Sunday, March 01, 2009

Sebuah Eskapisme

"Poster filem Slumdog Millionaire"

Sudah beberapa kali saya merancang untuk pergi menonton filem ini. Namun, kesempitan masa yang selalu sahaja saya alami kini, membataskan pergerakan. Apabila saya bertanyakan rakan sekelas mengenai hal ini, terus sahaja dia meminta 'thumb drive' dan kemudian memberikan saya filem berkenaan. Saya teruja.

Alhamdulilah, selain menjimatkan wang yang kurang ada ini, secara tidak langsung, saya berkesempatan untuk menonton filem yang insyallah bakal saya muatkan dalam kajian saya nanti. Kepada anda, kalau punya kelapangan bolehlah terus ke pawagam yer...jangan tiru saya!

Slumdog Millionaire. Wajar sungguh pada saya andai filem yang berbajet rendah ini memenangi sekian banyak pengiktirafan dalam Anugerah Academy ke 81 lalu. Yang buat saya lebih terharu apabila A R Rahman dinobatkan sebagai pencipta runut bunyi terbaik itu merupakan orang Asia pertama yang mendapat anugerah sebegitu rupa sejak 81 tahun acara berkenaan dijalankan. Sebagai seorang orang Asia...tentunya saya bangga dan berharap pada masa akan datang lebih ramai orang Asia diberi pengiktirafan seumpama itu. Biarlah masyarakat dunia sedar bahawasanya kesan globalisasi filem itu turut berlaku dari timur ke barat dan bukan hanya barat ke timur.


Secara amnya, cerita dan naratif filem ini tidak banyak bezanya dengan naratif filem-filem hindi dan tamil yang sering kita tonton lewat kaca televisyen. Oleh kerana itulah, filem-filem keluaran India ini mampu menarik perhatian masyarakat secara umumnya. Meskipun naratif filem-filem ini diangkat daripada novel seperti juga filem Slumdog Millionaire yang asalnya merupakan sebuah novel Vikas Swarup, Q&A. Kesannya saya alami adalah serupa seperti yang pernah saya alami ketika menonton filem The Namesake filem adaptasi novel karya karya Jhumpa Lahiri.

Slumdog Millionaire menceritakan perjalanan kehidupan Jamal Malik dalam merentasi kehidupan sebagai anak jalanan bersama abangnya (Salim). Sepanjang mencari rezeki untuk meneruskan hidup yang sukar sebagai anak jalanan, mereka bertemu dengan seorang lagi anak jalanan bernama Latika. Namun, kerana hidup yang terdesak dan mengecewakan itu, beberapa kali Jamal terpaksa berpisah dengan Latika dan kemudiannya Salim. Oleh kerana ingin bertemu semula Latika, Jamal Malik berusaha untuk menyertai kuiz televisyen yang popular iaitu, Who Want To Be A Millionaire.


Menerusi filem Slumdog Millionaire ini selain naratifnya, apa yang menjadikan filem ini unik dan menarik adalah gabungan semua elemen yang ada didalamnya. Komposisi shot, sinematografi, aksi, lakonan, bunyi malah pemilihan pelakon pun memberi banyak kesan kepada apa yang menjadikannya menarik pada pandangan saya. Yang perlu saya tegaskan disini, meskipun filem dijalankan sepenuhnya dalam kawasan setinggan, kekotoran dan kesesakan manusia, pemandangan ini menimbulkan suasana yang menarik.

Sebolehnya saya tidak mahu menjadi spoiler filem ini. Saya juga tidak mahu menghilangkan rasa keghairahan anda menonton filem ini. Tambahan pula, saya bukan orang filem sejati yang pandai memberi kritikan dan saranan kekuatan dan kelemahan sesebuah filem berkenaan. Biarlah anda sendiri menikmati dan mengalami perjalanan perasaan yang cuba dipamerkan kepada anda melalui filem ini. Kemungkinan apa yang saya katakan disini mungkin berbeza tafsirannya dengan apa yang anda akan atau telah saksikan.


Slumdog Millionaire merupakan sebuah eskapisme seorang anak jalanan untuk keluar daripada derita jiwa dan zahir? Itu saya serahkan pada anda...

Selamat terhibur!

Jayaho...jayaho...jayaho!

0 comments: