Thursday, October 30, 2008

Kisah Paspot Malaysia

Paspot Malaysia Milik Emak, Ayah dan Saya...

Paspot emak dan ayah tinggal kurang dari setahun tamat tempohnya. Jadi, untuk membolehkan kami bertiga selamat tiba ke destinasi tanpa sebarang masalah imigrasi, paspot perlu mempunyai tarikh sah yang lebih dari setahun. Gara-gara inilah saya, emak dan ayah terpaksa menghabiskan masa hampir sehari suntuk di pejabat imigresen di Kajang.

Tujuan saya menulis entri ini bukanlah mahu memburukkan sistem imigresen kita. Ya, daripada satu sisi, apa yang dapat saya lihat perkhidmatan yang disediakan imigresen Malaysia kini sudah lebih membaik daripada kunjungan saya 2 tahun lepas. Kini untuk mempebaharui paspot, anda tidak perlu beratur panjang atau menunggu hampir lebih 2 jam sebelum permohonan anda selamat tiba di meja pegawai imigresen.

Jabatan Imigresen Malaysia menyediakan mesin khas dimana anda perlu memasukkan sekeping gambar berukuran paspot, salinan foto kad pengenalan anda dan buku paspot anda yang sudah sampai tarikh luput ke dalam sebuah sampul surat. Dengan menggunakan kad pengenalan, buku paspot dan mengimbas ibu jari kanan anda, identiti anda nanti akan dikenalpasti. Setelah identiti anda dikenalpasti, anda perlu memasukkan pula wang bernilai RM 300 ke slot yang disediakan.

Resit dan bukti penyerahan nanti akan dikeluarkan mesin dan apa yang anda perlu buat adalah datang semula setelah 2 jam. Nah, buku paspot anda sudah siap untuk anda ambil dan gunakan. Mudahkan?.

Emak tidak berjaya memperbaharui paspotnya dengan menggunakan mesin berkenaan. Hanya ayah seorang sahaja yang berjaya. Emak tidak berjaya pun gara-gara mesin tidak berjaya untuk mengimbas ibu jari kanannya. Lalu, saya dan emak terpaksa melalui cara lama dengan mengisi borang dan menunggu giliran. Secara purata kami terpaksa menunggu hampir 2 jam untuk menyerahkan borang dan kembali setelah 2 jam kemudian.

Bukanlah jabatan ini tidak efisen tetapi, bilangan masyarakat kita yang hendak memohon atau memperbaharui paspot itu yang ramai. Tiba-tiba saya diserang soal, "Siapa kata masyarakat kita tidak berduit?". Justeru, bilangan yang datang secara tidak langsung telah menjawab sekian banyak persoalan dalam cepu fikir saya.

Dalam keripuhan orang ramai yang berurusan itu, saya dan emak sempat bertanya beberapa orang kemana arah dan tujuan mereka. Yang Melayu tanpa segan silu menyatakan bahawa mereka hendak bercuti ke Indonesia. Yang India pula hendak ke India dan Cina pula ke China. Hai bagai ada satu pola tertentu pula yang dapat melabelkan kemana hala yang mereka akan tuju.

Jadi benarkah masyarakat Malaysia kurang berduit? Jika shopping mereka sahaja pun sudah melangkaui sempadan geografi?

Tuesday, October 28, 2008

"...dan Aku Tinggalkan Semua Sebegitu Sahaja"


...dan aku tinggalkan semua sebegitu sahaja...





Buat engkau yang tidak berjiwa
Marilah kita belajar mengenal diri dan kesal yang menebal dalam relung hati!




"...dan AKU BUKAN HAMBA ABDIMU"

Monday, October 27, 2008

Suatu Hari Setelah Stres Yang Berat


"Ha?...Aku dieksploitasi lagi? Tidakkkkk"

Tiba-tiba banyak sekali dugaan, cabaran dan tanggungjawab yang datang silih berganti syawal tahun ini. Alhamdulilah, Sang Maha Pencipta masih tidak pernah terlupa membekalkan sisa-sisa sabar yang bersarang dalam relung jiwa ini. Lalu, saya panjatkan setinggi syukur untuk karunia itu. Moga DIA tidak pernah terlupa untuk senantiasa membekalkan lagi-lagi. Saya hanya hamba kerdilnya yang selalu khilaf dan lupa diri...


"Abang Ong yang Senantiasa Rasa...rasa...rasa apa erk? Huihuihui"

Sehari selepas stres berat yang hampir menghilangkan kewarasan fikiran itu permisi, suatu perkara yang semakin saya terlupa mampir memberi keceriaan. Apa lagi kalau bukan bersama keluarga yang menjadi tulang belakang dan selalu memberikan keriangan. Aduh, kadang-kadang kerana kesibukan yang melebat, saya terlupa keluarga. Jadi, saya kembali menjadi saya yang rasional dan berjiwa. Bukan seperti saya 3 minggu lepas yang kurang rasa hatinya, hampir hilang daya kegembiraannya dan lupa diri kerana tugas pada orang yang tidak pernah menghargai. Maafkan aku wahai diri!

"Khaleeda the Gadget Girl. Aduh, budak-budak zaman sekarang!"

Sabtu sebuah acara untuk keluarga datang lagi. Aduh, saya gembira amat. Hanya DIA yang tahu.

Acara malam itu bukanlah dilakukan di hotel papan atas atau dimana-mana tempat penuh ekslusif tapi, plastik. Kami hanya makan disebuah restoran biasa disebuah tempat di Bangi. Makan malam bersama semua ahli keluarga yang ada (kecuali angah yang nun di Perth). Betapa saya diserang kangen sebenarnya pada mereka disana. Aduh, kenapa lambat serasanya waktu berputar. Saya sudah tidak sabar menemui semua di Perth disember ini.

"Khamilia yang sangat lucu!"

Yuk, mari lihat foto yang sempat dirakam sebelum kami makan dengan "semangat"nya malam itu.

Sungguh saya terasa sebebas-bebasnya hidup ini bila "lepas" daripada tanggungjawab kepada mereka yang tidak pernah menghargai dan selalu menghakimi. Yeay! "Aku Mau Hidup Seribu Tahun Lagi"

"Hidup mesti Rock tapi, jangan jadi The Rock sudah!"

"...dan sememangnya kami sedang lapar!"

Monday, October 20, 2008

Bila Surau Pun Dah Ber"kasta"

Saya bertanya pada diri, "Eh nak mengadap Tuhan sekarang pun ada kasta jugak ke?".

Peristiwanya begini, saya sudah telat sembahyang zohor gara-gara bertapa dalam sejuk penghawa dingin kutub kanah di UKM untuk mengusaikan segala macam hal. Lalu, bila sudah pulang ke fakulti macam biasa saya serbu surau pekerja di jabatan komunikasi. Agak pelik juga saya bila surau yang biasa kosong waktu-waktu itu dipenuhi orang. Maklumlah sudah jam 3 pasti semua sudah kembali semula bekerja.

Menyedari surau itu dipenuhi dengan kakak-kakak pejabat am, saya berbahasa basi untuk mengerjakan amanah pada Tuhan. Maklum, saya masih baharu maka masuk kandang kambing mengembek la. Kakak yang bergerombolan dengan kotak-kotak makanan segera itu pun membenarkan. Hati diterjah pelik, mahu makan dalam surau? Namun saya nafikan kerana itu bukan urusan saya kan...

Siap saya berwuduk, saya masuk semula ke surau. Nah, saya diterjah soalan bahawa saya tidak dapat solat disini kerana saya bukan pekerja. Setelah menerangkan kedudukan saya sebagai RA, muka mereka berubah dan pada hemat saya sebenarnya muka mereka waktu itu adalah muka menahan malu sendiri.

Namun, untuk menguatkan hujah, mereka kata saya tidak dibenarkan sembahyang disitu dan semacam memberi amaran untuk bersolat hanya saya ulang HANYA di jabatan sebelah kerana gara-gara boss saya pensyarah jabatan sebelah. Saya sudah telat, saya buka hijab kepala lalu menunaikan solat pada YANG MAHA KUASA.

Melihatkan saya sebegitu, kakak-kakak yang bergerombolan bersama kotak-kotak makanan segera diam dan menikmati makanan mereka. Saya hairan, mengapa perlu makan ditempat yang sudah dijadikan tempat mengadap TUHAN. Bukan tiada pantry untuk mereka makan disana. Aduhai.

Nampak sangat mereka lebih memilih makanan daripada membiarkan seorang mahluk ALLAH menunaikan tanggungjawabnya. Payahkah untuk membenarkan hanya untuk 4 raakat dan masa yang tidak lebih 10 minit dilaburkan untuk membuat pahala?

Surau kita pun sudah berkasta kini. Bila hal sebegini terjadi, saya sering teringat entri blog Kak Rai yang pernah menyentuh kisah "Bila Jamban Berkasta". Aduhai, selepas solat saya geleng kepala beberapa kali. Masyallah!

Wednesday, October 15, 2008

Yang Susah dan Yang Senang

"Wajah-wajah yang menyerikan kehidupan saya kini. Teman sekelas saya"


Saya sedar sudah beberapa lama saya tinggalkan blog ini kesepian tanpa sebarang entri terbaharu. Bukan sengaja. Bukan pula hendak menyepikan diri. Kekangan saya kini adalah masa yang terlalu menjerut. Kehidupan kini bertambah rumit dengan pekerjaan dan pengajian. Dengan masalah kehidupan dan tanggungjawab sebagai anak kepada emak dan ayah, murid kepada "guru-guru", adik kepada abang dan kakaknya, teman kepada kawan-kawan malah pekerja kepada bossnya.

Mungkin kerana beberapa ketika sebelum ini hidup sudah terlalu mudah dan saya hanya terpaksa fokus pada suatu sahaja pekerjaan iaitu pengajian. Sejak kembali berkecimpung semula dengan alam pekerjaan saya terpaksa menyusun semula jadual dan membiasakan fizikal dan mental saya untuk bergerak cergas dan cerdas.

Antara sela berbagai kerja dan tanggungjawab ini, saya dan keluarga diduga dengan beberapa perkara termasuk apa yang menimpa pada abang saya, Mohariz. Alhamdullilah kerana Allah SWT yang masih lagi menyediakan ruang dan peluang, masalah itu akhirnya diusaikan dengan selamat. Harapan saya kini, agar semua ahli keluarga akan dipermudahkan apa sahaja pekerjaan. Dugaan dan cabaran ini hanya ingin menguji sejauh mana kesabaran dan kekuatan diri. Semoga masih diberi Allah 'kekuatan' seutuh ini lagi. Insyallah.

Tuesday, September 30, 2008

Salam Lebaran


"Si gadis manis di pagi Aidilfitri. Oh, sungguh saya merindukan saat riang berkumpul bersama semua puteri-puteri comel saya ini"

Aduhai terasa sebentar sahaja kita bermukim di daerah Ramadhan. Perlahan-lahan terpaksa juga kita meninggalkannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke daerah Syawal. Tiba sudah hari kemenangan bagi semua umat Islam. Keindahan bulan penuh maaf bermaafan ini sungguh bermakna untuk kita semua meraih semula ikatan yang terenggang kerana kekhilafan di masa lalu. Maka, permudahkan diri untuk maaf memaafi sesama kita. Moga diberikan Sang Maha Pencipta kemanisan hidup bersama.

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pelayar blog "Yang Bernama Cinta"
Dimaafkanlah segala keterlanjuran kata-kata yang menyentuh mana-mana pihak yang sempat dan sudi membaca (sekiranya ada)
Jemputlah merayakannya di teratak saya di Kajang (pada yang sudi boleh emel saya minta alamat)

Thursday, September 25, 2008

Hadiah Yang Tidak Disangka-sangka

"Sepotong kek & Sebuah Buku~~Terima Kasih banyak, Nas!"

Hampir seminggu lebih saya diserang selsema dan demam yang teruk hingga saya sekarang boleh menyanyi lagu genre rock tanpa perlu menyerak-yerakkan suara (hehe!). Saya tidak mampu menjawap panggilan telefon (hanya boleh membalas sms!). Maaflah kepada sesiapa yang saya tidak jawap panggilan anda itu ya!. Barangkali, selepas ini anda tidak perlu membuat panggilan. Hanya perlu sms sahaja!

Dalam menempuh dugaan berpenyakitan ini, saya menerima hadiah yang tidak saya sangka-sangkakan. Saya sudah hampir mahu menutup lembar keinginan memilikinya namun, rezeki saya barangkali di bulan yang penuh rahmat ini. Alhamdulillah. Maka, terlengkaplah impian untuk memiliki antara trilogi fantastik Sasterawan Negara, Arena Wati, Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Itulah agaknya nikmat bersabar dan meredhai segalanya dalam kehidupan!

"Bunga Dari Kuburan~~Arena Wati, Sasterawan Negara"

Pertama-tama saya ingin mengucapkan terima kasih saujana luas lautan, selebar payungan langit buat Nasriah (yang sabar mencari dan ingin membuat kezutan buat saya~~hehehe). Terharu saya mendengar bagaimana payahnya dia hendak mencari buku ini untuk dihadiahkan sempena ulang tahun usia perak saya tahun ini. Nas, eh aku tak tahu macam mana nak cakap lagi...TERIMA KASIH SANGAAAAAT...MUUUAHH!!!.

Hal yang kedua, saya menerima sesuatu lagi yang membuatkan saya gembira. Mungkin inilah langkah pertama persediaan saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik. Saya tidak memikirkan sangat (fikir jugakla) habuan yang bakal saya terima kerana dipenghujung jalan nanti yang saya mahukan adalah ilmu daripada pekerjaan itu. Semoga ilmu itu boleh menjadi bekal bagi memudahkan penulisan ilmiah untuk pengajian saya kini.

Teman-teman, kita sudah berada dalam 5 malam terakhir bulan mulia ini. Terasa sayu pula tiba-tiba mencuit rasa...

Ramadhan kali ini, banyak sekali mengajar saya jadi manusia. Banyak mengajar saya supaya lebih redha dan bersabar! Semoga rasa ini berterusan sehingga akhirnya...AMIN.

Wednesday, September 24, 2008

Sweet Child Of Mine...Versi Sitar!

Sebuah lagi iklan yang menyentuh deria. Lagu rock diberi suntikan tradisional India iaitu Sitar. Menarik bunyinya. Ayuh, mari sama-sama kita lihat dan dengar bila Sweet Child of Mine dendangan Kumpulan Gun n Roses sudah jadi semacam lagu dari negara India dan tidak pun menunjukkan ciri-ciri rocknya...!

Wednesday, September 17, 2008

Usia Suku Abad & Rasa Yang Payah Diungkapkan


"Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun...lalalala"

Tidak tahu bagaimana saya perlu membalas ucapan yang masuk lewat SMS ke telefon genggam, di Friendster, Facebook, mesej pada YM, panggilan telefon malah ucapan yang ada di blog ini. Saya terharu kerana ada juga yang mengingati tarikh "menambah" umur saya tahun ini. Setiap tahun itu jugalah ada sahaja teman-teman baharu yang sudi menghulur ucapan. Wah, betapa tidak sedarnya saya bahawa setiap masa ada sahaja kenalan baharu yang kita ciptakan ya?

Walaubagaimanapun, TERIMA KASIH BANYAK! Hanya itu yang mampu saya balas. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki saudara semua...Amin!


"Trilogi Armageddon"

Banyak benar yang menggembirakan hati dan membuatkan rasa sayang saya semakin membuak-buak dalam diri. Pertama, untuk emak. Emak telah menghadiahkan antara trilogi Arena Wati yang pingin sekali saya miliki (setelah usaha mencari "Bunga Dari Kuburan" tidak membawa sebarang penghasilan). Untuk emak, terima kasih banyak!

Seterusnya buat Abang saya Mohariz (abang nak sign...gegege!) & Kak Ina. Untuk sambutan hari lahir alias majlis berbuka yang walaupun tampak sederhana tapi, sangat-sangat-sangat bererti buat adik anda yang baru berusia suku abad ini. Anda boleh lihat betapa "meriah"nya acara makan-makan kami dibawah. Amaran, jangan lihat gambar ini sekiranya anda sedang berpuasa. Segala ke'batal'an puasa anda tidak akan di jamin...gegege!


"Buah hati saya, Amir Luqman dan Ayahnya"


"Kak Ina Yang Menjadi Tukang Dengar Radio untuk Azan"


"Luq...tengok ayah punya spagetti ada bola-bola api"


"Amir Luqman diberi peluang "ambil bau". Macam filem "3 Abdul" la pulak"

"Chicken Mushroom"


"Chicken Kebab"

Untuk teman sekelas saya di UKM, terima kasih juga untuk ucapan "belated"nya dan Idahyah yang sempat membeli Marble Cheese Cake di Starbucks, Bangsar semata-mata mengenangkan hari jadi saya. Kamu buat saya rasa mahu menangis!

Usia di suku abad ini (bak kata Nas, usia perak. Hehe!), banyak sekali membuat saya berfikir dan menetapkan kembali matlamat dan cita-cita yang seringkali seakan mahu tercicir dari gendongan jemala fikir. Tahun ini sambutan hari lahir sangat bererti kerana di sambut pada bulan ramadhan (juga seperti tahun lepas) dan berada pula pada 15 Ramadhan. Bulan yang mulia untuk memulakan sesuatu cita-cita yang murni.

Seiring dengan pertukaran nombor pada usia ini, saya diserang tanya dalam sanubari sendiri. Kenapa perasaan "itu" pada sesuatu yang "lama" perlu hadir lagi? Payahkah sempena bulan mulia ini dia mengangkat telefon dan memohon kemaafan? Lalu, berkata 'Ayuh, mari kita bersahabat lagi'. Ah, rasa ini kenapa begitu payah untuk diungkapkan?

Sunday, September 14, 2008

Zapin Bunga Hutan

Tidak ada apa-apa coretan terbaharu mahu saya kongsikan bersama dengan anda. Cuma kini saya sedang "gilakan" lagu Zapin Bunga Hutan dari filem Bawang Puteh Bawang Merah lakonan Dato' Mustafa Maarof & Latifah Omar terbitan tahun 1959 (bukan senetron lakonan Nia Ramadhani yang memualkan itu ya!). Filem ini arahan Allahyarham S Roomai Noor dan diterbitkan oleh Studio Chaty Keris, Singapura. Lagu asal nyanyian Orkes Budi.

Kali ini biarlah saya berkongsi keriangannya bersama anda pula. Ayuh, mari berzapin!



Saya juga gemarkan versi Bunga Hutan oleh Dewangga Sakti!

Wednesday, September 10, 2008

Hadiah 4 Bulan

Buah hati saya dapat naik kereta merah yang dipandunya sendiri. Yang tak best...muka dia monyok sangat. Agaknya "dipaksa" memandu kereta dalam keadaan mengantuk teramat barangkali.

"Aiyaa Apek ini stereng apa pasat talak bulih pusing-pusing punya?"

"Bilalah agaknya Ayah nak beli kereta ni. Boleh aku bawak awek aku kat taska tu jalan-jalan"

Sempena hari jadi yang ke empat bulan, ayah dan mama Amir Luqman membelikan hadiah kerusi goyang untuk memudahkannya menonton televisyen dengan lebih relaks. Ini antara koleksi gambar Mir Luq sempena mendapat hadiah barunya.

"La hai...Ayah nak beli kerusi goyang ni je ke? Bolehla daripada tak de"

"What are you looking at?"

Terakhir adalah wajah terbaharu Mir Luq yang dibotakkan dengan sengaja. Kata Mir Luq secara peribadi kepada saya, perbuatan ini adalah untuk menambahkan kekacakkannya. Dia berharap dengan ketampanan wajahnya kini, dia dapat mencuri hati gadis-gadis manis berhampiran dengannya. Terutama kawan-kawan perempuannya di taska.

"Amacam hensem tak saya dah takde rambut? Ada can tak nak tackle anak perempuan pakcik dan makcik?"

Sunday, September 07, 2008

Bolehkah Anda Membantu Saya?

Kulit Buku Ketiga Trilogi Oleh Pak Arena Wati, Sakura Mengorak Kelopak

Sebenarnya saya kecewa dengan sikap diri sendiri yang tidak pernah pun ada hati hendak membeli dan membaca antara trilogi terhebat Arena Wati ini dahulu. Kali pertama digiat untuk membaca trilogi ini adalah ketika mengikuti MPR dalam tahun 2001 di Genting Highlands. Saya ingat lagi Abang Faisal Tehranilah (antara pembimbing MPR tahun berkenaan) yang bersungguh-sungguh menyuruh kami meletakkan trilogi ini dalam senarai buku mesti baca oleh calon penulis.

Mungkin waktu itu saya terlalu muda untuk menilai buku-buku malar hijau sebegini. Ditambah pula semasa itu saya masih lagi terpaksa mengharapkan wang saku dari mak ayah. Lalu, payah benarlah hendak membeli sekian-sekian buku. Mak ayah tidak menghalang jika saya mahu membeli buku apa sekali pun. Tetapi, waktu itu saya lebih tidak mahu membebankan mereka dicampur pula dengan tiada desakan yang menggila dalam hati untuk saya miliki buku berkenaan.

Jujur saya katakan disini, saya membaca trilogi ini bermula daripada buku ketiga, Sakura Mengorak Kelopak. Terus diterjah busur kenikmatan membaca. Isinya yang fanastik membuat saya terkedu beberapa ketika. Pak Arena memiliki suatu keistimewaan iaitu bercerita dan pemikirannya yang berbeza dalam sesuatu novel yang ditulisnya menghambat saya untuk setia membaca. Tidak saya nafikan novel Pak Arena memang berat (daripada segi isi, pemikiran malah timbangan bukunya kerana majoriti buku Pak Arena tebal-tebal belaka -- Kak Nisah Haron pun bersetuju dengan saya kerana katanya sesetengah buku Pak Arena perlu dibaca diatas rehal kerana tebal).

Justeru itulah sebenarnya kelazatan himpunan trilogi ini. Saya "kelelahan" untuk menghabiskan Sakura Mengorak Kelopak. Namun, sebuah perasaan malah terbit dalam sukma seusai saya menghadam buku berkenaan. Saya cari buku-buku lain dalam triloginya. Alhamdulillah saya terjumpa di DAWAMA, buku keduanya iaitu Kuntum Tulip Biru bersama Nasriah tahun lepas. Sekali lagi saya jatuh cinta.

Tapi, sayang sayang sayang buku pertama dalam trilogi ini malah tidak ada dan tidak pernah diulang cetak oleh DBP dan mana-mana rumah penerbitan. Ah, sayunya nasib buku di Malaysia. Buku yang baik seakan tidak pernah dihargai!

Jadi bolehkah anda membantu saya menjejaki buku pertama dalam trilogi ini yang diberi tajuk Bunga Dari Kuburan? Saya benar benar benar dan sangat sangat sangat sangat inginkan buku berkenaan. Saya tegaskan sekali lagi, saya INGIN MILIKI buku berkenaan. Jika anda ingin menjual naskah yang anda punya atau mungkin mengetahui dimana dapat saya beli buku berkenaan, saya minta benar anda khabarkan pada saya. Biarlah harganya sedikit mahal asalkan saya mempunyai trilogi lengkap buku ini.

Bantu saya ya! Oh terlupa lagi sebuah buku yang sedang saya cari adalah buku berjudul Enda Gulingku sebuah buku biografi Pak Arena. Tolong ya...!

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Menjenguk Lagi


Suatu perasaan yang berbeza akan saya alami setiap kali kedatangan musim bulan Ramadhan. Perasaan yang bentuknya bagaimana, payah hendak saya perincikan di sini. Yang pasti, saya sukakan perasaan yang begini dan berdoa padaNYA agar ia kekal berada dalam pojok jiwa.

Ramadhan kali ini hendaknya kita sentiasa berada di bawah payungan rahmat Sang Maha Pencipta. Musim yang ditunggu-tunggu semua penduduk alam untuk menanam pahala dan menabur benih cinta pada DIA.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa dengan hati penuh tunduk padaNYA buat semua pengunjung blog saya ini. Semoga bertemu kita dengan kemanisan Ramadhan itu bersama-sama. Insyallah! Amin...

Friday, August 15, 2008

Bila Mataku Merenungi Wajahmu...


"Bila Mataku Merenungi Wajahmu, Ada Rasa Cinta Yang Menggebu Mengusik di Tangkai Kalbu"


Oh...memang saya gilakan buku! Itu sudah pasti. Tiada istilah menolak pada buku (meskipun dalam bentuk salinan photocopy). Namun, bila diberi jeda waktu yang begitu sedikit dan saya perlu hadami semuanya sekali, saya rasa geram. Seperti hak peribadi saya untuk 'berseronok' membaca 'dirampas' oleh si dia yang bergelar masa.

Oh...saya mahukan masa yang lebih sedikit! Tolonglah waktu jangan cemburui aku...

Thursday, August 14, 2008

Asam Gelugor Si Asam Keping


Buah apakah ini?

Seorang adik MPR pernah bertanya pada saya apakah itu buah asam gelugor atau asam keping?

Waktu itu hendak saya perincikan bentuknya memanglah sangat mustahil. Memberi gambaran pada orang yang tidak pernah melihat sesuatu itukan payah. Kita gambarkan buah itu seperti labu. Mempunyai seksyen-seksyen pada buahnya seperti labu, dibayangkan buah itu seperti labulah pula. Untuk Lan, ini dia bentuk buah asam gelugor atau asam keping, ya dik!

Selain pengajian saya di waktu petang (yang hampir setiap hari), disela masa senggang dan ripuh (yang memaksa saya untuk menghadam pelbagai jenis buku), inilah salah satu pekerjaaan yang menghiburkan di rumah emak. Memotong buah ini untuk dijadikan asam keping atau asam gelugor. Kegiatan ini bukanlah sesuatu yang terlalu menyeronokkan tetapi, cukuplah untuk menghilangkan tekanan terhadap pengajian yang menagih seluruh masa untuk saya curahkan.


Inilah buah asam gelugor. Yang hijau masih muda. Jika dibuat asam keping kurang masam berbanding dengan yang kuning (yang sudah masak)

Rumah saya bukanlah didalam sebuah dusun yang menempatkan pelbagai jenis buah-buahan, pucuk, ulam atau tanaman. Dah sah-sahlah saya tinggal di kawasan taman perumahan! Untuk semua itu kami terpaksa pulang ke kampung nun di Melaka. Yang kerap pulang ke kampung sudah pastilah ayah. Semuanya diangkut pulang. Baik durian, rambutan, pisang, langsat...eh apa-apa sahajalah yang ada di kampung itu hendak dibawa pulang. Agaknya rumah kampung arwah nenek dan arwah atuk pun kalau boleh hendak di bawa pulang bersama.


Buah asam yang sudah kering

Kadang-kadang, saya dan emak sudah naik rimas dengan produksi asam keping kami. Cuaca yang tidak menentu, kekurangan tempat menjemur dan yang paling penting adalah tidak cukup tenaga manusia yang hendak memotong asam keping membuatkan kami bersikap sebegitu. Namun bila melihat ayah yang berpenat lelah membawa pulang buah asam dari kampung, tidak tergamak pula hendak membiarkan buah asam itu tidak berpotong.


Asam keping yang sudah siap untuk dipek

Tujuan ayah membawa pulang ke rumah pun kerana tidak sampai hati melihat buah-buahan itu membusuk dibumi. Daripada terbiar begitu sahaja nah, boleh juga bersedekah kepada jiran-jiran dan menambahkan pendapatan keluarga (meskipun bukanlah banyak benar yang kami dapat sekali jual!)

Kalau yang mengambil dalam kuantiti yang banyak dalam satu-satu masa pun adalah ustazah di tempat emak selalu berurut. Sekali beli 5 ke 6 kilogram. Katanya hendak membuat ubat kurus cara tradisional yang kerap habis dikedainya.

Asam keping

Thursday, August 07, 2008

Dalam Usaha Mencari Kado*

(*Kado bermaksud "Hadiah")

Kesulitan yang sering saya alami adalah apabila terpaksa duduk berlama-lama di sesebuah kedai mencari kado atau hadiah untuk teman, keluarga atau sesiapa sahaja yang relevan di hati saya. Sering benar kepayahan ini membuatkan saya bingung. Hadiah apa yang sesuai, paling disukai dan yang paling penerima ingin benar sempena ulang tahun kelahiran sekian-sekian umur, hari perkahwinan malah untuk hari-hari penting dalam hidup mereka.

Saya suka hadiah yang praktikal dan sentiasa digunakan penerimanya. Namun begitu, saya tidak pula menggemari andai membeli hadiah meskipun praktikal tapi, setiap orang yang datang berkunjung akan menghadiahi penerima hadiah yang lebih kurang sama.

Jika penerima itu sememangnya seorang pengila buku (bibliohisme) seperti saya, itu tidak pernah pula mendatangkan permasalahan besar buat saya. Hati saya berbunga ria jika mengetahui penerimanya nanti tidak pernah menolak, akan membaca dan akhirnya menjadikan pemberian buku daripada saya sebagai koleksi simpanannya. Sudah pasti buku itu bukan hanya menjadi pemenuh almari "suci dalam debu" tapi, akan dibaca dihadam sehingga halaman terakhir. Oh bahagianya!


Pernah untuk suatu majlis perkahwinan teman, saya terpaksa mengitar hampir sebuah gedung beli belah di Kuala Lumpur semata-mata untuk membelikan hadiah untuk dia dan pasangannya. Akhirnya yang tercapai dek tangan saya hanya sebuah bingkai gambar yang ringkas benar. Saya tiada idea apa yang sepatutnya saya berikan pada mereka suami isteri. Jika hendak dibelikan pinggan mangkuk, pasti mereka nanti sendiri meluat tengok bila dikoyak sampul hadiah pada malam kenduri, balik-balik pinggan mangkuk...balik-balik pinggan mangkuk. Sebenarnya hadiah bingkai gambar pun macam idea yang basi juga tapi, hanya itulah yang dapat saya beli dan cari dalam masa singkat dengan kos yang efektif. Jangan tiru saya!

Suatu lagi masalah dalam memilih dan mencari hadiah yang sesuai adalah apabila diminta untuk membeli hadiah buat lelaki. Kalau hanya membeli hadiah untuk ayah saya, itu bukan menjadi masalah besar. Dia tidak kisah apa sahaja yang saya dan emak beli. Dia menerimanya dengan senang hati sahaja.

Namun, pada teman, sahabat sepejabat, sekuliah, sepermainan, sealiran dan lain-lain lagi itu agak menyukarkan untuk saya. Kalau dihadiahkan jam tangan (wah klisenya saya) umpamanya, semampu saya pun hanya untuk jam sekitar RM 500 ke bawah. Padahal jam pada tangan penerima lebih mahal dan berjenama daripada apa yang mahu saya berikan. Sudah pastilah nanti jam pemberian saya hanya jadi pemenuh almari koleksi jam tangan penerima atau paling tidak akan diberikan penerima pada orang bawahannya, kawan-kawannya atau adiknya. Ah, susahnya!

Apakah hadiah yang sesuai jika ingin membeli hadiah kepada seseorang? Apa pendapat anda?

(Photo credit to: www.chrysalis-business-systems.com/images/wra...)

*** Tetamu blog ini dan teman-teman yang telah, sedang, bakal menyambut hari lahir dan majlis perkahwinan pada bulan ini...selamat untuk anda semua. Diberikan Allah jalan yang mudah untuk mengusaikan segala cita-cita hendaknya! AMIN...

Monday, August 04, 2008

Lalu Saya Jatuh Cinta...Lagi dan Lagi...

Saya ter’jatuh’ cinta sekali lagi. Cinta ini walau bagaimanapun, bukan pada spesies homo sapiens yang diberi gelar lelaki. Itu belum lagi saya ketemu penyudahnya. Haha.

Baiklah berbalik pada cerita.

Geng saya di MPR

Setelah seminggu dua berpenat lelah diantara kuliah disebelah malam di UKM dan persediaan untuk diskusi Minggu Penulis Remaja (bersama Nasriah), dengan capek yang masih ada sisa-sisanya disana sini, saya gagahkan juga untuk ke MASKARA X.

Apa itu MASKARA? Pasti ramai yang tertanya-tanya. MASKARA adalah baca naskah yang dianjurkan oleh pihak Sindiket Sol-Jah. Untuk pengetahuan lanjut, sila ke blog mereka disini.

Mulanya saya mampir hanya untuk menyokong teman mantan MPR (yang baca naskah), teman-teman dari Republic Theatre (yang bermonolog malam itu), dan bertemu teman-teman sealiran jalan fikiran, minat dan kesukaan (wah!).

Namun, kecapekan dan kantuk yang ada bagai dimagis dengan persembahan malam itu.

Saya sukakan semua persembahan. Baik dari kumpulan DEP, sajak berduet Jonos & Alfie (yang buat saya gelak tak sudah), persembahan MTV tanpa plug (Reez & Ajami), Art (yang menyentuh), Salman Sulaiman yang memulakan persembahan deklamasi puisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran malah Azree Ariffin yang berpantun sebelum bersajak juga mencuit rasa.

Puncak kemagisan itu datang apabila menyaksikan persembahan kumpulan Dewangga Sakti. Memang sah mereka ini ada “sakti” dalam persembahan. Asal jangan diasapkan gendang, akordion, biola, shaker dan gambus untuk itu sudahlah ya! Haha…

Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai Dewangga Sakti lewat penulisan di blog-blog tertentu dan terbaharu di akhbar. Tidak sangka muzik mereka memang muzik untuk golongan gila klasik macam saya. Kak Rai, anda juga diminta melayan muzik mereka. Haha.

Pertama kali mendengar lagu Mabok Kepayang sahaja sudah buat saya tertarik. Teringat akan lagu “Opening Titles” OST The Kite Runner. Saya ini kalau dengar muzik yang menjentik hati dan fikiran, mulalah idea gila-gila menerjah setiap inci minda. Haha…

Tapi, agak mengecewakan kerana lagu berkenaan tiada dalam mini EP mereka yang dijual pada malam itu. Namun, walau bagaimanapun tidak dapat saya nafikan saya jatuh cinta berkali-kali pada muzik yang dimainkan mereka malam itu.

Andai mereka ini diberi peluang untuk merakamkan album semacam Alberto Iglesies dalam Kite Runner…aduhai kan seronok bunyi muzik produksi album mereka!

Sunday, July 27, 2008

Karya Saya di DS Ogos: Kebetulan atau Kesilapan?

Muka hadapan Dewan Sastera Ogos, 2008

Ketika sedang bersantai-santai petang semalam (setelah pulang kuliah yang memenatkan), telefon genggam saya didatangi pesanan ringkas daripada salah seorang adik MPR, Aidil Khalid. Isi SMSnya seputar karya saya yang diterbitkan di Dewan Sastera Ogos. Saya sebenarnya terkejut kerana setahu saya karya terakhir yang saya hantar ke DS sudah pun diterbitkan dalam keluaran februari lalu. Selepas itu terjahan SMS daripada Wan Nor Azriq juga mengenai hal yang serupa. Menambahkan kejutan.

Mungkin berlaku kesalahan atau keadaan terlepas pandang pihak editorial mengenai hal ini. Selaku penulis, saya hanya mampu gelak dan tersenyum sahaja. Sah-sahlah bukan salah saya kan? Padahal saya baru sahaja ingin menghantar karya terbaharu kepada editorial DS. Mungkin saya perlu tangguhkan pengiriman karya atau hantar pada pihak lain dahulu.

Dewan Sastera Februari, 2008

Apabila keadaan ini berlaku, suatu perasaan yang baik menjelma dalam diri saya. Saya harap ia kekal tumbuh segar dalam relung jiwa ini. Saya masih perlu banyak mencuba dan mencuba. Belajar dan belajar lagi mendalami ilmu dalam bidang penulisan.

Kepada pihak editorial yang "sudi" menyiarkan kembali karya "tak seberapa saya setelah bertahun-tahun tidak menulis di media", terima kasih untukmu.

Saya perlu prolifik menulis selepas ini? Oh, saya berharap sifat "pemalas" yang "besar" dan "kekangan" pengajian yang semakin menghimpit ini, terus membenarkan nafas saya ini segar menghirup udara didalam sastera negara.


(Teringin benar hendak menulis lirik semula...uwaa...)


....Cuba lihat apa persamaan pada kulit Dewan Sastera kedua-dua bulan diatas? Apa agaknya ya?


-------------------------------------------------------------

Sedikit cuplikan dari cerpen "Terima Kasih Untukmu / Terima Kasih, Encik Arez!"

Selesai kelas, awak memberi catatan pada saya. Lolita tarik muka bila awak memberi catatan itu kepada saya. Dia marah kerana awak gemar suruh saya buat apa sahaja yang diminatinya. Padahal dia tahu saya tidak suka filem klasik dan subjek awak. Lolita kecewa.

Dalam catatan berkenaan, saya diminta menonton filem Chinta untuk diskusi kelas seterusnya. Saya tersenyum-senyum sendiri membaca ejaan awak pada tajuk filem itu. Nyata, awak bukan sahaja jenis orang muda berjiwa klasik kerana mengajar filem-filem lama tetapi, cara mengeja pun sudah ketinggalan zaman. Ketawa saya menjadi-jadi.

“Cik adik boleh ceritakan pada kelas apa komen awak mengenai filem Chinta?” Awak meminta saya memberi penerangan.

Saya menerangkan apa yang telah saya tonton. Sewaktu saya sedang sibuk memberikan pandangan, air muka awak berubah berkali-kali. Mula-mula semacam terkejut kemudian, awak menutup mulut menahan gelak. Padahal tidak saya kesani sebarang kelucuan dalam penerangan saya.

“Sudah...sudah. Duduk...duduk.” Awak melambai saya supaya duduk.

“Cik adik, itu filem Khabir Bhatia yang awak terangkan. Yang saya mahu awak tonton adalah filem Chinta arahan B.S. Rajhans pada tahun 1948. Sebab itu ejaannya C.H.I.N.T.A. Lain kali kalau tidak pasti, tanya!,”. Roman wajah saya waktu itu berubah. Sikap bangga diri memakan saya.

(Versi penuh terkandung dalam Dewan Sastera Ogos, 2008)

Tuesday, July 22, 2008

Diskusi Novel & Antologi Puisi Mantan MPR, 2008

Sukacitanya menjemput semua pengunjung blog ini untuk memeriahkan diskusi novel dan antologi puisi Mantan MPR (Minggu Penulis Remaja), 2008. Butir-butir acara adalah seperti berikut:

Bila?

2 Ogos 2008

Hari?

Sabtu

Waktu?

8.00 pagi- 1.00 tengahari

Di Mana?

Dewan Bahasa & Pustaka

Berapa yuran?

Percuma

Novel & kumpulan puisi yang akan dibincangkan?

Faisal Tehrani (Manikam Kalbu),
Nisah Hj Haron (Puisi Untuk Esdyzuar)
Zaid Akhtar (Salju Sakinah)
Ridzuan Harun (Suluk Cinta)
Shamsudin Othman (Taman Percakapan)
Fahd Razy (Menggeledah Nurani)

Apa yang Menarik?


Biarlah rahsia dan menjadi kejutan kepada semua yang hadir nanti. Mungkinkah kami juga akan membawa Datuk Siti Nurhaliza menyanyi?
(Semacam meniru acara HSKU 2007 lalu? Hehehehe...)
Ha...oleh itu marilah meriahkan diskusi itu nanti.


Semua dijemput hadir tanpa mengira status, umur dan juga paras rupa. Namun begitu, kepada Mantan MPR yang wanita diharap anda dapat berbaju merah jambu dan yang lelakinya berbaju perang atau coklat.

***Untuk informasi lebih lanjut sila lawat blog rasmi Minggu Penulis Remaja disini


Mantan MPR sewaktu Majlis Penutupan MPR 2007 dengan konsep hitam. Diskusi kali ini warna konsep adalah "baju yang gelap kini sudah terang"...hehehe...

Wednesday, July 16, 2008

Biar Menjadi Tauladan

Pernahkah anda terasa ingin kelihatan lebih kecil dan anggun daripada sosok tubuh yang anda miliki kini? Saya mengerti benar dengan perasaan yang selalu bermain dalam minda dan hati setiap daripada kita yang selalu benar ingin kelihatan cantik, menarik dan tertarik. Saya juga pernah berperasaan begitu. Jadi sudah lumrahlah kalau semua pernah berasa hal yang sama. Itu membuktikan kita ini masih normal.

Terlalu ingin cantik (dalam konteks ini kurus) seorang daripada sepupu saya mengalami penyakit yang tidak diundang. Tidak semena-mena dia dimasukkan ke hospital dan tanpa menunggu lebih lama terus sahaja dioperasi kerana penyakit yang menular dalam perutnya sudah parah. Beliau menghidap penyakit ulser perut secara tiba-tiba. Lalu, untuk menghilangkan segala kepayahan dan kesakitan yang dialaminya itu nasihat doktor hanya dengan pembedahan.

Bercerita mengenai sepupu saya yang satu ini, kata makcik saya dia sudah tidak menyentuh nasi semenjak melanjutkan pengajian disalah sebuah IPTS di Lembah Klang. Sepupu saya baru sahaja menamatkan pengajian sarjana mudanya. Bermakna dia sudah tidak makan nasi secara normal sejak 4 hingga 5 tahun lalu. Begitu lama sekali kan?

Entahlah kalau saya yang diletak dalam situasi sepupu saya itu adakah saya mampu bertahan? Saya orang Asia sejati. Makanan ruji orang Asia itukan nasi. Oh, mungkin nanti jika terpaksa, seminggu sekali benarkanlah saya makan nasi!

Situasi sepupu saya itu begini...

Dia hendak berdiet. Mungkin pada fikirannya kaedah yang terbaik untuk mengecilkan tubuhnya adalah dengan tidak ambil nasi. Sudahlah tidak makan nasi kemudian rutin pemakanannya menjadi carca marba. Aduh, itukan sudah menyeksa tubuh sendiri. Menyeksa tubuh sendirikan sudah berkali-kali ditegah agama kita.

Bila ditanya apa yang dimakan sepupu saya ini setiap hari, jawab makcik, dia makan apa-apa sahaja asal tidak nasi. Payahnya berdiet seperti ini...menakutkan!

Meskipun dalam diet tidak bererti anda tidak boleh menyentuh nasi. Pengambilan nasi dalam kuantiti yang sedikit pun boleh membuatkan anda berdiet dalam keadaan yang betul. Asal jangan tinggalkan jadual pemakanan anda. Wah, kata-kata saya macam pakar diet. Sedang diri sendiri pun tidak mampu berdiet!

Makcik saya berulang-ulang kali berpesan pada saya sebelum pulang hari itu agar tidak mengamalkan diet seumpama ini. Makan itu perlu walau ingin kurus dan cantik. Makcik saya sendiri serik melihat sepupu berguling-guling menahan sakit beberapa hari. Terseksa katanya.

Jadi, teman-teman yang sedang berdiet...nasi bukan musuh utama anda sewaktu berdiet. Diet itu sendiri bermakna makanan seimbang. Berdiet berdiet juga...kesihatan perlu juga anda jaga. Jangan hendak cantik, badan pula jadi mangsa...