Tuesday, May 19, 2009

Laskar Pelangi, Kick Andy & Sesuatu Yang Menjentik Emosi



Anak-anak Laskar Pelangi menanyikan lagu "Seroja", lagu asal S Effendi

Sejujurnya saya menonton filem Laskar Pelangi terlebih dahulu sebelum sempat untuk menekuni novel yang dikatakan "berhantu" ini. Saya berpeluang menontonnya pun setelah salah seorang teman baik saya dari seberang memberikannya pada saya. Ma kasih ya Jeng Wulan!.

Reaksi saya terhadap filem ini? Adalah sebuah rasa bersalah pada diri sendiri.

Malah sepanjang filem ini saya tonton, saya menangis. Mungkin saya melankolik pada pandangan anda. Namun terlalu banyak alasan kenapa saya menangisi dan terkadang tertawa menonton filem ini. Salah satunya adalah dalam keadaan daif dan seperti mahu roboh tenaga pengajar SD Muhammadiyah tetap mempertahankan sekolah itu untuk memberi ilmu yang bisa merubah kehidupan anak-anak kuli ini. Figura Ibunda guru, Muslimah dan Pak Harfan menjentik emosi saya.

Oh guru-guru ini membuatkan kita menghargai setiap ilmu itu, saudara! Oleh kerana mereka, saya semakin menghargai semua jasa guru-guru saya selama ini. Malah setiap kali mendengar lagu "Terima Kasih Guruku" pada entri dibawah semacam ada rasa sayu bergayutan di tangkai hati. Terima kasih semua guru-guru saya!

Keduanya pula adalah figura Lintang, seorang anak miskin pesisir Pulau Belitong yang digambarkan filem ini. Anak minda genius anugerah alam ini walaupun perlu menunggang "kereta angin" (seperti yang dikatakan Bu Muslimah pada babak-babak awal filem ini) sejauh 80KM pergi dan pulang sekolah tetapi, sedikit pun tidak pernah melemahkannya. Bukan dekat perjalanan itu kalau perlu menunggang basikal, mengharung segala jenis mahluk Allah SWT yang melintangi sepanjang perjalanan (termasuk buaya-buaya besar) juga fenomena alam (seperti hujan, ribut dan sebagainya). Jika itu adalah saya mungkin sudah lama saya mengalah. Itu semua Lintang lakukan kerana sebuah perkara yang dipanggil "Ilmu".

Poster Filem "Laskar Pelangi"

Selain itu, figura-figura yang lucu seperti figura jagoan seni dan perkara-perkara mistik seperti Mahar dan Flo, watak yang mahukan badanya sakti seperti Samson, anak istimewa yang hanya menurut iaitu Harun dan banyak lagi, menambahkan "kesan" dalam diri saya. Dalam miskin serta daif, anak-anak ini mampu bergembira dan menggali ilmu untuk kegunaan masa hadapan mereka.

Tidak dapat dinafikan, Riri Riza dan Mira Lesmana adalah gabungan hebat dalam pengarahan dan penulisan skrip. Sinematografi dan grafik yang dipertontonkan pada kita menambahkan lagi nilai yang mencipta "keindahan" filem ini. Walaupun begitu, mustahillah pada pandangan saya jika semua yang terkandung dalam novel Andrea Hirata ini hendak ditonjolkan dalam bentuk filem. Banyak juga babak dan butir-butir tertentu yang telah diubah untuk diserasikan dalam filem. Maka, pada mereka yang menonton filem ini tanpa membaca, nasihat saya setelah menonton filemnya apa kata luangkan sedikit masa untuk membaca apa sebenarnya yang meragukan anda sepanjang filem berkenaan.

Abang saya Mohariz telah menonton filem ini lebih 10 kali. Katanya, dia sudah tersihir pada banyak hal lewat filem berkenaan. Oh, saya kira saya masih tidak segila itu...hahaha!. Minatnya pada filem ini telah menemukannya dan saya pada sebuah rancangan bual bicara Indonesia, Kick Andy, yang telah menemubual Andrea Hirata serta watak-watak sebenar Laskar Pelangi seperti Bu Muslimah, Syahdan serta rakan-rakannya yang lain. Melalui rancangan ini juga, pembawa acara, Andy telah membawa beberapa orang yang nyata telah terinspirasi kerananya. Melalui Kick Andy juga seorang anak yang tercandu dadah juga telah berubah hanya semata-mata rasa bersalahnya tidak mensyukuri apa yang diterimanya dan diraihnya dalam pelajaran.

Secara peribadi, Laskar Pelangi membawa sebuah motivasi bagi saya dalam mensyukuri dan merasa lebih berani serta tabah untuk menamatkan pengajian yang sedang saya lalui kini. Figura Lintang seakan-akan memandu semangat saya yang kadang-kadang merasa kurang percaya diri, layu, tidak berdaya dan putus asa.

Memoir Andrea Hirata yang disuntik elemen sastera adalah sesuatu yang menjentik emosi. Tidak sabar untuk saya baca sambungan tetralogi yang seterusnya iaitu Edensor, Sang Pemimpi dan Maryamah Karpov. Pada anda, mari baca dan tonton filem ini. Ayuh!

0 comments: