Pengakuan Penyair dan Segugus Kunci |
Tajuk:
Pengakuan Penyair
Editor:
Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman
Tahun
Terbitan: 2012
Penerbit:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Genre:
Sastera
Harga:
RM 30.00 (Semenanjung Malaysia)
RM 35.00 (Sabah/Sarawak)
RM 35.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman:
267 halaman
No Resit: ITNM000406 29-4-2012 5:24PM
No Resit: ITNM000406 29-4-2012 5:24PM
Poetry don’t have to be
living in a library
there’s poetry that you can see
in the life of everybody
(Pengakuan Penyair; 107)
Barangkali empat baris pertama Poetry yang diambil oleh penyair Jamaluddin D sebagai permulaan
tulisannya dalam buku ini sudah cukup menggambarkan keseluruhannya. Puisi yang
dipetik dari buku Hearsay Performance
Poem Plus susunan Paul Beasley terbitan The Bodley ini berkata puisi adalah
kehidupan seseorang manusia itu sendiri. Begitu juga dengan kehidupan dan
proses kreatif yang melingkungi seseorang penyair. Buku yang menyentuh proses
kreatif jarang amat kita temui di negara ini. Tambahan pula bagi penulisan
dalam genre puisi.
Buku proses kreatif di Malaysia lebih terarah kepada
penulisan prosa seperti cerpen dan novel. Selalunya penyair hanya akan
dipanggil pihak institusi pengajian tinggi untuk berkongsi dengan anak-anak
muda yang sedang menuntut dalam jurusan sastera atau seangkatan dengannya
sahaja. Selepas itu usaha untuk membukukan apa yang telah dikongsikan itu
seakan jarang diambil berat dalam jagat kesusasteraan kita. Jika ada pun
seseorang penyair itu membicarakan proses kreatif mungkin barangkali dalam buku
autobiografi yang ditulis mereka. Namun, berapa ramai sahajalah penyair yang
sempat atau diberi kesempatan untuk menulis autobiografinya sendiri? Malah
kadangkala autobiografi ini tidak juga memberi “kepuasan” yang benar kerana
penyair kadangkala hanya menyentuh sekilas lalu sahaja mengenai proses kreatif.
Dalam kenadiran buku proses kreatif genre puisi,
maka usaha pihak Persatuan Penulis Nasional (PENA) bersama Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia ini wajar diberi penghargaan. Salam tahniah dan syabas untuk
editor bersama buku ini iaitu Saudara Rahimidin Zahari dan Saudara Dr Shamsudin
Othman (yang kebetulan kedua-duanya merupakan antara penyair mapan negara)
kerana menyedari akan kepentingan buku seumpama ini dalam nuansa sastera
tanahair. Buku ini merupakan dokumentasi daripada program yang dianjur oleh
PENA yang diberi nama Pengakuan Penyair dalam meneruskan dan memartabatkan
posisi Baca Puisi PENA yang telah diadakan sejak pertengahan tahun 90-an lagi.
Sejujurnya apa yang menarik mengenai buku ini selain
melihat isi adalah kulitnya. Tepat dan sangat membuatkan bakal pemilik atau
pembacanya bertanya sendiri. Apa kaitan buah mangga kunci yang terbuka dengan
proses kreatif penyair yang mewarnai buku ini? Persoalan yang akan terus
membelenggu fikiran pembaca sehingga usai menekuni buku ini dari helaian
pertama hingga ke akhir. Begitu juga saya. Setelah tamat saya merasakan
pemilihannya sangat unik. Cuba bayangkan buah mangga itu mewakili seorang
penyair dengan imej tertutup dan jarang mahu berkongsi. Menerusi buku ini,
segala “rahsia” yang selama ini hanya “terkurung” atau “tertutup” dibuka,
diperlihatkan kepada umum. Cuma yang pasti meski mangga kunci ini hanya sebuah,
tidak hanya sebatang kunci yang mampu membukanya. Kedudukan diri dan minat yang
sama diibaratkan mangga kunci namun “pembukanya” terdiri daripada 34 batang
kunci. Pilih sahaja yang mana disukai, justeru mangga kunci akan terbuka dan
memperlihatkan dirinya.
Minat dan kesukaan tidak semestinya membawa
seseorang penyair itu untuk selalu berkongsi “rasa” dan pengalaman yang serupa.
Menerusi buku ini kita dibawa untuk mengembara tidak hanya dalam batang tubuh
seorang manusia dipanggil penyair tetapi, 34 orang kesemuanya. Berbagai sebab
menjentik mereka untuk mencoret puisi. Sudah pastilah penyair bukan produk yang
dikeluarkan “kilang” dan serupa sahaja pengalaman, latar belakang dan tahap pendidikan.
Bercerita mengenai isi, antara yang membuatkan
seseorang penyair itu menulis adalah kerana pengalaman peribadi yang diaduk
bersama kreatif menghiasi karya-karya tulisan Abdul Hadi Yusoff terutama
menerusi puisinya, Jika Perempuan Itu
Bernama Sesuatu Yang Tidak Perempuan adalah pengalamannya melihat PATI
Vietnam di Pengakalan Chepa.
“Jika
perempuan itu bernama
sesuatu yang tidak perempuan
jika kamar tanpa jari-jari lembut membelai
menghayun dodoi lerek ke subuh
atau hilangnya bersama embun putih
sedang di sempadan Vietnam
merpati putih kepatahan sayap
masih lena dengan parut membenam
mimpikan surat perdamaian.”
(Pengakuan Penyair; 4)
sesuatu yang tidak perempuan
jika kamar tanpa jari-jari lembut membelai
menghayun dodoi lerek ke subuh
atau hilangnya bersama embun putih
sedang di sempadan Vietnam
merpati putih kepatahan sayap
masih lena dengan parut membenam
mimpikan surat perdamaian.”
(Pengakuan Penyair; 4)
Perkara ini dikongsi oleh Nassury Ibrahim (halaman
159), Siti Zainon Ismail yang menulis kerana terkesan melihat allahyarham
ayahanda beliau (halaman 211 dan 214) begitu juga dengan Zaiton Ajamain (pada
halaman 246).
Ada juga penyair yang menulis puisi kerana terkesan
atau merasa pertanggung jawaban kepada tradisi. Ahmad Razali Yusof terkesan
kepada pantun dibawah (halaman 16);
Jauh-jauh
kapalku datang,
Pasang bendera di hujung tiang;
Jauh-jauh cintaku datang,
Perut lapar menjadi kenyang.
Pasang bendera di hujung tiang;
Jauh-jauh cintaku datang,
Perut lapar menjadi kenyang.
Sementara Salmiah Ismail kerana dibesarkan dalam
lingkungan membudayakan tradisi seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Peteri dan
persembahan kebudayaan asal Kelantan yang lainnya. Zaen Kasturi pula kerana
rasa pertanggung jawaban terhadap memelihara kelestarian budaya itu sendiri.
Zurinah Hassan bertunas bermula dengan minatnya menyimpan lirik lagu yang
ditulis dalam buku.
Tidak ketinggalan juga dengan penyair yang mula
menulis puisi kerana dilanda kesedihan, kesunyian dan kesakitan. Ini dikongsi
oleh Amirul Fakir, Mahaya Mohd Yassin yang mencurah kerinduan kepada suami
melalui puisi, Imlan Abadi menulis puisi sebagai cara menyalurkan kesakitan
yang dialaminya, Marsli NO dan Lim Swee Tin yang suka bersunyi, Salman Sulaiman
yang pendiam dan sejak kecil sudah ditinggal bapa dan Shamsudin Othman yang
mengalami onak duri pengajian. Begitu juga dengan penyair yang menulis kerana
diserbu rasa dan perasaan seperti Ariff Mohamad dan Zaen Kasturi juga minat
yang mendalam terhadap buku dan pembacaan seperti Amaruzati Noor Rahim.
Sementara itu menurut Arbak Othman, Rahimidin Zahari
dan Ismas Saring pergaulan telah membuatkan mereka berminat menulis puisi. Baha
Zain dan Nassury Ibrahim pula menulis puisi kerana keterjuaan pergelutan dalam
kata-kata yang pada pandangan mereka begitu indah untuk diterokai. Jamaluddin D
dan Lim Swee Tin dalam pada itu berkata menulis puisi boleh memberi kepuasan
yang tidak dapat mereka miliki dengan menulis dalam genre lain. Yang terakhir
adalah kerana rasa tanggung jawab moral dan agama kepada masyarakat seperti
yang dirasakan oleh Leo AWS, Marzuki Ali, Nassury Ibrahim, Sahrunizam Abdul
Talib, Suhaimi Haji Muhammad, Zaiton Ajamin dan Zubir Ali.
Seperti yang telah saya katakan
melalui status di laman sosial Facebook (pada 1 Mei 2012), saya mengsyorkan buku
ini kepada mereka yang ingin menjadi penyair ataupun penulis sajak pemula yang ingin
tahu apa dan bagaimana para penyair mapan kita meraih idea, pengalaman berkarya
dan pandangan mereka mengenai dunia puisi dan kepenyairan di Malaysia. Semoga
penerbitan seumpama ini bukanlah hanya terhenti disini sahaja. Di masa hadapan
saya berharap agar penerbitan yang menghimpunkan proses kreatif dalam genre
puisi diteruskan. Buku ini hanya menampilkan (hampir 80%) penulis mapan yang
mempunyai jalur yang berbeza dengan penulis muda kini. Mereka rata-ratanya
adalah penyair 60-80an. Barangkali sebagai cadangan pihak ITBM-PENA memberi peluang
menerbitkan proses kreatif penulis angkatan 90an dan 2000an yang pastinya
mempunyai
pengalaman yang berbeza.
Seperti kata Sapardi Djoko Damono (halaman 137), “Menjadi pengarang adalah memilih posisi
untuk sentiasa bersepi. Ketika orang ketawa ria diluar, pengarang gelisah
dikamar, ketika orang riuh-rendah menguruskan segala ragam keperluan, pengarang
terasing bersendirian”. Penerbitan seumpama ini sahaja yang membolehkan
orang diluar memahami kesukaran yang dialami penulis dan untuk penulis pula, pengalaman ini boleh
menjadi panduan sesama sendiri. Semoga dengan kehadiran penerbitan ini, kita
semakin menghargai khazanah sastera tanahair.
*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Pertandingan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2012.
2 comments:
Nampaknya saya terlepas sebuah buku yang menarik. Alangkah ruginya.
Masih boleh dapatkan di kedai buku atau langsung ke ITBM. Tidak ada istilah "terlepas" disini saya kira :)
Post a Comment