Saturday, May 30, 2009

Dalam Proses...


Saya suka beli buku. Pantang jumpa mesti hendak beli satu (sekurang-kurangnya). Emak saya kadang-kadang suka menyindir mengenai sikap suka beli buku ini. Katanya akan buat pelamin kahwin saya nanti daripada koleksi buku-buku saya dalam bilik. Saya hanya ketawa sahaja. Saya faham emak hanya bercanda. Malah sikap membeli buku ini memang dialah yang tanam dalam diri saya. Saya bersyukur kerana sikap itu diajarkan pada saya.

Sikap suka membeli ini pernah saya utarakan pada Nisah Haron, pemilik Ujana Ilmu. Katanya tidak salah membeli dan membeli. Mungkin untuk membaca semuanya memerlukan masa tetapi, jika hendak membaca sesebuah buku itu telah pun kita miliki. Jadi tidak perlulah baru kelang-kabut hendak cari judul berkenaan di toko-toko buku apabila hendak membacanya.

Saya akui akan hal ini. Paling mudah adalah buku-buku karya Sasterawan Negara kita sebagai contoh. Kebanyakkan buku-buku SN kita dianggap buku langka. Pernah sekali saya ke Kedai Buku Dewan Bahasa dalam usaha saya mencari buku Allahyarham SN Arena Wati. Pekerja kedai berkenaan buku itu sudah habis stok dan menyuruh saya ke kedai buku di kilang DAWAMA, Hulu Kelang. Saya fikirkan buku berkenaan pastilah ada di kilang yang mencetaknya. Namun yang menyedihkan mereka memberitahu saya judul berkenaan tidak diulang cetak.

Yang buat saya ketawa, buku-buku tertentu dicetak berulang kali dan ditukar kulitnya berkali-kali dan ada sesetengahnya pula tidak dicetak langsung. Contohnya seperti buku "Interlok" karya SN Abdullah Hussein. Sila rujuk sini. Cuba juga cari "Salina"nya Pak Samad Said, saya yakin jawapan mereka tetap sama, "kami tidak ulang cetak buku itu!".

Pada hemat saya, buku-buku SN kita perlulah senantiasa ada. Dengan cara demikian, generasi muda seperti saya akan dapat menikmati karya-karya terbaik ini.

Setuju dengan saya?


Oh berbalik pada pokok persoalan. Oleh kerana "kerajinan" saya membeli buku, koleksi perpustakaan mini saya sudah bisa "meluahkan" kembali muatannya kerana tiada ruang kosong lagi. Ditambah dengan himpunan jurnal, buku-buku teks pembelajaran saya kini, serta koleksi nota-nota kuliah menjadikan hal ini semakin parah.

Akhirnya saya telah berpendapat untuk membuat satu daftar koleksi buku yang saya miliki. Saya ketawakan diri kerana ada beberapa buah buku yang saya sangka saya belum miliki rupa-rupanya sudah naik berhabuk dalam simpanan. Oh, terlepas pandang akan beberapa judul ini barangkali.

Namun begitu, perkara susun menyusun ini masih belum saya usaikan sepenuhnya. Semuanya dalam proses...

4 comments:

Nazmi Yaakub said...

saya menunggu, penulis yg bersanding atas pelamin buku. :)

hani salwah yaakup said...

Abang Nazmi,

hehehehehe...

Aidil Khalid said...

Nampaknya lepas ni Kak Hanie kena upahkan seorang pustakawan untuk aturkan buku-buku tu. Hehe.

Oh, ya, tentang novel Salina Pak Samad, saya ada nampak tahun lepas, penerbit Rhythm telah ulang cetak. Kalau tak silaplah. Tapi saya lupa di kedai mana.

hani salwah yaakup said...

Aidil,

Kan seronok kalau boleh upah pustakawan. Hehehe.

Oh mengenai "Salina" terbitan Rhytm itu kak hani tahu. Namun, selalu juga dengar rungutan payah untuk dapatkan "Salina" terbitan syarikat itu serta harganya yang jauh lebih mahal daripada yang dikeluarkan DBP.