Friday, March 27, 2009

Jangan Biarkan Aku...


Jangan Biarkan Aku...

Jangan biarkan aku terdiam merenung langit
kerana aku mudah terpesona
dengan indahnya butir hujan
dan daun yang gugur kebasahan

Jangan biarkan aku tersenyum melirik titis gerimis
kerana wajahmu
selalu sahaja tersirna dalam relung jiwaku
saat-saat jemuku bertamu
ketika membilang setiap katamu...

Hani Salwah Yaakup
27 Mac 2009
Kajang, Selangor

(Photo credit to http://www.maryschwalm.com/blog/plastered.jpg)

Thursday, March 19, 2009

1 Jam Untuk Dunia


Mungkin ramai antara kita masih tidak menyedari akan kempen "Earth Hour" yang sedang dicanangkan oleh media kita kini. Mari kita berkongsi mengenai apa yang dipanggil sebagai "Earth Hour" ini.

"Earth Hour" adalah kempen yang bertujuan untuk mengurangkan kesan pemanasan global dengan memadam lampu sepanjang satu jam pada 28 Mac 2009 ini bermula jam 8.30 -9.30 malam. Kempen ini diharapkan mendapat sokongan daripada pihak individu, premis-premis perniagaan malah pihak kerajaan supaya dapat bekerjasama menjayakan impian murni ini. Bandar-bandar utama yang telah pun memberikan sokongan terhadap usaha ini adalah Los Angeles, Las Vegas, Londan, Hong Kong, Sidney, Rome, Manila, Oslo, Cape Town, Singapura, Istanbul, Mexico City, Toronto, Dubai, Copenhegen.

Tahun ini merupakan tahun yang pertama buat Malaysia untuk turut serta menyuarakan hasrat kita untuk "TIDAK" pada pemanasan global. Semoga dengan sokongan ini, suatu keputusan politikal yang terbaik mengenai usaha mengatasi masalah pemanasan global ini dapat dicapai pada perbincangan pemanasan global yang bakal diadakan pada Disember tahun ini.

Nyatakan sokongan anda dengan memadam lampu pada 28 Mac 2009 ini! Ia hanyalah SATU JAM UNTUK DUNIA!

Informasi lanjut disini

Tuesday, March 17, 2009

Daun Yang Layu Itu...


Hari ini, saya terlihat lagi sehelai daun kering yang entah sejak bila menghuni alas kaki tempat duduk saya dalam kereta. Anehnya, setiap kali terpandang itu, tiada sebarang perasaan untuk membuangnya keluar. Saya biarkan ia duduk diam didalam kereta dan membawanya ke mana-mana sahaja saya pergi kini.

Entah kenapa selain hujan yang membawa semacam perasaan berbaur dalam diri, melihat daun gugur merupakan keindahan perasaan yang tidak tergambarkan kini.

Mungkin saya rindukan tanah kangaroo dan koala. Malah jemputan khas dari sana terpaksa ditolak mentah kerana saya sedang sibuk berperang dengan masa yang kian mencemburui saya. Terlalu banyak tugasan, pembentangan dan tanggungjawab perlu diusaikan sebelum pertengahan bulan hadapan.

Semoga dipermudahkan segala-galanya oleh Sang Maha Pencipta.

...dan saya sedang berusaha...

***Photo credit to http://farm3.static.flickr.com/2170/2336758739_d29af7bfcf.jpg?v=0

Friday, March 13, 2009

Tajam Hujanmu


Disela waktu senggang, saya dihadiri pelbagai aktiviti yang memerlukan tenaga bukan kepalang sedikit untuk dicurahkan. Namun yang penting, saya gembira melakukannya. Tambahan pula disana senantiasa ada teman-teman yang hendak bekerjasama dan pensyarah yang memberi semangat. Sayang semuanya...

Setiap kali menjayakan aktiviti ini, payung dan hujan adalah perkara lumrah bagi saya. Kadang-kadang saya ditimpa hujan juga kerana terlupa membawa payung.

Ketika ditimpa hujan, saya semakin memahami akan puisi Sapardi Djoko Domono, Tajam Hujanmu. Malah, ada semacam diri ini diantara bait-baitnya...



TAJAM HUJANMU


tajam hujanmu
ini sudah terlanjur mencintaimu:
payung terbuka yang bergoyang-goyang di tangan kananku,
air yang menetes dari pinggir-pinggir payung itu,
aspal yang gemeletuk di bawah sepatu,
arlogi yang buram berair kacanya,
dua-tiga patah kata yang mengganjal di tenggorokan
deras dinginmu
sembilu hujan


Sapardi Djoko Domono
Kumpulan Sajak "Perahu Kertas"
1982

***Photo Credit: esinophile.files.wordpress.com/2008/08/umbrel..

Tuesday, March 10, 2009

5 Kedai atau Toko Yang Kalau Jumpa Kita Hendak Masuk!


Jalan-jalan mencari kedai!

Saya telah di"tag" oleh salah seorang adik MPR yang kini berada di Jepun, Zaki Johari. Tag kali ini menarik jika dilihat isinya iaitu mengenai kedai atau toko apakah yang biasa anda kunjungi atau kalau jumpa anda hendak masuk. Baiklah, saya jawab!

1) MPH Alamanda

Kenapa saya selalu ke sini? Alasan pertama, adalah MPH Alamanda adalah cawangan MPH paling hampir dengan kediaman saya. Alasan kedua pula kerana saya sering ke Alamanda. Hehe.

Saya ke MPH adalah untuk browsing apakah buku-buku terbaharu yang bakal memenuhkan rak buku saya dirumah. MPH cawangan ini tidak menawarkan banyak buku kerana kawasannya yang lebih kecil dari MPH cawangan lain. Jadi, selalunya saya tidak membeli buku disini kerana selain harga yang lebih tinggi dan kurangnya kepelbagaian buku juga menjadi antara penyebabnya.


2) Jaya Jusco

Tidak kisahlah cawangan Jaya Jusco mana sekali pun, semacam ada tarikan untuk singgah membeli belah di Jaya Jusco. Selain harga yang boleh tahan, produk yang berkualiti dan kepelbagaiannya, Jaya Jusco selalu mengeringkan wang yang tidak berapa banyak dalam kantung sendiri.

Selalunya saya ke sini untuk membeli baju, tas tangan dan kasut.


3) Big W, Mirrabooka Square

Pasaraya ini kalau hendak dibandingkan dengan pasaraya di Malaysia mungkin seumpama dengan Tesco atau Giant. Big W adalah pasaraya yang ada di Australia. Cawangan Big W yang sering saya kunjungi adalah di Mirrabooka Square di Perth, Western Australia.

Pasaraya ini menawarkan barang-barang yang sangat berkualiti walaupun hanya semacam pasaraya Tesco. Yang penting, pasaraya ini memberi harga yang rendah jika dibandingkan dengan pasaraya-pasaraya lain yang ada di Austaralia. Keunikan pasaraya ini adalah ia lebih mengkhusus menjual barangan kering dan tidak menjual barang keperluan dapur.

Kali terakhir ke pasaraya ini adalah pada Disember 2008.


4) Tesco, Kajang

Selalunya ke sini adalah untuk membawa dan menemankan emak membeli barang-barang keperluan rumah. Pendapat peribadi saya, harga barangan disini lebih berbaloi hendak dibeli jika dibandingkan dengan pasaraya-pasaraya lain. Jika berbelanja dalam RM 150-200 itu, nampaklah yang anda beli itu banyak.

Malah barangan basah juga kelihatan lebih bermutu dan segar. Kadang-kadang, berbelanja disini sahaja sudah cukup dan tidak perlu di pasar.


5) Kedai Buku Dawama, Hulu Kelang

Saya juga sering kesini. Terutamanya dengan Nasriah Abdul Salam. Selalunya kalau kami berdua ke sana, setidak-tidaknya 2 beg plastik penuh perlu dijinjing keluar. Berbelanja di kedai buku ini pada kami semacam tiada hari esok sahaja. Haha...

Bayangkan dengan RM 100, kami akan berhasil untuk mendapat buku-buku terbaik dan hampir sekian banyak genre. Selalunya kedai buku ini tidak ramai pelanggan jadi, anda bisa berada dalam pelbagai posisi untuk "mencungkil" buku-buku terbaik keluar dari rak yang disediakan.



Untuk tag kali ini, saya ingin mengetahui kedai yang paling selalu disinggahi atau kalau jumpa pasti hendak masuk rakan-rakan dibawah;

1) Nissa' Yusof
2) Ainual Muaiyanah
3) Kak Rai
4) Ode
5) Ilham Hafiz

Friday, March 06, 2009

Titis Hujan

Saya tidak pandai menulis puisi. Malah, saya masih belajar bagaimana mahu menulis sebuah puisi.


Hujan yang turun saban hari kini semacam memberi ilham untuk saya mencoret sebuah puisi. Pagi semalam sewaktu saya baru bangun daripada tidur, saya lihat diluar hujan sedang mula menitis. Tiba-tiba, saya merasa syahdu dan terlahir puisi ini.

Kata Ady, puisi ini bernada seperti mahu "reject" seseorang. Namun, sebenarnya ini hanya lakaran imiginasi seorang penulis baharu sahaja.


Titis Hujan

Titis hujan itu membawa rasa syahdu
yang bergema dalam nada rindu
pada diriku yang kehilangan lagu

Titis hujan itu membawa rasa pilu
yang berirama hiba dan sayu
pada dirimu yang menginginkan aku


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor
5 Mac 2009


Wednesday, March 04, 2009

Andai...


Andai kini saya dapat berada di pesisir pantai dan melihat kejauhan lautan dan matahari...aduhai!


Andai kini dapat saya enapkan segala resah yang bergaul dalam relung jiwa ke dasar air terjun...aduhai!



Namun, semua itu dibatasi kerjaan saya yang menghimpit akhir-akhir ini...

Doakanlah agar segalanya bisa diusaikan segera. Saya mahu rehat yang panjang untuk mendapatkan fikiran yang tenang!

Tuesday, March 03, 2009

Duhai Hati...

Jika ianya masih bukan rezekiku, bersabarlah dulu wahai Hati...




Telah Kuhapus Kata-Kata

Telah kuhapus kata-kata yang pernah kutuliskan

sebab tak ada lagi yang bisa kutawarkan
selain kesunyian dan kecemasan
atau kekosongan dan kekecewaan
hingga langit yang kutasbihkan
pecah berkeping dan jatuh dilautan

telah kuhapus kata-kata yang pernah kuucapkan
sebab laut jiwaku tak kuasa menterjemahkan

rahasia angin, badai dan gelombang

sebab perahu jiwaku yang retak makin gamang

putar haluan atau meneruskan saja pelayaran

telah kuhapus kata-kata

dan biarlah segalanya kulupakan

sebelum matahari, bulan dan bintang-bintang

tak lagi memancarkan sinarnya

pada diriku yang tiada

Micky Hidayat
100 Puisi Indonesia Terbaik 2008


Kredit foto : http://www.travelblog.org/Wallpaper/pix/tb_fiji_sunset.jpg

Sunday, March 01, 2009

Sebuah Eskapisme

"Poster filem Slumdog Millionaire"

Sudah beberapa kali saya merancang untuk pergi menonton filem ini. Namun, kesempitan masa yang selalu sahaja saya alami kini, membataskan pergerakan. Apabila saya bertanyakan rakan sekelas mengenai hal ini, terus sahaja dia meminta 'thumb drive' dan kemudian memberikan saya filem berkenaan. Saya teruja.

Alhamdulilah, selain menjimatkan wang yang kurang ada ini, secara tidak langsung, saya berkesempatan untuk menonton filem yang insyallah bakal saya muatkan dalam kajian saya nanti. Kepada anda, kalau punya kelapangan bolehlah terus ke pawagam yer...jangan tiru saya!

Slumdog Millionaire. Wajar sungguh pada saya andai filem yang berbajet rendah ini memenangi sekian banyak pengiktirafan dalam Anugerah Academy ke 81 lalu. Yang buat saya lebih terharu apabila A R Rahman dinobatkan sebagai pencipta runut bunyi terbaik itu merupakan orang Asia pertama yang mendapat anugerah sebegitu rupa sejak 81 tahun acara berkenaan dijalankan. Sebagai seorang orang Asia...tentunya saya bangga dan berharap pada masa akan datang lebih ramai orang Asia diberi pengiktirafan seumpama itu. Biarlah masyarakat dunia sedar bahawasanya kesan globalisasi filem itu turut berlaku dari timur ke barat dan bukan hanya barat ke timur.


Secara amnya, cerita dan naratif filem ini tidak banyak bezanya dengan naratif filem-filem hindi dan tamil yang sering kita tonton lewat kaca televisyen. Oleh kerana itulah, filem-filem keluaran India ini mampu menarik perhatian masyarakat secara umumnya. Meskipun naratif filem-filem ini diangkat daripada novel seperti juga filem Slumdog Millionaire yang asalnya merupakan sebuah novel Vikas Swarup, Q&A. Kesannya saya alami adalah serupa seperti yang pernah saya alami ketika menonton filem The Namesake filem adaptasi novel karya karya Jhumpa Lahiri.

Slumdog Millionaire menceritakan perjalanan kehidupan Jamal Malik dalam merentasi kehidupan sebagai anak jalanan bersama abangnya (Salim). Sepanjang mencari rezeki untuk meneruskan hidup yang sukar sebagai anak jalanan, mereka bertemu dengan seorang lagi anak jalanan bernama Latika. Namun, kerana hidup yang terdesak dan mengecewakan itu, beberapa kali Jamal terpaksa berpisah dengan Latika dan kemudiannya Salim. Oleh kerana ingin bertemu semula Latika, Jamal Malik berusaha untuk menyertai kuiz televisyen yang popular iaitu, Who Want To Be A Millionaire.


Menerusi filem Slumdog Millionaire ini selain naratifnya, apa yang menjadikan filem ini unik dan menarik adalah gabungan semua elemen yang ada didalamnya. Komposisi shot, sinematografi, aksi, lakonan, bunyi malah pemilihan pelakon pun memberi banyak kesan kepada apa yang menjadikannya menarik pada pandangan saya. Yang perlu saya tegaskan disini, meskipun filem dijalankan sepenuhnya dalam kawasan setinggan, kekotoran dan kesesakan manusia, pemandangan ini menimbulkan suasana yang menarik.

Sebolehnya saya tidak mahu menjadi spoiler filem ini. Saya juga tidak mahu menghilangkan rasa keghairahan anda menonton filem ini. Tambahan pula, saya bukan orang filem sejati yang pandai memberi kritikan dan saranan kekuatan dan kelemahan sesebuah filem berkenaan. Biarlah anda sendiri menikmati dan mengalami perjalanan perasaan yang cuba dipamerkan kepada anda melalui filem ini. Kemungkinan apa yang saya katakan disini mungkin berbeza tafsirannya dengan apa yang anda akan atau telah saksikan.


Slumdog Millionaire merupakan sebuah eskapisme seorang anak jalanan untuk keluar daripada derita jiwa dan zahir? Itu saya serahkan pada anda...

Selamat terhibur!

Jayaho...jayaho...jayaho!