Monday, May 25, 2009

PPMN 2009: Catatan Pendek (2)

Ramai yang bercerita mengenai penulis-penulis kelahiran MPR sewaktu PPMN 2009 yang lalu. Boleh dikatakan hampir dalam setiap pembentangan makalah ada sahaja nama-nama mantan yang sudah mapan diulang-ulang kepada khalayak. Mungkin juga ada yang muak kerana nama ahli keluarga MPR diulang sebut. Maaflah bukan niat ahli keluarga kami hendak diulang-ulang.


Sebagai salah seorang ahli keluarga MPR, ada rasa tercalar dalam diri bila ada beberapa pihak menyatakan ahli keluarga kami hanya berkarya dalam majalah tertentu sahaja. Yang paling menyedihkan adalah penulis-penulis MPR dilabelkan sebagai golongan dan kelompok yang tidak mempunyai masa hadapan. Oh, ini mungkin pernyataan berbaur cabaran yang hendak diluahkan pihak-pihak tertentu pada ahli keluarga kami.

Mengambil kembali kata-kata Nisah Haron dalam pembentangan makalahnya malam pertama, kenapa perlu penulis di Malaysia dilabel-label dengan rangkaian kata-kata tertentu iaitu Penulis Muda, Penulis Mapan, Penulis Pop dan berbagai-bagai lagi. Sehingga kadang-kadang seperti timbul kesalahan andai penulis yang dikaitkan dengan terma tertentu bersahabat dengan penulis-penulis yang beraliran lain. Penulis muda dianologikan Nisah sebagai sekumpulan manusia yang hendak melintas jalan raya yang sibuk. Perlulah saling berpegang tangan dan membantu untuk bisa menyeberang tanpa perlu ditabrak oleh kenderaan yang lainnya.

Maafkanlah kami andai dilihat terlalu suka banget dikelilingi grup kami. Kami bukan hendak hidup berkelompok. Cuma sebagai penulis yang disifatkan menjalankan kerja secara sendirian, kami juga saling jarang bertemu apatah lagi bermesra dikalangan kami. Masa sebeginilah waktu paling cocok untuk bertanya khabar, mendengar cerita terbaharu, berkongsi idea dan saling mengkritik karya masing-masing.

Selain daripada itu, adik-adik saya ini juga sudah diberi amaran awal untuk menjaga tingkah serta cara dalam pergaulan mereka sewaktu di PPMN oleh senior MPR. Maka, secara tidak langsung mereka ini agak takut untuk bertegur sapa dengan yang lain. Namun begitu, ini bukanlah bererti mereka sombong. Ada sahaja kenalan baru yang kami cipta setiap masa. Mungkin jumlahnya sahaja yang kurang besar. Ditambah lagi perasaan kami sebagai penulis baharu yang sedang mencipta nama membataskan pergaulan antara penulis lain yang mapan dan besarnya dalam arena sastera tanahair. Maafkanlah kami.

Mengenai karya alumni MPR yang hanya terbit di Tunas Cipta, saya rasa pihak-pihak berkenaan perlulah sekurang-kurangnya bertanya mengenai hal ini kepada alumni MPR itu sendiri. Saya rasa ramai sudah antara kami yang sudah menulis dalam genre yang lain. Cuma tidak dihebah-hebahkan media kami adalah anak kelahiran sekian sekian minggu, krusus ataupun kumpulan. Mereka yang berkarya dalam genre lain-lain ini pun bukanlah golongan MPR yang telah mapan. Lupakanlah nama Faisal Tehrani, Nisah Haron, Saharil Hasrin Sanin, Salina Ibrahim, Raihani Mohd Saaid dan seangkatan dengan mereka ini. Mereka sudah terlalu "besar" untuk ikut serta dalam kelompok terbaharu yang dinyatakan. Nama-nama seperti M.F. Kencana, Wan Nor Azriq, Nasriah Abdul Salam, Lala Zehan, Sayiddah Muizzah, Ghafirah Idris, Nimoiz TY malah saya sendiri (sekadar merujuk beberapa nama) sudah pun berganjak ke media ataupun genre yang lain. Maka tuduhan kepada kami yang hanya menulis di Tunas Cipta itu saya rasa adalah sesuatu prasangka yang "sempit".

Maaflah andai entri ini dianggap keterlaluan pihak-pihak tertentu. Saya rasa lebih molek andai pernyataan yang diberikan kepada kelompok kami dijawab dengan baik juga. barulah timbul sebuah perdebatan yang sihat antara kelompok kami dan kelompok yang memberi berprasangka. Berilah kami masa untuk tumbuh mekar dalam arena sastera tanahair. Berilah kami komen, kritik, saranan untuk kami senantiasa berusaha meningkat diri bagi diterima dalam dunia ini. Sesungguhnya saya terima setiap "kata" yang dilontar pada kami. Mungkin itu salah satu cabarann yang perlu dilunaskan. Namun, jangan pula sesekali menindas kami dan memberi komen berat sebelah.


Kami masih muda dan hijau. Sesungguhnya kami senantiasa perlu tunjuk ajar daripada kalian yang sudah lama mekar mewangi di nuansa ini. Jika lihat kami segan untuk bertegur sapa, apa salahnya yang "lama" menegur yang baru. Sebagai yang baru, kadang-kadang ada rasa segan atau tidak percaya diri untuk menegur dan berkenal-kenalan.

Sekali lagi, saya mohon maaf. Semoga ada kenalan baharu yang bisa tercipta daripada entri 'bela diri' ini.

Salam Hormat!

4 comments:

ideamenulis said...

Yang penting kita bukan seperti yang disangkakan. Selamat membaca dan menulis, berjaya di dunia dan akhirat.

hani salwah yaakup said...

Salam Encik Zulkifli Khair,

Terima kasih kerana datang melawat blog tidak seberapa dan untuk sokongannya.

Zarif Hassan said...

Salam,

Jangan prejudis dengan sesuatu kenyataan. Kita perlu dilihat dari pelbagai sisi. saya melihat semuanya dengan sihat.

Perkataan "ahli keluarga kami" yang digunakan juga telah mengundang jurang. Jadi kelompok penulis yang diluar keluarga kamu bagaimana pula?

Perdebatan ini menghasilkan wacana pemikiran yang sihat. Begitulah hendaknya. Amin.

hani salwah yaakup said...

Saudara Zarif,

Saya tidak prejudis cuma untuk menerangkan keadaan dari pihak kami pula. Barulah saya kira suatu perdebatan yang sihat dapat dijana.

Oh mengenai isu keluarga maaflah kalau ada ia mengundang jurang. Keadaan yang mesra membuat kami menganggap diri sebagai keluarga.

Rakan-rakan "diluar" pun saya anggap sebagai teman juga. Sesetengahnya mesra dan sesetengahnya masih mengenali antara satu sama lain.

Mungkin kadang-kadang melalui perbezaan pendapat sebegini, yang "jauh" ini semakin mesra. Siapa tahu kan? Contohnya seperti anda dan saya. Kini anda tahu siapa saya dan saya tahu siapa anda.

Salam kenal. Terima kasih untuk kunjungan dan sumbangan pendapat. Sangat menghargainya! ;)