Friday, June 27, 2008

Jakarta...Jakarta...


Segitiga Emas Jakarta


Kawasan di bawah hotel


"Jakarta kebanjiran, di Bogor angin ngamuk.
Rumah ana kebakaran...gara-gara kompor mleduk..."


(Benyamin S, Kompor Meleduk)

***Kompor = Dapur


Saya tiba di Jakarta sehari sebelum perayaan ulang tahun ke 481 tahun ibu kota berkenaan. Ketibaan saya di bandar yang padat dengan penduduk ini dengan berbaki rasa capek dan kantuk beberapa hari sebelum itu. Jadual saya sangat padat sebelum berangkat ke Batavia ini. Malam sebelumnya sahaja saya terpaksa tidur sekitar jam 4 pagi mengusaikan segala hal. Namun, kerana wisata ini sudah mungkin mendatangkan pelbagai rasa dan pengalaman baharu, saya teruja untuk mendarat ke buminya.


Kawasan perumahan yang padat di bawah hotel

Di Bandara Soekarno Hatta (Bandar Udara atau Lapangan Terbang) sahaja, saya sudah lihat Jakarta memang berbeza dengan negara sendiri malah negara-negara yang pernah saya singgah. Keadaan Bandara Soekarno Hatta bolehlah saya samakan dengan keadaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur di Subang. Seingat saya ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur sekitar tahun 1990an, begitulah kesimpulannya dan perbandingan dengan Soekarno-Hatta. Di luar balai ketibaannya, suasana biasa yang perlu anda tempuh dalam hari-hari di Jakarta sudah pun dilihat dihadapan mata iaitu macet.

Saya dinasihatkan berkali-kali mengenai Jakarta. Rata-ratanya dari Abang saya, Mohariz Yaakup yang kerap ke sana. Katanya jangan berharap Jakarta itu dapat menerimamu seperti Kuala Lumpur. Disana, jangkalah apa yang tidak terjangkakan. Expect the unexpected. Nah, saya mengalamainya dan mengakuinya sepenuh hati.

Keadaan stesen minyak Partamina berhampiran Bandara Soekarno-Hatta

Maaf jika entri ini tidak bisa menyediakan anda gambar-gambar lambang kemegahan bumi Sunda Kelapa. Tidak ada gambar tugu monas, tugu selamat datang, patung Jeneral Sudirman malah Patung Pak Karno dan Dr Hatta. Bukan saya tidak berniat untuk mengetik gambar-gambar begitu. Tetapi, beberapa kali mengitar bundaran di hadapan tugu monas malah tugu selamat datang, saya tidak pernah berkesempatan untuk mengeluarkan kamera dari dalam tas saya.

Bukan tidak mahu memegang kamera di tangan. Bukan juga tidak mahu menggunakan kamera pada telefon. Saya cuma tidak berani berbuat begitu. Hatta dari dalam taksi. Apabila taksi berhenti kerana macet yang gila cuba bayangkan disekitar anda ada pengamen bermain alat muzik meminta sedekah, ada mas-mas yang berjualan koran dan majalah (suratkhabar dan majalahnya, 2+1 lagi dalam bungkusan plastik) malah ada juga yang berjualan keropok. Kadang-kadang saya fikir seronok juga kalau ada yang berjualan suratkhabar dan majalah sebegini dalam macet di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya, mereka yang tersekat itu dapat juga menambah ilmu dan menggunakan masa yang terbuang itu dengan aktiviti berfaedah. Haha!


Ada yang sempat "bersanding" di Natrabu

Jika di Malaysia, jika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, kebanyakannya dalam kereta dan kalaupun ada motosikal pun semuanya sudah selesa ke hadapan atau ada juga yang mencelah di antara mobil-mobil yang berhenti. Di bumi Jakarta ini, motosikal sudah tidak bisa untuk mencelah kerana bilangannya lebih banyak daripada jumlah mobil yang ada. Rata-rata penduduknya lebih mudah bergerak dengan motosikal. Malah jika bermotorsikal pun anda akan terperangkap dalam kesesakan. Setiap kali ingin melihat kandungan dalam tas sendiri pun perlu berhati-hati jika didalam taksi yang tersekat dalam macet Jakarta. Ada sahaja mata-mata diluar mobil yang memerhati.

Kepada anda yang mungkin bercadang untuk memanfaatkan cuti anda ke Jakarta mungkin nasihat ini penting untuk anda:

1) Jangan cuba-cuba berbahasa Indonesia jika anda bukanlah ahli. Pokoknya anda mudah sekali dikuras!
2) Naik hanya teksi berlabel "Blue Bird". Taksinya berwarna biru. Taksi ini lebih selamat kerana mereka terikat dengan peraturan syarikat taksi. Jika ada antara pemandunya menguras duit anda, anda boleh laporkan pada pihak atasan.
3) Jika anda dikuras (selalunya oleh pemandu taksi) beri hanya caj yang tertulis pada meter taksi dan keluar. Pokoknya, kalau mereka berkeras dengan anda, anda juga perlu berkeras dengan mereka. Berkeras disini bukan menunjukkan kurangnya budi bahasa tetapi, untuk mendapatkan hak anda daripada ditipu.

Keadaan sekitar Jakarta sama seperti yang kita lihat melalui drama-drama (sinetron) yang ditayangkan di televisyen kita. Jalan rayanya dipenuhi orang (berjalan kaki, berspeda, bermotor, berbajaj ataupun bermobil). Di pinggir-pinggir jalan dipenuhi kedai-kedai kayu wartel (warung telefon), warnet (warung internet), kedai runcit (di hadapannya pasti ada peti sejuk menjual Teh Botol Sosro dalam botol...asyik dong!), kedai tampal tayar dan juga warung-warung berjual makanan (seperti yang banyak kita lihat di kawasan Kampung Pandan). Tidak pernah saya lihat kawasan yang lapang tidak berpenghuni, tidak ada orang berjalan. Semuanya pasti ada orang dimana-mana.

Bibik memberitahu pada saya di Jakarta ini memang payah untuk bertemu dengan kawasan yang merimbun hijau mahupun berbukitan. Jika dilihat dari atas kapal terbang, tiada kawasan yang tidak mempunyai kerdip lampu. Padat dan rata kawasan tanahnya. Tidak mustahillah jika penduduk Jakarta tidak dapat melakukan apa-apa semasa banjir teruk akhir tahun 2006 yang lalu.


Penghibur dikala ripuh dan senggang di Jakarta

Berkisah mengenai tempat penginapan, saya dan keluarga menginap di salah sebuah hotel yang tidak berapa jauh dari Pasar Tanah Abang dan juga Toko Sarinah. Pasar Tanah Abang ini mungkin sudah lama benar dibina. Kepada peminat lagu klasik pasti ingat pada lirik lagu "Bujang & Dara" nyayian Sam Saimun yang pernah menyebut kisah Pasar Tanah Abang ini. Disinilah tempat dimana masyarakat disekitar mungkin di seluruh Indonesia datang membeli barangan secara grosir (borong). Kebanyakan mereka yang datang kemari adalah mereka yang berjualan. Namun, ada juga yang datang kesana untuk membeli barangan secara eceran seperti kami sekeluarga. Pasar Tanah Abang ini sungguh besar dan mempunyai 8000 buah kedai. Barangannya cantik, murah dan berkualiti. Cuma kebolehan yang anda perlu ada adalah tawar menawar. Pandai menawar, semakin murah harga yang boleh anda dapat.

Tidak lengkap kunjungan seorang beluncas buku kalau tidak mencari buku di Jakarta. Ada juga niat di hati hendak ke Kwitang atau Pasar Senen memborong buku-buku terpakai. Namun, semacam saya nukilkan sebelum ini, saya tidak berani. Mujur sahaja ada Chrisna & Tiwi yang sudi menemani saya ke Mataraman. Kalau ke Mataraman apa lagi yang dikejarkan kalau tidak ke Toko Buku Terbesar di Asia Tenggara, Toko Gramedia lah!


Buku...buku...ooo..buku

Chrisna dan pacarnya Tiwi sudah menggeleng melihat gelagat saya. Jumpa buku terus ambil, jumpa buku terus ambil. Penuh dan sarat tas belanja saya dengan buku-buku yang sudah lama saya cari dan idam-idamkan. Mereka kata saya gila. Saya hanya gelak-gelak lihat mereka. Kata saya perkara begini adalah benda biasa bagi saya. Semasa berbelanja buku-buku ini teringat saya pada Nasriah. Nas, kalau kau di Gramedia aku fikir kau juga naik gila macam aku!.


Beluncas kena berhenti beli buku tahun ni. Masalahnya beluncas mana reti nak membeli buku...hahaha...

Sebenarnya terlalu banyak buku yang ingin saya ambil dan masukkan ke tas belanja saya. Namun memikirkan wang rupiah yang tersisa di tangan, saya meletak kembali beberapa buah buku yang sememangnya saya mahu benar. Terpaksa yang bertoleransi dengan Khaled Hosseini yang bukunya sudah pun dialih bahasa ke dalam bahasa Indonesia. Semasa melihat buku terjemaahan ini saya teringat Kak Rai yang gemarkan buku alih bahasa. Kata Kak Rai, buku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, lebih "sedap" bacaannya. Lalu, saya rembat juga Dunia Sophie, Jostein Gaarder. Bolehlah nanti kita bandingkan dengan versi-versi yang pernah dibaca Kak Rai dan Kak Nisah!.

Kegilaan saya pada muzik Indonesia juga seakan-akan terubat. Nah, lihat betapa "kegeraman" saya pada Maliq & d'Essentials, Tompi, Naif, Marcell , Afgan juga Yovie & Nuno dapat juga saya lunaskan. Seperti, koleksi buku-buku yang banyak saya rembat, sebenarnya banyak lagi koleksi CD yang ingin saya beli. Namun, sebagai pemegang segala perbelanjaan yang diamahkan ayah dan emak, saya tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri. Kalau ikutkan hati, aduh...semua nak dicapai dan dimasukkan ke dalam beg. Haha...


Antara koleksi yang sempat tercapai tangan

Jakarta di usia 481 telah memanggil saya tiba ke buminya. Bila agaknya kesana lagi? Wah, pinta saya agar dalam masa-masa terdekat!


Matahari Jakarta yang menghantar saya pulang. Walaupun sebenarnya penerbangan pulang saya delay ke malam...haha...

Saturday, June 21, 2008

HSKU, Rakan MPR & Saya


Buku aturcara HSKU 2007

Oh betapa perasaan gembira yang menggebu-gebu hadir saat Nasriah meminta pertolongan saya sekaligus untuk turut serta dalam majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007 (HSKU 2007). Berpeluang ke HSKU (walaupun tidak memenangi apa-apa), memang membuat saya terlalu teruja. Melihat teman-teman di MPR, penulis-penulis yang saya kenal lewat ruang siber dan buku ataupun perkenalan di majlis-majlis sastera menerima hadiah masing-masing aduh, manisnya.

Nas, yang menang dua tahun berturut-turut. Mari cukupkan hetrik kau Nas!

Saya diserang macam-macam kata semangat, cabaran dan motivasi untuk menang tahun hadapan. Sesungguhnya saya berasa amat dan terlalu kecil untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mereka dalam dunia kesusasteraan ini. Bila membaca novel, antologi cerpen dan antologi puisi hasil pemenang HSKU, saya berasa saya belum layak untuk menang. Banyak lagi yang perlu saya pelajari untuk itu.


Novelis yang sedang mencipta nama, Ummu Hani. "Ummu, tajuk & kulitnya membuat saya tak sabar nak baca..."

Namun, kata-kata semangat mereka semacam membawa keyakinan di bucu-bucu hati. Insyallah, saya akan mencuba juga untuk ke HSKU. Jika, tidak menang dulu pun, pengalaman dan didikan untuk menerbitkan karya ke antara media terbaik ini akan mendidik cepu jiwa dan gelas ilham untuk terus dan terus menulis.


Ghafirah & Saya

Untuk anda yang memberi kekuatan untuk menang...terima kasih banyak-banyak kerana mempercayai saya. Akan saya ikhtiarkan untuk itu. Insyallah.


Ambil berkat HSKU...haha

Turut saya muat turun disini, antara gambar-gambar yang sempat saya ambil menggunakan "kamera" saya. Mungkin untuk anda yang tidak berpeluang ke HSKU 2007 kali ini...santaplah imej yang saya hidangkan ;)



Kak Nisah menang untuk kategori novel, Tawarikh Cinta.


Kak Rai ajak menang tahun depan sama-sama...hehe...

Mantan MPR yang menang...dimana saya menumpang gembira dan senang juga menjadikan contoh untuk kehadapan

Tuesday, June 17, 2008

Lagu Buluh Mensiang (The Song of the Reed)

Jalal ad-Din Muhammad Balkhi-Rumi

Puisi ini menarik perhatian saya ketika sedang ralit melihat bahan pameran di Muzium Kesenian Islam, Malaysia. Puisi "The Song of the Reed" atau dalam terjemahannya yang sempat saya salin ke telefon genggam, "Lagu Buluh Mensiang". Disini saya perturunkan kedua-dua versi puisi yang sempat saya lihat di dewan pameran muzium. Pada pendapat anda, puisi ini lebih "murni" dan "indah" di dalam bahasa yang mana satu? (Maaf, versi bahasa Parsi yakni bahasa aslinya tidak dapat saya tempel di sini kerana saya juga kurang arif bahasa berkenaan). ;-)



Dengarkan coretan buluh mensiang
dan kisah yang menceritakannya,
ia menyanyi tentang perpisahan:

"sejak mereka memisahkan aku dari rumpun mensiang,
aku mahukan hati yang terbuka dengan kerinduan,
siapa sahaja yang dipisahkan dari tempat asalnya,
ingin pulang ke pangkuan itu semula..."

(Lagu Buluh Mensiang, Rumi, Masnawi 1, 1-35)



Listen to the reed (flute),* how it is complaining!
It is telling
about separations,

(Saying), "Ever since I was severed from the reed field,
men
and women have lamented in (the presence of) my shrill cries.

"(But) I want a heart (which is) torn, torn from separation,
so that
I may explain* the pain of yearning."

(The Song of the Reed, Rumi, Masnawi 1, 1-35)


* Image credit to www.sheilaomalley.com/archives/rumi.JPG

Saturday, June 14, 2008

Ayah, Abah, Walid & Papa

Ayah saya mantan tentera laut. Oleh kerana itu, dia memang jarang berada di rumah seperti ayah kawan-kawan seusia dengan saya. Namun, saya tidak berasa sangat akan ketidakberadaan ayah di rumah hatta, saya sangat kecil sekali waktu itu. Ayah saya bersara awal daripada tugasnya sebagai tentera laut. Maka, usia kanak-kanak saya sentiasa sahaja bersama ayah.

Sejak ayah masih bekerja sebagai tentera lagi, waktu kelapangannya akan dipenuhi dengan upacara minum air tebu di pekan Sitiawan, Perak. Selain daripada itu, saya juga akan dibawa berjalan-jalan ke pasar malam mahupun ke mana sahaja dengan motor biru ayah (Motor biru itu pun masih ada di rumah kami di Kajang, cuma tidak boleh digunakan lagi). Selepas ayah pencen, kami berpindah ke Ipoh dan diwaktu ini ayah membeli sebuah kereta. Kereta merah pertama kami itu adalah kereta Mitsubishi Tredea berplat BCA 1662. Daripada bermotor biru kesana kemari, kami sudah bertukar angin naik kereta pula.

Abang-abang dan kakak memberi saya jolokan "anak ayah". Haha...saya hanya ketawa. Mungkin kerana saya yang paling bongsu dan kebetulan abang dan kakak semuanya ke sekolah berasrama lalu, perhatian itu lebih tercurah pada saya.

Lumrah seorang ayah lebih banyak memerhati daripada bersuara. Begitu juga ayah saya. Jika dahulu saya kurang dan agak takut untuk berkongsi segala permasalahan atau kusut dihati. Namun, sejak ke universiti oleh kerana pergaulan yang semakin melebar, saya lebih senang untuk berkongsi dengan ayah mengenai apa sahaja termasuklah hal-hal kecil sekalipun. Nyata pendapat yang diberi kadang-kadang lebih bernas dan lebih berkesan daripada pemikiran seorang anak yang bergelar perempuan.

Teringat banyak sungguh pengorbanan yang diberi ayah, membuat saya kadang-kadang sendu. Beliaulah orang yang beria-ia mengusahakan diri saya ke universiti, bersusah payah menghantar dan mengambil saya setiap hari pergi juga pulang dari Kajang-Shah Alam (sewaktu beliau belum mampu membelikan saya sebuah kereta), penyokong dan pendorong untuk saya sentiasa berjaya dalam pengajian (selain emak) dan bermacam-macam lagi.

Saya selalu melihat wajah beliau (juga emak) kini. Terutama sewaktu mereka lena tidur. Saya takut sekali saya tidak mampu dan sempat membalas semua jasanya. Apa yang mampu saya lakukan hanya hari-hari berdoa untuk kesejahteraan hidup, kesihatan yang baik, keimanan Allah SWT untuk mereka dan keredhaan daripada mereka untuk saya dalam menjalani kehidupan setiap hari.

Dua orang penting dalam kehidupan saya...Emak (Hjh Jaharah Yusof) & Ayah (Hj Yaakup Maakip)

Tuan Haji Yaakup b Maakip, semoga hidup kita bersama kekal berbahagia selama-lamanya. Selamat Hari Ayah!

Monday, June 09, 2008

Bila Perlu Menunggu Lebih Lama...

Semalam entah dari mana datangnya gerak hati, membuatkan saya ingin menyelongkar isi di dalam dompet sendiri. Ketika upacara spotcheck itulah saya menepuk dahi dan rasa cemas mula melamar ruang rasa. Sudah hampir seminggu lesen memandu saya sudah tamat tempoh!. Oh, dalam seminggu itu jugalah saya sebenarnya pemandu tanpa lesen yang sah. Nasib baik sahaja Allah SWT masih melindungi saya daripada keburukan. Saya teramat bersyukur kepadaNYA.

Macam mana saya boleh terlupa untuk memeriksa lesen berkenaan? Aduh, kadang-kadang perbuatan tidak sengaja yang digerakkan oleh nubari ini membawa pelbagai rahmat pada diri saya. Alhamdulilah, saya berazam untuk segera memperbaharui lesen keesokan harinya.

Keesokkan hari, saya ke sebuah pejabat pos yang terletak di Bangi. Ketika melangkah untuk mengambil nombor, terlalu ramai orang sudah memenuhi kawasan dalam bangunan tersebut. Semua dengan pelbagai hal. Hendak pos bungkusan, kiriman wang, bayar bil, urusan JPJ (seperti saya sendiri) dan bermacam-macam urusan yang memerlukan tindakan segera. Lalu, saya berjalan gontai mengambil nombor giliran.

Nombor yang saya terima adalah 2168 dan dalam waktu yang sama pegawai di kaunter sedang melayan pelanggan bernombor 2121. Menyedari bahawa saya sudah masuk ke perangkap masa, saya hanya membiarkan diri melihat sekeliling (setelah menyalahkan diri tidak membawa sebarang bahan bacaan).

Sudah lama tidak membuat sebarang urusan di dalam pejabat pos ini maka, saya memberi peluang pada mata untuk melihat hiasan dalaman yang sudah diberi dekor ulang. Gaya yang ditonjolkan kali ini nampaknya memberi sebuah perasaan bahawa misi POS Malaysia adalah untuk melayan pelanggannya dengan lebih baik.

Sistem pengudaran yang baik, bersih dan juga menyediakan kerusi panjang yang lebih banyak supaya selesa pelanggan yang menanti menunggu. Bilangan kaunter juga bertambah dari bilangan yang ada sebelumnya. Baguslah sekiranya itulah niat dan misi POS Malaysia. Tidaklah nanti POS Malaysia tetap memberi servis buruknya walaupun masa sudah beranjak dan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat.Teringat saya suatu ketika dahulu saya juga tidak selesa untuk berurusan di pejabat POS, gara-gara hiasan dalam yang agak menyeramkan. Tetapi, itu dahulu bukan kini.

Saya terus menanti dan menanti...

5 minit...10 minit...hanya 3 pelanggan sahaja baru sahaja dilayan. Padahal, di ruang dalam pejabat pos itu ada lebih kurang dalam 40-60 orang yang perlu dilayan pegawai berkenaan. Kakak disebelah saya dan kawan-kawannya sudah banyak kali mengeluh. Begitu juga abang yang berada di belakang saya. Sebanyak-banyak kaunter yang disediakan, hanya 2 buah sahaja yang beroperasi. Sebuah lagi kaunter hanya diduduki pegawai bertugas yang sedang menyiapkan kerja-kerja yang lain namun, tidak pula mengambil sebarang pelanggan.


Tiba-tiba, sebuah kaunter yang beroperasi berhenti melayan pelanggan. Hanya sebuah sahajalah kaunter yang tinggal untuk melayan kehendak pelanggan yang inginkan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Saya menanti lagi...


Setelah 10 minit berusaha untuk menangani masalah yang dihadapi. Akhirnya pegawai di kaunter yang berhenti melayan pelanggan tadi, terus mengangkat papan tanda menyatakan komputer off-line. Maka, dengan panas hati, kebanyakan pelanggan keluar dengan merungut-rungut. Jika saya sahaja sudah menanti hampir 30 minit, bagaimana dengan pelanggan yang sudah berada lebih dahulu daripada saya. Saya juga dengan pantas keluar dan menuju ke sebuah pejabat pos lagi yang berhampiran.

Di pejabat POS Malaysia yang kedua, agak lumayan kerana jumlah pelanggannya tidaklah seramai di pejabat POS sebelumnya. Saya hanya perlu menanti dalam 6 orang pelanggan sahaja. Namun, saya fikirkan saya akan dilayan dengan lebih cepat berbanding pejabat POS yang pertama tetapi, aduhai!.

Misi yang baik pada saya seharusnya perlulah seiring dengan tindakan dan perlakuan. Misi sahaja lebih tertampang, imej sahaja diubah namun, jika servis dan sikap masih juga di tampuk yang sama, lebih baik adanya misi itu dikaji semula. Apa yang saya lihat dalam kes seperti saya ini, masalah utama kebanyakan kaunter-kaunter pejabat kerajaan mahupun semi kerajaan adalah sama. Antaranya;

  • Kaunter sahaja banyak tetapi, tiada pegawai yang bertugas. Dalam satu-satu tempoh pelanggan ada 60-70 orang namun, kaunter yang beroperasi hanya 2 atau 3.
  • Pegawai yang tidak cekap.
  • Sistem IT yang lemah. Lebih kerap off-line daripada online.
Namun, tidak semua kaunter pejabat kerajaan yang masih sebegitu. Keluarga saya pernah berurusan dengan Pejabat Pendaftaran di Melaka dan emak memberitahu di situ tidak hanya misi, imej malahan servisnya sebaik apa yang mereka inginkan. Maka, tidak hairanlah jika pejabat berkenaan memenangi hadiah perkhidmatan terbaik. Mungkin pejabat-pejabat kerajaan dan semi kerajaan yang lain boleh jadikan mereka contoh untuk memperbaiki diri sendiri.

Bila berkata mengenai perkhidmatan yang cekap, efisyen dan tidak membuang masa pelanggan, teringat pengalaman saya sewaktu berurusan dengan Pejabat Buruh berhampiran China Town, Singapura. Sewaktu melangkah masuk saya lihat begitu ramai sekali sedang menunggu giliran untuk melangsaikan kehendak mereka. Saya sudah berfikiran bahawa saya akan mengambil masa hampir setengah hari sahaja untuk menyelesaikannya. Namun, sangkaan saya meleset kerana saya dilayan hanya setelah menunggu 10 minit.

Saya bukan hendak memburukan negara saya dan sekaligus menaikkan negara lain. Tidak sama sekali. Tetapi, saya kagum melihat cara mereka. Kaunter banyak dan hampir kesemuanya dibuka untuk melayan pelanggan. Cara yang mesra dan kemudahan IT yang baik untuk pegawai-pegawai mereka. Sekaligus, mereka tidak membuang masa pelanggan. Masa yang dijimatkan itu sahaja boleh menyumbang kepada pembentukan produktiviti di kalangan masyarakat. Ha...sapa nanti yang untung? Pastinya semua pihak saya kira.

Photo credit to (link)

Thursday, June 05, 2008

Ulasan Utusan Malaysia Mengenai Program PENA di Sungai Tekala


Ulasan Utusan Malaysia mengenai Bengkel PENA di Sungai Tekala tempohari boleh dibaca disini.

Tuesday, June 03, 2008

Kisah Tentang Remy dan Kehidupannya


Poster "P Ramlee The Musical--The Life, The Loves & The Inspiration

Jika bercerita mengenai figur seniman seorang ini, barangkali saya tidak pernah punya masa yang cukup. Ramlee b Puteh atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh sememangnya telah meninggalkan sekian banyak jejak dalam diri saya ini. Seperti kebanyakan mereka yang seusia, sungguhpun tidak pernah menyaksikan sendiri zaman kegemilangan Allahyarham Remy, tetapi kami mempunyai kenangan dan maksud P Ramlee dalam hidup kita sendiri. Saya hanya mengenali P Ramlee lewat filem-filemnya, lagu-lagu alunan dan ciptaannya juga pembacaan yang tidak seberapa, tetapi semacam orang lain, entah kenapa saya sukakan karya-karyanya juga kesenimanannya sebagai seorang anak seni.

Saya tahu saya bukan siapa-siapa jikalau hendak bercerita mengenai Allahyarham. Lalu, coretan ini mungkin sahaja sebagai salah satu luahan yang ada dalam diri saya sebagai seorang peminat. Hampir setiap malam saya kini, bertemankan filem-filem Allahyarham. Setiap malam kadang-kadang jam 1 pagi dan kadang-kadang pula jam 3 pagi, jikalau saya terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan tugasan, saya pasti akan mengambil kesempatan itu menonton filem-filem Allahyarham di ASTRO Prima. Jadi, mungkin kerana berulang-ulang kali menonton filem-filemnya, saya menjadi hafal dialog untuk beberapa babak filem Allahyarham. Ibu sudah beberapa kali bertanya, tidak bosankah saya boleh menonton filem-filemnya berulang kali? Saya tertawa. Saya rela dipertontonkan filem Allahyarham daripada terpaksa menonton kebanyakan drama, sinetron, filem kita ini (bukan semua, tapi kebanyakan!).

Oleh kerana keterujaan saya pada P Ramlee lalu, peluang untuk menonton persembahan teater "P Ramlee, The Musical" tidak saya lepaskan kali ini. Pertama kali dahulu saya tidak sempat untuk membeli tiket kerana pada hari pertama sahaja persembahan, tiket sudah habis dijual. Hal yang sama terjadi apabila saya mahu menonton Puteri Gunung Ledang oleh produksi yang sama, Enfiniti Productions Sdn Bhd. Jikalaulah semua produksi teater tanahair mendapat sambutan yang sama hebat sebegini, alangkah gembiranya!


Firdaus & Saya

Bercerita mengenai "P Ramlee The Musical", seperti biasa jika produksi yang dipanggil muzika pastilah akan menerapkan elemen-elemen muzik, nyanyian dan tarian untuk memenuhi kehendak sesebuah produksi yang disebut muzika. Dua teman saya yang turut serta menonton memberi komen bahawa mereka tidak dapat fokus dengan dialog pelakon utama kerana terkadang diatas satu pentas yang sama, dua tiga pergerakan berlaku serentak. Baru hendak lihat yang ini, disana sudah berlaku aksi lain. Saya hanya senyum, tidak perlu berkata apa-apa. Pada saya, muzikal memang sebegitulah caranya. Semua elemen nyanyian, lakonan dan tarian kadang-kadang berlaku serentak. Hendak tidak kita sendiri perlu pandai memberi fokus. Itu pendapat saya sebagai penonton.


Azree: Tak dapat bergambar dengan Musly, dapat bergambar dengan posternya dah ler...

Daripada aspek lakonan saya kira, Musly Ramlee benar-benar membuatkan saya terimbau dengan kenangan-kenangan P Ramlee yang saya raih lewat tontonan filem-filemnya. Beliau nampak real bukan sahaja menerusi lakonan, raut wajah, pergerakan malah nyanyiannya. Saya tidak mahu membandingkan watak P Ramlee yang dibawa Musly dengan Sean Ghazi. Saya tidak menonton teater ini pertama kali dahulu. Jadi, jika saya membuat perbandingan, saya sudah berlaku tidak adil. Tetapi, jika kita lihat tulisan di akhbar minggu ini sahaja kita mungkin maklum bagaimana hasil lakonan Musly.

Begitu juga dengan watak Azizah lakonan Emelda Rosmila dan Dato' Siti Nurhaliza. Tidak adil saya kirakan. Itu sudah menjatuhkan hukuman tanpa membuat pertimbangan yang adil. Namun, apa yang boleh saya kira, seorang pelakon yang diberi peran Azizah hendaklah sedaya upaya berusaha menyerlahkan karektornya.

Atilia yang saya tahu selama ini mempunyai suara yang mengancam nampaknya sudah pandai untuk menarik perhatian penonton sebagai pelakon pula. Meskipun, sesekali ada juga kejanggalan namun, usaha itu sudah cukup baik untuk beliau beranjak ke suatu sudut seni lagi dalam dirinya. Mana tahu, setelah dua percubaan yang diberi ini beliau mampu beri yang lebih baik dalam lakonan pada masa akan datang.

Sesungguhnya, bahagian pertama produksi ini agak membosankan mungkin kerana ceritanya yang bergerak lambat dengan gubahan muzik yang cuba diperdendangkan kurang masuk dengan latar era cerita berkenaan. Entahlah. Sebagai peminat lagu-lagu bertaraf klasik saya merasai lagu yang diperdengarkan sudah tidak melambangkan masa itu. Muziknya sudah jadi muzik kini. Kan pelik tu. Cerita dan latar berjalan atas zaman 40an, 50an, 60an dan 70an tapi, muziknya sudah bunyi era 2000an!.

Firdaus: Aku dah jatuh cinta dengan lakonan Melissa Saila

Melissa Saila menjadi penyelamat dengan aksinya yang WAH!. Kadang-kadang untuk teater yang berlebih itu lebih baik kerana teater berbeza dengan drama televisi dan filem, kalau berlebih nampak ganjil. Tiada apa yang mampu diungkapkan hanya sebuah standing ovation untuk beliau. Juga untuk Liza Hanim. Kemerduan suara dan gayanya membikin saya terfikir yang dipentas itu bukan Liza Hanim tetapi, Allahyarhamah Puan Sri Saloma!

Keratan akhbar

Secara peribadi, keseluruhan produksi ini sangat baik tetapi, hanya dua buah babak yang saya kurang bersetuju. Perkara ini juga pernah disuarakan seniman lama seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan saya juga pernah membacanya di akhbar semasa pertama kali teater ini dipentaskan. Babak pertama apabila P Ramlee diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem untuk kali pertamanya. P Ramlee sebenarnya memperoleh peluang untuk menjadi pengarah adalah disebabkan sokongan Jaafar Abdullah, seorang eksekutif di MFP (Malay Film Productions).

Babak seterusnya adalah apabila P Ramlee di suruh meninggalkan MFP dan diminta ke Kuala Lumpur kerana kegawatan didalam MFP. Menurut Nasir P Ramlee menerusi bukunya, Bapaku P Ramlee (keluaran MPH Publishing), Allahyarham hendak ke Kuala Lumpur bukan kerana kegawatan MFP malah kegawatan MFP juga berlaku setelah P Ramlee sudah mula mengarah di Studio Merdeka, Hulu Kelang. P Ramlee hendak ke Kuala Lumpur adalah kerana desakan hatinya yang hendak menyumbang sesuatu untuk negara tercinta, Malaysia yang pada waktu itu baharu saja ditubuhkan.


Dari kiri; Atilia (suka suaranya!), Liza Hanim & Melissa Saila

Mungkin, cerita ini sengaja di"indah"kan dengan tujuan. Saya juga bersetuju dengan mana ada sebuah produksi yang akan mengambil sesuatu cerita mengenai seseorang tokoh dengan terlalu rinci. Jika itu berlaku berkemungkinan masa untuk pementasan juga mengambil masa yang lebih lama disamping, kos yang juga akan bertambah banyak.

Sunday, May 25, 2008

Suatu Hari Yang Menyedihkan...


Rumah peninggalan Arwah Atuk (sebelah emak) yang sudah kosong di Kampung Lubuk Kepong, Simpang Ampat, Melaka.


Terakhir kali melihat gumpal tanah merah perlahan-lahan menutupi liang lahad adalah pada Ramadhan 1426 Hijrah, 2 minggu sebelum 1 Syawal ketika Allahyarham Datuk saya (sebelah emak) meninggal dunia. Masih utuh dalam memori ketika dihubungi Allahyarham meninggal, saya sedang menunggu giliran ujian lisan bahasa Mandarin semasa menuntut di semester 4, Oktober 2005. Kehilangan Allahyarham sememangnya membuat kami sekeluarga sedih kerana sepanjang 2 minggu ramadhan, beliau dirawat dan dijaga seluruh ahli keluarga saya di Kajang.

Semalam (24 Mei 2008), salah seorang lagi ahli keluarga telah pulang ke daerah abadi. Kali ini, "Puan" sebelah ayah pula (orang kampung ayah dan emak saya di Ayer Pa'abas juga Simpang Ampat, Melaka memanggil nenek dengan gelar "Puan"). Kehilangan ini merupakan sesuatu yang berat untuk ayah namun, kewarasan dan ingatan pada Allah SWT yang masih utuh dijemala fikir, membuatkan ayah tenang. Sungguh matanya sendiri saya lihat sudah merah menahan rasa. Tambah-tambah baru sahaja seminggu balik bertemu Allahyarhamah ibunya di kampung.

Allahyarhamah selamat dikebumikan 11.00 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Ayer Pa'abas, Alor Gajah, Melaka. Seluruh keluarga terutamanya ayah memanjat syukur ke hadrat Yang Maha Esa. Berharap dan berdoa kepadaNYA, semoga roh arwah Puan diletakkan bersama Orang-Orang Yang Beriman. Amin!

Untuk ayah dan seluruh keluarga, kita perlu tabahkan diri. Mungkin ini hanya suatu cobaan untuk kita semua...


Rumah peninggalan "Puan" saya di Ayer Pa'abas, Melaka

Saturday, May 17, 2008

Bila Dua Negara Bertemu

Saya & Zulfazlan Jumrah

Pada mulanya apabila mendapat jemputan daripada salah seorang penulis muda yang semakin meningkat naik, Zulfazlan Jumrah, hati ini tidak terjentik pun hendak mengagahi langkah.
Tetapi, memikirkan mahkota fikir perlu juga direhatkan sesekali, saya mengikut juga. Lalu, saya pun mengikut Lan, Aidil Khalid dan beberapa lagi teman ke bengkel pertukaran budaya ini.

Adik-adik PSU yang manis

Bila bertanyakan Lan, bagaimana dan apa yang hendak ditukar-tukarkan? Beliau hanya geleng kepala dan memberitahu tidak tahu apa aturcara yang sebenar untuk bengkel ini. Cuma yang penting, bawa sekali pakaian sukan dan kasut. Kami alih-alih semberono sahaja berkonvoi ke Dewan Bahasa dan kemudian ke Kem Sukida, Sungai Tekala.

Ahli kumpulan asal saya. Sayang jodoh tak lama dengan kumpulan ini

Mula-mula, semua semacam tiada idea bengkel apa yang kami sertai ini. Berkampung dengan teman-teman dari Prince of Songkhla University (PSU), Thailand lagilah menimbulkan banyak kejanggalan diri. Adik-adik dari PSU ini hanya mampu senyum-senyum sahaja bila bertembung. Namun, bila berborak sesama sendiri maka gamatlah suasana dengan irama dialek melayu kelantan-pattani dan bahasa siam.Persepsi awal saya mengenai adik-adik PSU ini mereka sangat pemalu. Saya pernah bertanya mereka mengenai hal ini. Kata mereka, teman-teman dari Malaysia sangat percaya diri dan outspoken. Saya cuma ketawa mendengarkan hal ini.

Peserta lelaki hanya ada 6 orang. Dari kiri; Wan, Lan & Aidil Khalid (Malaysia) Sarofe, Bakri & Abdullah (Thailand)

Malam pertama apabila diterangkan Abang SM Zakir progam 3 hari bersama, barulah saya mengerti. Bengkel ini sebenarnya adalah bengkel penulisan kreatif dan pertukaran budaya antara pelajar Malaysia dan pelajar dari PSU ini. Pihak PENA mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini dengan cara santai dan rekreasi.

Say "Cheeeeeeseeee"

Sewaktu acara memperkenalkan diri, pelbagai informasi baru yang saya dan teman-teman dari Malaysia ceduk. Antaranya mengenai sekatan dan ketidakadilan yang mereka terpaksa lalui gara-gara kerana mereka adalah golongan minoriti di negara sendiri. Menyedihkan dan mengharukan mengenangkan betapa tersekatnya hidup mereka di bumi sendiri.

Dari Kiri; Lan, Saya, Atiqah, Lah, Wan & Aidil (belakang), Asmaq (depan)

Keesokan harinya, kami bersama-sama mengarungi denai dan tebing, jalan kebun dan jalan tar, kawasan perbukitan dalam acara jungle tracking. Aduh, barangkali sudah lama meninggalkan acara sebegini terasa juga kepenatannya. Berbeza dengan adik-adik PSU. Semua cergas dan siap bertanya, pagi berkenaan tiada acara senaman ke?. Fizikal mereka sangat kuat!. Komen adik-adik PSU ini, makanan di Malaysia banyak lemak dan di Malaysia sangat mewah dengan makanan. Sekali lagi saya ketawa.

Semua kegirangan didalam air!

Perjalanan itu akhirnya menemukan kami kawasan Sungai Tekala. Tanpa berlengah, adik-adik PSU sekian ramai sudah meloncat ke dalam sungai dan ada juga bergambar. Saat ini semua sudah semacam keluarga. Tiada istilah perbezaan warganegara. Seronok!


Wan (berbaju merah): Kaki yang mana nak masuk dulu ni?



Panjat jangan tak panjat

June dan saya sangat teruja dengan sikap ingin belajar adik-adik PSU ini. Bayangkan mereka boleh menghafal melodi "Doa Buat Kekasih" nyanyian Ramli Sarip & Khatijah Ibrahim dalam masa tidak sampai setengah jam. Padahal seumur hidup mereka tidak pernah mendengar lagu berkenaan. Barangkali, jika mereka ini yang diambil bertanding dalam rancangan realiti nyanyian, tiada masalah lupa melodi. Hahaha.


Kumpulan saya




Sesi pembentangan cerpen

Tiba saat pembentangan cerpen berkumpulan pun begitu juga. Adik-adik ini banyak menyumbang idea dalam pembentukan cerita. Padahal adik-adik ini tidak pernah terdedah dengan penulisan walaupun mereka semua major dalam pengajian melayu. Mereka semua teruja hendak belajar apa yang disebut watak, latar dan bagaimana membentuk cerita. Keterjuaan mereka membuatkan saya juga beria-ia hendak berkongsi ilmu yang tidak seberapa di dada. Semangat ingin belajar dengan bersungguh-sungguh itu banyak membuka mata saya. Sekaligus lebih menghormati mereka semua.

Gambar lagi...hehe!

Sewaktu ingin pulang, ada adik-adik yang bersedih dan tidak kurang juga berpelukan dengan saya dan teman-teman Malaysia. Mereka semua siap bertukar alamat dan berjanji ingin terus menukar khabar dari semasa ke semasa. Malah, setiba saya di MidValley usai dari sana sahaja sudah ada yang menghantar SMS bertanya adakah saya sudah selamat tiba. Bakri, terima kasih bertanya!

Bergambar kenangan dengan semua

Friday, May 16, 2008

Cikgu!

Semalam semasa mengambil Nurin Farhanah pulang dari kelas mengaji, tidak sudah-sudah dia memberitahu saya dia mendapat markah 100% untuk ujian matematik. Saya hanya angguk-angguk dan memberi upah ke kedai serbaneka di petronas berhampiran. Kemudian terus melayan si kecil ini berbual macam-macam hal. Namun sesuatu dalam kata-katanya buat saya berfikir. Katanya begini;

"Esok teacher's day. Yin nak bagi teacher kad teacher's day!"

Anak berumur 5 tahun pun sudah pandai menghargai sang guru yang mengajarnya. Kita?


Dr Othman (Dr O) bersama teman-teman dan saya

Untuk semua guru-guru yang telah mengajar saya semasa di Sekolah Kebangsaan Ampang (1990-1992), Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (1993-1995), Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang (1996-2000) juga pensyarah-pensyarah sewaktu saya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (Diploma Komunikasi Massa, 2001-2004), (Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), 2004-2006) serta sarjana saya (jan 2008-sekarang) yang telah memberi ilmu tidak terbandingkan dengan luasnya laut dan terbentangnya langit.

Tiada hadiah yang mampu saya berikan cuma ucapan terima kasih yang tidak terhingga! Anda semualah menjadikan saya kini mampu berdiri sebagai manusia yang menghargai hidup dan kehidupan.

Juga untuk semua mentor, pembimbing, abang-abang dan kakak-kakak MPR, Tunas Karyawan dan penulis-penulis Malaysia yang telah ataupun pernah mengajar saya, memberi nasihat dan panduan...anda juga saya anggap guru dalam diari hidup ini!

Terima Kasih Untukmu!

Sunday, May 11, 2008

Ibunda, Bonda, Ibu, Umi, Mama & Emak

Dalam perjalanan menuju kedewasaan kehidupan ini, bukanlah semudah menulisnya pada sehelai lembar kertas. Liku, duka, dugaan malah kesedihan itu sering kali mencabar diri yang maha kerdil disisi NYA. Berkali-kali kecewa dan berkali-kali tertunduk mengalah. Saya tidak sekuat mana untuk menongkat dunia ini keseorangan tanpa dia seorang ibu, umi, mama, bonda, ibunda, emak mahupun apa sahaja yang bisa kita beri gelar wanita ini.

Sebalik setiap kejayaan adanya dia. Malah setiap kekecewaan, ribanya juga tempat air mata ini pasti berjujuhan. Dialah pemangkin semangat dan perawat duka dikalbu. Tiada galang, tiada ganti tempatnya di hati saya. Pernah suatu ketika dahulu saya tertekan berat dengan masalah dan pengajian. Dia disitu memberi dorongan untuk melawan semuanya. Alhamdullilah semester itu saya dianugerahkan keputusan yang memeranjatkan. Beberapa mata sahaja hendak ke 4.00.


Emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf) & Nurin Farhanah

Memang benar kata pepatah;

"Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban nyawa".

Kasih kekasih? Itu masih boleh dipersoalkan.

Apa kata sempena 11 Mei ini, luangkan masa yang tersisa untuk bersama ibunda tercinta. Meraikan satu sambutan kasih sayang. Namun, diharap agar kasih sayang itu bukan setakat dikenang, disambut, dirai atau dimeriahkan pada tanggal 11 Mei itu sahaja tetapi, hendaknya berkekalan sepanjang masa.

Jadi, teman-teman dan semua pembaca sekalian, sempena hari ibu ini saya ingin mengucapkan (wah, dah macam PM bagi ucapan selamat hari raya pulak!) selamat menyambut hari ibu kepada semua ibu dimana sahaja anda berada. Tidak kiralah yang telah lama bergelar ibu, baru bergelar ibu, bakal bergelar ibu dan yang akan bergelar ibu. Jasa anda membesarkan kami semua, anak-anak ini sungguh tidak terbalas walau dibungkus langit dan bintang menjadi kado untuk ucapan selamatnya.

Untuk emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf), selamat hari ibu dan teruskan menjadi cerucuk semangat diri ini!

*** Terharu membaca entri teman saya, Ady. Kuatkan semangat ya!

Friday, May 09, 2008

Sepotong Kata-kata...


Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada suatu ketika

Maksud Hadis

"Dipetik dari, Yang Bernama Cinta: Koleksi Mutiara Kata Dari Zaman Ke Zaman--Susunan; A Karim Hj Abdullah"

Thursday, May 08, 2008

Realiti TV, Pengetahuan Am & Audisi Penyampai Radio

Barangkali rancangan realiti televisyen bukanlah seasing 8 tahun lalu. Keterujaan kita kini kepada rancangan yang sewaktu dengannya juga semakin hari semakin pudar. Jujur kata, saya sebagai penonton alias antara yang mengkaji dunia media kita kini (terutama untuk keperluan sarjana yang saya ikuti) sudah naik muak dengan bentuk dan approach rancangan-rancangan seumpama ini. Rancangan realiti TV stesen ini cari penghibur, stesen TV berbayar yang itu cari penyanyi malah stesen cap Z pun cari pelakon. Semua rancangan realiti yang dipaparkan setiap musim tertumpu mencari bakat untuk meramaikan dunia hiburan tempatan!.

Masyarakat kita yang dahulunya kata semua nyanyian yang boleh kita nikmati di radio sudah cukup enak tiba-tiba, sudah pandai menilai penyanyi kini pithcing larilah, sumbanglah, off tune lah dan bermacam-macam lagi. Dimana masyarakat kita mempelajari semua ini? REALITI TV lah!

Namun dalam kerencaman rancangan realiti televisyen yang dipaparkan media kita, banyak juga antara rancangan bergenre serupa yang menawarkan sesuatu yang "baik" untuk kita semua. Contohnya, rancangan seumpama Project Runaway Malaysia yang sesungguhnya menyediakan platform untuk menunjukkan bakat pereka fesyen muda. Setidak-tidaknya mereka ini dapat mempamerkan kebolehan dan kemahiran masing-masing. Malah beberapa pereka fesyen yang menyertai rancangan ini sudah mula mereka fesyen untuk artis-artis di Malaysia.

Tidaklah saya nafikan ada juga beberapa rancangan realiti yang kurang sesuai dengan masyarakat kita. Keterlaluan dari segi konsep dan caranya untuk kita orang Timur yang ada susilanya yang tersendiri. Memaparkan adegan peluk dan cium yang sememangnya tidak sesuai bagi kita secara terbuka. Untuk menghentikan rancangan seumpama ini kita bukanlah mereka yang punya autoriti bertindak demikian. Jadi, sebagai penonton buatlah pilihan yang tepat dalam menyediakan senarai mesti tonton anda.

Bercerita mengenai rancangan realiti, sebuah rancangan benar-benar mendapat perhatian saya. Selain habuan yang disediakan yang membuatkan sesiapa sahaja mahu, rancangan ini setidak-tidaknya menambahkan ilmu pengetahuan ataupun menajamkan pengetahuan am yang telah sedia terpahat dalam mahkota akal kita.


Teksi di Lebuhraya SILK. Gambar teknik panning yang pening ini diambil untuk subjek fotografi ketika menuntut dalam bidang penyiaran dahulu

Rancangan terbitan Ciku Media Sdn Bhd, iaitu Teksi Tunai agak menarik. Mengandalkan Bob Lokman sebagai pemandu sekaligus pengacara rancangan, menambahkan kepelbagaian approach genre realiti ini. Lewat rancangan ini, pesertanya dipilih secara spontan apabila mereka menahan teksi yang dipandu. Mereka yang menaiki teksi tersebut bukan sahaja tidak perlu membayar sebarang caj perkhidmatan teksi untuk ke destinasi yang ditujui malah, sekiranya penumpang yang berjaya menjawab soalan pengetahuan am yang ditanya akan diberikan wang secara tunai.

Soalan-soalan yang ditanya melalui rancangan ini setidak-tidaknya membuatkan kita mahu sama berfikir apa jawapannya. Tidaklah hanya memberi hiburan mentah dan kadang-kadang plastik!.

Teringat saya akan sindiran salah seorang tenaga pengajar ketika saya di British Council awal tahun 2001. Tenaga pengajar berasal dari England itu membuat komen pelajar Malaysia yang diajarnya rata-ratanya, kurang tahap pengetahuan am masing-masing. Ini jelas juga bila kita lihat gaya peserta Teksi Tunai. Soalan yang sangat am dan sepatutnya tidaklah menjadi hal besar pun hanya dapat dijawab setelah menelefon teman-teman.

Hal yang sama turut berlaku ketika mengikuti audisi di RTM awal bulan lalu. Aduh mak! Bagaimana agaknya mahu jadi penyampai radio yang berilmu dan menyampaikan yang baik-baik jika isu semasa pun kurang tahu?

Sebelum ada yang menghentam saya kelak, biarlah saya mengaku saya tidaklah arif mengenai semua cabang ilmu namun, setidak-tidaknya saya ambil tahu jugalah mengenai apa yang berlaku dalam negara kita. Malah, saya masih belajar dan membaca untuk menambah ilmu didada dan minda. Jadi, pada anda semua pembaca sekalian...sila beri tunjuk ajar!

Saya & Delya, teman ketika di UFM yang turut serta dalam audisi penyampai radio RTM

Contoh yang membuatkan saya agak terkejut adalah apabila seorang penemuduga bertanya apakah stesen radio kerajaan di Selangor? Wanita yang sempurna pakejnya (dari segi rupa dan suara) menjawab, radio UFM--radio UiTM. Anda mahu tahu dimana beliau mendapatkan informasi ini? Sudah tentunya dari saya! Hahaha...

Opss...nanti dulu, nanti dulu. Sebenarnya beliau tidak tahu langsung kewujudan UFM. Beliau menggunakan informasi saya apabila penemuduga bertanya dimanakah saya pernah mempraktikkan ilmu kejuruhebahan saya. Kebetulan sebelum giliran beliau adalah giliran saya! Tapi, apa yang saya banggakan dengan wanita ini...dia sangat yakin.

Pada semua penerbit rancangan di stesen-stesen televisyen, mungkin pada masa hadapan banyak lagi rancangan realiti yang membina seumpama ini dapat disiarkan. Setidak-tidaknya dapat juga menambah ilmu masyarakat. Sudah menjadi lumrah sesuatu yang diterima dalam keadaan santai dan dalam bentuk hiburan mudah untuk diserap ke minda. Berbanding sekiranya mengajak mereka yang sememangnya dalam kamus hidupnya tiada istilah membaca!

Friday, April 25, 2008

Buah Hati Baru


Alhamdulillah...semalam (24 April 2008), tepat jam 6.15 petang (mengikut jam bapanya), saya telah dianugerahi Allah SWT seorang buah hati baru. Amir Luqman, anak lelaki abang saya Mohariz Yaakup telah selamat dilahirkan...Tahniah buat abang dan kakak!

Thursday, April 17, 2008

Figura Seorang Atuk, Nenek dan Mak Su


Intepretasi Nurin Mengenai Neneknya

Masa kadang-kadang membuatkan kita kurang sedar dengan perubahan pada manusia di sekeliling kita. Secara tidak sedar kita masih beranggapan mereka disekeliling kita ini masih lagi seperti dahulu (maksud saya disini sama daripada segi rupa bentuk dan usia). Pernah suatu ketika, kakak saya yang setahun tidak pulang ke Malaysia terperanjat dengan perubahan saya. Katanya, dalam ingatannya saya masih seperti dahulu. Kecil dan masih anak-anak. Nah, sekali pulang, adiknya sudah mula memanjat awal remaja ketika itu.

Nurin Farhanah Setahun Setengah

Kini, giliran saya melihat pembesaran anaknya pula. Anak daranya yang sulung pada fikiran saya masih lagi kedut-kedut semacam pertama kali saya melihatnya sewaktu dilahirkan (Nurin Farhanah dilahirkan tidak cukup bulan itulah yang menyebabkan kulitnya kedut-kedut). Kesibukan dan kurang punya masa lapang mengurangkan pemerhatian saya padanya.

Anak ini sebenarnya membesar di rumah emak saya di Kajang. Hujung minggu jika berkesempatan sepanjang pengajian saya di UiTM Shah Alam dahulu, saya akan pulang ke rumah. Nurin memang sentiasa dalam pelukan, gendongan malah dukungan saya pada awal-awal usianya. Perkara ini berlangsung sehinggalah kakak saya berpindah ke Bangi.

Nurin Farhanah 2 tahun setengah

Walaupun jarak itu tidak jauh tetapi, sedikit sebanyak saya, emak dan ayah tidaklah dapat melihat perubahan dirinya hari demi hari (seperti sewaktu keluarga kakak saya mendiami rumah disebelah rumah emak dan ayah). Nurin sudah semakin membesar. Kadang-kadang pertanyaan, percakapan dan leluconnya membuatkan saya teruja. Anak sebesar ini sudah tahu apa yang perlu dikatakan. Bahkan kadang-kadang apa yang diajukan tidak pernah saya sangka datangnya dari mulut gadis kecil bernama Nurin Farhanah.

Si Pelukis & Hasil Karyanya

Disini bukanlah saya berat sebelah dengan kasih sayang pada semua anak dara saya (anak abang dan kakak). Jujur kata saya mereka semua memiliki hati ini. Nurin Farhanah sudah berada di rumah emak dan menghiburkan hari-hari kami dari usianya tiga hari sehingga serusia setahun setengah. Jadi, perasaan kasih dan sayang itu lebih memberat pada anak manis yang satu ini. Saya manusia. Manusia memang tidak pernah boleh lari daripada hakikat siapa yang lebih mereka sayangi dalam hidup mereka. Saya akui selain emak dan ayah juga adik beradik saya yang lain, saya sayangkan Nurin Farhanah!.

Atuk Nurin

Tempohari anak manis yang baru mengenal dunia pra sekolah ini melukis gambar emak, ayah dan paling menyentuh hati adalah gambar saya!. Anak ini sudah punya interpretasi mengenai siapa itu, siapa ini dalam fikirannya. Malah, bila dia sudah pandai mengeja dan paling lucu mengajar adiknya berbahasa inggeris (sungguhpun broken).

Saya pada Nurin Farhanah sangat berwarna warni

Aduh!. Itu baru sahaja melihat anak dara kakak saya, belum lagi anak sendiri (yang saya jangka mungkin jauh lagi masanya untuk saya punya!). Perkembangan yang memberangsangkan ini membuat saya sedar betapa usia sudah memanjat tangganya satu persatu!


Nurin di hari lahir 5 tahun