Sunday, February 15, 2009

Upin & Ipin, Geng & Saya

"Geng: Pengembaraan Bermula"

Betul, betul, betul!

Ramai sudah dimagis kecomelan dua orang karektor budak kampung ini. Siapa lagi kalau bukan si kecil berjambul satu, Upin dan adiknya yang gemar menggulang perkataan sebanyak tiga kali, Ipin. Jadi, tidak hairanlah kalau saya tidak mampu menempah tiket atas talian (panggung GSC dan juga TGV) untuk tontonan pada hari sabtu (14 Februari 2009) sejak sehari sebelum itu. Namun, untuk tidak mengecewakan kedua-dua orang anak dara abang sulung saya, Khaleeda & Khamilia, seawal 11 pagi saya sudah terpacak beratur membeli tiket di Panggung GSC, Alamanda, Putrajaya. Malah sewaktu tiba sahaja disitu, saya diserbu perasaan terkejut kerana sudah ramai torang yang turut beratur untuk membeli tiket menonton filem berkenaan. Kebanyakan daripada mereka pastilah ibu bapa yang merancang membawa anak-anak mereka menonton filem berkenaan.

"Lima keping tiket yang berjaya dibeli!"

Ini bukanlah sesuatu yang biasa dapat dilihat terutama di panggung GSC, Alamanda. Sejak panggung dibuka disini, payah sekali untuk melihat orang ramai beratur sepanjang itu. Malah saya pernah memberi jolokan "panggung paling bahagia" untuk pergi menonton. Jika di KLCC, mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan. Ini secara tidak langsung memberitahu bahawa suatu perubahan yang baik dalam industri perfileman tempatan terutama filem-filem animasi tempatan sedang berlaku. Jika benar, moleklah.

Alhamdulilah dalam 15 minit beratur, saya berjaya membeli tiket terakhir untuk tayangan jam 2 petang. Betul-betul 5 seat terakhir dan di depan sekali. Setelah saya membeli tiket terakhir berkenaan, skrin yang memaparkan waktu untuk tayangan filem berkenaan sudah berkelip merah menandakan tiket untuk jam berkenaan sudah habis dijual dan untuk tayangan-tayangan yang lain sudah mula berkelip-kelip kuning menandakan sedang hangat dijual. Orang semakin ramai dan barisan di belakang saya semakin panjang.

"Tayangan filem Geng sudah habis dijual sehingga jam 10.30 malam"

Setengah jam sebelum bermula tayangan, saya kembali bersama keluarga. Syukur kerana telah membeli tiket awal kerana setiba kami di kawasan panggung, tiket untuk tayangan sehingga jam 10.30 malam sudah habis dijual. Namun, bilangan orang yang datang dan pergi semakin ramai. Semua berwajah duka kerana tiket yang hendak dibeli sudah tidak mampu dimiliki.

Saya tidak mahu jadi spoiler untuk mereka yang belum berkesempatan menonton filem ini. Namun, apa yang boleh saya katakan, saya gembira melihat produksi animasi tempatan mampu untuk membuat sesuatu yang saya kira amat membanggakan. Filem ini memaparkan sesuatu yang "cantik" daripada segi visual, pergerakan watak malah warnanya. Saya kira untuk sesuatu yang dicipta oleh produksi tempatan dan 100% mereka yang terlibat membuat filem ini adalah warga tempatan, setidak-tidaknya membuatkan kita sudah mampu untuk bersaing di peringkat global. Melampaukah impian saya? Saya fikir tidak kerana tanpa niat seumpama itu, tidak mungkin ada hasrat untuk mencipta yang terbaik.

"Apabila GSC, Alamanda diserang!"

Biasalah jika dalam setiap filem itu mempunyai kelemahan dan kekuatan. Begitu juga dengan filem ini. Pada pandangan saya, filem ini mempunyai permulaan dan penceritaan yang baik pada permulaannya namun, setelah tiba di pertengahan filem ini seperti sudah tiada elemen yang menarik daripada segi penceritaan yang cuba digambarkan. Disamping itu, kurangnya penekanan watak utama adik beradik kembar, Upin & Ipin juga sedikit sebanyak "mengganggu" saya. Saya rasa tidak melampau juga saya katakan, ramai yang datang untuk melihat lebih banyak Upin & Ipin daripada watak-watak lainnya.

"Abang saya Kharil (yang sudah berbelas tahun tidak menonton) , anak sulungnya Khaleeda (yang sudah tidak sabar hendak menonton) dan Khamilia (yang gembira dapat beg sandang Upin & Ipin)"

Walau bagaimanapun, filem ini setidak-tidaknya membawa "kegembiraan" dan mengisi hari minggu saya bersama keluarga. Filem yang menarik dan saya syorkan untuk ditonton seisi keluarga.

Betul, betul, betul!

2 comments:

rantong said...

Saya nak tonton wayang tu, tapi anak masih kecil, baru 8 bulan. Payah la sikit nak bawa keluarga tonton cerita upin ni.
View Profile: Rantong™

hani salwah yaakup said...

Erm...cadangan saya mudah saja rantong. Bila sudah keluar DVD atau VCD original beli. Tonton dirumah seronok jugak!