Wednesday, October 17, 2007

Lagu Senantiasa Hijau




Saya memang mudah sekali terkesan dengan lirik pada lagu lama. Lirik mereka lebih halus dan puitis, terus masuk ke hati. Tambahan pula jika liriknya disusun dan ditulis dalam gaya pantun jawab berjawab, wah keenakannya lebih daripada lagu hip hop yang mengutai entah apa.

Faktor perkembangan jiwa kecil saya sebagai anak-anak juga menjadi sebab utama. Dikendong dodoi dengan lagu Uji Rashid, Hail Amir, Sharifah Aini hinggalah ke zaman Sudirman, Ramlah Ram, Search, Wings, R.A.P...saya tidak pernah lepas berenggang dengan irama dari kotak radio emak. Menonton filem lama dan kadang-kadang bercakap-cakap iseng mengenai filem berkenaan seperti rutin biasa dalam rumah kami.

Salah seorang pensyarah ketika menuntut di UiTM dahulu berkata saya perempuan muda berjiwa lama. Dari filem era 80an ke tahun 50an membawa ke lagu-lagu lama, dia kata semua saya tahu. Dia kata lagi, saya ini mungkin agak ganjil dalam kelompok teman-teman sekelas yang lebih sukakan lagu pop Britney, Rihanna, Beyonce, Jay Z mahupun Shakira. Saya cuma ketawa. Balas saya, saya perlu dengar semua kerana saya juruhebah tapi, nyata yang melekat di hati lagu klasik dan lagu "senantiasa hijau".

Yang terbaharu, seakan sudah lama kurang mendapat input lagu lama, saya dikejutkan dengan pemberian Kak Rai, 200 koleksi lagu klasik buat saya terpana. Koleksi sendiri hilang ketika PC saya mengalami kerosakan 2 bulan yang lalu. Jadi pemberian ini bermakna nian untuk saya. Ma kasih Kak Rai!


Mari kita teruskan dengan lagu "senantiasa hijau" yang ini pula. Baiklah, jika sebelum ini saya pernah bercerita mengenai lagu "Sayang Di Sayang" karya Allahyarham Pak Zubir Said dan lagu "Di Wajahmu Kulihat Bulan" nyanyian asal Sam Saimun, ayuh kita berkenalan pula dengan Allahyarham Pak Wandly Yazid dan Gurindam Jiwanya.

Pak mulanya, sangka saya lagu Gurindam Jiwa ini ciptaan Pak Zubir Said. Nyata meleset. Bila saya mencari di Wikipedia, lagu ini ciptaan Allahyarham Pak Wandly Yazid untuk filem Gurindam Jiwa lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad (terbitan Chatay Keris) dan lirik yang mendapat perhatian saya itu, tulisan Pak Hamzah Hussien.


Dalam rujukan saya yang serba kurang ini, tidak pula saya berjaya mencari latar belakang mengenai Pak Hamzah Hussien (jika anda tahu, bolehlah beritahu saya ya!). Naamun saya punya sedikit sebanyak cerita mengenai Pak Wandly.

Pak Wandly dilahirkan pada 24 Februari 1925 di Sumatera Barat, Indonesia dalam keluarga pendidik. Diperkenalkan kepada muzik sejak di sekolah rendah membawa tokoh ini ke Singapura untuk bekerja dalam industri filem Melayu yang semakin rancak disana. Allahyarham pernah menubuhkan kumpulan Wandly Yazid Orchestra, Wandly Five & Megawati Orchestra untuk Radio Malaya.

Allahyarham juga pernah menulis lagu untuk artis-artis seperti Datin Orchid Abdullah, Rosiah Chik & Ernie Djohan. Bila Pak Wandly dilantik menjadi pengarah muzik bagi filem Melayu keluaran syarikat Chatay Keris, banyak sekali lagu yang telah beliau hasilkan. Antaranya untuk filem Jalak Lenteng, Lanchang Kuning, Naga Tasik Chini, Kasih Ibu dan pada tahun 1964 dalam usia 39 tahun, lagu Gurindam Jiwa pastinya.

Ini dia lirik lagu Gurindam Jiwa untuk kita sama-sama ladeni.

Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga


6 comments:

Kak Rai Cun said...

Eh, ada jugak nama hamba di sini ek!

Semester lepas sewaktu pelajar2 akak ditugaskan mengupas puisi tradisional, Zulfazlan yg hensem, glemer dan terer tu telah mengupas sebuah gurindam. Ingatkan gurindam raja ali haji ke, gurindam 12 ke...rupanya lagu Gurindam Jiwa!

Adehhh...terpaksalah mak potong markah dia,nyah!Memang merah padam gak muka kawan tu bila kita kata dia silap buat assigment.Tapi nasib baik dia cepat cool.Heheh!

Oh, tengah cari lagu Mawarku versi Ribut Rawit (kalau ada panca sitara pun bolehlah), Kudaku Lari (tak ingat nama penyanyinya), Cinta Hampa (pun tak sempat dengar nama penyanyinya), Ayam Den Lapeh versi Norseha dan Bunga Tanjung versi Rubiah.

Tau tak Digi punya caller tune pun pakai lagu2 lama?Tak caya buka website digi.com.my, browse di caller tune. Taip nama Asiah, Jasni, Momo, Saloma...huh, anda akan terpana lagi!

drbubbles said...

Salam perkenalan,

Saya seronok kerana jumpa gang suka lagu lagu lama.

baru tadi pertama kali saya mendengar lagu "Diwajahmu Kulihat Bulan" nyanyian merdu Sam Saimun.

Aduh!Saya tidak pernah dengar lagi suara semerdu beliau.

Anda banyak koleksi lagu lama? Wah! Ini sudah bagus!Boleh dikongsi bersama nanti.

hani salwah yaakup said...

salam kenal drbubble,

saya mmg gemar lagu lama tapi tak punya banyak koleksi seperti teman yang beri komen diatas. dia lagi banyak.

mengenai diwajahmu kulihat bulan, saya ada menulis entri mengenai lagu berkenaan...sila lihat arkib disember 2006..

wasalam

Tukangkata@myspace said...

Puisi , sajak dan lirik zaman dulu bukan semuanya bagus. Malah banyak jugak penulisan zaman dulu yang buruk, jijik dan meloya gaya bahasanya. Sebab tulah yang popular sampai sekarang cuma beberapa kerat je. Puisi, sajak dan lirik zaman sekarang bukan semuanya tak bagus.

Gaya dan prosa sepatutnya berubah,dan semakin dinamik dan tidak lagi meleweh leweh macam zaman dulu.

Kalau zaman sekarang masih tulis gaya zaman dulu jugak, tulisan itu jadi mual, membosan dan meloya.

Sorrylah, saya jadi emosional bila cakap pasal penulisan.Saya merasakan kita terlalu mengagungkan orang dahulu lebih dari selayaknya.

Pernah dengar perkataan 'hybrid'?

Mohariz Yaakup said...

Bagi saya tulisan zaman dulu ada adab sopan...

Meloyakan,memualkan dan membosankan tu terletak pada selera masing-masing...Kalau tak suka tutup buku jangan baca,tutup teling jangan dengar tutup mata jgn pandang...

hani salwah yaakup said...

Tukangkata

Ya bukan semua yang dulu itu wangi dan semua yang baru ini busuk.

Karya zaman dahulu hanya beberapa sahaja yang baik dan hanya meleweh-leweh juga tidak menghabiskan boreh? Oh,mungkin lain kali saya boleh mengajak tuan menyelongkar dunia sastera kita yang hebat dizaman lampau yang pernah diteroka ahli ulama kita seumpama hamzah fansuri. Dalam karya sastera pun bisa berbicara mengenai ilmu perubatan dong!

Karya sekarang perlu dinamik? Oh,barangkali nanti akan saya kenalkan saudara dengan buku-buku hebat karya penulis2 muda kita kini .Mereka sudah lama menulis dengan dinamik namun kalau fikiran kita hanya nak dimomokkan dengan sesuatu yang ringkas tapi tidak berilmu pun apa gunanyakan?