Thursday, January 29, 2009

Belangsukawa Arena Wati

Allahyarham SN Arena Wati

Saya tahu catatan ini sudah terlambat. Namun, sebagai salah seorang individu yang mengaku mengagumi karya-karya Allahyarham, saya merasa bertanggungjawab dan terpanggil meninggalkan sedikit catatan mengenai Allahyarham.

Sejujurnya, rasa "jatuh cinta" pada karya Allahyarham Pak Arena Wati hanya timbul setelah saya kembali semula "bermesra" dengan dunia kesusteraan ini. Saya hadami dan menyudahkan novel "Sakura Mengorak Kelopak" yang sudah lama terperuk di kutub kanah peribadi saya di rumah. Kemudian, semacam perasaan puas menjelma dalam sanubari. Tanpa berlengah, saya cukupkan koleksi trilogi yang terlalu berharga itu. Terima kasih untuk Nasriah Abdul Salam yang sudi memberi dan mencari novel "Bunga Dari Kuburan" sempena hari lahir saya tempohari.


Sedari itu, kecintaan ini semakin menebal pada karya-karya Allahyarham Pak Arena. Saya sanggup menabung dan berhabis hanya untuk buku-buku Allahyarham. Karya-karya Allahyarham sangat teliti penyusunan cerita, plot malah saspens yang ingin dikongsikan dengan pembaca. Umpamanya dalam trilogi Armageddon kesemua elemen ini bagaikan bersepadu dan tidak dapat saya nafikan saya hampir-hampir tertipu pada penghujung buku pertamanya; Mandala.


Apabila diberitahu beliau sakit dan terlantar di hospital, Nasriah dan saya adalah antara mereka yang turut bersedih. Masih teringat kata-kata Nasriah, "Baharu sahaja ingin memesrai karya-karya beliau, beliau ditimpa sakit yang begitu rupa". Percakapan dengan Nasriah itu baharu sahaja sebulan yang lalu dan pagi ahad yang lepas, sms daripada Nissa' Yusof dan entri blog Kak Nisah Haron, bagaikan merengut tangkai hati diri ini. Saat itu saya menyalahkan diri apabila tidak sempat bertegur sapa dengan Allahyarham ketika Kongres Sebudaya Serumpun pada akhir tahun 2007 yang lepas.

Sumbangan beliau sangat berharga dalam nuansa sastera tanahair kita ini. Saya akan merindui karya-karya segar dan bersemangat tulisan beliau.

Untuk Allahyarham, selamat belayar ke dunia yang satu lagi. Tenang dan berbahagialah.

Al-Fatihah.

2 comments:

Anonymous said...

owh..sy ingat arena wati itu perempuan ;-)

hani salwah yaakup said...

Athirah...ramai juga yang tidak tahu!