Monday, May 21, 2012

Nama Ai Lolipop

Saya menyumbang sedikit cerita kartun untuk antologi ini (bersama kawan-kawan saya Rebecca Ilham, Ingrid Anggaraini, Fai Zakaria, Cik Samsuki Sukibari Kadarian Indrawiyyah dan Nini Marini Rafar). Kisah saya dalam antologi ini adalah 100% fiksyen. Oleh itu tiadalah sebarangan cubaan untuk menyatakan kisah yang saya tulis berkaitan dengan diri. Haha...(nampak sangat nak mengelak...eceh). Jangan lupa dapatkan nanti ya. RM 20 sahaja tu :)


Monday, May 14, 2012

Pecah

Pecah, Mingguan Malaysia (13 Mei 2012)
Jika kita mempunyai teman yang baik dan sentiasa mengingatkan kita untuk sentiasa tekal dalam apa sahaja yang kita lakukan, bersyukurlah kepada Yang Maha Esa. Alhamdulilah kerana selalu diasak untuk tidak lupa menulis (meski sibuk berperang dengan "hantu"), akhirnya sebuah lagi sajak kecil saya diterbitkan Mingguan Malaysia (13 Mei 2012) berjudul "Pecah", puisi saya yang kedua diterbitkan tahun ini dalam penerbitan serupa setelah januari yang lalu. Terima kasih kepada tuan pengarangnya, Ku Seman Ku Hussin untuk peluang ini. Insyallah semoga menjadi ingatan pada saya selalu bahawa menulis itu perlu sentiasa berterusan (meski kecil dan pendek). Terima kasih Tuhan dan kawan-kawan.

Membaca, Kopi dan Saya

Saya tidak mampu untuk membaca dalam jangka masa yang panjang jika saya duduk santai dirumah. Ada sahaja projek besar, kurang besar ataupun tidak penting saya akan lakukan dirumah. Biasanya saya hidupkan enjin kereta, bawa emak jalan-jalan iseng. Pandai sangat saya mencari masa untuk buang masa (Haha). Ya dan itu menganggu konsentrasi serta perancangan masa panjang saya dalam menyiapkan pembacaan yang tinggi mengunung yang terpaksa saya ratakan dalam masa beberapa bulan ini. Sebagai seorang pelajar pasca sarjana yang dihambat masa, penyelia yang prihatin malah sekatan emosi yang datangnya bergulir dan rencam, saya perlu sentiasa kekal bersemangat dan fokus.

Kes hilang fokus ataupun tidak mampu untuk kekal berkonsentrasi ini hal biasa. Malah dalam mana-mana ruang perbincangan rakan sepasca sarjana pun mereka mengakui akan hal ini. Ada beberapa hal yang menjadikan perkara ini. Namun yang paling benar dan tepat adalah sikap. Ya bekerja seorang diri tanpa sesiapa yang mengatakan "tidak" ataupun memarahi anda untuk sentiasa bersikap dalam pekerjaan anda menjadikan hal ini sedikit terlihat serius. Saya sendiri mengalami hal ini. Jika sewaktu menuntut dalam bidang sarjana, saya dikelilingi rakan-rakan sekelas (kerana saya membuat sarjana secara kerja krusus). Semangat dan rasa ingin bersaing (secara sihat) lebih dirasakan. Ada rakan yang saling mendoakan, saling bekerjasama, saling bertanya dimana dan kemana sudah penyelidikan anda. Semua rakan itu dalam bidang sekrusus dan lebih memahami apa yang sedang anda gulati.

PhD Comic dari laman http://www.phdcomics.com/comics/archive.php?comicid=124
Kini, yang sering tanya pun emak, ayah serta kakak yang lebih mengetahui apa itu PhD. Mujur penyelia saya tegas orangnya namun, sangat memahami. Begitu juga rakan-rakan penulis yang kebetulan ramai mengambil sarjana dan PhD sering memberi rasa semangat dan mencabar untuk lekas-lekas menyudahkan apa yang dinamakan PhD itu. Saya sangat berterima kasih kepada semua mereka ini walaupun tidaklah mereka memahami secara benar apa yang saya lakukan tetapi, itu cukuplah sudah.

Berbalik pada pokok persoalan, saya kini terpaksa "lari" setiap kali ingin membaca dengan lebih serius. Ya pastinya bukan perpustakaan. Saya bisa tidur dan sentiasa mencari alasan untuk keluar daripada stor sejuk beku itu. Jadi hendak tidak saya selalu duduk disebuah tempat untuk membaca dan membuka komputer. Selalunya berjam-jam. Mujur adik-adik pekerja disini faham benar (malah baik dan peramah juga). Emak pernah berseloroh katanya kalau kau sudah grad mereka jadi kaya kerana kau. Tetapi, hendak berbuat macam mana? Saya ini mengada-ngada untuk keluar dan membaca.

Rumah ayah emak sedang dalam proses pembaikan. Jadi alasan duduk disitu bertambah tinggi. Ya lah siapa yang betah duduk dalam bunyi gerudi yang menyakitkan telinga. Anda bisa?

Kalau mahu datang "ganggu" saya disini pun tidak mengapa. Jemput datang :)

Jadi, duduklah saya menghirup kopi panas (selalunya teh) atau kopi dikisar dengan ais ditempat yang selalu saya tumpangi untuk bermanja dengan bahan bacaan yang sekarang sangat menguasai minda. Alahai...sukanya saya :)

Wednesday, May 09, 2012

Pengakuan Penyair, Segugus Kunci dan Kehidupan

Pengakuan Penyair dan Segugus Kunci

Tajuk: Pengakuan Penyair
Editor: Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman
Tahun Terbitan: 2012
Penerbit: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia & Persatuan Penulis Nasional Malaysia
Genre: Sastera
Harga: RM 30.00 (Semenanjung Malaysia)
            RM 35.00 (Sabah/Sarawak)
Halaman: 267 halaman
No Resit: ITNM000406 29-4-2012 5:24PM


Poetry don’t have to be
living in a library
there’s poetry that you can see
in the life of everybody
(Pengakuan Penyair; 107)

Barangkali empat baris pertama Poetry yang diambil oleh penyair Jamaluddin D sebagai permulaan tulisannya dalam buku ini sudah cukup menggambarkan keseluruhannya. Puisi yang dipetik dari buku Hearsay Performance Poem Plus susunan Paul Beasley terbitan The Bodley ini berkata puisi adalah kehidupan seseorang manusia itu sendiri. Begitu juga dengan kehidupan dan proses kreatif yang melingkungi seseorang penyair. Buku yang menyentuh proses kreatif jarang amat kita temui di negara ini. Tambahan pula bagi penulisan dalam genre puisi.

Buku proses kreatif di Malaysia lebih terarah kepada penulisan prosa seperti cerpen dan novel. Selalunya penyair hanya akan dipanggil pihak institusi pengajian tinggi untuk berkongsi dengan anak-anak muda yang sedang menuntut dalam jurusan sastera atau seangkatan dengannya sahaja. Selepas itu usaha untuk membukukan apa yang telah dikongsikan itu seakan jarang diambil berat dalam jagat kesusasteraan kita. Jika ada pun seseorang penyair itu membicarakan proses kreatif mungkin barangkali dalam buku autobiografi yang ditulis mereka. Namun, berapa ramai sahajalah penyair yang sempat atau diberi kesempatan untuk menulis autobiografinya sendiri? Malah kadangkala autobiografi ini tidak juga memberi “kepuasan” yang benar kerana penyair kadangkala hanya menyentuh sekilas lalu sahaja mengenai proses kreatif.

Dalam kenadiran buku proses kreatif genre puisi, maka usaha pihak Persatuan Penulis Nasional (PENA) bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia ini wajar diberi penghargaan. Salam tahniah dan syabas untuk editor bersama buku ini iaitu Saudara Rahimidin Zahari dan Saudara Dr Shamsudin Othman (yang kebetulan kedua-duanya merupakan antara penyair mapan negara) kerana menyedari akan kepentingan buku seumpama ini dalam nuansa sastera tanahair. Buku ini merupakan dokumentasi daripada program yang dianjur oleh PENA yang diberi nama Pengakuan Penyair dalam meneruskan dan memartabatkan posisi Baca Puisi PENA yang telah diadakan sejak pertengahan tahun 90-an lagi.

Sejujurnya apa yang menarik mengenai buku ini selain melihat isi adalah kulitnya. Tepat dan sangat membuatkan bakal pemilik atau pembacanya bertanya sendiri. Apa kaitan buah mangga kunci yang terbuka dengan proses kreatif penyair yang mewarnai buku ini? Persoalan yang akan terus membelenggu fikiran pembaca sehingga usai menekuni buku ini dari helaian pertama hingga ke akhir. Begitu juga saya. Setelah tamat saya merasakan pemilihannya sangat unik. Cuba bayangkan buah mangga itu mewakili seorang penyair dengan imej tertutup dan jarang mahu berkongsi. Menerusi buku ini, segala “rahsia” yang selama ini hanya “terkurung” atau “tertutup” dibuka, diperlihatkan kepada umum. Cuma yang pasti meski mangga kunci ini hanya sebuah, tidak hanya sebatang kunci yang mampu membukanya. Kedudukan diri dan minat yang sama diibaratkan mangga kunci namun “pembukanya” terdiri daripada 34 batang kunci. Pilih sahaja yang mana disukai, justeru mangga kunci akan terbuka dan memperlihatkan dirinya.

Minat dan kesukaan tidak semestinya membawa seseorang penyair itu untuk selalu berkongsi “rasa” dan pengalaman yang serupa. Menerusi buku ini kita dibawa untuk mengembara tidak hanya dalam batang tubuh seorang manusia dipanggil penyair tetapi, 34 orang kesemuanya. Berbagai sebab menjentik mereka untuk mencoret puisi. Sudah pastilah penyair bukan produk yang dikeluarkan “kilang” dan serupa sahaja pengalaman, latar belakang dan tahap pendidikan.

Bercerita mengenai isi, antara yang membuatkan seseorang penyair itu menulis adalah kerana pengalaman peribadi yang diaduk bersama kreatif menghiasi karya-karya tulisan Abdul Hadi Yusoff terutama menerusi puisinya, Jika Perempuan Itu Bernama Sesuatu Yang Tidak Perempuan adalah pengalamannya melihat PATI Vietnam di Pengakalan Chepa.

“Jika perempuan itu bernama
sesuatu yang tidak perempuan
jika kamar tanpa jari-jari lembut membelai
menghayun dodoi lerek ke subuh
atau hilangnya bersama embun putih
sedang di sempadan Vietnam
merpati putih kepatahan sayap
masih lena dengan parut membenam
mimpikan surat perdamaian.”
(Pengakuan Penyair; 4)

Perkara ini dikongsi oleh Nassury Ibrahim (halaman 159), Siti Zainon Ismail yang menulis kerana terkesan melihat allahyarham ayahanda beliau (halaman 211 dan 214) begitu juga dengan Zaiton Ajamain (pada halaman 246).

Ada juga penyair yang menulis puisi kerana terkesan atau merasa pertanggung jawaban kepada tradisi. Ahmad Razali Yusof terkesan kepada pantun dibawah (halaman 16);


Jauh-jauh kapalku datang,
Pasang bendera di hujung tiang;
Jauh-jauh cintaku datang,
Perut lapar menjadi kenyang.
Sementara Salmiah Ismail kerana dibesarkan dalam lingkungan membudayakan tradisi seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Peteri dan persembahan kebudayaan asal Kelantan yang lainnya. Zaen Kasturi pula kerana rasa pertanggung jawaban terhadap memelihara kelestarian budaya itu sendiri. Zurinah Hassan bertunas bermula dengan minatnya menyimpan lirik lagu yang ditulis dalam buku.

Tidak ketinggalan juga dengan penyair yang mula menulis puisi kerana dilanda kesedihan, kesunyian dan kesakitan. Ini dikongsi oleh Amirul Fakir, Mahaya Mohd Yassin yang mencurah kerinduan kepada suami melalui puisi, Imlan Abadi menulis puisi sebagai cara menyalurkan kesakitan yang dialaminya, Marsli NO dan Lim Swee Tin yang suka bersunyi, Salman Sulaiman yang pendiam dan sejak kecil sudah ditinggal bapa dan Shamsudin Othman yang mengalami onak duri pengajian. Begitu juga dengan penyair yang menulis kerana diserbu rasa dan perasaan seperti Ariff Mohamad dan Zaen Kasturi juga minat yang mendalam terhadap buku dan pembacaan seperti Amaruzati Noor Rahim.

Sementara itu menurut Arbak Othman, Rahimidin Zahari dan Ismas Saring pergaulan telah membuatkan mereka berminat menulis puisi. Baha Zain dan Nassury Ibrahim pula menulis puisi kerana keterjuaan pergelutan dalam kata-kata yang pada pandangan mereka begitu indah untuk diterokai. Jamaluddin D dan Lim Swee Tin dalam pada itu berkata menulis puisi boleh memberi kepuasan yang tidak dapat mereka miliki dengan menulis dalam genre lain. Yang terakhir adalah kerana rasa tanggung jawab moral dan agama kepada masyarakat seperti yang dirasakan oleh Leo AWS, Marzuki Ali, Nassury Ibrahim, Sahrunizam Abdul Talib, Suhaimi Haji Muhammad, Zaiton Ajamin dan Zubir Ali.

Seperti yang telah saya katakan melalui status di laman sosial Facebook (pada 1 Mei 2012), saya mengsyorkan buku ini kepada mereka yang ingin menjadi penyair ataupun penulis sajak pemula yang ingin tahu apa dan bagaimana para penyair mapan kita meraih idea, pengalaman berkarya dan pandangan mereka mengenai dunia puisi dan kepenyairan di Malaysia. Semoga penerbitan seumpama ini bukanlah hanya terhenti disini sahaja. Di masa hadapan saya berharap agar penerbitan yang menghimpunkan proses kreatif dalam genre puisi diteruskan. Buku ini hanya menampilkan (hampir 80%) penulis mapan yang mempunyai jalur yang berbeza dengan penulis muda kini. Mereka rata-ratanya adalah penyair 60-80an. Barangkali sebagai cadangan pihak ITBM-PENA memberi peluang menerbitkan proses kreatif penulis angkatan 90an dan 2000an yang pastinya mempunyai pengalaman yang berbeza.

Seperti kata Sapardi Djoko Damono (halaman 137), “Menjadi pengarang adalah memilih posisi untuk sentiasa bersepi. Ketika orang ketawa ria diluar, pengarang gelisah dikamar, ketika orang riuh-rendah menguruskan segala ragam keperluan, pengarang terasing bersendirian”. Penerbitan seumpama ini sahaja yang membolehkan orang diluar memahami kesukaran yang dialami penulis dan  untuk penulis pula, pengalaman ini boleh menjadi panduan sesama sendiri. Semoga dengan kehadiran penerbitan ini, kita semakin menghargai khazanah sastera tanahair. 

*Ulasan ini ditulis untuk menyertai Pertandingan Ulas Buku ITBM di Blog/Facebook sempena Pesta Buku Antarabangsa, Kuala Lumpur 2012.

Thursday, May 03, 2012

Terbaharu

Alhamdulilah setelah beberapa bulan tanpa karya di media, bulan ini ada 'buah tangan' daripada saya. Terima kasih kepada Sdr Ghani Abu, editor Tunas Cipta kerana menyiarkan puisi dan beberapa catatan saya. Begitu juga dengan Abang Rahimidin Zahari yang menyiarkan artikel saya mengenai ukulele di Majalah PENTAS Januari-Mac 2012, terbitan Istana Budaya.

Puisi "Setelah Usai Hujan Nanti" di Tunas Cipta Mei 2012
Untuk anda semua, jemput baca 'catatan' saya yang kecil dan biasa ini :)
Dialog Orang Muda Mac 2012 :)
Catatan pendek mengenai program Borak Buku Mac 2012 di Tunas Cipta Mei 2012

Tulisan bertajuk "Ukulele, Muzik Klasik Melayu dan KAWAN" di Majalah  PENTAS Januari-Mac 2012 :)

Tuesday, May 01, 2012

Beg, Buku dan Saya

Beberapa ketika ini saya sering sakit bahu. Memang saya seorang yang mudah mendapat sakit di bahagian  bahu dan tengkuk. Menurut mereka yang sering saya rujuk (mengenai segala masalah kesihatan dan selalu orang itu kakak saya sendiri) berpunca daripada tekanan dan bebanan. Ya seorang pelajar pasca sarjana seperti saya, tekanan itu biasa. Malah tekanan itu lumrah untuk sesiapa sahaja tidak kiralah kita bekerja, belajar malah sedang menikmati percutiaan sekalipun. Namun, bila memikirkan soal bebanan, apakah yang sering saya pikul ke hulu ke hilir. Biasalah beg berisi komputer riba, postman bag saya  ataupun dipanggil beg selempang dan beg berisi buku.

Teringat rakan sekelas juga rakan-rakan baik yang seringkali menegur mengenai banyaknya beg yang sering saya pikul ke mana sahaja. Saya memang begitu. Kalau ke mana-mana sahaja hatta berpergian jauh ke luar negara pun mesti membawa banyak benda. Bukan apa. Saya mahu semua benda yang saya perlu senantiasa bersama saya bila saya perlukan. Lalu, tidaklah perlu saya tercari-cari ataupun membeli ulang. Namun, kalau sekiranya perkara itu lebih baik dibeli disana, saya pasti juga akan meninggalkan perkara berkenaan hanya di rumah sahaja.

Bersama rakan-rakan dari Indonesia ketika membentang kertas kerja di persidangan antarabangsa pada tahun 2011 
Saya tidak pernah bermasalah dengan beg komputer riba kerana saya pastikan dia benar-benar selesa dengan lapis span yang baik dan tetap di badan. Begitu juga tas tangan yang kedua-dua abang saya gelarkan beg posman (kerana ukuran dan warnanya) sehingga baru ini diganti dengan beg kecil hanya berisi dompet dan barang perlu sahaja. Namun, beg berisi buku saya yang kerap kali menyakitkan bahu. Beg yang saya selalu dapat gratis lewat menghadiri persidangan akademik, acara rasmi ataupun perasmian saya gunakan ulang untuk mengisi buku, alatan tulis, botol air, barang kecantikan diri (wow!), telekung malah apa sahaja yang penting dibawa berpergian. Biasalah beg tipis non woven itu biasanya lama kelamaan jika terlalu berat menjadi semakin halus dibahagian pemegangnya dan kes lebih teruk berbulu juga tertanggal jahitan. 

Adatlah beg gratis yang jangka hayatnya seperti yang kita tahu hanya untuk dipakai sekejap cuma. Namun, beg seumpama ini masih dijual mahal di pasaraya ya. Malah ukuran yang kecil, boleh diisi sedikit sahaja barangan kadangkala dilihat sangat "gila" pada harga jualannya. Maka, tidak hairanlah kenapa penduduk kita lebih gemar bayar 20 sen setiap beg plastik ketika membeli belah pada hari tanpa beg plastik setiap sabtu di Semenanjung dan isnin di Sabah (Sarawak saya tidak pasti bila). Di Australia beg non woven yang dijual lebih utuh, keras, besar dan muat diisi barangan harian yang di pasaraya dengan harga hanya 1 dolar sahaja (tidak perlulah kita kira dalam kiraan tukar wang tetapi, kesesuaian pendapatan tempatan ya). Kita, sudahlah kecil, lembik malah mudah pula rosaknya dan yang penting harganya adalah 2-4 ringgit satu. Gila!

Jadi saya merasakan sungguh pun beg non woven ini baik untuk diisi barangan dan buku tetapi, saya merasakan sepatutnya sebuah beg khas yang baik dan sesuai perlu ada untuk perkara ini. Beg buku yang saya jumpai sekali disebuah kedai adalah untuk mengisi buku-buku fiksyen paperback yang kecil molek itu sahaja. Tidak pula sesuai untuk mengisi buku yang mempunyai saiz yang lebih besar. Lalu, bila setiap kali kawan-kawan penulis yang pulang berkunjung ke Eropah juga Indonesia dan melawat perkampungan penulis ataupun kawasan yang mengangkat sastera itu tinggi banyak sekali menbawa pulang beg cenderamata yang ditulis kata bijak penulis terkenal ataupun gambar penulis itu sekali. Ya ini idea yang menarik untuk mengangkat idoala penulisan dan penggiat seni di negara ini. Kenapa tidakkan?
Beg Non Woven

Namun, ada atau tidak perkara seumpama ini hanyalah sebagai aksesori sahaja. Yang lebih penting adalah beg yang besar, selesa diisi banyak benda terutama buku dan boleh tahan lama (juga citarasa saya sebagai seorang wanita mestilah cantik...owh!). Juga yang paling penting pemegangnya yang boleh disangkut dibahu dan besar daripada beg yang biasa dijual di pasaran awam kini. Selain harga yang kadangkala tidak bersesuaian dan mencekik leher, saya jarang jumpa beg yang biasa biasa tetapi menawarkan segala hal ini. Ya mengapa tidak kita mula memasarkan beg yang berpatutan harganya dan mempunyai kualiti yang baik juga.

Buat mereka yang kreatif dan mempunyai nilai keusahawan yang tinggi, cuba saranan saya ini. Boleh laku keras kalau tahu kepada kelompok mana yang anda boleh sasarkan.


Ya buat masa ini saya masih berfikir untuk beg apakah yang sesuai untuk saya isi buku dan peralatan kepunyaan saya. Oh...!