Tuesday, March 16, 2010

"Beware of Jabberwocky, My Son"

Dr Mawar Shafei, Saya, Nazihah dan Anak-Anak Kami di Penulisan & Imaginasi 3 (Bahasa Melayu), Perkhemahan Permata Pintar 2009, UKM Bangi.

Menonton filem terbaharu arahan Tim Burton, "Alice in The Wonderland" sebenarnya membawa saya kembali bukan kepada zaman anak-anak saya justeru ingatan pada Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar yang diadakan tahun lepas di kampus hijau kami di perbukitan Bangi. Jabberwocky, adalah makhluk ganas yang diciptakan oleh Lewis Caroll dalam puisinya bertajuk serupa adalah puisi daripada dua buah karya Caroll melalui "Through the Looking Glass" dan "What Alice Found There" (1872). Oh, berbalik semula pada cerita saya dan teman-teman tenaga pengajar di Permata Pintar 2009, UKM.

Meskipun saya seperti dalam entri yang ini, diberi tanggungjawab untuk memberi pendedahan dan menanamkan kecintaan anak-anak kita kepada sastera dan penulisan Melayu, tetapi peluang rapat dengan teman-teman yang mempunyai pengkhususan sastera Inggeris tidak saya ketepikan. Apa salahnya menambah teman dan memperoleh ilmu yang baru. Perkara yang sering menjadi perbualan antara teman-teman ini malah menjadi suatu gurauan adalah ayat pertama perenggan kedua puisi "Jabberwocky" iaitu "Beware of Jabberwocky, My Son".

Gurauan ini berpunca apabila rakan-rakan tenaga pengajar sastera Inggeris ini sering mengadu anak-anak murid mereka terasa bosan apabila puisi ini disuakan pada mereka. Setelah saya melihat puisinya, tidak hairanlah anak-anak ini bosan. Bahasanya sedikit tinggi malah dikatakan puisi yang disusun dalam perenggan paling "nonsense"(sumbernya disini) ditambah lagi dengan usia mereka yang baru 11 tahun. Pemilihan teks yang diambil terus dari Centre for Talented Youth, John Hopkins University, Amerika Syarikat (program asal yang disesuaikan sebagai Permata Pintar di Malaysia) bukanlah sesuatu yang tepat. Banyak lagi karya sastera inggeris Malaysia yang mungkin boleh disesuaikan dengan konteks permata pintar dan masyarakat Malaysia.

Saya pernah bertanyakan hal yang serupa dengan anak-anak murid saya dalam kelas sastera Melayu. Alhamdulilah, segala teks cerpen dan puisi yang ingin kami mereka hadam, faham dan seterusnya suka (sekurang-kurangnya) diterima baik oleh mereka. Malah, pengenalan tidak sengaja saya pada waktu rehat mengenai puisi-puisi sasterawan kegemaran saya dari Indonesia, Pak Sapardi Djoko Damono juga mendapat sambutan. Jika boleh setiap hari mereka mahu dengar muzikalasi "Hujan Bulan Juni".

1 comments:

ainunl.muaiyanah said...

hujan bulan juni????


Jangn buat saya jatuh cinta. sekali lagi :)