Sunday, May 24, 2009

PPMN 2009 : Sebuah Catatan Pendek (1)

DBP, KL

Pada mulanya saya sudah hampir tidak dapat menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009, gara-gara kerana terpaksa membentang makalah bagi seminar pengajian saya di UKM. Alhamdulilah di saat-saat akhir, tarikh berkenaan telah dibawa ke depan. Mungkin sudah rezeki untuk berkampung bersama rakan penulis Malaysia yang lain-lainya di Melaka, saya berpeluang untuk menyertai perhimpunan kali ini. Perhimpunan ini adalah perhimpunan kedua setelah perhimpunan pertama yang berlangsung di Tanjung Piai, Pontian, Johor pada tahun 2005. Namun, ini adalah penyertaan sulung saya setelah kembali (aktif) dalam jagat kesusasteraan ini.


Teringat saya pada seloroh Nisah Hj Haron ketika membentangkan makalah pada malam pertama persidangan. Kata beliau, menulis adalah kerja sendiri-sendiri yang lebih bertumpu kepada memencilkan diri daripada persekitaran. Maka, pertemuan seumpama ini adalah molek untuk berkenal-kenalan dengan para penggiat sastera yang lain.


Alumni MPR Memperagakan T-Shirt Rasmi MPR


Model Tanpa Bayaran!

Saya kira tidak keterlaluan andai saya katakan perkampungan, persidangan, forum, diskusi malah apa-apa sahaja acara yang berbau sastera itu adalah tempat untuk bertemu semua rakan-rakan penulis yang lainnya. Malah, peluang inilah yang paling dinanti-nantikan oleh semua penulis saya kira. Masa bertemu inilah untuk berbual, berkongsi idea dan pandangan, berkenal-kenalan dengan teman-teman atau mereka yang lebih matang dalam arus sastera tanahair ataupun mengeratkan silaturrahmi dikalangan mereka yang sudah "dekat".


Gelagat adik-adik saya...aduh!

Mungkin anda yang tidak berada dalam lapangan ini beranggapan kami hanya mampu hidup dalam kelompok sastera kami sahaja. Saya tidak menyalahkan anda untuk berfikir apa sahaja namun, percayalah dengan bersama-sama mereka yang sealiran ini mampu meningkatkan motivasi, dorongan, rasa yakin diri malah "jiwa" untuk berkarya.


Gabungan Penulis Muda Separa JUTAWAN, JUTAWAN dan WAN WAN Sedang Melakukan Gaya "Kenapa Kalau Berfikir Kena Tengok Atas?"

0 comments: