Tuesday, May 01, 2012

Beg, Buku dan Saya

Beberapa ketika ini saya sering sakit bahu. Memang saya seorang yang mudah mendapat sakit di bahagian  bahu dan tengkuk. Menurut mereka yang sering saya rujuk (mengenai segala masalah kesihatan dan selalu orang itu kakak saya sendiri) berpunca daripada tekanan dan bebanan. Ya seorang pelajar pasca sarjana seperti saya, tekanan itu biasa. Malah tekanan itu lumrah untuk sesiapa sahaja tidak kiralah kita bekerja, belajar malah sedang menikmati percutiaan sekalipun. Namun, bila memikirkan soal bebanan, apakah yang sering saya pikul ke hulu ke hilir. Biasalah beg berisi komputer riba, postman bag saya  ataupun dipanggil beg selempang dan beg berisi buku.

Teringat rakan sekelas juga rakan-rakan baik yang seringkali menegur mengenai banyaknya beg yang sering saya pikul ke mana sahaja. Saya memang begitu. Kalau ke mana-mana sahaja hatta berpergian jauh ke luar negara pun mesti membawa banyak benda. Bukan apa. Saya mahu semua benda yang saya perlu senantiasa bersama saya bila saya perlukan. Lalu, tidaklah perlu saya tercari-cari ataupun membeli ulang. Namun, kalau sekiranya perkara itu lebih baik dibeli disana, saya pasti juga akan meninggalkan perkara berkenaan hanya di rumah sahaja.

Bersama rakan-rakan dari Indonesia ketika membentang kertas kerja di persidangan antarabangsa pada tahun 2011 
Saya tidak pernah bermasalah dengan beg komputer riba kerana saya pastikan dia benar-benar selesa dengan lapis span yang baik dan tetap di badan. Begitu juga tas tangan yang kedua-dua abang saya gelarkan beg posman (kerana ukuran dan warnanya) sehingga baru ini diganti dengan beg kecil hanya berisi dompet dan barang perlu sahaja. Namun, beg berisi buku saya yang kerap kali menyakitkan bahu. Beg yang saya selalu dapat gratis lewat menghadiri persidangan akademik, acara rasmi ataupun perasmian saya gunakan ulang untuk mengisi buku, alatan tulis, botol air, barang kecantikan diri (wow!), telekung malah apa sahaja yang penting dibawa berpergian. Biasalah beg tipis non woven itu biasanya lama kelamaan jika terlalu berat menjadi semakin halus dibahagian pemegangnya dan kes lebih teruk berbulu juga tertanggal jahitan. 

Adatlah beg gratis yang jangka hayatnya seperti yang kita tahu hanya untuk dipakai sekejap cuma. Namun, beg seumpama ini masih dijual mahal di pasaraya ya. Malah ukuran yang kecil, boleh diisi sedikit sahaja barangan kadangkala dilihat sangat "gila" pada harga jualannya. Maka, tidak hairanlah kenapa penduduk kita lebih gemar bayar 20 sen setiap beg plastik ketika membeli belah pada hari tanpa beg plastik setiap sabtu di Semenanjung dan isnin di Sabah (Sarawak saya tidak pasti bila). Di Australia beg non woven yang dijual lebih utuh, keras, besar dan muat diisi barangan harian yang di pasaraya dengan harga hanya 1 dolar sahaja (tidak perlulah kita kira dalam kiraan tukar wang tetapi, kesesuaian pendapatan tempatan ya). Kita, sudahlah kecil, lembik malah mudah pula rosaknya dan yang penting harganya adalah 2-4 ringgit satu. Gila!

Jadi saya merasakan sungguh pun beg non woven ini baik untuk diisi barangan dan buku tetapi, saya merasakan sepatutnya sebuah beg khas yang baik dan sesuai perlu ada untuk perkara ini. Beg buku yang saya jumpai sekali disebuah kedai adalah untuk mengisi buku-buku fiksyen paperback yang kecil molek itu sahaja. Tidak pula sesuai untuk mengisi buku yang mempunyai saiz yang lebih besar. Lalu, bila setiap kali kawan-kawan penulis yang pulang berkunjung ke Eropah juga Indonesia dan melawat perkampungan penulis ataupun kawasan yang mengangkat sastera itu tinggi banyak sekali menbawa pulang beg cenderamata yang ditulis kata bijak penulis terkenal ataupun gambar penulis itu sekali. Ya ini idea yang menarik untuk mengangkat idoala penulisan dan penggiat seni di negara ini. Kenapa tidakkan?
Beg Non Woven

Namun, ada atau tidak perkara seumpama ini hanyalah sebagai aksesori sahaja. Yang lebih penting adalah beg yang besar, selesa diisi banyak benda terutama buku dan boleh tahan lama (juga citarasa saya sebagai seorang wanita mestilah cantik...owh!). Juga yang paling penting pemegangnya yang boleh disangkut dibahu dan besar daripada beg yang biasa dijual di pasaran awam kini. Selain harga yang kadangkala tidak bersesuaian dan mencekik leher, saya jarang jumpa beg yang biasa biasa tetapi menawarkan segala hal ini. Ya mengapa tidak kita mula memasarkan beg yang berpatutan harganya dan mempunyai kualiti yang baik juga.

Buat mereka yang kreatif dan mempunyai nilai keusahawan yang tinggi, cuba saranan saya ini. Boleh laku keras kalau tahu kepada kelompok mana yang anda boleh sasarkan.


Ya buat masa ini saya masih berfikir untuk beg apakah yang sesuai untuk saya isi buku dan peralatan kepunyaan saya. Oh...!

0 comments: