Saturday, July 10, 2010

Catatan Setelah Ripuh


Sesekali duduk diam dalam suasana bising dan keramaian itu mendatangkan suatu perasaan tidak terasing dan tidak diabaikan. Setelah tamat pengajian ini, saya cuba mengutip kembali sebuah ceritera yang telah lama saya tulis tapi, masih belum ada kesempatan untuk diusaikan. Lalu, tempat-tempat begini memberi saya sedikit sebanyak mood dan perasaan yang telah lama saya abaikan sejak ripuh menyiapkan tesis yang selama ini memonopoli segala ruang dalam diri saya.

Oh, setelah sebulan tidak mengemaskinikan laman ini terlupa untuk saya khabarkan, saya telah selamat menamatkan pengajian sarjana saya. Alhamdulilah dipanjatkan kepadaNYA. Jika anda bertanya apa yang hendak saya lakukan setelah ini, saya belum ada jawapan yang ampuh. Cuma, untuk sebulan ini saya mahu duduk diam dirumah dan menyelesaikan beberapa perkara tergendala dan separuh jalan yang telah saya buat. Selain itu saya ingin membaca, membaca dan membaca lalu menulis semampu daya.

Setelah itu, mungkin memulakan kerjaya dan meneruskan pengajian (lagi!)...

***Gambar dari sini

Tuesday, May 18, 2010

Kasih (1)


Hujan
ada setitis dirimu
yang masih melekat
di jendela kamarku

Kajang, Selangor
18 Mei 2010

Monday, May 10, 2010

Pada Kilau Bundar Mataku


Ada yang berbisik
mencari tahu

Namun
perlukah aku bicarakan lagi
andai sudah jelas telah
dapat kau lihat
pada kilau bundar mataku?

Hani Salwah Yaakup
10 Mei 2010
Kajang, Selangor

*** Foto dari sini

Friday, May 07, 2010

Memasang Kenangan (2)


Melewati hari-hari terakhir
ada rindu yang bakal tercipta
ada rasa sayang yang makin menggebu
terima kasih untuk sebuah kenangan...

Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi
7 Mei 2010

Monday, April 26, 2010

Eskapisme Ke Negara Fantasi

Posing Tegak Ala-ala Hindustani...eceh!

Walaupun saya dihimpit deadline yang mencekam, namun saya tidak mahu memberi tekanan besar pada diri sendiri. Kenapa mahu menyeksa hidup sekiranya permasalahan itu boleh diatur dengan bijaksana? Jadi, ajakan dan layanan adik-adik (baca: teman-teman baik saya) merupakan sebuah eskapisme yang baik untuk melontarkan sekejap pusing ketika membuat koding dan mengira patah kata yang kecil dalam sample kajian saya.

Suatu hari yang baik (terjemahan langsung dari bahasa Inggeris "one fine day"), adik-adik ini dengan bermurah hati telah membawa saya berkunjung sebentar ke negara fantasi. Mula-mula saya hanya gelak sahaja kerana kami berjalan disebuah bangunan kosong berpusing-pusing menaiki tempat parkir kereta. Tiada apa yang istimewa. Namun selepas berjaya meletakkan kereta dilantai tertinggi, oh baru saya tahu ada sebuah negara fantasi tersembunyi diantara struktur bangunan.

Setiap pokok dan bentuk disini diberi sinaran lampu yang comel. Maka, saya telah tiba disebuah negara fantasi di pojok Shah Alam. Nama tempat ini adalah I-City. Mahu tahu dimana, boleh tanya saya sendiri secara peribadi. Nikmati gambar-gambar saya ketika mengembara ke negara fantasi.


Terasa seperti di Korea sekejap (tapi sekejap je la...hehehe)


Muka girang lepas daripada koding sekejap


Peek-A-Boo


Cak!

***Kredit foto untuk cik puan punya kamera, Nabiha Mashut. Toceh!

Surat Kepada Tuan (2)


Tuan,
kucuba untuk menulis namamu
seperti biasa
disudut paling istimewa
direlung sukmaku

Namun
kenapa kali ini
ada semacam pilu kurasa
diantaranya?

25 April 2010
Kajang, Selangor

*Foto awan di petang hari di Pantai Port Dickson, Disember 2009

Saturday, April 17, 2010

Surat Kepada Tuan (1)


Tuan,
secuil masa
telah kuguna
untuk mengejar matahari.

17 April 2010
Kajang, Selangor

*** Pantai Port Dickson akhir Disember 2009

Sunday, April 04, 2010

Kau Yang Kuberi Nama Cinta


Lalu kulalui hari
tanpa pesanan dan panggilan
aku jadi resah dan rindu
pada kau yang
kuberi nama cinta...


Hani Salwah Yaakup
4 April 2010
Kajang, Selangor

*gambar dari sini

Monday, March 29, 2010

Cinta (II)


Jiwa
telahku sihirkan relung hati
dengan serangkap mentera
untuk tetap disini
dengan senandung cinta

Jiwa
izinkan aku untuk tetap disini
menjadi butir hujan yang mendinginkan
menjadi sepotong cahaya yang menerangkan
setiap panas dan gelapmu disana

Jiwa
jika tidak pernah kuucapkan ini
biarlah ia menjadi pertama dan abadi
"terima kasih kerana menyintai!"

29 Mac 2010

Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

*Gambar dari sini

Wednesday, March 24, 2010

Lentera Yang Telah Kupadam


Maaf
jika aku katakan
telah kumusnahkan api
yang kau nyalakan dalam cepu rasa
malah terangnya juga
tidak kulihat dimana-mana

Maaf
jika aku tidak mahu lagi
melihat jelaga dalam kalbu sendiri
kerana hidup ini hanya sekali

Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi

* Gambar dari sini

Tuesday, March 16, 2010

"Beware of Jabberwocky, My Son"

Dr Mawar Shafei, Saya, Nazihah dan Anak-Anak Kami di Penulisan & Imaginasi 3 (Bahasa Melayu), Perkhemahan Permata Pintar 2009, UKM Bangi.

Menonton filem terbaharu arahan Tim Burton, "Alice in The Wonderland" sebenarnya membawa saya kembali bukan kepada zaman anak-anak saya justeru ingatan pada Perkhemahan Cuti Sekolah Permata Pintar yang diadakan tahun lepas di kampus hijau kami di perbukitan Bangi. Jabberwocky, adalah makhluk ganas yang diciptakan oleh Lewis Caroll dalam puisinya bertajuk serupa adalah puisi daripada dua buah karya Caroll melalui "Through the Looking Glass" dan "What Alice Found There" (1872). Oh, berbalik semula pada cerita saya dan teman-teman tenaga pengajar di Permata Pintar 2009, UKM.

Meskipun saya seperti dalam entri yang ini, diberi tanggungjawab untuk memberi pendedahan dan menanamkan kecintaan anak-anak kita kepada sastera dan penulisan Melayu, tetapi peluang rapat dengan teman-teman yang mempunyai pengkhususan sastera Inggeris tidak saya ketepikan. Apa salahnya menambah teman dan memperoleh ilmu yang baru. Perkara yang sering menjadi perbualan antara teman-teman ini malah menjadi suatu gurauan adalah ayat pertama perenggan kedua puisi "Jabberwocky" iaitu "Beware of Jabberwocky, My Son".

Gurauan ini berpunca apabila rakan-rakan tenaga pengajar sastera Inggeris ini sering mengadu anak-anak murid mereka terasa bosan apabila puisi ini disuakan pada mereka. Setelah saya melihat puisinya, tidak hairanlah anak-anak ini bosan. Bahasanya sedikit tinggi malah dikatakan puisi yang disusun dalam perenggan paling "nonsense"(sumbernya disini) ditambah lagi dengan usia mereka yang baru 11 tahun. Pemilihan teks yang diambil terus dari Centre for Talented Youth, John Hopkins University, Amerika Syarikat (program asal yang disesuaikan sebagai Permata Pintar di Malaysia) bukanlah sesuatu yang tepat. Banyak lagi karya sastera inggeris Malaysia yang mungkin boleh disesuaikan dengan konteks permata pintar dan masyarakat Malaysia.

Saya pernah bertanyakan hal yang serupa dengan anak-anak murid saya dalam kelas sastera Melayu. Alhamdulilah, segala teks cerpen dan puisi yang ingin kami mereka hadam, faham dan seterusnya suka (sekurang-kurangnya) diterima baik oleh mereka. Malah, pengenalan tidak sengaja saya pada waktu rehat mengenai puisi-puisi sasterawan kegemaran saya dari Indonesia, Pak Sapardi Djoko Damono juga mendapat sambutan. Jika boleh setiap hari mereka mahu dengar muzikalasi "Hujan Bulan Juni".

Monday, March 15, 2010

Surat Ungu Untuk Nuha


Seorang teman penulis Ainunl Muaiyanah telah beberapa kali meminta saya membaca buku tulisan Kak Noor Soraya bertajuk "Surat Ungu Untuk Nuha". Namun oleh kerana terlalu ripuh dengan pelbagai tugasan dan aktiviti sepanjang bergelar mahasiswa kembali ini sangat membataskan pembacaan saya. Akhirnya, Yana (nama panggilan saya untuk Ainunl Muaiyanah) meminjamkan buku Kak Su ini. Sungguh setelah sekian lama tidak membaca novel bergenre sebegini, saya mula terpaut dengan gaya Kak Su yang berjaya menyuntik bukan semata-mata elemen pop dalam tulisannya. Novel ini setidak-tidaknya membuatkan kita mengenali dan mencintai sastera dalam gaya yang 'cantik' dan 'mudah'. Siapa kata sastera itu sulit?.

Ingin kongsikan puisi ini yang dipetik dari novel ini bersama anda. Entah mengapa puisi ini bermain dalam fikiran setiap hari kini...

Jendela hati diketuk lagi
kubuka separuh-separuh
separuh hati

"Selamat malam, nama saya Cinta!"
hangat dan dingin
merantai di luar.

"Izinkan saya berteduh di tepi jendelamu?"
Cinta terus bertanya.

Lalu hatiku tertanya-tanya:
"Cinta, kenapa mesti aku?"

* Foto dari sini

Friday, March 12, 2010

Cinta di Mata Carrie Bradshaw


I'm looking for love. Real love. Ridiculous, inconvenient, consuming, can't-live-without-each-other love.

Carrie Bradshaw/Sarah Jessica Parker
Final Season, Sex & the City



Thursday, February 18, 2010

Cinta (I)


Ku buangkan pakaian yang kau beri nama cinta
ku biarkannya hanyut bersama
pasangnya arus yang membuak
dalam relung hati seorang engkau

Hani Salwah Yaakup
18 Februari 2010
Kajang, Selangor


Gambar dari sini

Thursday, February 11, 2010

Penggalan Kisah Lama

Sudah lama mencari kembali lagu ini. Lagu nyanyian La Luna, "Penggalan Kisah Lama" adalah lagu yang menemani hari-hari saya 10 tahun lalu ketika menunggu keputusan SPM. Ah, betapa benar liriknya dalam kehidupan kini. Juga enaknya lagu bernuansa begini yang memang "ngam" dengan diri sejak dulu. Nikmatilah!

Tuesday, February 09, 2010

Rasa (II)


Perlukah aku merasa bersalah
Pada perkara yang tak pernah kuperbuat?

Atau
salah itu bukan perkataan yang aku cari
kerana tiada yang pernah berdosa
menzahirkan kata-kata seindah seni


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

*Gambar dari sini

Monday, February 08, 2010

Puisimu Yang Telah Kulontar


Telah kucampakkan
puisimu yang
berdiskaunkan diksi
sifar cinta
nihil rasa
juga yang pernahku suka itu
sejauh-jauhnya

Meskipun ku tahu kau ciptakan
serangkaian kata-kata ini
untuk menjadi hantaran perasaan
yang seringkali cuba kau nafikan


Hani Salwah Yaakup
FSSK, UKM Bangi
8 Februari 2010

Fotonya dari sini

Sunday, January 31, 2010

Memasang Kenangan


Bintang itu mengucap pamitan
pada sayap yang telah kuleraikan

Bolehkah sesekali aku menyarungnya kembali
tanda ingatan yang tak pernah padam?


Hani Salwah Yaakup
Kajang, Selangor

Foto dari sini

Tuesday, January 12, 2010

Jangan Pernah Takut Bermimpi!

Memang benarlah seperti kata teman-teman saya sebelum ini iaitu 'ketika kita terlalu ripuh untuk menyiapkan tugasan kuliah atau menaip bab-bab dalam tesis, diri akan dihimpit rasa untuk menulis sesuatu yang berbentuk kreatif'. Saya tersepit dengan hal-hal seperti ini kini. Ketika banyak sekali tugasan untuk mengusaikan bab demi bab dalam tesis akhir sarjana saya, waktu itulah diri mahu sekali menatap dan menyelesaikan novel malah kumpulan puisi yang terbiar di almari. Waktu itulah diri terasa berkobar-kobar ingin menaip secebis puisi.

Oh, hidup ini kadangkala ngak adil ya (teringat dialog watak Bang Zaitun dalam filem "Sang Pemimpi").

Lupakan kisah saya sebentar...

Buat masa ini, saya teringin benar menonton filem ini. Kata seorang teman filem ini masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia dan masih belum ada dalam bentuk VCD atau DVD. Mungkin pertengahan tahun ini, baru saya bisa menontonnya.

Jangan pernah takut bermimpi!


Friday, January 01, 2010

2010!


Yesterday is history
Tomorrow is a mystery
Today is gift

that is why we call it present


~Unknown~


Seperti kuoatasi kata-kata diatas. Yang lepas biarlah menjadi sejarah. Dijadikan panduan untuk memperbaiki diri kita agar menjadi lebih baik. Esok biarlah menjadi rahsia Yang Memelihara Kita. Hari ini jalani dengan penuh harapan.

Selamat Tahun Baru Masihi. Semoga segala impian dan harapan kita untuk tahun genap 2010 dipermudahkan oleh Sang Maha Pencipta. Amin ya Rab!



*Gambar dari sini