Wednesday, March 14, 2012

Menulis, Motivasi dan Diri


Kadang kala tiba waktu dimana tiada perasaan langsung untuk kita menulis. Kita mencari-cari jawapan kenapa mood yang diharap itu tidak juga mahu hinggap dan membenarkan jemari kita untuk rancak menari di papan kekunci atau hebat bertingkah dengan pena dan kertas. Saya rasa ini perkara biasa yang sering dilalui oleh penulis mana sekalipun. Tapi, kegagalan hati, jiwa dan zahir untuk bersatu dan membentuk sebuah penulisan yang berkesan juga mampu menganggu seseorang penulis itu juga. Hidup serasa kosong dan nihil tanpa sebarang kerjaan berbentuk penulisan dibuat. Ya dan kini saya sedang dihinggap penyakit serius ini.

Oleh kerana itu, seseorang itu memerlukan motivasi untuk mengerakkan perbuatan penulisan itu kembali ke trek yang sebenar. Ya, motivasi yang berkesan sebenarnya datangnya dari diri sendiri. Tanpa diri sendiri yang menggerakkan hati, perasan dan zahirnya sendiri bagaimana sesebuah penulisan itu dapat terwujudkan. Namun, manusia itu kadangkala memerlukan penggalak yang bukan datang dirinya sendiri. Cuba bayangkan diri anda sendiri sedang bersedih dan anda pula dikehendaki memujuk rakan anda untuk tidak bersedih. Barangkali sewaktu rakan anda menceritakan kesedihan yang menganggu perasaannya, anda pula yang menangis mengugu berlebih-lebihan. Ha, jadi kalau dalam keadaan begini saya kira penggalak motivasi kita perlulah sesuatu dari luar.

Hidup dan bergaul disekitar abang kakak adik atau kenalan yang menulis sebenarnya banyak memberi motivasi. Kadang kala kawan-kawanlah yang akan menyuntik semangat berupa cabaran ataupun akhirnya memberi perkerjaan menulis itu sendiri walaupun hanya tulisan pendek ataupun puisi yang hanya 1-2 baris. Inilah yang sering menjadi penggalak saya bila benar benar tiada perasan untuk menulis. Kawan-kawan juga yang sering menjerit di hujung ganggang telefon, memerli di sms,bbm,facebook ataupun melalui gurauan setiap kali bertemu. Pada setiap kepercayaan, peluang dan kemarahan juga sinis kata-kata itu, saya ucapakan terima kasih. Anda benar membuat saya bergerak untuk menyiapkan sesebuah penulisan yang dipertanggung jawabkan.

Saya mengaku saya tidak pandai menulis. Saya tidak pernah menang apa sekalipun sayembara. Tiada sebarang pengakuan saya ini ditahap apa-apa pun. Saya sedar itu. Namun sebagai manusia biasa, saya masih belajar untuk menulis dan menulis. Saya yakin untuk menghasilkan penulisan yang baik itu bukan dengan sekali tulis. Semuanya bermula daripada huruf pertama dan percubaan demi percubaan. Edison juga hanya berjaya mencipta maha karyanya setelah berkali-kali gagal. Begitu juga saya. Cuma, pinta saya adalah berilah peluang untuk orang seperti saya membina penulisan saya.

Saya menulis apa yang saya suka tulis dan apa yang menjentik emosi saya. Saya bukan penulis yang lahir dengan mengetahui segala tok nenek bernama teori sastera dan penulisan. Penulisan itu seni. Seni pada saya mungkin berbeza pula dengan anda. Seni pada anda pula mungkin berbeza denga saya. Begitulah lagi dan lagi.

Berbalik pada motivasi, sebenarnya orang pertama yang hanya dapat memotivasikan diri kita adalah diri kita sendiri. Malah, saya sangat hormatkan penulis yang bisa menulis di sela waktu kerja, berdisplin menetapkan masa tertentu untuk menulis dan sentiasa sahaja ada idea, mood dan ransangan untuk menulis. Untuk anda yang begini, saya tabik habis. Moga saya juga boleh seperti anda suatu hari nanti. Amin.

Mohon doa kalian juga. Terima kasih.

*Gambar dari sini

0 comments: