Wednesday, March 24, 2010

Lentera Yang Telah Kupadam


Maaf
jika aku katakan
telah kumusnahkan api
yang kau nyalakan dalam cepu rasa
malah terangnya juga
tidak kulihat dimana-mana

Maaf
jika aku tidak mahu lagi
melihat jelaga dalam kalbu sendiri
kerana hidup ini hanya sekali

Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi

* Gambar dari sini

Tuesday, March 16, 2010

"Beware of Jabberwocky, My Son"

Dr Mawar Shafei, Saya, Nazihah dan Anak-Anak Kami di Penulisan & Imaginasi 3 (Bahasa Melayu), Perkhemahan Permata Pintar 2009, UKM Bangi.

Menonton filem terbaharu arahan Tim Burton, "Alice in The Wonderland" sebenarnya membawa saya kembali bukan kepada zaman anak-anak saya justeru ingatan pada Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar yang diadakan tahun lepas di kampus hijau kami di perbukitan Bangi. Jabberwocky, adalah makhluk ganas yang diciptakan oleh Lewis Caroll dalam puisinya bertajuk serupa adalah puisi daripada dua buah karya Caroll melalui "Through the Looking Glass" dan "What Alice Found There" (1872). Oh, berbalik semula pada cerita saya dan teman-teman tenaga pengajar di Permata Pintar 2009, UKM.

Meskipun saya seperti dalam entri yang ini, diberi tanggungjawab untuk memberi pendedahan dan menanamkan kecintaan anak-anak kita kepada sastera dan penulisan Melayu, tetapi peluang rapat dengan teman-teman yang mempunyai pengkhususan sastera Inggeris tidak saya ketepikan. Apa salahnya menambah teman dan memperoleh ilmu yang baru. Perkara yang sering menjadi perbualan antara teman-teman ini malah menjadi suatu gurauan adalah ayat pertama perenggan kedua puisi "Jabberwocky" iaitu "Beware of Jabberwocky, My Son".

Gurauan ini berpunca apabila rakan-rakan tenaga pengajar sastera Inggeris ini sering mengadu anak-anak murid mereka terasa bosan apabila puisi ini disuakan pada mereka. Setelah saya melihat puisinya, tidak hairanlah anak-anak ini bosan. Bahasanya sedikit tinggi malah dikatakan puisi yang disusun dalam perenggan paling "nonsense"(sumbernya disini) ditambah lagi dengan usia mereka yang baru 11 tahun. Pemilihan teks yang diambil terus dari Centre for Talented Youth, John Hopkins University, Amerika Syarikat (program asal yang disesuaikan sebagai Permata Pintar di Malaysia) bukanlah sesuatu yang tepat. Banyak lagi karya sastera inggeris Malaysia yang mungkin boleh disesuaikan dengan konteks permata pintar dan masyarakat Malaysia.

Saya pernah bertanyakan hal yang serupa dengan anak-anak murid saya dalam kelas sastera Melayu. Alhamdulilah, segala teks cerpen dan puisi yang ingin kami mereka hadam, faham dan seterusnya suka (sekurang-kurangnya) diterima baik oleh mereka. Malah, pengenalan tidak sengaja saya pada waktu rehat mengenai puisi-puisi sasterawan kegemaran saya dari Indonesia, Pak Sapardi Djoko Damono juga mendapat sambutan. Jika boleh setiap hari mereka mahu dengar muzikalasi "Hujan Bulan Juni".

Monday, March 15, 2010

Surat Ungu Untuk Nuha


Seorang teman penulis Ainunl Muaiyanah telah beberapa kali meminta saya membaca buku tulisan Kak Noor Soraya bertajuk "Surat Ungu Untuk Nuha". Namun oleh kerana terlalu ripuh dengan pelbagai tugasan dan aktiviti sepanjang bergelar mahasiswa kembali ini sangat membataskan pembacaan saya. Akhirnya, Yana (nama panggilan saya untuk Ainunl Muaiyanah) meminjamkan buku Kak Su ini. Sungguh setelah sekian lama tidak membaca novel bergenre sebegini, saya mula terpaut dengan gaya Kak Su yang berjaya menyuntik bukan semata-mata elemen pop dalam tulisannya. Novel ini setidak-tidaknya membuatkan kita mengenali dan mencintai sastera dalam gaya yang 'cantik' dan 'mudah'. Siapa kata sastera itu sulit?.

Ingin kongsikan puisi ini yang dipetik dari novel ini bersama anda. Entah mengapa puisi ini bermain dalam fikiran setiap hari kini...

Jendela hati diketuk lagi
kubuka separuh-separuh
separuh hati

"Selamat malam, nama saya Cinta!"
hangat dan dingin
merantai di luar.

"Izinkan saya berteduh di tepi jendelamu?"
Cinta terus bertanya.

Lalu hatiku tertanya-tanya:
"Cinta, kenapa mesti aku?"

* Foto dari sini

Friday, March 12, 2010

Cinta di Mata Carrie Bradshaw


I'm looking for love. Real love. Ridiculous, inconvenient, consuming, can't-live-without-each-other love.

Carrie Bradshaw/Sarah Jessica Parker
Final Season, Sex & the City



Thursday, February 18, 2010

Cinta (I)


Ku buangkan pakaian yang kau beri nama cinta
ku biarkannya hanyut bersama
pasangnya arus yang membuak
dalam relung hati seorang engkau

Hani Salwah Yaakup
18 Februari 2010
Kajang, Selangor


Gambar dari sini

Thursday, February 11, 2010

Penggalan Kisah Lama

Sudah lama mencari kembali lagu ini. Lagu nyanyian La Luna, "Penggalan Kisah Lama" adalah lagu yang menemani hari-hari saya 10 tahun lalu ketika menunggu keputusan SPM. Ah, betapa benar liriknya dalam kehidupan kini. Juga enaknya lagu bernuansa begini yang memang "ngam" dengan diri sejak dulu. Nikmatilah!

Tuesday, February 09, 2010

Rasa (II)


Perlukah aku merasa bersalah
Pada perkara yang tak pernah kuperbuat?

Atau
salah itu bukan perkataan yang aku cari
kerana tiada yang pernah berdosa
menzahirkan kata-kata seindah seni


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

*Gambar dari sini

Monday, February 08, 2010

Puisimu Yang Telah Kulontar


Telah kucampakkan
puisimu yang
berdiskaunkan diksi
sifar cinta
nihil rasa
juga yang pernahku suka itu
sejauh-jauhnya

Meskipun ku tahu kau ciptakan
serangkaian kata-kata ini
untuk menjadi hantaran perasaan
yang seringkali cuba kau nafikan


Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi
8 Februari 2010

Fotonya dari sini

Sunday, January 31, 2010

Memasang Kenangan


Bintang itu mengucap pamitan
pada sayap yang telah kuleraikan

Bolehkah sesekali aku menyarungnya kembali
tanda ingatan yang tak pernah padam?


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

Foto dari sini

Tuesday, January 12, 2010

Jangan Pernah Takut Bermimpi!

Memang benarlah seperti kata teman-teman saya sebelum ini iaitu 'ketika kita terlalu ripuh untuk menyiapkan tugasan kuliah atau menaip bab-bab dalam tesis, diri akan dihimpit rasa untuk menulis sesuatu yang berbentuk kreatif'. Saya tersepit dengan hal-hal seperti ini kini. Ketika banyak sekali tugasan untuk mengusaikan bab demi bab dalam tesis akhir sarjana saya, waktu itulah diri mahu sekali menatap dan menyelesaikan novel malah kumpulan puisi yang terbiar di almari. Waktu itulah diri terasa berkobar-kobar ingin menaip secebis puisi.

Oh, hidup ini kadangkala ngak adil ya (teringat dialog watak Bang Zaitun dalam filem "Sang Pemimpi").

Lupakan kisah saya sebentar...

Buat masa ini, saya teringin benar menonton filem ini. Kata seorang teman filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia dan masih belum ada dalam bentuk VCD atau DVD. Mungkin pertengahan tahun ini, baru saya bisa menontonnya.

Jangan pernah takut bermimpi!


Friday, January 01, 2010

2010!


Yesterday is history
Tomorrow is a mystery
Today is gift

that is why we call it present


~Unknown~


Seperti kuoatasi kata-kata diatas. Yang lepas biarlah menjadi sejarah. Dijadikan panduan untuk memperbaiki diri kita agar menjadi lebih baik. Esok biarlah menjadi rahsia Yang Memelihara Kita. Hari ini jalani dengan penuh harapan.

Selamat Tahun Baru Masihi. Semoga segala impian dan harapan kita untuk tahun genap 2010 dipermudahkan oleh Sang Maha Pencipta. Amin ya Rab!



*Gambar dari sini

Wednesday, December 30, 2009

Hilang


Kuleraikan sayapku
biarlah ia terbang jauh luput dilangit malam

aku mahu dia hilang!


~Hani Salwah Yaakup~
Kajang, Selangor


Foto diambil disini

Saturday, November 28, 2009

SAKM X, Hadiah & Beberapa Catatan Tertangguh

Sejujurnya, saya rasa bersalah dengan diri sendiri. Blog ini sahaja bagai tidak terurus. Hanya puisi-puisi pendek atau puisi orang lain yang saya muat naikkan. Masa senggang sudah tidak bersahabat baik lagi dengan saya. Beberapa perkara perlu saya lakukan setiap hari dan menuntut kesabaran yang tinggi juga. Doakan semuanya bakal dipermudahkan oleh NYA. Insyallah catatan kali ini, saya akan tulis panjang sedikit daripada biasa.


Teman-teman pengajar di Perkhemahan Cuti Sekolah Permatapintar, UKM

Mulai esok, saya telah diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa kita mengenal, mencintai ataupun sekurang-kurangnya tahu apa yang disebut sebagai sastera Melayu. Program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar ini akan berlangsung dari 29 November hingga 18 Disember 2009. Tugas saya lebih kepada membantu pengajar utama. Hendaknya tanggungjawab ini dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa. Amin.

Oklah ada beberapa cerita yang ingin saya kongsikan bersama dengan anda. Sebelum ke Bengkel Tenaga Pengajar Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar iaitu dari 20-25 November 2009, saya telah berkesempatan menambah sedikit sebanyak ilmu di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X di fakulti kesayangan saya kini di UKM pada 18-19 November 2009. Seminar yang diadakan oleh Pusat pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, FSSK dibawah kendalian salah seorang sifu, figur dan rakan penulis yang saya hormati, Dr Mawar Shafie.


Saya dan Dr Rahmat Haroun Hashim (kepada penggemar karya-karyanya jangan cemburu!)

Apa yang membuatkan saya tertarik untuk mengeluarkan sedikit biaya menyertai seminar ini adalah kerana tajuk yang dibawakan pada kali ini, "Kesusteraan Melayu Dalam Rentas Ilmu". Di Malaysia sendiri kita lihat begitu ramai sekali penulis kita yang kini telah cuba membawa ilmu lain dalam penulisan sastera mereka. Ambil sahaja contoh seperti Dr Rahmat Haroun yang mengangkat ilmu perubatan dalam karya-karyanya, begitu juga dengan Nisah Haron dan Nasriah Abdul Salam (yang menyuntik elemen undang-undang), Isa Kamari dengan ilmu arkiteknya serta ramai lagi penulis yang cuba menerapkan ilmu lain dalam karya mereka. Usaha ini seharusnya diberi perhatian. Barulah sastera kita di negara ini bukan hanya bergerak dengan elemen yang sama sahaja saban masa. Itulah yang saya raih dalam SAKM X.

Prosiding Seminar Yang Mahal Daripada Aspek Ilmunya!

Malah saya kini pun sedang cuba-cuba untuk menyuntik elemen-elemen media, komunikasi dan filem (yang saya pelajari di UiTM dan UKM) dalam karya-karya saya. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memberikan pemahaman tentang apa yang saya pelajari dengan kaedah yang mudah kepada pembaca yang bukan ahlinya. Namun, ada yang sedikit menyedihkan di SAKM X adalah kerana elemen-elemen lain dalam sastera tidaklah diperkupas dengan lebih mendalam. Cuma sekadar dipermukaan. Ada juga sesi yang sekadar membicarakan teori-teori sahaja tanpa memperbincangkan elemen-elemen ini secara lebih mendalam dan meluas. Mungkin barangkali sesuatu isu itu dapat diperincikan sesuai dengan kehendak temanya. Berharap dua tahun lagi, isu ini dapat juga diberi perhatian oleh penganjur.

Acara-acara sastera sebegini juga turut memberi peluang kepada saya bertemu dengan rakan-rakan sedia ada dan baru. Sempat juga saya berkenalan dengan beberapa rakan dari Indonesia yang selama ini hanya berlaga bahu ketika bertemu dan bersua muka dengan teman-teman yang hanya bertemu di laman sosial Facebook seperti Kak Siti Jasmina Ibrahim dan beberapa orang lagi. Seronok sesekali menambahkan rakan-rakan yang sealiran, minat dan 'kegilaan'. Tidak disangka, banyak juga ilmu yang dibawa bersama dengan hanya berbual-bual iseng dengan mereka ini.

Di SAKM X, saya juga turut membalas "dendam" membeli hadiah beberapa buah buku untuk diri sendiri. Saya sememangnya sudah lama hendakkan buku tulisan salah seorang budayawan, penyair, pelukis dan sarjana, Dr Siti Zainon Ismail, Delima Ranting Senja juga buku terbaharu tulisan Nisah Haron, Lentera Mustika. Saya juga menghadiahi diri dengan sebuah lagi buku kumpulan cerpen S M Zakir, Sekeping Roh Diatas Bantal. Semua buku ini adalah untuk hadiah hari lahir yang tertangguh dengan duit hasil honororium beberapa karya yang terbit di TC bulan ini. Dua dalam satu saya kira. Rasa puas hati! Hehe...


Hadiah untuk diri

Selain dari SAKM X, kegembiraan berganda saya adalah apabila dua buah puisi saya telah dipilih untuk diterbitkan pada hari ahad yang lalu (22 November 2009). Yang kelakarnya, dua buah karya itu adalah dua buah karya pertama saya yang terbit di akhbar media arus perdana, diterbitkan serentak dalam dua buah media yang berlainan iaitu di Mingguan Malaysia (puisi bertajuk "Kangen") dan Berita Minggu (puisi bertajuk "Jeda") dan turut dihantar serentak. Terima kasih kepada editornya, Encik Ku Seman dan Puan Salbiah Ani (kalau tidak salah?). Saya juga ingin berterima kasih kepada Lan (Zulfazlan Jumrah) yang berkali-kali mendesak saya untuk menghantarnya. Terima kasih dik. Terima kasih juga yang menghantar mesej ke telefon genggam, FB dan ruang sembang YM. Doakan saya semakin tekal untuk menulis dan diberikan DIA kekuatan dan idea yang baik untuk dikreatifkan.


Kangen

Ada rindu yang kulepaskan ke langit malam
namun dia enggan pulang
katanya bulan temaram
bintang hilang dan langit menghitam!
kelam yang dingin
kalbu nan kering
tiada jawapan dalam ingin
lalu, tinggallah aku
digiris bayu malam

-Mingguan Malaysia, 22 November 2009



Jeda

Sesekali
ingin aku mesrai
debar rasa guruh.

Belajar mencintai
guyur titis hujan
yang menimpa rumah
kalbuku

Sesekali
aku hanya mahu diam di sini
dan merenung jiwa yang
tertebar di langit
mengharap warna jingga itu ada...

- Berita Minggu, 22 November 2009

Wednesday, November 18, 2009

Kenapa Agaknya Ya Kawan?


Kita sudah lama tidak berbicara

Kau juga tidak pernah bertanya,


"kenapa?"...



Hani Salwah Yaakup
FSSK,UKM Bangi


***Kredit foto untuk http://www.arthurlauer.com/images/upload/_category_image_20070329165206_1/bench_cat.jpg

Friday, November 13, 2009

Sihir Hujan


Sihir Hujan

Hujan mengenal baik pohon, jalan dan selokan
--swaranya dapat dibeda-bedakan
kau akan mendengarnya meski sudah kau tutup pintu dan jendela.
Meski sudah kau tutupkan lampu

Hujan, yang tahu benar membeda-bedakan, telah jatuh di pohon, jalan dan selokan
--menyihirmu agar sama sekali tak sempat mengaduh waktu menangkap wahyu yang harus
kau rahsiakan.



Sapardi Djoko Damano

Perahu Kertas,
Kumpulan Sajak,
1982.


*** Kredit foto untuk http://2.bp.blogspot.com/_VL9yl2H5HvM/SYBInkCt8HI/AAAAAAAAC7A/B1EJ9-B-Grc/s800/Raining+on+a+Wren+%23145+01-27-09.jpg

Monday, November 02, 2009

Saya Di TC November


Sebenarnya saya merasa diri masih terlalu "kecil" dan "hijau" dalam lapangan sastera tanahair. Saya bukanlah seorang penulis yang prolifik dan banyak menghasilkan karya. Namun, peluang yang diberikan kepada saya oleh editor Tunas Cipta (TC), Bonda Ani telah saya gunakan sebaik mungkin.


November ini saya dipilih untuk menghiasi ruangan "Buah Pena Alumni MPR" dalam majalah Tunas Cipta(TC). Dalam artikel dua halaman itu saya berkongsi sedikit pengalaman dan bagaimana saya boleh terlibat dalam nuansa sastera tanahair. Turut saya sertakan bersama adalah sebuah cerpen, "Surat Merah Kepada Putih" yang telah setahun saya peramkan sendiri. Karya ini juga telah dibedah dalam bengkel KEPEZI, ogos tahun ini.


Cubaan pertama untuk menerbitkan sebuah puisi juga telah menunjukkan hasilnya. Puisi saya berjudul "Digiris Hujan" turut sama dipilih dalam ruang puisi TC bulan ini. Semoga dengan disiarkan karya-karya saya ini, diharapkan semangat untuk menghasilkan yang terbaik itu akan senantiasa bersama saya. Insyallah.


Selain itu TC bulan ini mengupas mengenai penulis muda wanita di Malaysia. Jika anda ingin mengenali dengan lebih rapat siapa penulis muda wanita yang mewarnai dan mewangikan nuansa sastera kita, apa lagi dapatkan Tunas Cipta November! (Yang kulitnya berwarna merah hati).

Tuesday, October 27, 2009

Akhirnya Dia Datang Juga...

Teman-teman dan pembaca sekalian,

Akhirnya yang telah lama kita nantikan tiba juga di The Mines Shopping Mall, Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan. Apakah itu?


Dalam gambar ada seorang "orang mujik"
sedang membelek-belek buku hendak dibeli...hehe!

Apa lagi kalau bukan toko buku Gramedia. Jika selama ini kita terpaksa berhabis sedikit duit untuk ke Setia Alam (jika anda mendiami kawasan yang jauh sedikit dari Shah Alam) kini anda dan saya mungkin akan merasa lebih mudah untuk ke toko berkenaan.

Bercerita mengenai toko Gramedia di Mines, ruangnya bolehlah dikatakan lebih luas sedikit jika ingin dibandingkan dengan yang berada di Setia Alam. Namun, seperti juga toko lain (Setia Alam atau Seberang Prai) jumlah buku dalam bahasa Indonesia masih kekal sama. Maksud saya, tidak banyak dan hanya ada sekitar 10 rak sahaja yang meliputi pelbagai genre.

Bagi teman-teman yang selama ini sering bertanya bila cawangan di Mines hendak dibuka, saya kira mungkin kini sudah dapat melukis garis senang di wajah. Apa lagi, hidupkan enjin kereta (serta pastikan poket anda cukup wang), jom ke sana lah~

Monday, October 26, 2009

Untuk Anda & Untuk Saya Juga

Ini adalah lagu P Ramlee kegemaran saya sepanjang zaman selain lagu-lagu lain daripada OST Anakku Sazali seperti Istana Cinta dan lagu-lagu lain seperti Merak Kayangan, Ingin Tahu dan Hujan di Tengah Hari. Untuk anda semua (dan untuk saya juga!) mari kita nikmati sebentar lagu ini..."Tunggu Sekejap" daripada OST filem Sarjan Hassan, 1955 terbitan Malay Film Productions, Jalan Ampas, Singapura. Semoga terhibur!

Thursday, October 22, 2009

Terima Kasih...


Terima kasih

untuk
segaris senyum
dan
selebar tawa


merawat segala resah
menghalau setiap galau
lenyap ke dunianya sendiri...




~Hani Salwah Yaakup~
22 Oktober 2009
Kajang, Selangor




*Photo credit to: http://www.babyphotospictures.com/thumb/baby-smiling.jpg

Wednesday, October 07, 2009

Tunggu Sekejap, Kuinginkan Secangkir Kopi


Duhai teman,
aku tidak mengharapkan banyak darimu

cuma
tunggu sekejap, ku inginkan secangkir kopi

buat melenyapkan segala galau dikalbu...


Kajang,
7 Oktober 2009

~Hani Salwah Yaakup~


***Kredit foto: www.marsd.org/cliffwoodes/