Monday, December 31, 2007
Tentang 2007 & Diri
2007 saya mulakan dengan perasaan debar debur dalam dada mencari pekerjaan setelah sah menamatkan pengajian sarjana muda saya di UiTM Shah Alam, pada akhir tahun 2006. Memang payah untuk mendapat pekerjaan. Jadi nasihat saya pada adik-adik yang hendak tamat pengajian atau sudah tamat pengajian, rancang masa depan anda dengan lebih realistik. Teringat kembali bagaimana saya membawa diri sehingga ke Johor Bahru gara-gara ingin bekerja. Nasib baik sahaja tidak mendapat tawaran berkenaan, kalau tidak saya pun tidak dapat menduga bagaimana keadaan saya kini.
Menjelang akhir februari, saya secara rasmi dilamar pekerjaan pertama saya. Saya berkhidmat di salah sebuah institusi perbankan di Malaysia. Wah, saat itu macam tidak percaya saya akan bekerja di sebuah bank. Alhamdulillah bila saya kenang kembali kini memang Allah itu menyayangi saya hingga saya "keluar" dari bank berkenaan. Kenapa? Biarlah hanya saya sahaja yang tahu! Setelah keluar dari situ, saya "tercampak" pula ke UPM sebagai pembantu penerbitan alias juruhebah untuk radio mereka. Macam-macam kenangan yang menarik & tidak berapa menarik telah saya raih disini.
2007 juga menyaksikan saya mencari, memulakan, menjalin semula & berjinak-jinak dengan rakan-rakan MPR yang memang sudah dikenali, baru hendak mengenali serta mentor-mentor dan "sifu-sifu" penulisan yang selama ini hanya ikut perkembangan tapi, sudah lama tidak bertegur sapa. Tujuan saya selain mengeratkan ikatan silaturahmi dengan kawan-kawan dalam bidang penulisan ini adalah untuk mendekatkan diri semula dengan penulisan. Syukur, perhubungan ini akhirnya membuat saya kembali menulis. Saya berharap agar api semangat yang semakin terang ini tidaklah pula dipadamkan pula. Teman-teman, terus beri saya semangat, ok?
Konvokesyen adalah sesuatu yang sangat bererti dalam hidup saya. Itu juga berlaku dalam tahun 2007! Saya pernah bercerita mengenainya dalam salah sebuah entri dalam blog ini juga bagaiman gembiranya saya serta harapan untuk bergraduasi lagi. Nampaknya Allah mendengar permintaan saya yang satu itu, saya akan mula meneruskan pengajian di peringkat sarjana pula pada minggu ini. Saya berharap agar saya dapat melakukan sarjana saya dengan lebih baik lagi. AMIN.
2007. Bila saya lihat semula tahun ini, sebenarnya lebih banyak kesedihan yang menyelibungi diri daripada kegembiraan pada suku pertamanya. Mungkin kekuatan yang masih berbaki sahaja yang membuatkan saya bangkit dan merenungi kembali diri. Suku kedua tahun ini nyata lebih membaik dengan pelbagai aktiviti-aktiviti baru yang saya ceburi. Sebenarnya kekecewaan ini banyak mengajar saya meredhai apa yang belum Allah suratkan pada saya lagi. Saya jadi lebih dekat padaNYA dan semakin memahami apa yang saya mahukan dalam hidup.
Saya mahu tinggalkan 2007 dengan baik. Saya tidak mahu menyalahkan dia kerana yang patut menanggung segalanya bukan nombor 2007 itu tetapi, lebih kepada diri sendiri.
2008. Saya berdoa agar saya menjadi insan yang lebih baik tahun tersebut. Berharap permulaannya yang akan saya mulakan dengan kembali menjadi pelajar akan merubah corak kehidupan dan kematangan diri dalam berfikir dan bertindak.
2008, saya mahu yang terbaik!
Friday, December 28, 2007
Buku, Buku & Buku!
Antara koleksi saya yang "Belum Sempat Baca", "Sedang Baca" & "Telah Baca"
Faktor keluarga, persekitaran dan persahabatan saya dengan golongan yang "asyik masyuk" dengan buku, mengandaikan semua orang mendapat peluang sama rata dalam soal pemilikan buku. Tambahan pula jika seseorang itu hendak dipanggil penulis. Pasti mereka perlu banyak membaca sekaligus mempunyai himpunan atau koleksi buku. Namun berbeza dengan dua orang adik ini.
Mereka terkejut apabila saya berkata, emak mengajak saya ke toko buku kerana "bekalan" buku" belum baca dirumah sudah habis. Saya bertuah ujar mereka. Mereka berkata selama ini hendak menghabiskan masa dengan bonda mereka ke kedai buku pun sangat sukar. Apa lagi soal hendak beli buku. Selalulah sahaja ditolak. Alasan ibu bapa mereka, buku abang dan kakak dirumah sudah banyak, baca sahaja yang ada itu. Jadi bergelumanglah mereka dengan buku-buku lama (yang sering di ulang baca) milik abang kakak yang mereka pusakai itu.
Lalu hasrat mereka untuk membeli dan memiliki buku terpendam begitu sahaja sehinggalah mereka sudah menerima wang pinjaman pengajian di IPT. Waktu ini sekian banyak himpunan buku mereka beli, baca dan jadikan koleksi peribadi.
Namun membaca blog Kak Nisah mengenai pendapat Pak Samad, saya rasa alasan ini bukan juga patut dijadikan alasan. Menyimpan RM 40 untuk menjadi bodohkah atau dengan pelaburan sebanyak itu sebulan boleh membuat kita lebih pandai sedikit daripada sebelumnya? Jadi, ayuh kita fikirkan!
***Beberapa hari lalu ke DAWAMA Hulu Kelang bersama seorang rakan penulis. Teruja melihat beliau membeli "stok" buku semacam mahu buka kedai buku mini. Katanya, manalah tahu buku-buku ini boleh membantu banyak di masa hadapan. Saya tersenyum namun, dalam senyum itu saya membenarkan kata-katanya.
Saturday, December 15, 2007
Bila Mahu Jadi Penulis...
Didunia ini semua orang dianugerahkan bakat. Si polan A dengan bakat melukis, si polan B pula mungkin dengan kebolehan memasak, si polan C dengan bakat memperbaiki barang-barang elektronik dan yang lain-lainnya dengan bakatnya tersendiri. Kita semua berbakat. Kecenderungan bakat kearah yang mana, itu subjektif pada individu.
Adik saya ini dikatakan tidak berbakat dalam bidang penulisan kerana kerapkali memaparkan idea-idea yang terlalu imaginatif pada fikiran tuan gurunya itu. Kata adik pada saya, dia gemar untuk menggunakan latar tempat dan masa yang tidak terjangkau dengan limitasi akal.
Bukankah berfikir secara kreatif itu penting untuk mereka yang mahu memakai gelar "penulis"? Jika cepu minda ini hanya dimomokkan dengan sesuatu yang tidak kreatif, sudah tentu tidak timbul karya-karya bermutu dan sebaik Sakura Mengorak Kelopak karya SN Arenawati contohnya? Juga dalam kes berfikiran secara imaginatif mengenai latar tempat dan masa maka tidak timbullah karya-karya hebat seperti 1515 karya Faisal Tehrani umpamanya. Jadi adakah kerana sebab-sebab ini sahaja beliau sudah tidak boleh memegang pena dan meneruskan perjuangan penulisan beliau?
Adik yang mengambil krusus penulisan ini berkata, guru beliau gemar membanding-bandingkan karya teman sekelas yang katanya bagus. Karya rakan-rakan sekelas dia ini rata-ratanya berbaur cara penulisan "ke tanah seberang". Maka dengan itu, si guru dengan mudah mengangkat karya kawan-kawan sekelas adik ini sebagai yang terbaik lalu,melempar karya adik yang dikatakan tidak semurni dan tidak sebaik karya yang lainnya.
Hancur luluh kaca hati adik ini. Semangatnya yang pada mula berkobar-kobar hendak menulis, bagai disentap. Ditambah dengan kata-kata yang sesungguhnya mengarit perasaan, aduh hati mana yang tidak sakit. Jika saya sendiri dalam situasinya, mungkin sudah pecah airmata dalam kelas guru terbabit.
Seingat saya (yang sudah semakin berusia ini), tidak pernah saya mendengar penulis-penulis mapan memberi gelar yang sebegitu hodoh pada penulis-penulis muda lagi hijau seperti saya ini setiap kali bersua muka, mendengar ceramah atau diperkenalkan sebagai penulis oleh rakan-rakan yang lain. Paling mereka tekankan adalah teruskanlah menulis tidak kira hanya menulis catatan pada lembar jurnal setiap hari. Yang penting nasihat mereka setiap kali itu adalah perbanyakkan pembacaan dalam apa jua disiplin, menulis...menulis dan menulis.
Jadi kalau penulis mapan pun nasihatnya sebegitu, guru adik saya yang tidak pernah membuktikan menang apa-apa lomba penulisan ini, layakkah ingin menarik gelar seseorang berbakat atau tidak?
Thursday, December 13, 2007
Setelah 12 Tahun...
Depan;Bismi)
Sesungguhnya saya amat terkejut (juga teruja) apabila saya adalah antara "manusia-manusia" terawal yang mendapat undangan pertemuan ini. Sungguh saya tidak menduga mereka masih lagi mengenal saya kerana saya bukanlah pelajar yang popular ketika bersekolah rendah dahulu.
Antara Teman-Teman Yang Hadir
(Dari belakang; Suriana & Saya...
Dari Kanan Depan;Nurin Wahidah, Hajar & Yanti)
Acara petang ahad ini bermula dengan sesi suai kenal. Mereka ini bukan mereka yang sama seperti 12 tahun lampau. Ada yang sudah bekerja hebat-hebat, serdahana malah ada yang sudah menjinakkan diri dalam bidang perniagaan seperti kawan saya Yanti yang khabarkan akan membuka stall menjual aksesori wanita di Alamanda, Putrajaya. Bila tiba giliran sendiri, rasa kecut juga kerana tidak tahu mahu cerita apa mengenai diri sendiri. Tetapi, teman yang lain pula sibuk memperkenalkan saya sebagai itu ini pula pada kawan-kawan yang lain. Yang mengetahui mengenai antologi 12! pula sibuk menjualnya bagi pihak saya. Ahh...pecah berderai ketawa sendiri disuakan melihat kelatah kawan-kawan ini.
Seusai itu, acara seterusnya adalah acara main bowling. Saya yang tidak pandai main selalu sahaja ditertawakan. Memang saya tidak pandai main bowling hingga kadang-kadang diberi gelar J.Lo (bukan Jennifer Lopez tau tapi Juara Longkang)...hehe. Hafiz berkata menantikan bola yang saya lontar untuk sampai ke pin terlalu lama kerana balingan saya yang disifatkannya "lemah lembut". Iyalah...mereka memang pandai bermain tengok jatuhan pin mereka dilayar markah sahaja buat siapa sahaja takut.
Selain aturan acara yang baik oleh pengurus acara kami Rafyiq dan Atan, kami dikejutkan lagi dengan pemberian cenderamata oleh mereka. Lihat cara bungkusan sahaja sudah buat kami teruja, isinya wah!!!. Acara kali ini memang sudah well prepared! Siap dengan kain rentang...aduh...macam hendak disambut pak menteri sahaja mereka berdua ini. Agaknya tanpa kehadiran merekja berdua, entah ada entah tidak acara tersebut.
Wednesday, December 05, 2007
Kisah Tiga Hari
1) Hari Satu
Kisah ini bermula pada hari jumaat lepas (30 November 2007). Malam hari itu saya dan gerombolan adik-adik Mantan MPR yang manja dijemput untuk menghadiri Majlis Penutupan MPR 2007 sekaligus Pelancaran Antologi Gabungan Mantan-Mantan MPR Siri 2 iaitu Antologi 12!. Tema pakaian yang diberi Kak Rai adalah hitam! Ode kata malam itu adalah malam mambang hitam. Mambang hitam pun mambang hitam lah. Janji rock!
Seawal jam 5.30 petang saya dan Ode, telah bersama-sama "memungut" adik-adik saya yang manja ini. Bermula dengan Yana di Pekan Kajang kemudian ke UPM mengambil Zulfazlan dan akhirnya ke Bandar Sri Permaisuri mengambil Fieda. Sepatutnya dari rumah Fieda menuju ke Dewan Bahasa perjalanan itu tidaklah mengambil masa yang lama. Namun, kerana hari jumaat maka kami tersekat hampir 30 minit dalam kesesakan lalu lintas. Kesesakan ini bukannya membuatkan kami tertekan malah, didalam kereta merah saya yang comel itu, mereka sempat bergurau senda, gelak ketawa sambil mengenakan saya dengan gosip-gosip yang mereka ada-adakan sendiri (hahahaha!)
Dalam gosip-gosipan, bercanda dan riang ketawa, adik-adik ini sempat mencari tema pula untuk puisi. Tidak semena-mena tajuk yang menarik timbul dan Ode bersemangat hendak menuliskan puisinya. Aduh, kalau sekereta penuh penulis macam-macam idea datang menyinggah! Dalam sesak, ketawa dan belum menunaikan waktu maghrib, adik-adik ini masih prolifik!
SMS dari mantan lain pun menyinggah. Sorang tanyakan mana lokasi yang sorang lagi suruh get ready untuk pelancaran. Yang penting, semua sudah teruja untuk bersama-sama. Bukan mudah hendak berjumpa, bergembira dan yang penting bergambar!
Setelah meeting serba ringkas, hampir 12 malam baru kami bertolak pulang. Dalam perjalananpulang boleh singgah minum-minum di Bandar Sri Permaisuri dan setelah itu kerja saya seperti petang itu menghantar semua pulang dengan selamat ke rumah masing-masing.
2) Hari Dua
Awal pagi, saya sudah bersiap-siap ke rumah Fieda. Hari ini saya diajak menonton Opera Cina dalam bahasa Malaysia di Panggung Eksperimen, ASWARA. Adik-adik ini dan saya pun pergilah menonton opera berkenaan.Wah saya teruja juga menonton persembahan ini. Barangkali sudah lama tidak ada kesempatan menonton persembahan sebegini, rasa puas itu menguasai diri.
Urusetia MASKARA...Saya Nak High Heel Yang Kaler Silver Tu Boleh?
Pada malam harinya pula, kami berlima (saya, yana, fieda, fatin & ode) ke rumah PENA menyaksikan MASKARA (Malam Perempuan-Perempuan). Sebenarnya saya telah diundang khas untuk membaca naskah. Namun kerana keterlambatan saya membuka jemputan pada emel, maka saya hanya datang sekadar untuk menonton baca naskah tersebut sambil menyokong tiga orang mantan MPR yang dijemput baca naskah juga.
Farahana & Selendang Hijaunya
Antara mantan yang membaca karya mereka malam itu adalah Farahana Husin dengan cerpennya "Mahkota Diatas Jemala" dan Ummu Hani pula membaca fragmen novel "Ladang Hati Mustika"nya. Kak Salina yang membaca naskah selepas rehat minum membaca cerpen yang pernah tersiar di Dewan Sastera dengan kisah "Balik Kampung".
Seusai acara (yang tamat hampir jam 12), kami meneruskan langkah ke Tupai-Tupai pula. Kali ini hanya minum-minum sambil sembang iseng dengan adik-adik untuk beberapa ketika. Secara tidak sengaja, saya mempertemukan tautan antara dua hati. (Siapa mahu tahu kisah selanjutnya...boleh tanya langsung pada saya).
Untuk hari ketiga ini, saya dan adik-adik telah dijemput ke Bandar Utama menghadiri kenduri mama dan papa Azree Ariffin ke Mekah. Rombongan kali ini adalah rombongan yang sama dengan hari pertama. Jadi kalau
Hani & Fieda
Selepas ke rumah Azree, tujuan hendak ke Taman Tasik Permaisuri akhirnya kesasar ke Muzium Negara (
Setelah berlama-lama sambil menghirup udara dalam bahan-bahan sejarah, adik-adik merancang untuk ke Tasik Permaisuri semula. Azree yang baik hati telah menyiapkan kek yang sedap untuk kami bawa berkelah. Sambil borak (macam tidak habis-habis) sempat sebuah puisi terlahir ditepi tasik yang damai. Insyallah, kalau sudah siap edit...akan saya lekat disini.
Puisi...ooo...puisi
Thursday, November 29, 2007
PD, Pisang Goreng & Emak
Percutian keluarga yang dirancang selama ini akhirnya menjadi kenyataan jua. Yang paling gembira adalah anak-anak dara saya (anak abang dan kakak) yang semakin hari semakin tinggi dan semakin besar. Masakan tidak. Mereka asyik bertanya ahli keluarga (atuk, nenek mereka yang merupakan penasihat program), (mak ngah selaku organizer) malah saya(maksu) sebagai peserta acara pun dikunjungi emel malah sembang di ruang chat sejak sebulan yang lalu.
Liburan keluarga kali ini adalah ke Port Dickson. Walaupun hanya mengambil masa sehari semalam sahaja namun, kerana melakukan aktiviti bersama sekeluarga pastilah jangka masa itu terasa bermakna. Antara aktiviti yang dilakukan anak-anak dara (dan maksu mereka) adalah mandi laut! Aduh saya memang gemarkan laut dan pantai. Jadi kalau tiada halangan pastilah saya yang selalu lebih sudu dari kuah...hehe!
2. Pisang Goreng
Sebelum daftar masuk ke hotel apartmen, kami sekeluarga sempat minum petang disebuah warung tepi jalan. Yang istimewanya mengenai warung ini adalah hidangan pisang goreng yang kuah cicahnya adalah sambal kicap.
Bagi saya yang tidak kuat pedas ini, sekali rasa sudahlah. Namun kepada yang lain kata mereka hidangan itu semacam "mari".
3. Emak
Terkejut emak bila tauke kedai goreng pisang bertanya diakah pelakon drama di tivi. Sekeluarga diserang tawa yang tidak sudah-sudah. Sejak bila emak saya jadi pelakon drama? Kakak tuan punya warung itu mati-matian fikirkan emak saya artis katanya sejak melihat emak turun dari kereta.
Friday, November 23, 2007
Bila Mantan MPR ke Kongres
Dengan Cikgu Hassan yang banyak memberi ilmu buat saya dan rakan-rakan
Gaya menimba ilmu sambil makan...inilah gaya seorang Zulfazlan Jumrah
Inilah pose bila disuruh jadi pencatat sesi pembentangan (dari kiri Zulfazlan Jumrah, Azree Ariffin dan Azizul Ikhwan aka Ode)
...dan kami berdua pula sibuk berbincang mengenai 12! yang bakal menemui anda minggu hadapan
Wednesday, November 14, 2007
12!
Jangan ketinggalan mendapatkan 12! tidak berapa lama lagi...hehe (berbaur promo ni)
Monday, November 12, 2007
Separuh Akhir Juara Lagu dan Kasihnya Balqis
Sehari sebelum pertandingan Separuh Akhir Juara Lagu kategori Etnik Kreatif, Saya, Abang Dee(Adnan Abu Hassan) dan Abang Saya (Mohariz Yaakup) sempat berborak mengenai pertandingan keesokkan harinya. Semua daripada kami beranggapan lagu "Kasihnya Balqis" tidak mampu untuk ke peringkat akhir. Keyakinan ini timbul kerana penyanyi lagu tersebut, Aishah sudah seminggu menghidap demam teruk dan mengalami masalah tekak. Jadi tiada harapan yang digantungkan untuk lagu berkenaan. Ditambah lagi dengan pencalonan lagu-lagu yang kebanyakannya memang hebat, Abang Dee dan Abang Mohariz dengan yakin tidak akan hadir ke majlis berkenaan.
Jadi, kami semua duduk bersantai menonton pertandingan tersebut lewat tivi sahaja dirumah. Emak dan ayah menaruh kepercayaan pada lagu mereka. Kata emak dan ayah mereka mungkin akan ke final. Saya hanya gelak dan tidak berkata apa-apa. Mendengar Aishah yang menyanyi kurang "um" menambahkan keyakinan dalam hati bahawa lagu ini tidak akan ke final.
Kalah ke final bukan perkara baru dalam diari Juara Lagu bagi mereka. Sudah berkali-kali lolos ke separuh akhir namun kesempatan hendak ke final masih belum punya. Sebelum ini gabungan Adnan Abu Hassan dan Mohariz Yaakup berkali-kali dicalonkan dengan lagu daripada Misha Omar lah, Aishah lah, Nassier Wahab lah, Khai lah dan nama-nama lain. Namun satu pun tidak sangkut.
Agaknya benar juga kata orang, sesuatu perkara kalau kita terlalu berharap, selalunya tidak dapat. Yang kita harapkan sekadar sahaja itu lebih berjaya. Maka inilah yang terjadi pada mereka bertiga (Abg Dee, Abg Mohariz dan Kak Aishah). Kalau rezeki sudah dicatatkan Sang Maha Pencipta itu untuk mereka, jadi hak mereka juga.
Tahniah untuk lagu Kasihnya Balqis yang berjaya ke final Juara Lagu. Agaknya sudah jadi rezeki anak-anak mereka barangkali!
ii) Lirik lagu
Sepanjang separuh akhir berkenaan, berkali-kali saya cuba pasang telinga mengerti makna yang cuba disampaikan oleh si tukang kata bagi semua lagu yang dipertandingkan. Berkali-kali juga saya naik semput (walau tiada semput) mendengar lirik-lirik itu.
Apa yang mereka ini cuba nak bagitau khalayak kita?
Kalau yang baik malam tersebut, terlampau-lampau baik sangat sampai saya naik pening mendengar perbendaharaan katanya. Hanya perbendaharaan kata sahajalah yang saya dengar. Maksud, minta maaflah saya tak mengerti sepatah haram pun.
Jadi, bagaimana lirik yang baik untuk pendengar kita? Selain isinya janganlah asyik asmara cinta, rindu setia dan berkocak-kocak gelodak jiwa?
Bagi mata renung saya ini, kita mendengar lagu bukan seperti kita menelaah sebuah buku atau puisi yang mana kita punya masa lama untuk berfikir itu ini. Selalunya kita mendengar lagu ketika sedang melaksanakan tugas lain seperti memandu. Jadi, liriknya kita dengar pun sepintas lalu. Justeru kata-kata yang terpilih dalam sesebuah lirik haruslah mudah dan terus sampai kepada pendengar sekali sahaja mereka mendengar dan ini secara tidak langsung akan merangsang mereka untuk dengar dan dengar lagi.
Saya mengerti kemungkinan si tukang kata yang besar perbendaharaan katanya itu mahu memartabatkan bahasa. Saya sokong niatnya itu. Malah menggalakkan. Namun sahabat, kalau setiap perkataan anda itu terlalu arkaik atau klasik, justeru dikesudahan si pendengar mendengarkan lagu itu apa yang akan mereka peroleh? Saya fikir, hanya melodi indahnya sahajalah dan anda pula gagal menyampaikan maksud lirik anda tersebut.
Cuba anda dengar lagu klasik kita. Gurindam jiwa sebagai contohnya. Perbendaharaan katanya biasa sahaja tidak perlu perkataan bombastik ala fanastik. Kemurnian, kehalusan bahasa kita itu tersampai juga ke hati pendengar malah maksudnya juga difahami mereka. Malah jangka hayat lagu itu juga bertahan lama.
Jadi fikir-fikirkanlah...
Thursday, November 01, 2007
Muzik dan Lirik
Entri kali ini saya bukan mahu berkongsi ulasan filem lakonan Hugh Grant & Drew Berrymore, Music and Lyrics. Tapi, lebih mahu berkongsi cerita dan pengalaman diri menulis lirik untuk irama yang cantik. Jangan tertipu...hehe!
Ramai antara penikmat muzik bertanya saya (yang kurang pengalaman ini) mengenai bagaimana menulis lirik. Adakah kita perlu menulis lirik dahulu dan kemudian sang musisi akan menukang melodi kemudiannya? Mungkin mereka yang bertanya itu terkesan dengan jalan cerita Music & Lyrics barangkali kerana dalam filem tersebut diperincikan bahawa Hugh Grant akan menukang muziknya setelah lirik lagu itu ditulis Drew Berrymore.
Hakikatnya yang berlaku di negara kita ini adalah selalunya sang musisi akan memberi si penulis lirik melodi yang telah siap direkod dalam bentuk demo (tanpa lirik) dan kemudian dengan penuh kreativiti, penulis lirik akan mula menulis lirik yang menarik jiwa pendengar.
Peluang untuk menulis lirik ini bukan semudah kita menulis karya kreatif di majalah mahupun akhbar. Jika ada komposer yang mengetahui kebolehan seseorang penulis (ataupun sang penulis lirik itu kawan baiknya), barulah peluang sebegini mudah untuk diraih. Kebetulan sebagai adik kepada salah seorang penulis lirik (dan juga album producer), saya mendapat peluang ini secara tidak sengaja.
Beberapa tahun lalu, abang saya meminta pertolongan saya untuk menulis lirik bagi seorang artis kerana katanya dia sudah kering idea, hilang kata-kata untuk menyiapkan lirik tersebut. Padahal garismatinya (deadline) sudah hampir mendekat. Kebetulan saya yang sedang bercuti semester ketika itu tidak punya sebarang aktiviti, apa lagi...ambillah kesempatan itu. Hehe!
Jadi saya menulislah sebuah lirik bertema kasih-kasihan orang yang asyik dilamun perasaan (abis, konsep album artis tersebut pun mahu lirik sebegitu...). Namun kerana ada sedikit masalah dengan nama, akhirnya pencipta lirik tersebut terpaksa diletakkan diatas nama abang saya.
Setelah lama tidak mendengar lagu itu, saya amat terkejut menjumpai lagu tersebut di imeem.com. Jadi kawan-kawan, dengarlah buah tangan pertama saya dalam penulisan lirik lagu. Maaflah kalau lagunya mendayu dan liriknya tangkap lentok. Hehe. Ini lirik saya dalam usia 19 tahun.
Sekarang saya banyak sekali menulis lirik lagu kanak-kanak dan kini sudah berpaling kembali ke penulisan karya kreatif secara lebih serius. Jadi, penulis yang lebih senior...bolehla minta tujuk ajar ya!
Wednesday, October 17, 2007
Lagu Senantiasa Hijau
Saya memang mudah sekali terkesan dengan lirik pada lagu lama. Lirik mereka lebih halus dan puitis, terus masuk ke hati. Tambahan pula jika liriknya disusun dan ditulis dalam gaya pantun jawab berjawab, wah keenakannya lebih daripada lagu hip hop yang mengutai entah apa.
Faktor perkembangan jiwa kecil saya sebagai anak-anak juga menjadi sebab utama. Dikendong dodoi dengan lagu Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini hinggalah ke zaman Sudirman, Ramlah Ram, Search, Wings, R.A.P...saya tidak pernah lepas berenggang dengan irama dari kotak radio emak. Menonton filem lama dan kadang-kadang bercakap-cakap iseng mengenai filem berkenaan seperti rutin biasa dalam rumah kami.
Salah seorang pensyarah ketika menuntut di UiTM dahulu berkata saya perempuan muda berjiwa lama. Dari filem era 80an ke tahun 50an membawa ke lagu-lagu lama, dia kata semua saya tahu. Dia kata lagi, saya ini mungkin agak ganjil dalam kelompok teman-teman sekelas yang lebih sukakan lagu pop Britney, Rihanna, Beyonce, Jay Z mahupun Shakira. Saya cuma ketawa. Balas saya, saya perlu dengar semua kerana saya juruhebah tapi, nyata yang melekat di hati lagu klasik dan lagu "senantiasa hijau".
Yang terbaharu, seakan sudah lama kurang mendapat input lagu lama, saya dikejutkan dengan pemberian Kak Rai, 200 koleksi lagu klasik buat saya terpana. Koleksi sendiri hilang ketika PC saya mengalami kerosakan 2 bulan yang lalu. Jadi pemberian ini bermakna nian untuk saya. Ma kasih Kak Rai!
Mari kita teruskan dengan lagu "senantiasa hijau" yang ini pula. Baiklah, jika sebelum ini saya pernah bercerita mengenai lagu "Sayang Di Sayang" karya Allahyarham Pak Zubir Said dan lagu "Di Wajahmu Kulihat Bulan" nyanyian asal Sam Saimun, ayuh kita berkenalan pula dengan Allahyarham Pak Wandly Yazid dan Gurindam Jiwanya.
Pak mulanya, sangka saya lagu Gurindam Jiwa ini ciptaan Pak Zubir Said. Nyata meleset. Bila saya mencari di Wikipedia, lagu ini ciptaan Allahyarham Pak Wandly Yazid untuk filem Gurindam Jiwa lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad (terbitan Chatay Keris) dan lirik yang mendapat perhatian saya itu, tulisan Pak Hamzah Hussien.
Dalam rujukan saya yang serba kurang ini, tidak pula saya berjaya mencari latar belakang mengenai Pak Hamzah Hussien (jika anda tahu, bolehlah beritahu saya ya!). Naamun saya punya sedikit sebanyak cerita mengenai Pak Wandly.
Pak Wandly dilahirkan pada 24 Februari 1925 di Sumatera Barat, Indonesia dalam keluarga pendidik. Diperkenalkan kepada muzik sejak di sekolah rendah membawa tokoh ini ke Singapura untuk bekerja dalam industri filem Melayu yang semakin rancak disana. Allahyarham pernah menubuhkan kumpulan Wandly Yazid Orchestra, Wandly Five & Megawati Orchestra untuk Radio Malaya.
Allahyarham juga pernah menulis lagu untuk artis-artis seperti Datin Orchid Abdullah, Rosiah Chik & Ernie Djohan. Bila Pak Wandly dilantik menjadi pengarah muzik bagi filem Melayu keluaran syarikat Chatay Keris, banyak sekali lagu yang telah beliau hasilkan. Antaranya untuk filem Jalak Lenteng, Lanchang Kuning, Naga Tasik Chini, Kasih Ibu dan pada tahun 1964 dalam usia 39 tahun, lagu Gurindam Jiwa pastinya.
Ini dia lirik lagu Gurindam Jiwa untuk kita sama-sama ladeni.
Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan
Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati
Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga
Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan
Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga
Friday, October 12, 2007
Selamat Hari Raya
Yang pulang kampung (pinjam gaya "Orang Seberang") berhati-hati di jalanan. Jumpa lagi! ;)
Wednesday, October 10, 2007
Gurindam Jiwa
Sunday, September 16, 2007
Terima Kasih!
p/s: Sedar tak sedar banyak sekali gambar kek dalam koleksi saya. Kek di atas gambar kek harijadi Abang saya, Mohariz & Milia (Anak saudara kami). Kek Black Forrest...hehe!
Thursday, September 13, 2007
Anis Salwa...Hani Salwah?
Bila tersedar dengan kehadiran saya rupanya bukan apa sangat hendak diberitahu cuma dia kata peserta akhir pertandingan nyanyian di radio tersebut sama dengan nama saya. Cuma namanya Anis Salwa. Saya sendiri tergelak mendengar nama tersebut. Cey...selama ni saya perasaan saya sahaja yang bernama begitu. Rupa-rupanya ada lagi nama yang hampir serupa dengan saya.
Malam yang dinanti, kami sekeluarga menonton pertandingan "Bintang Klasik Nasional" tersebut. (Harap maklum, saya memang gemar lagu klasik...mungkin kerana semua yang berada dirumah kini boleh dikategorikan "warga emas"). Malam itu, Anis Salwa menang.
Kata emak,"Kalau Anis menang, kau mesti dapat interview tersebut"
(Interview dalam konteks saya adalah temuduga kerja di RTM sebagai penyiar).
Tanpa diduga, saya berhasil mendapat temuduga padahal saya menghantar resume untuk jawatan tersebut hanya sehari sebelum itu. Cuma rezeki sahaja belum ada hendak berkerja disana. Saya Redha
Kemenangan Anis Salwa berterusan lagi ke Pertandingan Bintang Klasik Nusantara. Pandai ibu bapa Anis memilih nama kerana nama Salwa itu bermakna "penghibur madu lebah". Jadi tidak hairanlah kalau dia pandai menghibur dan menyanyi. Berbeza pula dengan nama Salwah yang ada pada saya yang bermaksud "Kesenagan, kemewahan"(jika saya tidak salahlah). Namun hidup saya biasa sahaja, tidak susah tidak juga senang. Seadanya. Yang penting saya menikmati kehidupan saya kini.
Ok berbalik pada cerita, hari itu sekali lagi mak menebak yang saya akan memenangi satu pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah radio swasta untuk mencari juruhebah baru didalam stesen mereka. Saya iakan sahaja kata emak tanpa sedikit perasaan pun.
Tup tup...ahad pagi tersebut warga stesen berkenaan menghubungi saya dan memberitahu saya menang grand prize RM 3000. Ha...terngaga!. Macam tidak percaya. Disuruh saya datang mengambil hadiah jam 2 petang.
Dengan perasaan tidak percaya, saya, abang(Mohariz) dan kakak ipar(Kak Z) juga kawan baik saya, Pear terus ke lokasi yang telah dijanjikan. Tunggu punya tunggu (eh...ni macam skrip cerita P Ramlee), tak jugak mereka ni nak beri saya hadiah ke apa ke. Disuruh lagi saya menunggu lagi.
Terpaksalah kami menunggu dengan penuh sabar melihat persembahan daripada artis-artis yang sungguh "glamour" (Masyallah...tidak payah la hendak jadi artis kalau semacam hendak menjual badan ataupun sudah tua renta masih beranggapan boleh menanyi...anda memalukan diri sendiri!). Kami yang berada disitu semacam mahu muntah dengan persembahan dan susunan acara yang disediakan oleh pihak stesen tersebut.
Melihat semacam tidak dipedulikan (dah la tak sediakan kerusi), menunggu hampir 3 jam sudah, saya mendekati seorang "adik" pengurus acara tersebut dan meminta untuk pulang kerana sudah terlalu letih dan hadiah akan saya ambil kemudian di pejabat stesen berkenaan. Tiba-tiba, saya pula yang dimarahnya. Amboi, manisnya bahasa adik tu biarlah saya sahaja yang tahu. Setelah dengan penuh bersopan-santun, akhirnya saya dan "gerombolan" pulang dengan hati gembiranya.
Keesokkan hari, saya menghubungi stesen berkenaan dan meminta hadiah yang telah saya menangi tersebut. Mahu tahu adik tu kata apa, katanya adik seorang lagi yang kononnya menyimpan hadiah saya keluar membuat liputan Persidangan
Sedikit pun saya tidak sedih jika benar tiada hadiah untuk kemenangan saya. Sejak menghadapi pelbagai dugaan tahun ini, saya sudah belaja redha meredhakan. Jika bukan rezeki saya, dilolong teriak pun bukan juga rezeki saya. Samalah seperti mengharap kasih orang, kalau sudah tidak disayang, mampukah kita untuk memaksa orang itu menyayangi kita? (Sebagai contoh sahaja ya...hehe!)
Bila tengok kek harijadi...teringat hari jadi sendiri semakin dekat. 15 September. Rupa-rupanya saya berkongsi tarikh lahir dengan ramai orang yang "hebat". Antaranya, Agatha Christe (Seorang Penulis), Kapten Dr Faiz Khalid (Calon Angkasawan Negara) dan beberapa orang artis Malaysia.
Tuesday, August 21, 2007
Ke Puncak Gunung & Ke Hujung Benua
Namun apa yang terjadi sebaliknya. Saya tidak punya masa untuk diri sendiri. Hari pertama berhenti sahaja, saya sudah diajak ke Langkawi bercuti. Sebenarnya percutian ini sudah lama dirancang, cuma tunggu ayah dan saya punya kelapangan. Kebetulan, pada waktu yang sama ayah juga tidak ada urusan. Dalam keadaan yang agak suntuk, hotel ditempah dan kami pun berangkatlah ke Langkawi.
Bercerita mengenai Langkawi, kali terakhir saya ke
Sementara di Langkawi sempat juga saya bawa emak dan ayah ke Puncak Gunung Mat Chinchang menikmati udara dingin gunung. Bukan udara dingin itu yang buat saya teruja ingin membawa emak dan ayah tetapi, kerana perkhidmatan kereta kabel Langkawi. Saya ingin emak dan ayah merasa trill naik kereta kabel di Langkawi yang saya rasa antara yang terbaik di Asia Tenggara. Saya sudah merasa menaiki kereta kabel dari
Air Terjun Telaga Tujuh (Gambar diambil dalam kereta kabel)
Oleh kerana trill menaiki kereta kabel ini, emak sempat memaut erat lengan saya kerana ngeri melihat jurang dibawah kereta kabel kami. Saya dan ayah hanya gelak-gelakkan emak yang ngeri. Mak menjerit melihat saya bangun dari tempat duduk dalam kereta kabel berkenaan. Lagilah geli hati saya dan ayah.
Pemandangan Kereta Kabel dari atas puncak Gunung Mat Chincang
Menaiki kereta kabel Langkawi satu pengalaman yang menyeronokkan. Sepanjang didalamnya anda akan berasa dingin gunung menampar muka. Sewaktu naik anda akan melihat permandangan bukit bukau yang menghijau dan semasa turun pula anda akan melihat laut Selat Melaka yang membiru. Sewaktu dipuncak gunung nanti (jika gunung tidak berkabus tebal) akan jelas pemandangan anda ke Lautan Andaman dan pulau-pulau disekitarnya. Bukan itu sahaja, pada anda yang mungkin kehabisan bateri kamera dan terasa haus, kedai jualan menunggu anda dipuncaknya. Anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan massage kaki disini. Jadi kalau sakit kaki, bukan penghalang mahu kemari ya.
Keseronokan dalam kereta kabel
Saya berharap semasa di Langkawi (selain beli coklat), saya dapat buat Island Hoping tapi, apa hendak dibuat kepergian kali ini bersama dua warga emas yang lebih gemar bershopping daripada aktiviti fizikal sebegitu. Apa hendak buat...Nasib baiklah saya pernah merasainya dahulu bersama rakan sekuliah. Jadi, kalau anda ke Langkawi (dengan teman-teman yang muda lela), pergilah menikmati keindahan alam ciptaan tuhan dengan Islang Hoping.
Seusai ke Langkawi, sepupu saya beria-ia mengajak saya ke Pontian untuk menghantarnya bertandang ke rumah mertua. Sekali lagi perancangan saya tergendala. Kali ini ke Pontian saya berempat pula campur abang saya yang sulung (gambar kami berempat ada dalam antologi Tunas Karyawan 3 ye
Setiba di Pontian tiada apa yang menarik pada mulanya. Sekadar bandar kecil dan perkampungan nelayan. Namun abang saya berkeras mahu ke Kukup kerana katanya disana kita boleh melihat penghujung benua
Penghujung Benua
Penghujung Benua? Eh, betul ke ni?
Setibanya di Kukup, saya hairan. Kukup hanya sekadar sebuah perlabuhan pendatang yang ingin pulang dan pergi ke
Taman Negara Tanjung Piai
Abang saya, Kharil, semacam faham dengan niat saya berpusing kembali mencari-cari lagi destinasi kami yang sebetulnya. Setelah berhenti, bertanya, berhenti dan bertanya lagi penduduk tempatan barulah kami sampai ke destinasi yang ingin kami sampai. Hampa sekali kami dengan usaha pihak setempat yang kononnya ingin memperkenalkan tanah terselatan ini sebagai tempat perlancongan seperti yang saya baca pada lobi hotel (semasa daftar masuk beberapa jam sebelum itu). Sepatutnya kawasan ke tempat berkenaan haruslah diperbanyakan papan tanda agar pengunjung tidak sesat
Emak dan saya didepan tugu Taman Negara Tanjung Piai
Setelah hampir senja kami tiba ke tempat sepatutnya, Taman Negara Tanjung Piai, untuk melihat tanah paling selatan ataupun penghujung benua
Pada anda yang tidak mempunyai kekuatan fizikal, saya cadangkan anda lihat sahajalah gambar kembara saya ini. Bukan saya menghalang anda tetapi, untuk sampai ke lokasi papan tanda menunjukkan anda berada di penghujung benua sahaja anda harus berjalan 1.2 km pergi balik. Tidak boleh naik kereta kerana tempat berkenaan berada di paya bakau.
Taniah...setelah berpenat lelah berjalan, tiba di penghujung benua. Cey. macam dah sampai penghujung dunia je rasa...hehehe
Saya dan abang sahaja yang mampu menamatkan ekspedisi ke tanah terhujung benua