Sunday, May 11, 2008

Ibunda, Bonda, Ibu, Umi, Mama & Emak

Dalam perjalanan menuju kedewasaan kehidupan ini, bukanlah semudah menulisnya pada sehelai lembar kertas. Liku, duka, dugaan malah kesedihan itu sering kali mencabar diri yang maha kerdil disisi NYA. Berkali-kali kecewa dan berkali-kali tertunduk mengalah. Saya tidak sekuat mana untuk menongkat dunia ini keseorangan tanpa dia seorang ibu, umi, mama, bonda, ibunda, emak mahupun apa sahaja yang bisa kita beri gelar wanita ini.

Sebalik setiap kejayaan adanya dia. Malah setiap kekecewaan, ribanya juga tempat air mata ini pasti berjujuhan. Dialah pemangkin semangat dan perawat duka dikalbu. Tiada galang, tiada ganti tempatnya di hati saya. Pernah suatu ketika dahulu saya tertekan berat dengan masalah dan pengajian. Dia disitu memberi dorongan untuk melawan semuanya. Alhamdullilah semester itu saya dianugerahkan keputusan yang memeranjatkan. Beberapa mata sahaja hendak ke 4.00.


Emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf) & Nurin Farhanah

Memang benar kata pepatah;

"Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban nyawa".

Kasih kekasih? Itu masih boleh dipersoalkan.

Apa kata sempena 11 Mei ini, luangkan masa yang tersisa untuk bersama ibunda tercinta. Meraikan satu sambutan kasih sayang. Namun, diharap agar kasih sayang itu bukan setakat dikenang, disambut, dirai atau dimeriahkan pada tanggal 11 Mei itu sahaja tetapi, hendaknya berkekalan sepanjang masa.

Jadi, teman-teman dan semua pembaca sekalian, sempena hari ibu ini saya ingin mengucapkan (wah, dah macam PM bagi ucapan selamat hari raya pulak!) selamat menyambut hari ibu kepada semua ibu dimana sahaja anda berada. Tidak kiralah yang telah lama bergelar ibu, baru bergelar ibu, bakal bergelar ibu dan yang akan bergelar ibu. Jasa anda membesarkan kami semua, anak-anak ini sungguh tidak terbalas walau dibungkus langit dan bintang menjadi kado untuk ucapan selamatnya.

Untuk emak (Puan Hjh Jaharah Hj Mohd Yusuf), selamat hari ibu dan teruskan menjadi cerucuk semangat diri ini!

*** Terharu membaca entri teman saya, Ady. Kuatkan semangat ya!

0 comments: