Friday, November 09, 2012
Terbaharu
Tuesday, September 18, 2012
Maaf Yang Barangkali Terlewat
Maafkan aku hati
belati
tajam terhunus
dengan
sengaja di dada kenangan
Pahlawan
telah pun lama mati
di
medan pertikaman
bisu
tanpa kata dan makna
cuma
riuh rendah dengan keheningan
Ini
kemaafan
yang
terlewatkan barangkali
aku
belum benar-benar mengerti
membaca
ramalam
kedatangan
membawa tuba
menyinggah
di penjuru waktu
menginginkan
aku berdiri
yakin
dalam sakit sendiri
Lalu
kali
ini panjang doaku
agar
hujan tiba di pulau kemarau
menyiram
sepohon rasa
yang
kembali merendang di pasang anganan
Untuk
waktu sementara ini
biarkan
aku melihat matahari
meski
menyilaukan
tapi
pasti
Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor
Berita Harian, 16 September 2012
*Gambar diambil di Pantai Pandan, Lundu, Sarawak :)
Saturday, September 15, 2012
Salam Hangat Sebuah Hari Lahir
Kadangkala
kita tidak pernah pun sedar
setiap ucapan hari lahir
adalah kehangatan yang sentiasa kekal
saat yang lain kian mencair
saat yang lain selalu mencabar
Sempena hari lahir ini
izinkan aku terus menyimpan
ucapan selamat darimu yang masih hangat
dalam bekas paling rapat
paling tersembunyi
agar aku mampu mendapatkannya kembali
waktu sukar meniti labirin diri
15 September 2012
Kajang, Selangor
*Alhamdulilah beralih setahun lagi umur saya. Ingatan supaya senantiasa beringat dengan tujuan dan arah hidup seperti yang diminta MAHA KUASA. Terima kasih untuk semua ucapan selamat tidak kisahlah pesanan ringkas, disini atau dimana sahaja. Saya sangat menghargai ingatan anda semua. Semoga ALLAH SWT memberi barakah dan memelihara hidup kita senantiasa. Ameen :)
Friday, September 07, 2012
Getar
Ketika kau mencuri senyum
aku pasti kau menggantikannya
dengan getar yang entah dari mana
datangnya
Kuching, Sarawak
Hani SalwahYaakup
Wednesday, July 25, 2012
Keberangkatan
Tutup jendela ketika senja,
Terdengar kicau burung tempua,
Rasa hati kubiar sahaja,
Masa nanti menentu semua.
Masa nanti menentu semua.
Terdengar kicau burung tempua,
Kelam malam kian bertamu,
Rindu dipendam jadi petua,
Agar diri tidakkan jemu.
Kelam malam kian bertamu,
Pungguk memuja si bulan terang,
Pungguk memuja si bulan terang,
Meski lama tidak bertemu,
Dihati nian takkan menghilang.
Pungguk memuja si bulan terang,
Langit indah menjadi raja,
Tinggal seorang bawa bertenang,
Tutup jendela ketika senja.
25 Julai 2012
Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor.
***Dalam cubaan menulis Pantoum (versi yang selalu diperkatakan oleh Dr Voisset dari Perancis)
***Maaf semua ambilan terhadap pantoum ini perlulah meminta kebenaran penulis. Terima kasih.
Thursday, July 05, 2012
Pertanyaan Mengenai Secangkir Kopi
Ketika aku bertanya
aku yakin kau
sudah punya jawapnya
kubiarkan kopi kita
semakin surut ke dasarnya
kubiarkan kopi kita
semakin surut ke dasarnya
sebelum kupulangkan
jawapannya yang
sudah pun kau nikmati
dalam cangkir tadi
5 Julai 2012
Kedai Kopi, Kajang
Monday, May 21, 2012
Nama Ai Lolipop
Saya menyumbang sedikit cerita kartun untuk antologi ini (bersama kawan-kawan saya Rebecca Ilham, Ingrid Anggaraini, Fai Zakaria, Cik Samsuki Sukibari Kadarian Indrawiyyah dan Nini Marini Rafar). Kisah saya dalam antologi ini adalah 100% fiksyen. Oleh itu tiadalah sebarangan cubaan untuk menyatakan kisah yang saya tulis berkaitan dengan diri. Haha...(nampak sangat nak mengelak...eceh). Jangan lupa dapatkan nanti ya. RM 20 sahaja tu :)
Monday, May 14, 2012
Pecah
Pecah, Mingguan Malaysia (13 Mei 2012) |
Membaca, Kopi dan Saya
Saya tidak mampu untuk membaca dalam jangka masa yang panjang jika saya duduk santai dirumah. Ada sahaja projek besar, kurang besar ataupun tidak penting saya akan lakukan dirumah. Biasanya saya hidupkan enjin kereta, bawa emak jalan-jalan iseng. Pandai sangat saya mencari masa untuk buang masa (Haha). Ya dan itu menganggu konsentrasi serta perancangan masa panjang saya dalam menyiapkan pembacaan yang tinggi mengunung yang terpaksa saya ratakan dalam masa beberapa bulan ini. Sebagai seorang pelajar pasca sarjana yang dihambat masa, penyelia yang prihatin malah sekatan emosi yang datangnya bergulir dan rencam, saya perlu sentiasa kekal bersemangat dan fokus.
Kes hilang fokus ataupun tidak mampu untuk kekal berkonsentrasi ini hal biasa. Malah dalam mana-mana ruang perbincangan rakan sepasca sarjana pun mereka mengakui akan hal ini. Ada beberapa hal yang menjadikan perkara ini. Namun yang paling benar dan tepat adalah sikap. Ya bekerja seorang diri tanpa sesiapa yang mengatakan "tidak" ataupun memarahi anda untuk sentiasa bersikap dalam pekerjaan anda menjadikan hal ini sedikit terlihat serius. Saya sendiri mengalami hal ini. Jika sewaktu menuntut dalam bidang sarjana, saya dikelilingi rakan-rakan sekelas (kerana saya membuat sarjana secara kerja krusus). Semangat dan rasa ingin bersaing (secara sihat) lebih dirasakan. Ada rakan yang saling mendoakan, saling bekerjasama, saling bertanya dimana dan kemana sudah penyelidikan anda. Semua rakan itu dalam bidang sekrusus dan lebih memahami apa yang sedang anda gulati.
Kes hilang fokus ataupun tidak mampu untuk kekal berkonsentrasi ini hal biasa. Malah dalam mana-mana ruang perbincangan rakan sepasca sarjana pun mereka mengakui akan hal ini. Ada beberapa hal yang menjadikan perkara ini. Namun yang paling benar dan tepat adalah sikap. Ya bekerja seorang diri tanpa sesiapa yang mengatakan "tidak" ataupun memarahi anda untuk sentiasa bersikap dalam pekerjaan anda menjadikan hal ini sedikit terlihat serius. Saya sendiri mengalami hal ini. Jika sewaktu menuntut dalam bidang sarjana, saya dikelilingi rakan-rakan sekelas (kerana saya membuat sarjana secara kerja krusus). Semangat dan rasa ingin bersaing (secara sihat) lebih dirasakan. Ada rakan yang saling mendoakan, saling bekerjasama, saling bertanya dimana dan kemana sudah penyelidikan anda. Semua rakan itu dalam bidang sekrusus dan lebih memahami apa yang sedang anda gulati.
PhD Comic dari laman http://www.phdcomics.com/comics/archive.php?comicid=124 |
Kini, yang sering tanya pun emak, ayah serta kakak yang lebih mengetahui apa itu PhD. Mujur penyelia saya tegas orangnya namun, sangat memahami. Begitu juga rakan-rakan penulis yang kebetulan ramai mengambil sarjana dan PhD sering memberi rasa semangat dan mencabar untuk lekas-lekas menyudahkan apa yang dinamakan PhD itu. Saya sangat berterima kasih kepada semua mereka ini walaupun tidaklah mereka memahami secara benar apa yang saya lakukan tetapi, itu cukuplah sudah.
Berbalik pada pokok persoalan, saya kini terpaksa "lari" setiap kali ingin membaca dengan lebih serius. Ya pastinya bukan perpustakaan. Saya bisa tidur dan sentiasa mencari alasan untuk keluar daripada stor sejuk beku itu. Jadi hendak tidak saya selalu duduk disebuah tempat untuk membaca dan membuka komputer. Selalunya berjam-jam. Mujur adik-adik pekerja disini faham benar (malah baik dan peramah juga). Emak pernah berseloroh katanya kalau kau sudah grad mereka jadi kaya kerana kau. Tetapi, hendak berbuat macam mana? Saya ini mengada-ngada untuk keluar dan membaca.
Rumah ayah emak sedang dalam proses pembaikan. Jadi alasan duduk disitu bertambah tinggi. Ya lah siapa yang betah duduk dalam bunyi gerudi yang menyakitkan telinga. Anda bisa?
Kalau mahu datang "ganggu" saya disini pun tidak mengapa. Jemput datang :) |
Jadi, duduklah saya menghirup kopi panas (selalunya teh) atau kopi dikisar dengan ais ditempat yang selalu saya tumpangi untuk bermanja dengan bahan bacaan yang sekarang sangat menguasai minda. Alahai...sukanya saya :)
Wednesday, May 09, 2012
Pengakuan Penyair, Segugus Kunci dan Kehidupan
Pengakuan Penyair dan Segugus Kunci |
Tajuk:
Pengakuan Penyair
Editor:
Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman
Tahun
Terbitan: 2012
Penerbit:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Genre:
Sastera
Harga:
RM 30.00 (Semenanjung Malaysia)
RM 35.00 (Sabah/Sarawak)
RM 35.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman:
267 halaman
No Resit: ITNM000406 29-4-2012 5:24PM
No Resit: ITNM000406 29-4-2012 5:24PM
Poetry don’t have to be
living in a library
there’s poetry that you can see
in the life of everybody
(Pengakuan Penyair; 107)
Barangkali empat baris pertama Poetry yang diambil oleh penyair Jamaluddin D sebagai permulaan
tulisannya dalam buku ini sudah cukup menggambarkan keseluruhannya. Puisi yang
dipetik dari buku Hearsay Performance
Poem Plus susunan Paul Beasley terbitan The Bodley ini berkata puisi adalah
kehidupan seseorang manusia itu sendiri. Begitu juga dengan kehidupan dan
proses kreatif yang melingkungi seseorang penyair. Buku yang menyentuh proses
kreatif jarang amat kita temui di negara ini. Tambahan pula bagi penulisan
dalam genre puisi.
Buku proses kreatif di Malaysia lebih terarah kepada
penulisan prosa seperti cerpen dan novel. Selalunya penyair hanya akan
dipanggil pihak institusi pengajian tinggi untuk berkongsi dengan anak-anak
muda yang sedang menuntut dalam jurusan sastera atau seangkatan dengannya
sahaja. Selepas itu usaha untuk membukukan apa yang telah dikongsikan itu
seakan jarang diambil berat dalam jagat kesusasteraan kita. Jika ada pun
seseorang penyair itu membicarakan proses kreatif mungkin barangkali dalam buku
autobiografi yang ditulis mereka. Namun, berapa ramai sahajalah penyair yang
sempat atau diberi kesempatan untuk menulis autobiografinya sendiri? Malah
kadangkala autobiografi ini tidak juga memberi “kepuasan” yang benar kerana
penyair kadangkala hanya menyentuh sekilas lalu sahaja mengenai proses kreatif.
Dalam kenadiran buku proses kreatif genre puisi,
maka usaha pihak Persatuan Penulis Nasional (PENA) bersama Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia ini wajar diberi penghargaan. Salam tahniah dan syabas untuk
editor bersama buku ini iaitu Saudara Rahimidin Zahari dan Saudara Dr Shamsudin
Othman (yang kebetulan kedua-duanya merupakan antara penyair mapan negara)
kerana menyedari akan kepentingan buku seumpama ini dalam nuansa sastera
tanahair. Buku ini merupakan dokumentasi daripada program yang dianjur oleh
PENA yang diberi nama Pengakuan Penyair dalam meneruskan dan memartabatkan
posisi Baca Puisi PENA yang telah diadakan sejak pertengahan tahun 90-an lagi.
Sejujurnya apa yang menarik mengenai buku ini selain
melihat isi adalah kulitnya. Tepat dan sangat membuatkan bakal pemilik atau
pembacanya bertanya sendiri. Apa kaitan buah mangga kunci yang terbuka dengan
proses kreatif penyair yang mewarnai buku ini? Persoalan yang akan terus
membelenggu fikiran pembaca sehingga usai menekuni buku ini dari helaian
pertama hingga ke akhir. Begitu juga saya. Setelah tamat saya merasakan
pemilihannya sangat unik. Cuba bayangkan buah mangga itu mewakili seorang
penyair dengan imej tertutup dan jarang mahu berkongsi. Menerusi buku ini,
segala “rahsia” yang selama ini hanya “terkurung” atau “tertutup” dibuka,
diperlihatkan kepada umum. Cuma yang pasti meski mangga kunci ini hanya sebuah,
tidak hanya sebatang kunci yang mampu membukanya. Kedudukan diri dan minat yang
sama diibaratkan mangga kunci namun “pembukanya” terdiri daripada 34 batang
kunci. Pilih sahaja yang mana disukai, justeru mangga kunci akan terbuka dan
memperlihatkan dirinya.
Minat dan kesukaan tidak semestinya membawa
seseorang penyair itu untuk selalu berkongsi “rasa” dan pengalaman yang serupa.
Menerusi buku ini kita dibawa untuk mengembara tidak hanya dalam batang tubuh
seorang manusia dipanggil penyair tetapi, 34 orang kesemuanya. Berbagai sebab
menjentik mereka untuk mencoret puisi. Sudah pastilah penyair bukan produk yang
dikeluarkan “kilang” dan serupa sahaja pengalaman, latar belakang dan tahap pendidikan.
Bercerita mengenai isi, antara yang membuatkan
seseorang penyair itu menulis adalah kerana pengalaman peribadi yang diaduk
bersama kreatif menghiasi karya-karya tulisan Abdul Hadi Yusoff terutama
menerusi puisinya, Jika Perempuan Itu
Bernama Sesuatu Yang Tidak Perempuan adalah pengalamannya melihat PATI
Vietnam di Pengakalan Chepa.
“Jika
perempuan itu bernama
sesuatu yang tidak perempuan
jika kamar tanpa jari-jari lembut membelai
menghayun dodoi lerek ke subuh
atau hilangnya bersama embun putih
sedang di sempadan Vietnam
merpati putih kepatahan sayap
masih lena dengan parut membenam
mimpikan surat perdamaian.”
(Pengakuan Penyair; 4)
sesuatu yang tidak perempuan
jika kamar tanpa jari-jari lembut membelai
menghayun dodoi lerek ke subuh
atau hilangnya bersama embun putih
sedang di sempadan Vietnam
merpati putih kepatahan sayap
masih lena dengan parut membenam
mimpikan surat perdamaian.”
(Pengakuan Penyair; 4)
Perkara ini dikongsi oleh Nassury Ibrahim (halaman
159), Siti Zainon Ismail yang menulis kerana terkesan melihat allahyarham
ayahanda beliau (halaman 211 dan 214) begitu juga dengan Zaiton Ajamain (pada
halaman 246).
Ada juga penyair yang menulis puisi kerana terkesan
atau merasa pertanggung jawaban kepada tradisi. Ahmad Razali Yusof terkesan
kepada pantun dibawah (halaman 16);
Jauh-jauh
kapalku datang,
Pasang bendera di hujung tiang;
Jauh-jauh cintaku datang,
Perut lapar menjadi kenyang.
Pasang bendera di hujung tiang;
Jauh-jauh cintaku datang,
Perut lapar menjadi kenyang.
Sementara Salmiah Ismail kerana dibesarkan dalam
lingkungan membudayakan tradisi seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Peteri dan
persembahan kebudayaan asal Kelantan yang lainnya. Zaen Kasturi pula kerana
rasa pertanggung jawaban terhadap memelihara kelestarian budaya itu sendiri.
Zurinah Hassan bertunas bermula dengan minatnya menyimpan lirik lagu yang
ditulis dalam buku.
Tidak ketinggalan juga dengan penyair yang mula
menulis puisi kerana dilanda kesedihan, kesunyian dan kesakitan. Ini dikongsi
oleh Amirul Fakir, Mahaya Mohd Yassin yang mencurah kerinduan kepada suami
melalui puisi, Imlan Abadi menulis puisi sebagai cara menyalurkan kesakitan
yang dialaminya, Marsli NO dan Lim Swee Tin yang suka bersunyi, Salman Sulaiman
yang pendiam dan sejak kecil sudah ditinggal bapa dan Shamsudin Othman yang
mengalami onak duri pengajian. Begitu juga dengan penyair yang menulis kerana
diserbu rasa dan perasaan seperti Ariff Mohamad dan Zaen Kasturi juga minat
yang mendalam terhadap buku dan pembacaan seperti Amaruzati Noor Rahim.
Sementara itu menurut Arbak Othman, Rahimidin Zahari
dan Ismas Saring pergaulan telah membuatkan mereka berminat menulis puisi. Baha
Zain dan Nassury Ibrahim pula menulis puisi kerana keterjuaan pergelutan dalam
kata-kata yang pada pandangan mereka begitu indah untuk diterokai. Jamaluddin D
dan Lim Swee Tin dalam pada itu berkata menulis puisi boleh memberi kepuasan
yang tidak dapat mereka miliki dengan menulis dalam genre lain. Yang terakhir
adalah kerana rasa tanggung jawab moral dan agama kepada masyarakat seperti
yang dirasakan oleh Leo AWS, Marzuki Ali, Nassury Ibrahim, Sahrunizam Abdul
Talib, Suhaimi Haji Muhammad, Zaiton Ajamin dan Zubir Ali.
Seperti yang telah saya katakan
melalui status di laman sosial Facebook (pada 1 Mei 2012), saya mengsyorkan buku
ini kepada mereka yang ingin menjadi penyair ataupun penulis sajak pemula yang ingin
tahu apa dan bagaimana para penyair mapan kita meraih idea, pengalaman berkarya
dan pandangan mereka mengenai dunia puisi dan kepenyairan di Malaysia. Semoga
penerbitan seumpama ini bukanlah hanya terhenti disini sahaja. Di masa hadapan
saya berharap agar penerbitan yang menghimpunkan proses kreatif dalam genre
puisi diteruskan. Buku ini hanya menampilkan (hampir 80%) penulis mapan yang
mempunyai jalur yang berbeza dengan penulis muda kini. Mereka rata-ratanya
adalah penyair 60-80an. Barangkali sebagai cadangan pihak ITBM-PENA memberi peluang
menerbitkan proses kreatif penulis angkatan 90an dan 2000an yang pastinya
mempunyai
pengalaman yang berbeza.
Seperti kata Sapardi Djoko Damono (halaman 137), “Menjadi pengarang adalah memilih posisi
untuk sentiasa bersepi. Ketika orang ketawa ria diluar, pengarang gelisah
dikamar, ketika orang riuh-rendah menguruskan segala ragam keperluan, pengarang
terasing bersendirian”. Penerbitan seumpama ini sahaja yang membolehkan
orang diluar memahami kesukaran yang dialami penulis dan untuk penulis pula, pengalaman ini boleh
menjadi panduan sesama sendiri. Semoga dengan kehadiran penerbitan ini, kita
semakin menghargai khazanah sastera tanahair.
*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Pertandingan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2012.
Thursday, May 03, 2012
Terbaharu
Alhamdulilah setelah beberapa bulan tanpa karya di media, bulan ini ada 'buah tangan' daripada saya. Terima kasih kepada Sdr Ghani Abu, editor Tunas Cipta kerana menyiarkan puisi dan beberapa catatan saya. Begitu juga dengan Abang Rahimidin Zahari yang menyiarkan artikel saya mengenai ukulele di Majalah PENTAS Januari-Mac 2012, terbitan Istana Budaya.
Tuesday, May 01, 2012
Beg, Buku dan Saya
Beberapa ketika ini saya sering sakit bahu. Memang saya seorang yang mudah mendapat sakit di bahagian bahu dan tengkuk. Menurut mereka yang sering saya rujuk (mengenai segala masalah kesihatan dan selalu orang itu kakak saya sendiri) berpunca daripada tekanan dan bebanan. Ya seorang pelajar pasca sarjana seperti saya, tekanan itu biasa. Malah tekanan itu lumrah untuk sesiapa sahaja tidak kiralah kita bekerja, belajar malah sedang menikmati percutiaan sekalipun. Namun, bila memikirkan soal bebanan, apakah yang sering saya pikul ke hulu ke hilir. Biasalah beg berisi komputer riba, postman bag saya ataupun dipanggil beg selempang dan beg berisi buku.
Teringat rakan sekelas juga rakan-rakan baik yang seringkali menegur mengenai banyaknya beg yang sering saya pikul ke mana sahaja. Saya memang begitu. Kalau ke mana-mana sahaja hatta berpergian jauh ke luar negara pun mesti membawa banyak benda. Bukan apa. Saya mahu semua benda yang saya perlu senantiasa bersama saya bila saya perlukan. Lalu, tidaklah perlu saya tercari-cari ataupun membeli ulang. Namun, kalau sekiranya perkara itu lebih baik dibeli disana, saya pasti juga akan meninggalkan perkara berkenaan hanya di rumah sahaja.
Bersama rakan-rakan dari Indonesia ketika membentang kertas kerja di persidangan antarabangsa pada tahun 2011 |
Saya tidak pernah bermasalah dengan beg komputer riba kerana saya pastikan dia benar-benar selesa dengan lapis span yang baik dan tetap di badan. Begitu juga tas tangan yang kedua-dua abang saya gelarkan beg posman (kerana ukuran dan warnanya) sehingga baru ini diganti dengan beg kecil hanya berisi dompet dan barang perlu sahaja. Namun, beg berisi buku saya yang kerap kali menyakitkan bahu. Beg yang saya selalu dapat gratis lewat menghadiri persidangan akademik, acara rasmi ataupun perasmian saya gunakan ulang untuk mengisi buku, alatan tulis, botol air, barang kecantikan diri (wow!), telekung malah apa sahaja yang penting dibawa berpergian. Biasalah beg tipis non woven itu biasanya lama kelamaan jika terlalu berat menjadi semakin halus dibahagian pemegangnya dan kes lebih teruk berbulu juga tertanggal jahitan.
Adatlah beg gratis yang jangka hayatnya seperti yang kita tahu hanya untuk dipakai sekejap cuma. Namun, beg seumpama ini masih dijual mahal di pasaraya ya. Malah ukuran yang kecil, boleh diisi sedikit sahaja barangan kadangkala dilihat sangat "gila" pada harga jualannya. Maka, tidak hairanlah kenapa penduduk kita lebih gemar bayar 20 sen setiap beg plastik ketika membeli belah pada hari tanpa beg plastik setiap sabtu di Semenanjung dan isnin di Sabah (Sarawak saya tidak pasti bila). Di Australia beg non woven yang dijual lebih utuh, keras, besar dan muat diisi barangan harian yang di pasaraya dengan harga hanya 1 dolar sahaja (tidak perlulah kita kira dalam kiraan tukar wang tetapi, kesesuaian pendapatan tempatan ya). Kita, sudahlah kecil, lembik malah mudah pula rosaknya dan yang penting harganya adalah 2-4 ringgit satu. Gila!
Jadi saya merasakan sungguh pun beg non woven ini baik untuk diisi barangan dan buku tetapi, saya merasakan sepatutnya sebuah beg khas yang baik dan sesuai perlu ada untuk perkara ini. Beg buku yang saya jumpai sekali disebuah kedai adalah untuk mengisi buku-buku fiksyen paperback yang kecil molek itu sahaja. Tidak pula sesuai untuk mengisi buku yang mempunyai saiz yang lebih besar. Lalu, bila setiap kali kawan-kawan penulis yang pulang berkunjung ke Eropah juga Indonesia dan melawat perkampungan penulis ataupun kawasan yang mengangkat sastera itu tinggi banyak sekali menbawa pulang beg cenderamata yang ditulis kata bijak penulis terkenal ataupun gambar penulis itu sekali. Ya ini idea yang menarik untuk mengangkat idoala penulisan dan penggiat seni di negara ini. Kenapa tidakkan?
Namun, ada atau tidak perkara seumpama ini hanyalah sebagai aksesori sahaja. Yang lebih penting adalah beg yang besar, selesa diisi banyak benda terutama buku dan boleh tahan lama (juga citarasa saya sebagai seorang wanita mestilah cantik...owh!). Juga yang paling penting pemegangnya yang boleh disangkut dibahu dan besar daripada beg yang biasa dijual di pasaran awam kini. Selain harga yang kadangkala tidak bersesuaian dan mencekik leher, saya jarang jumpa beg yang biasa biasa tetapi menawarkan segala hal ini. Ya mengapa tidak kita mula memasarkan beg yang berpatutan harganya dan mempunyai kualiti yang baik juga.
Buat mereka yang kreatif dan mempunyai nilai keusahawan yang tinggi, cuba saranan saya ini. Boleh laku keras kalau tahu kepada kelompok mana yang anda boleh sasarkan.
Ya buat masa ini saya masih berfikir untuk beg apakah yang sesuai untuk saya isi buku dan peralatan kepunyaan saya. Oh...!
Monday, April 16, 2012
MASKARA Makwe-Makwe dan Kegelapan
Hari ini (16 April 2012), sedikit catatan mengenai acara MASKARA Makwe-Makwe diterbitkan Berita Harian hasil tulisan wartawannya Latifah Arifin. Boleh dibaca disini http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Biarpungelap_tetapromantik/Article
Monday, April 02, 2012
Membaca dan Menulis Puisi
Saya di Maskara Makwe-Makwe, 31 Mac 2012 lepas :)
Saya seringkali ditegur oleh teman-teman (malah ibu saya sendiri) mengenai kependekan puisi yang saya tulis. Ada yang berkata mendengar saya membaca beberapa buah puisi pun seperti mendengar sebuah sahaja yang dibacakan. Oh, memang saya tidak nafikan. Saya tidak pandai menulis puisi yang panjang kerana jika apa yang hendak diluahkan dalam sesebuah puisi itu sudah cukup untuk saya katakan, maka selesailah sudah tugas menulis saya. Kadangkala saya fikir begini, barangkali perasaan dan emosi yang saya lahirkan dalam melahirkan sesebuah puisi itu juga pendek (ataupun sudah saya mampatkan menjadi pendek) maka yang terlahir juga pendek.
Bagi saya menulis puisi adalah sesuatu yang bersifat peribadi (walaupun bukan semuanya mengenai diri saya sendiri). Jika ada yang bertanya saya bagaimana untuk menulis puisi, ya jujur saya tidak pandai mengajar. Saya sendiri pun bukanlah orang yang pandai menulis. Itu saya akui. Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam konteks ini. Mungkin nasihat yang boleh saya berikan adalah tulislah sesuatu yang datang dari hati, insyallah pasti akan menjentik emosi individu yang lain ketika membacanya. Cukuplah kalau hanya seorang sahaja. Itu sudah terlalu cukup untuk saya. Pokok pangkalnya dalam menulis ini, tanya diri kenapa anda menulis dan kenapa anda mahu yang lain merasakan. Jawapannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Tiada paksaan cuma cuba renungkan kembali.
Menulis puisi pula seterusnya berbeza dengan bagaimana anda membacakannya. Ya saya bukan pendeklamator. Saya akui saya mempelajari ilmu kejuruhebahan dan kepengacaraan ketika menuntut ijazah pertama di sebuah institusi pengajian tinggi di sebuah kawasan di Selangor. Namun, saya pasti saya tidak pandai membaca puisi di hadapan awam. Saya tidak pernah membaca puisi di hadapan umum sebelum ini kerana tidak pernah merasa yakin akan hal ini. Setelah berkali-kali "dipaksa" oleh rakan-rakan penulis yang lainnya, hendak tidak saya yang "kaku panggung" ini naik jugalah membaca puisi. Mula dahulu sekadar puisi kawan-kawan yang saya sukai tetapi, kini sudah berani sedikit untuk membaca puisi sendiri yang "biasa-biasa" sahaja itu.
Terbaharu saya diundang untuk MASKARA Makwe-Makwe anjuran Sindeket Sol-Jah. Terkejut saya apabila diberitahu saya yang "kaku panggung" ini dikehendaki memulakan malam berkenaan. Maka mulalah keluar kelakuan maha pelik-pelik saya dipentas. Sudahlah sebelum mula ada "request" mahu saya bacakan Rahsia (Untuk B) yang pada mulanya tidak saya masukkan dalam senarai "perlu baca" saya untuk malam berkenaan. Malam berkenaan saya mulakan dengan puisi maaf bermaafan sahaja. Wah, sudah macam hari raya! Haha...
Untuk Sindeket Sol-Jah, saya hanya mengerti "membaca" tanpa emosi barangkali. Namun, jangan serik undang lagi ya. Untuk yang tidak sempat ke MASKARA MAKWE-MAKWE, mungkin video ini boleh memberi gambaran betapa teruknya saya membaca. Haha...
*Gambar daripada Rebecca Ilham. Terima kasih ya dik :)
Wednesday, March 14, 2012
MASKARA Makwe-Makwe Datang Lagi
Dahulu saya pernah diundang untuk MASKARA Perempuan-Perempuan sekitar tahun 2007. Namun, jemputan itu lambat saya ketahui. Jadi saya tidak dapat memenuhi undangan itu dan cuma datang sebagai penonton. Kali ini saya diundang sekali lagi. Jangan lupa catat dalam diari, telefon genggam atau dimana-mana sahajalah tarikh, masa dan tempat MASKARA kali ini. Ada ramai makwe-makwe "best" dan hebat disana. Jumpa anda semua ya :)
Menulis, Motivasi dan Diri
Kadang kala tiba waktu dimana tiada perasaan langsung untuk kita menulis. Kita mencari-cari jawapan kenapa mood yang diharap itu tidak juga mahu hinggap dan membenarkan jemari kita untuk rancak menari di papan kekunci atau hebat bertingkah dengan pena dan kertas. Saya rasa ini perkara biasa yang sering dilalui oleh penulis mana sekalipun. Tapi, kegagalan hati, jiwa dan zahir untuk bersatu dan membentuk sebuah penulisan yang berkesan juga mampu menganggu seseorang penulis itu juga. Hidup serasa kosong dan nihil tanpa sebarang kerjaan berbentuk penulisan dibuat. Ya dan kini saya sedang dihinggap penyakit serius ini.
Oleh kerana itu, seseorang itu memerlukan motivasi untuk mengerakkan perbuatan penulisan itu kembali ke trek yang sebenar. Ya, motivasi yang berkesan sebenarnya datangnya dari diri sendiri. Tanpa diri sendiri yang menggerakkan hati, perasan dan zahirnya sendiri bagaimana sesebuah penulisan itu dapat terwujudkan. Namun, manusia itu kadangkala memerlukan penggalak yang bukan datang dirinya sendiri. Cuba bayangkan diri anda sendiri sedang bersedih dan anda pula dikehendaki memujuk rakan anda untuk tidak bersedih. Barangkali sewaktu rakan anda menceritakan kesedihan yang menganggu perasaannya, anda pula yang menangis mengugu berlebih-lebihan. Ha, jadi kalau dalam keadaan begini saya kira penggalak motivasi kita perlulah sesuatu dari luar.
Hidup dan bergaul disekitar abang kakak adik atau kenalan yang menulis sebenarnya banyak memberi motivasi. Kadang kala kawan-kawanlah yang akan menyuntik semangat berupa cabaran ataupun akhirnya memberi perkerjaan menulis itu sendiri walaupun hanya tulisan pendek ataupun puisi yang hanya 1-2 baris. Inilah yang sering menjadi penggalak saya bila benar benar tiada perasan untuk menulis. Kawan-kawan juga yang sering menjerit di hujung ganggang telefon, memerli di sms,bbm,facebook ataupun melalui gurauan setiap kali bertemu. Pada setiap kepercayaan, peluang dan kemarahan juga sinis kata-kata itu, saya ucapakan terima kasih. Anda benar membuat saya bergerak untuk menyiapkan sesebuah penulisan yang dipertanggung jawabkan.
Saya mengaku saya tidak pandai menulis. Saya tidak pernah menang apa sekalipun sayembara. Tiada sebarang pengakuan saya ini ditahap apa-apa pun. Saya sedar itu. Namun sebagai manusia biasa, saya masih belajar untuk menulis dan menulis. Saya yakin untuk menghasilkan penulisan yang baik itu bukan dengan sekali tulis. Semuanya bermula daripada huruf pertama dan percubaan demi percubaan. Edison juga hanya berjaya mencipta maha karyanya setelah berkali-kali gagal. Begitu juga saya. Cuma, pinta saya adalah berilah peluang untuk orang seperti saya membina penulisan saya.
Saya menulis apa yang saya suka tulis dan apa yang menjentik emosi saya. Saya bukan penulis yang lahir dengan mengetahui segala tok nenek bernama teori sastera dan penulisan. Penulisan itu seni. Seni pada saya mungkin berbeza pula dengan anda. Seni pada anda pula mungkin berbeza denga saya. Begitulah lagi dan lagi.
Berbalik pada motivasi, sebenarnya orang pertama yang hanya dapat memotivasikan diri kita adalah diri kita sendiri. Malah, saya sangat hormatkan penulis yang bisa menulis di sela waktu kerja, berdisplin menetapkan masa tertentu untuk menulis dan sentiasa sahaja ada idea, mood dan ransangan untuk menulis. Untuk anda yang begini, saya tabik habis. Moga saya juga boleh seperti anda suatu hari nanti. Amin.
Mohon doa kalian juga. Terima kasih.
*Gambar dari sini
Friday, January 13, 2012
Yang Biasa-biasa!
Ku tahu
aku menulis
puisi yang biasa
kerana aku orang biasa
yang tidak pandai
menulis
sebuah puisi luar biasa
untuk orang yang meminta
sesuatu yang luar biasa
daripada kebiasaan
Kerana aku orang biasa
biarlah aku menulis yang biasa biasa
agar hanya orang yang luar biasa
yang mampu memahami
setiap keluarbiasaan
dalam kebiasaan!
Monday, January 09, 2012
Karya Terbaharu di Awal 2012
Sebuah petang di pesisir pantai UMS, Kota Kinabalu yang tenang sambil melayan debur ombak sambil juga membilang kapal terbang didada langit dengan harapan untuk pulang ke tempat dimana hati selalu ada...
Alhamdulilah segala syukur hanya untuk Allah SWT. TanpaNYA tiadalah saya beroleh ilham dan rezeki untuk karya saya yang satu ini. Diberikan permulaan tahun yang baik untuk saya dengan penerbitan sebuah sajak "kecil" di Berita Minggu, 8 Januari 2012. Terima kasih juga untuk tim BM kerana sudi memilih sajak yang biasa ini dimuatkan dalam dada akhbar mereka.
Saya teringat bagaimana sajak ini lahir. Saya ingat meja kerja saya yang luas menghadap Gunung Kinabalu dan matahari yang tidak jemu dilihat di pesisir pantai kampus tempat saya bekerja di Kota Kinabalu. Dalam sendu, dalam sedih namun mempunyai harapan yang mengebu-gebu dalam hati ketika itu Allah telah kirimkan ilham untuk saya menulis "catatan" kecil ini. Ketika itu saya perlu hadapi seorang diri segala-galanya. Berdagang bukan urusan enteng. Hati yang kecil perlu tumbuh besar (meski kadangkala hati itu tidak mampu untuk ampuh menahan segalanya).
Alhamdulilah rakan-rakan di FB ada yang suka, ada juga mengirim tahniah. Terima kasih untuk sokongan dan galakan. Saya masih hijau sebagai penyair. Saya masih menganggap diri "penyair palsu" seperti yang kerap saya dan rakan-rakan di PENA ungkapkan. Untuk teman yang didatangi ilham lewat puisi ini, saya doakan semoga dipermudahkan urusan Tuan. Saya mengharapkan yang terbaik untuk kebaikan bersama. Amin.
Saya masih perlukan tunjuk ajar dalam dunia penulisan ini. Tunjuklah yang mana salah, yang mana silap. Ini bukanlah yang "terbaik". Semoga puisi kecil ini mampu menjadi pemangkin untuk saya lebih bersemangat menulis dan menempuh hidup yang kian berliku. Yang baik hanya dari ALLAH SWT. Yang buruk daripada silap saya sendiri.
Saturday, January 07, 2012
Cinta (III)
Mencintaimu
bukanlah seperti
menepuk debu
yang melekat dibaju
Tidak juga seperti
membuka tapak tangan
ketika menikmati
dingin hujan
Mencintaimu
adalah seperti bernafas
merasa sesak jika dihalang
merasa lega jika selesa
Kajang, Selangor
(Gambar dari sini)
Subscribe to:
Posts (Atom)