Saturday, May 16, 2009

Cikgu, Selamat Hari Guru!



Terima Kasih Guruku

Pagiku cerahku, matahari bersinar
Kugendong tas merahku dipundak
Slamat pagi semua, kunantikan dirimu
Didepan kelasku menantikan kami

Guruku tersayang, guruku tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis
Mengerti banyak hal
Guruku terima kasihku

Nyatanya diriku kadang buatmu marah
Namun segala maaf kau berikan

Guruku tersayang, guruku tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis
Mengerti banyak hal
Guruku terima kasihku


Bulan mei sememangnya membawa terlalu banyak erti untuk diri. Bulan ini beberapa orang penting dalam kehidupan diberi sebuah hari untuk kita kenang dan hargai jasa mereka (secara rasmi). Namun begitu, ini tidaklah bererti saya tidak mengenang dan menghargai jasa mereka sepanjang kehidupan saya. 16 mei membawa banyak erti dalam hidup. Dedikasi untuk seluruh guru-guru yang sememangnya membawa terlalu banyak erti dan perubahan yang signifikan dalam diri kita ini. Menjadikan diri saya adalah saya seperti hari ini.

Ucapan selamat hari guru ini saya mulakan untuk guru-guru saya di tadika Budi, Kampung Melayu Ampang tahun 1989. Meskipun setiap nama guru-guru berkenaan tidaklah saya ingat lagi hari ini, namun kerana jasa-jasa anda, saya mengenal huruf dan boleh membaca dengan sempurna waktu ini. Terima kasih cikgu!

Begitu juga dengan guru-guru sekolah rendah saya di Sekolah Kebangsaan Ampang (1990-1992) dan Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan (1993-1995). Terutama kepada Cikgu Badariah, Cikgu Nilawati Sarih, Cikgu Fakhrul Radzi, Cikgu Sharifah dan Cikgu Ismail. Anda semua telah banyak memberi warna dan membentuk rasa ingin belajar itu mengebu dalam diri saya sehingga kini. Terima kasih banyak cikgu!


Dr Asiah Sarji & Kak Ji dan Kami Sewaktu Majlis Makan Malam Mention, UKM

Seterusnya untuk semua pensyarah saya di Universiti Teknologi MARA (Diploma Komunikasi & Media 2001-2004) dan juga sewaktu melanjutkan pengajian dalam bidang penyiaran (Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) (Penyiaran) ). Antara mereka yang senantiasa saya pegang kata-kata dan nasihatnya adalah, Puan Noraini (yang kini sudah menjadi ketua program diploma mass comm di Melaka), Encik Ahmad Farami (yang kini di Melbourne menyambung pengajian), Encik Mohammad Yaacob, Dr Normah (yang membuatkan statistik itu mudah!), Dr Rahmat Ghazali, Dr Halimaton Shaari, Dr Baharuddin (yang senantiasa cool), Encik Zulkifli (mantan penerbit di NTV 7 dan merupakan pensyarah sambilan)-- (sekadar menyebut beberapa nama) Terima kasih! Terima kasih!


Prof Dr Samsudin A Rahim bersama saya dan rakan sekelas

Kini, semua pensyarah saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (Sarjana Pengurusan Komunikasi) yang memberi banyak sekali motivasi, bimbingan dan tunjuk ajar agar saya bisa menyudahkan apa yang sedang saya lalui kini dengan lebih baik. Mereka adalah, Dr Mus Chairil Samani (yang suka senyum bila saya tidak tahu menjawab!), Prof Samsudin A Rahim (yang membuatkan teori dan metodologi yang payah nampak lebih mudah), Prof Safar Hasim (yang kadang-kadang sudi menyanyi dalam kelas!), Dr Faridah Ibrahim (penasihat akademik saya!), Dr Latiffah Pawanteh, Dr Normah juga Kak Ji (die hard fan Arsenal). Terima kasih yang tidak terhingga!


Kak Ji & Dr Yusof bersama kami sekelas sewaktu Affiliation Day, Mac 2009

Terakhir adalah adiguru-adiguru saya dalam bidang penulisan dan senantiasa membuka mata saya untuk terus mengali apa yang ada dalam lubuk sastera itu. Terima kasih untuk mereka di Minggu Penulis Remaja (MPR) --Tuan Haji Faisal Tehrani, Kak Raihani Mohd Saaid, Kak Nisah Haron, Abang Zaen Kasturi, Nasriah Abdul Salam (sekadar menyebut beberapa nama) serta penulis-penulis Malaysia yang saya belajar secara langsung, tidak langsung ataupun pernah memberi nasihat untuk memperbaiki diri ini, Terima Kasih Yang Sesungguhnya!


Dengan sebahagian guru-guru dalam bidang penulisan ketika HSKU 2007


Warga MPR dengan sebahagian guru-guru kami

Juga kepada semua individu yang pernah menyumbang, menasihati atau membentuk saya individu yang lebih baik hari ini, Terima kasih daun keladi!

Sesungguhnya tidak terbalas jasa guru dalam membentuk kita sehingga menjadi apa kita pada hari ini. Semoga Allah SWT meletakkan guru-guru kita ini dalam keadaan yang lebih baik setiap hari, dikurniakannya kesihatan juga rezeki yang melimpah ruah. Dipermudahkan apa sahaja hendaknya.

Untuk semua guru, SELAMAT HARI GURU!

0 comments: