Didunia ini semua orang dianugerahkan bakat. Si polan A dengan bakat melukis, si polan B pula mungkin dengan kebolehan memasak, si polan C dengan bakat memperbaiki barang-barang elektronik dan yang lain-lainnya dengan bakatnya tersendiri. Kita semua berbakat. Kecenderungan bakat kearah yang mana, itu subjektif pada individu.
Adik saya ini dikatakan tidak berbakat dalam bidang penulisan kerana kerapkali memaparkan idea-idea yang terlalu imaginatif pada fikiran tuan gurunya itu. Kata adik pada saya, dia gemar untuk menggunakan latar tempat dan masa yang tidak terjangkau dengan limitasi akal.
Bukankah berfikir secara kreatif itu penting untuk mereka yang mahu memakai gelar "penulis"? Jika cepu minda ini hanya dimomokkan dengan sesuatu yang tidak kreatif, sudah tentu tidak timbul karya-karya bermutu dan sebaik Sakura Mengorak Kelopak karya SN Arenawati contohnya? Juga dalam kes berfikiran secara imaginatif mengenai latar tempat dan masa maka tidak timbullah karya-karya hebat seperti 1515 karya Faisal Tehrani umpamanya. Jadi adakah kerana sebab-sebab ini sahaja beliau sudah tidak boleh memegang pena dan meneruskan perjuangan penulisan beliau?
Adik yang mengambil krusus penulisan ini berkata, guru beliau gemar membanding-bandingkan karya teman sekelas yang katanya bagus. Karya rakan-rakan sekelas dia ini rata-ratanya berbaur cara penulisan "ke tanah seberang". Maka dengan itu, si guru dengan mudah mengangkat karya kawan-kawan sekelas adik ini sebagai yang terbaik lalu,melempar karya adik yang dikatakan tidak semurni dan tidak sebaik karya yang lainnya.
Hancur luluh kaca hati adik ini. Semangatnya yang pada mula berkobar-kobar hendak menulis, bagai disentap. Ditambah dengan kata-kata yang sesungguhnya mengarit perasaan, aduh hati mana yang tidak sakit. Jika saya sendiri dalam situasinya, mungkin sudah pecah airmata dalam kelas guru terbabit.
Seingat saya (yang sudah semakin berusia ini), tidak pernah saya mendengar penulis-penulis mapan memberi gelar yang sebegitu hodoh pada penulis-penulis muda lagi hijau seperti saya ini setiap kali bersua muka, mendengar ceramah atau diperkenalkan sebagai penulis oleh rakan-rakan yang lain. Paling mereka tekankan adalah teruskanlah menulis tidak kira hanya menulis catatan pada lembar jurnal setiap hari. Yang penting nasihat mereka setiap kali itu adalah perbanyakkan pembacaan dalam apa jua disiplin, menulis...menulis dan menulis.
Jadi kalau penulis mapan pun nasihatnya sebegitu, guru adik saya yang tidak pernah membuktikan menang apa-apa lomba penulisan ini, layakkah ingin menarik gelar seseorang berbakat atau tidak?
3 comments:
Kalau nak berjaya persetankan semua hinaan....Tumpukan pada penulisan saja Adik..
Salam,
Guru tersebut memang tak patut kata begitu.
Tapi menang atau tidak dalam apa-apa lomba penulisan pun tidak sepatutnya dijadikan ukuran kelayakan. ;-)
Mr Mo...
Saya setuju.
Aidil,
yer betul kata awk kalau die menang sekalipun die tak berhak nak menarik gelar seseorang itu berbakat atau tidak.tujuan menulis ayat tersebut hanya ingin menujukkan bahawa "guru" itu pun belum membuktikan apa-apa pada diri sendiri tapi,semudah itu ingin cop org berbakat atau tidak.
Post a Comment