Friday, May 16, 2008

Cikgu!

Semalam semasa mengambil Nurin Farhanah pulang dari kelas mengaji, tidak sudah-sudah dia memberitahu saya dia mendapat markah 100% untuk ujian matematik. Saya hanya angguk-angguk dan memberi upah ke kedai serbaneka di petronas berhampiran. Kemudian terus melayan si kecil ini berbual macam-macam hal. Namun sesuatu dalam kata-katanya buat saya berfikir. Katanya begini;

"Esok teacher's day. Yin nak bagi teacher kad teacher's day!"

Anak berumur 5 tahun pun sudah pandai menghargai sang guru yang mengajarnya. Kita?


Dr Othman (Dr O) bersama teman-teman dan saya

Untuk semua guru-guru yang telah mengajar saya semasa di Sekolah Kebangsaan Ampang (1990-1992), Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (1993-1995), Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang (1996-2000) juga pensyarah-pensyarah sewaktu saya melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (Diploma Komunikasi Massa, 2001-2004), (Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), 2004-2006) serta sarjana saya (jan 2008-sekarang) yang telah memberi ilmu tidak terbandingkan dengan luasnya laut dan terbentangnya langit.

Tiada hadiah yang mampu saya berikan cuma ucapan terima kasih yang tidak terhingga! Anda semualah menjadikan saya kini mampu berdiri sebagai manusia yang menghargai hidup dan kehidupan.

Juga untuk semua mentor, pembimbing, abang-abang dan kakak-kakak MPR, Tunas Karyawan dan penulis-penulis Malaysia yang telah ataupun pernah mengajar saya, memberi nasihat dan panduan...anda juga saya anggap guru dalam diari hidup ini!

Terima Kasih Untukmu!

0 comments: