Hari ini sudah mencapai "garis mati" untuk tahun 2007. Macam selalu bila tiba sahaja akhir tahun (31 Disember secara lebih terperinci) kita akan mula dilambung kenangan setahun berkenaan. Saya juga tidak terkecuali. Namun, kenangan yang cuba saya panggil semula menjenguk minda kali ini lebih menjurus kepada muhasabah diri sendiri. 2007...apa yang saya telah lakukan dan raih?
2007 saya mulakan dengan perasaan debar debur dalam dada mencari pekerjaan setelah sah menamatkan pengajian sarjana muda saya di UiTM Shah Alam, pada akhir tahun 2006. Memang payah untuk mendapat pekerjaan. Jadi nasihat saya pada adik-adik yang hendak tamat pengajian atau sudah tamat pengajian, rancang masa depan anda dengan lebih realistik. Teringat kembali bagaimana saya membawa diri sehingga ke Johor Bahru gara-gara ingin bekerja. Nasib baik sahaja tidak mendapat tawaran berkenaan, kalau tidak saya pun tidak dapat menduga bagaimana keadaan saya kini.
Menjelang akhir februari, saya secara rasmi dilamar pekerjaan pertama saya. Saya berkhidmat di salah sebuah institusi perbankan di Malaysia. Wah, saat itu macam tidak percaya saya akan bekerja di sebuah bank. Alhamdulillah bila saya kenang kembali kini memang Allah itu menyayangi saya hingga saya "keluar" dari bank berkenaan. Kenapa? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu! Setelah keluar dari situ, saya "tercampak" pula ke UPM sebagai pembantu penerbitan alias juruhebah untuk radio mereka. Macam-macam kenangan yang menarik & tidak berapa menarik telah saya raih disini.
2007 juga menyaksikan saya mencari, memulakan, menjalin semula & berjinak-jinak dengan rakan-rakan MPR yang memang sudah dikenali, baru hendak mengenali serta mentor-mentor dan "sifu-sifu" penulisan yang selama ini hanya ikut perkembangan tapi, sudah lama tidak bertegur sapa. Tujuan saya selain mengeratkan ikatan silaturahmi dengan kawan-kawan dalam bidang penulisan ini adalah untuk mendekatkan diri semula dengan penulisan. Syukur, perhubungan ini akhirnya membuat saya kembali menulis. Saya berharap agar api semangat yang semakin terang ini tidaklah pula dipadamkan pula. Teman-teman, terus beri saya semangat, ok?
Konvokesyen adalah sesuatu yang sangat bererti dalam hidup saya. Itu juga berlaku dalam tahun 2007! Saya pernah bercerita mengenainya dalam salah sebuah entri dalam blog ini juga bagaiman gembiranya saya serta harapan untuk bergraduasi lagi. Nampaknya Allah mendengar permintaan saya yang satu itu, saya akan mula meneruskan pengajian di peringkat sarjana pula pada minggu ini. Saya berharap agar saya dapat melakukan sarjana saya dengan lebih baik lagi. AMIN.
2007. Bila saya lihat semula tahun ini, sebenarnya lebih banyak kesedihan yang menyelibungi diri daripada kegembiraan pada suku pertamanya. Mungkin kekuatan yang masih berbaki sahaja yang membuatkan saya bangkit dan merenungi kembali diri. Suku kedua tahun ini nyata lebih membaik dengan pelbagai aktiviti-aktiviti baru yang saya ceburi. Sebenarnya kekecewaan ini banyak mengajar saya meredhai apa yang belum Allah suratkan pada saya lagi. Saya jadi lebih dekat padaNYA dan semakin memahami apa yang saya mahukan dalam hidup.
Saya mahu tinggalkan 2007 dengan baik. Saya tidak mahu menyalahkan dia kerana yang patut menanggung segalanya bukan nombor 2007 itu tetapi, lebih kepada diri sendiri.
2008. Saya berdoa agar saya menjadi insan yang lebih baik tahun tersebut. Berharap permulaannya yang akan saya mulakan dengan kembali menjadi pelajar akan merubah corak kehidupan dan kematangan diri dalam berfikir dan bertindak.
2008, saya mahu yang terbaik!
Monday, December 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment