Thursday, January 31, 2008

Belasungkawa Loloq

Dari Kiri, Allahyarham Loloq, M Nasir & Mawi
(Gambar sewaktu Anugerah Juara Lagu 21)

Pertama kali berjumpa dengan Allahyarham Loloq (Rosli Khamis), adalah di Studio NAR, Taman Tun Dr Ismail. Waktu itu saya hanya jadi pendengar bualan diantara abang, Mohariz Yaakup dan Allahyarham. Mulai daripada itu saya agak menghormati figur seorang penulis lirik ini kerana idea dan cara pemikirannya. Allahyarham mengaku beliau gemar membaca selain mengumpul CD lagu. Maka, tidak hairanlah jika idea dan cara berfikirnya juga berbeza.

Secara jujur, Allahyarham bukanlah kenalan rapat saya. Namun, banyak sekali peristiwa yang membuatkan saya (terutama keluarga) akan berasa sangat sedih bila terkenangkan Allahyarham. Emaklah yang paling terasa akan 'kehilangan' ini. Pertama kali ke rumah kami di Kajang Allahyarham teruja melihat banyak sekali koleksi tasbih emak dan ayah yang dibeli di tanah suci. Emak yang sememangnya 'murah hati' terus menghadiahi Allahyarham dengan tasbih berkenaan.

Masih acap dalam ingatan kami beliau berkata dengan hadiah tersebut, Allahyarham berharap agar diri beliau akan semakin 'rapat' dengan Sang Maha Kuasa. Sewaktu lawatan ini juga emak sempat bercerita mengenai 'kenikmatan' mengerjakan umrah di tanah suci. Saya bertanya emak macam mana emak boleh mengajak Allahyarham menunaikan umrah? Emak nyata tidak tahu kenapa beliau tergerak hati bercerita mengenai umrah & Mekah kepada Allahyarham.

Seminggu selepas itu, Allahyarham meminta abang memberitahu emak bahawa Allahyarham berminat untuk ikut serta dengan emak dan ayah yang merancang untuk mengerjakan umrah sebelum bulan ramadhan lepas. Oleh kerana urusan tertentu, emak dan ayah tidak dapat meneruskan rancangan tersebut. Maka, Allahyarham yang sudah teruja, meneruskan niat tersebut dengan salah satu sahabat Allahyarham. Alhamdullilah, Allahyarham sempat juga ke sana!

Pulang sahaja dari mengerjakan umrah, Allahyarham berharap untuk mengerjakan umrah sekali lagi (jika diizinkan Allah SWT) setelah usai Anugerah Juara Lagu. Namun, apa yang menyedihkan sejak pulang itu, beliau sering dikatakan sakit dan juga "menghilangkan diri" daripada bertemu rakan-rakan, bahkan abang saya. Tup...tup...khabar terakhir yang diterima, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara kerana pendarahan dalam otak.

Allah SWT lebih menyayangi Allahyarham. Allahyarham menemui Sang Maha Pencipta pada 30 Januari 2008 pada jam 1.37 petang dalam usia 50 tahun. Semoga Allah mencucuri rohnya dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman. Insyallah.

Al Fatihah untuk Allahyarham.



Keroncong Nostradamus
Lagu: M Nasir
Lirik: Loloq

p/s: Beliau pernah ditegur abang kerana memakan gula-gula kepunyaan saya tanpa izin. Saya tidak kisah sebenarnya (Abang saya je lebih-lebih). Agaknya selepas ini kalau saya makan gula-gula berkenaan, pasti saya akan terkenangkan beliau dan teh tarik yang sering kami minum di Taman Tun Dr Ismail.

0 comments: