Monday, April 02, 2012

Membaca dan Menulis Puisi

Saya di Maskara Makwe-Makwe, 31 Mac 2012 lepas :)

Saya seringkali ditegur oleh teman-teman (malah ibu saya sendiri) mengenai kependekan puisi yang saya tulis. Ada yang berkata mendengar saya membaca beberapa buah puisi pun seperti mendengar sebuah sahaja yang dibacakan. Oh, memang saya tidak nafikan. Saya tidak pandai menulis puisi yang panjang kerana jika apa yang hendak diluahkan dalam sesebuah puisi itu sudah cukup untuk saya katakan, maka selesailah sudah tugas menulis saya. Kadangkala saya fikir begini, barangkali perasaan dan emosi yang saya lahirkan dalam melahirkan sesebuah puisi itu juga pendek (ataupun sudah saya mampatkan menjadi pendek) maka yang terlahir juga pendek.

Bagi saya menulis puisi adalah sesuatu yang bersifat peribadi (walaupun bukan semuanya mengenai diri saya sendiri). Jika ada yang bertanya saya bagaimana untuk menulis puisi, ya jujur saya tidak pandai mengajar. Saya sendiri pun bukanlah orang yang pandai menulis. Itu saya akui. Masih banyak yang perlu saya pelajari dalam konteks ini. Mungkin nasihat yang boleh saya berikan adalah tulislah sesuatu yang datang dari hati, insyallah pasti akan menjentik emosi individu yang lain ketika membacanya. Cukuplah kalau hanya seorang sahaja. Itu sudah terlalu cukup untuk saya. Pokok pangkalnya dalam menulis ini, tanya diri kenapa anda menulis dan kenapa anda mahu yang lain merasakan. Jawapannya berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Tiada paksaan cuma cuba renungkan kembali.

Menulis puisi pula seterusnya berbeza dengan bagaimana anda membacakannya. Ya saya bukan pendeklamator. Saya akui saya mempelajari ilmu kejuruhebahan dan kepengacaraan ketika menuntut ijazah pertama di sebuah institusi pengajian tinggi di sebuah kawasan di Selangor. Namun, saya pasti saya tidak pandai membaca puisi di hadapan awam. Saya tidak pernah membaca puisi di hadapan umum sebelum ini kerana tidak pernah merasa yakin akan hal ini. Setelah berkali-kali "dipaksa" oleh rakan-rakan penulis yang lainnya, hendak tidak saya yang "kaku panggung" ini naik jugalah membaca puisi. Mula dahulu sekadar puisi kawan-kawan yang saya sukai tetapi, kini sudah berani sedikit untuk membaca puisi sendiri yang "biasa-biasa" sahaja itu.

Terbaharu saya diundang untuk MASKARA Makwe-Makwe anjuran Sindeket Sol-Jah. Terkejut saya apabila diberitahu saya yang "kaku panggung" ini dikehendaki memulakan malam berkenaan. Maka mulalah keluar kelakuan maha pelik-pelik saya dipentas. Sudahlah sebelum mula ada "request" mahu saya bacakan Rahsia (Untuk B) yang pada mulanya tidak saya masukkan dalam senarai "perlu baca" saya untuk malam berkenaan. Malam berkenaan saya mulakan dengan puisi maaf bermaafan sahaja. Wah, sudah macam hari raya! Haha...

Untuk Sindeket Sol-Jah, saya hanya mengerti "membaca" tanpa emosi barangkali. Namun, jangan serik undang lagi ya. Untuk yang tidak sempat ke MASKARA MAKWE-MAKWE, mungkin video ini boleh memberi gambaran betapa teruknya saya membaca. Haha...


*Gambar daripada Rebecca Ilham. Terima kasih ya dik :)

0 comments: