Saturday, November 28, 2009

SAKM X, Hadiah & Beberapa Catatan Tertangguh

Sejujurnya, saya rasa bersalah dengan diri sendiri. Blog ini sahaja bagai tidak terurus. Hanya puisi-puisi pendek atau puisi orang lain yang saya muat naikkan. Masa senggang sudah tidak bersahabat baik lagi dengan saya. Beberapa perkara perlu saya lakukan setiap hari dan menuntut kesabaran yang tinggi juga. Doakan semuanya bakal dipermudahkan oleh NYA. Insyallah catatan kali ini, saya akan tulis panjang sedikit daripada biasa.


Teman-teman pengajar di Perkhemahan Cuti Sekolah Permatapintar, UKM

Mulai esok, saya telah diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa kita mengenal, mencintai ataupun sekurang-kurangnya tahu apa yang disebut sebagai sastera Melayu. Program Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar ini akan berlangsung dari 29 November hingga 18 Disember 2009. Tugas saya lebih kepada membantu pengajar utama. Hendaknya tanggungjawab ini dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa. Amin.

Oklah ada beberapa cerita yang ingin saya kongsikan bersama dengan anda. Sebelum ke Bengkel Tenaga Pengajar Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar iaitu dari 20-25 November 2009, saya telah berkesempatan menambah sedikit sebanyak ilmu di Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X di fakulti kesayangan saya kini di UKM pada 18-19 November 2009. Seminar yang diadakan oleh Pusat pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu, FSSK dibawah kendalian salah seorang sifu, figur dan rakan penulis yang saya hormati, Dr Mawar Shafie.


Saya dan Dr Rahmat Haroun Hashim (kepada penggemar karya-karyanya jangan cemburu!)

Apa yang membuatkan saya tertarik untuk mengeluarkan sedikit biaya menyertai seminar ini adalah kerana tajuk yang dibawakan pada kali ini, "Kesusteraan Melayu Dalam Rentas Ilmu". Di Malaysia sendiri kita lihat begitu ramai sekali penulis kita yang kini telah cuba membawa ilmu lain dalam penulisan sastera mereka. Ambil sahaja contoh seperti Dr Rahmat Haroun yang mengangkat ilmu perubatan dalam karya-karyanya, begitu juga dengan Nisah Haron dan Nasriah Abdul Salam (yang menyuntik elemen undang-undang), Isa Kamari dengan ilmu arkiteknya serta ramai lagi penulis yang cuba menerapkan ilmu lain dalam karya mereka. Usaha ini seharusnya diberi perhatian. Barulah sastera kita di negara ini bukan hanya bergerak dengan elemen yang sama sahaja saban masa. Itulah yang saya raih dalam SAKM X.

Prosiding Seminar Yang Mahal Daripada Aspek Ilmunya!

Malah saya kini pun sedang cuba-cuba untuk menyuntik elemen-elemen media, komunikasi dan filem (yang saya pelajari di UiTM dan UKM) dalam karya-karya saya. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memberikan pemahaman tentang apa yang saya pelajari dengan kaedah yang mudah kepada pembaca yang bukan ahlinya. Namun, ada yang sedikit menyedihkan di SAKM X adalah kerana elemen-elemen lain dalam sastera tidaklah diperkupas dengan lebih mendalam. Cuma sekadar dipermukaan. Ada juga sesi yang sekadar membicarakan teori-teori sahaja tanpa memperbincangkan elemen-elemen ini secara lebih mendalam dan meluas. Mungkin barangkali sesuatu isu itu dapat diperincikan sesuai dengan kehendak temanya. Berharap dua tahun lagi, isu ini dapat juga diberi perhatian oleh penganjur.

Acara-acara sastera sebegini juga turut memberi peluang kepada saya bertemu dengan rakan-rakan sedia ada dan baru. Sempat juga saya berkenalan dengan beberapa rakan dari Indonesia yang selama ini hanya berlaga bahu ketika bertemu dan bersua muka dengan teman-teman yang hanya bertemu di laman sosial Facebook seperti Kak Siti Jasmina Ibrahim dan beberapa orang lagi. Seronok sesekali menambahkan rakan-rakan yang sealiran, minat dan 'kegilaan'. Tidak disangka, banyak juga ilmu yang dibawa bersama dengan hanya berbual-bual iseng dengan mereka ini.

Di SAKM X, saya juga turut membalas "dendam" membeli hadiah beberapa buah buku untuk diri sendiri. Saya sememangnya sudah lama hendakkan buku tulisan salah seorang budayawan, penyair, pelukis dan sarjana, Dr Siti Zainon Ismail, Delima Ranting Senja juga buku terbaharu tulisan Nisah Haron, Lentera Mustika. Saya juga menghadiahi diri dengan sebuah lagi buku kumpulan cerpen S M Zakir, Sekeping Roh Diatas Bantal. Semua buku ini adalah untuk hadiah hari lahir yang tertangguh dengan duit hasil honororium beberapa karya yang terbit di TC bulan ini. Dua dalam satu saya kira. Rasa puas hati! Hehe...


Hadiah untuk diri

Selain dari SAKM X, kegembiraan berganda saya adalah apabila dua buah puisi saya telah dipilih untuk diterbitkan pada hari ahad yang lalu (22 November 2009). Yang kelakarnya, dua buah karya itu adalah dua buah karya pertama saya yang terbit di akhbar media arus perdana, diterbitkan serentak dalam dua buah media yang berlainan iaitu di Mingguan Malaysia (puisi bertajuk "Kangen") dan Berita Minggu (puisi bertajuk "Jeda") dan turut dihantar serentak. Terima kasih kepada editornya, Encik Ku Seman dan Puan Salbiah Ani (kalau tidak salah?). Saya juga ingin berterima kasih kepada Lan (Zulfazlan Jumrah) yang berkali-kali mendesak saya untuk menghantarnya. Terima kasih dik. Terima kasih juga yang menghantar mesej ke telefon genggam, FB dan ruang sembang YM. Doakan saya semakin tekal untuk menulis dan diberikan DIA kekuatan dan idea yang baik untuk dikreatifkan.


Kangen

Ada rindu yang kulepaskan ke langit malam
namun dia enggan pulang
katanya bulan temaram
bintang hilang dan langit menghitam!
kelam yang dingin
kalbu nan kering
tiada jawapan dalam ingin
lalu, tinggallah aku
digiris bayu malam

-Mingguan Malaysia, 22 November 2009



Jeda

Sesekali
ingin aku mesrai
debar rasa guruh.

Belajar mencintai
guyur titis hujan
yang menimpa rumah
kalbuku

Sesekali
aku hanya mahu diam di sini
dan merenung jiwa yang
tertebar di langit
mengharap warna jingga itu ada...

- Berita Minggu, 22 November 2009

2 comments:

Mawar said...

Hani yang baik
aduh....kangennya kok!

tehOnipis said...

sastera di tanah ini bergerak dengan elemen sama kerana kedegilan alir perdana untuk mengikis struktur konsevatif.

andai semua percaya bahawa 'apa yang kamu hukum bilamana kamu menghukum seni', saya kira kita dapat capai apa yang dikatakan 'perkembangan' dan 'pengayaan'. ;)