Tuesday, December 23, 2008

Dari MPR ke Majlis Makan Malam MACP


Pembimbing MPR 2008 yang comel-comel!

Nasriah & Saya

Secara keseluruhan disember tahun ini adalah bulan yang memenatkan namun, meriangkan hati saya. Dimulakan dengan acara bercuti ke Perth selama dua minggu pertamanya. Apabila pulang pula terus ke Minggu Penulis Remaja (MPR) 2008 selama seminggu pula. Saya bukanlah bertindak sebagai pembimbing malah pendamping untuk MPR kali ini. Saya hanya diminta untuk menemani teman rapat saya, Nasriah Abdul Salam yang kebetulan dilantik Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membimbing adik-adik MPR tahun ini. Setidak-tidaknya dengan kehadiran saya di MPR, dapat jugalah saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai salah seorang moderator blog MPR dengan merakam gambar-gambar yang boleh dikira menarik sepanjang MPR (Ceh..konon!)

Sesi Bedah Karya

Urusetia yang senantiasa setia mengurus

Bilangan peserta tahun ini, alhamdulilah lebih meriah daripada tahun sebelumnya. Yang menarik, sejumlah besar peserta tahun ini dari negeri Johor. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin orang Johor lebih prolifik agaknya tahun ini. Huhu. Untuk close-up wajah-wajah mantan MPR 2008 anda boleh terus ke blog Minggu Penulis Remaja disini.


Peserta MPR 2008 khusyuk mendengar kuliah

MPR dimeriahkan lagi dengan penceramah undangan. Katanya, Dato' Baha Zin diberi penghormatan merasmikan MPR kali ini. Sayangnya saya tiba telat dua hari setelah itu. Kalau tidak mungkin saya juga berpeluang mendengar untaian kata yang bermakna daripada Dato' Baha kepada warga MPR 2008. Namun, apa yang mengubati hati adalah saya berkesempatan mendengar curahan pengalaman Cikgu Azizi Hj Abdullah dalam menghasilkan karya-karyanya. Saya seronok amat kerana saya antara peminat Cikgu Azizi sejak membaca novel "Seorang Tua Di Kaki Gunung".

Abang Shamsudin Othman & Cikgu Azizi Hj Abdullah

Kak Inah sedang memberi tunjuk ajar kepada adik-adik bagaimana menghantar karya ke majalah DBP

Selain itu, kesempatan bertemu dengan Kak Inah (Rozninah Abu Azib, Editor Dewan Sastera) yang kini kembali ceria semula, adik-adik mantan MPR yang gila-gila (Azree Ariffin, Azree MH dan Sayiddah Muizzah) dan abang-abang pembimbing serta penulis papan atas Abang Im (Rahimidin Zahari), Abang Din (Shamsudin Othman), Abang Lutfi (Lutfi Ishak) dan Kak Rai (Raihani Mohd Saaid) sudah memenuhi ruang-ruang kosong tidak berisi di cepu minda saya. Setidak-tidaknya, saya pulang dengan senarai buku dan filem-filem wajib tonton yang disyor mereka!

Mantan MPR (Dari Kiri Abg Din, Azree Ariffin, Azree Hanafiah, Abg Lutfi, Abg Rahimidin, Eja, Saya & Nas)

Bersama peserta, pemimbing dan Mantan MPR

Acara kemuncak yang paling dinanti-nantikan saya dan Nasriah adalah ke Jualan Gudang Dawama di Hulu Kelang. Macam biasalah kalau dibiarkan Cik Hani dan Cik Nas ke tempat jualan buku jangan terkejut kalau kami membeli belah seperti tidak ingat dunia. Namun, hari itu bukan hanya kami yang senget-senget bahu membawa buku dikiri kanan malah, semua pun begitu. Kira kami bershopping dengan semua yang gila buku!

Buku hasil belian saya! Agak-agaknya banyak tak saya berhabis? Cuba teka?

Jumaat setelah usai sudah MPR, saya ke Hotel One World, Petaling Jaya, untuk acara makan malam MACP (Music Author Copyright Protection). MACP adalah sebuah badan yang ditubuhkan untuk menjaga hak cipta sesebuah produksi muzik di negara kita ini. Mereka juga bertanggungjawab mengutip dan menyalurkan royalti kepada semua ahli-ahli yang berdaftar dengan mereka.

Maka, sebagai seorang ahli saya pun dijemput (kalau tidak hadir pun mereka tolak juga royalti kita untuk acara ini, jadi lebih baik datang). Majlis makan malam itu biasa sahaja. Selain nyanyi-nyanyi-nyanyi, muzik-muzik-muzik, adalah acara pemberian anugerah pada mereka yang mendapat pendapatan luar negara terbanyak, pendapatan dalam negara terbanyak, penulis lirik unggul, komposer terunggul dan sebagainya.

Namun, yang sangat terkesan dihati persembahan pentas tahun ini tidak hanya diberikan pada artis-artis yang sememangnya sudah unggul di jagat hiburan tanahair tetapi, pihak penganjur mula menguak sedikit pintu untuk kumpulan-kumpulan muzik Inde pula beraksi. Sejujurnya, artis yang biasa kita lihat di kaca tivi atau persembahan lain kurang mendapat tepukan para karyawan malam itu. Sebaliknya sebagai contoh Bunkface dengan "Situasi"nya telah berjaya meraih perhatian khalayak muzik disitu.

Abang "M" sedang beraksi di pentas

Selain itu, yang menyentuh hati apabila sekian lama tidak mendengar lagu kumpulan Harmoni, Penantian, malam itu rindu itu seakan terubat sendiri apabila Zubir Ali ke pentas dan menyanyikan kembali lagu berkenaan. Begitu juga dengan M Nasir di hujung malam yang menyampaikan dua lagu "keren" nya Bonda dan Mentera Semerah Padi.

Aduhai lampu terang sangat...blur muka M Nasir

Sebagai penghormatan kepada para karyawan, malam itu para komposer dan penulis lirik diberi kesempatan mendendangkan lagu mereka sendiri. Adnan Abu Hassan (Abg Dee) dengan lagu "Dambaan Pilu"nya, Eddie Hamid mendendangkan semula lagu kumpulan Spring, Aidit Alfian dengan "Kalis Rindu", Nur Fatima dengan "Satu Harapan" yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor dan Mable Liew menyanyikan semula lirik ciptaannya.

4 comments:

Anonymous said...

Penulis atas papan?

Sorong papan tarik papan aku tahu la...hehehe!

hani salwah yaakup said...

Papan atas la kak rai. Tapi, kalau nak sorong tarik papan pun ok jugak! Hehehehe!

cahaya petunjuk said...

salam kak hani...
alahai kak.. bila baca entri akak ni terharu atas pengorbanan akak yang snaggup turun untuk kami adik2 MPR 2008. Dan yang membuat saya serba salah ialah bila saya berhadapan kembali teks ucapan yang ditulis dan dirangka saya pada majlis penutup MPR 2008, tak menyebut langsung nama-nama Mantan MPR yang hadir ( seingat saya bukan jer xsebut nama tapi sebut "MANTAN MPR pun tak ada") shinggalah pagi ini saya berkesempatan datang ke blog akak yang cute ni macam tuan dia ;-) nak memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.
Harapan : Lepas ni bolehlah selalu singgah di blog kak hani ni ye... hehehehe...
- hajat hati nak join prog yg dekat ASWARA untuk malam tahun baru ni tapi macam mana ye?-

hani salwah yaakup said...

Salam adik,

Eh kami mantan MPR tak kisah pun pasal hal tu. Benda kecil aje tu. Yang penting semua berjalan dengan lancar gitu. Dan ikatan ukhuwah sesama mantan berterusan sampai bila-bila kan?

Nak ke ASWARA malam tahun baru ni? Marilah. Dengar khabar ada mantan nak menyewa bilik di Puspanita. Kalau nak join nanti kalau confirm kak hani beritahu di blog awk.

Wasalam.