya?
Selain nasib pendatang, penyair juga menyentuh nasib
rakyat Amerika sendiri. Ini termasuklah penindasan kapitalis yang mencekik
seperti dalam puisi “Diapung Anggur” yang berkisah mengenai pengemis yang
tinggal di jalanan (halaman 79):
di mass. ave.yang lebar kecamuk
dekat central square yang berjiran m.i.t
mereka menadah pagi
buat nafkah bir
atau anggur tengah hari,
rokok dan roti mungkin bonusnya.
Juga menerusi puisi berjudul “Mimpi
Murah”(halaman 125):
kami tidak punya akaun bank
atau tanah bersungai
untuk dibentang ladang,
ragut kambing
dan juga rumah mudah
dipinggir kota.
Di Amerika juga, penyair mencitrakan tokoh kecil di
tempatnya. Puisi “Mrs Nick” berkisah tentang perjuangan seorang guru matematik
yang bahagia meneruskan kerjayanya sebagai seorang guru.
dia membaca jiwa kecil
seperti membaca teorem,
ada aturan dan ada juga jentik perasaan
di bawah bumbung atau di celah rhodendoron
(halaman 194)
Kembara pada akhirnya adalah pencarian diri sendiri
ataupun memberi wajah baharu tentang sesuatu yang biasa dan ditinggalkan.
Begitu juga puisi-puisi dalam kumpulan ini. Puisi pada halaman 104 berjudul
“Berapa Jauhkah?” membawa kenangan bernostalgia di laman ingatan penyairnya:
“berapa jauhkah
ann arbor
dari cambridge yang berpaut
pada tebing hitam charles?
aku ingin kembali
ke kedai bukunya
dan tasik air batu
serta sungai bermusim gugur.
di sana aku pernah muda
dan belajar hidup
dari kerut dunia.”
Juga perenungan mengenai diri dan pengalaman yang dilalui sejauh ini:
pulang ke
malaysia aku lega sedikit
kerana
sekurang-kurangnya nama salahku
tidak
diulang petang dan pagi
aku dikenal
seperti sebelum berangkat
(Ada Apa Pada Nama?, halaman 341-344)
juga coretan peralihan usia:
pada usia tua
jawapan tidak lagi
jawapan tidak lagi
berdiri tunggal dan tegak
soalan pun, walau betapa jelas
membaur samar samping
di tengah belantara kenyataan.
(Pada Usia Tua, halaman 340)
Inilah
pulau milik Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh. Padat
dengan lingkungan flora dan fauna kehidupan, disentuh ombak perasaan yang cukup
rasa manis, masin, pahit dan tawar, sesekali bertukar musim semi, dingin dan
bunga di peralihan usia. Segala-galanya saling lengkap-melengkapi di pulau
puisinya. Kerana semua segalanya mungkin.
semuanya
yang mungkin
sudah
menjadi harus.
apakah yang mungkin berlaku
di jalan samping yang tak dilalui
di jalan samping yang tak dilalui
ke mana akan
aku dibawa
kalau aku
tidak memilihnya?
kakiku tidak
memijak sekarang.
dan kasih
tak jadi
kerana malu
atau lambat menyerbu?
dan siapakah
orang ketiga
yang
mencelah dan merubah?
ke manakah
rumahku
dan siapakah
isteri,
dan anak
kami bagaimana?
Semuanya Yang Mungkin, halaman 143.
*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Peraduan Ulas Buku
ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2014.
0 comments:
Post a Comment