Tuesday, September 30, 2008

Salam Lebaran


"Si gadis manis di pagi Aidilfitri. Oh, sungguh saya merindukan saat riang berkumpul bersama semua puteri-puteri comel saya ini"

Aduhai terasa sebentar sahaja kita bermukim di daerah Ramadhan. Perlahan-lahan terpaksa juga kita meninggalkannya untuk meneruskan perjalanan menuju ke daerah Syawal. Tiba sudah hari kemenangan bagi semua umat Islam. Keindahan bulan penuh maaf bermaafan ini sungguh bermakna untuk kita semua meraih semula ikatan yang terenggang kerana kekhilafan di masa lalu. Maka, permudahkan diri untuk maaf memaafi sesama kita. Moga diberikan Sang Maha Pencipta kemanisan hidup bersama.

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua pelayar blog "Yang Bernama Cinta"
Dimaafkanlah segala keterlanjuran kata-kata yang menyentuh mana-mana pihak yang sempat dan sudi membaca (sekiranya ada)
Jemputlah merayakannya di teratak saya di Kajang (pada yang sudi boleh emel saya minta alamat)

Thursday, September 25, 2008

Hadiah Yang Tidak Disangka-sangka

"Sepotong kek & Sebuah Buku~~Terima Kasih banyak, Nas!"

Hampir seminggu lebih saya diserang selsema dan demam yang teruk hingga saya sekarang boleh menyanyi lagu genre rock tanpa perlu menyerak-yerakkan suara (hehe!). Saya tidak mampu menjawap panggilan telefon (hanya boleh membalas sms!). Maaflah kepada sesiapa yang saya tidak jawap panggilan anda itu ya!. Barangkali, selepas ini anda tidak perlu membuat panggilan. Hanya perlu sms sahaja!

Dalam menempuh dugaan berpenyakitan ini, saya menerima hadiah yang tidak saya sangka-sangkakan. Saya sudah hampir mahu menutup lembar keinginan memilikinya namun, rezeki saya barangkali di bulan yang penuh rahmat ini. Alhamdulillah. Maka, terlengkaplah impian untuk memiliki antara trilogi fantastik Sasterawan Negara, Arena Wati, Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak. Itulah agaknya nikmat bersabar dan meredhai segalanya dalam kehidupan!

"Bunga Dari Kuburan~~Arena Wati, Sasterawan Negara"

Pertama-tama saya ingin mengucapkan terima kasih saujana luas lautan, selebar payungan langit buat Nasriah (yang sabar mencari dan ingin membuat kezutan buat saya~~hehehe). Terharu saya mendengar bagaimana payahnya dia hendak mencari buku ini untuk dihadiahkan sempena ulang tahun usia perak saya tahun ini. Nas, eh aku tak tahu macam mana nak cakap lagi...TERIMA KASIH SANGAAAAAT...MUUUAHH!!!.

Hal yang kedua, saya menerima sesuatu lagi yang membuatkan saya gembira. Mungkin inilah langkah pertama persediaan saya untuk melangkah lebih jauh dalam bidang akademik. Saya tidak memikirkan sangat (fikir jugakla) habuan yang bakal saya terima kerana dipenghujung jalan nanti yang saya mahukan adalah ilmu daripada pekerjaan itu. Semoga ilmu itu boleh menjadi bekal bagi memudahkan penulisan ilmiah untuk pengajian saya kini.

Teman-teman, kita sudah berada dalam 5 malam terakhir bulan mulia ini. Terasa sayu pula tiba-tiba mencuit rasa...

Ramadhan kali ini, banyak sekali mengajar saya jadi manusia. Banyak mengajar saya supaya lebih redha dan bersabar! Semoga rasa ini berterusan sehingga akhirnya...AMIN.

Wednesday, September 24, 2008

Sweet Child Of Mine...Versi Sitar!

Sebuah lagi iklan yang menyentuh deria. Lagu rock diberi suntikan tradisional India iaitu Sitar. Menarik bunyinya. Ayuh, mari sama-sama kita lihat dan dengar bila Sweet Child of Mine dendangan Kumpulan Gun n Roses sudah jadi semacam lagu dari negara India dan tidak pun menunjukkan ciri-ciri rocknya...!

Wednesday, September 17, 2008

Usia Suku Abad & Rasa Yang Payah Diungkapkan


"Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun, Selamat Ulang Tahun...lalalala"

Tidak tahu bagaimana saya perlu membalas ucapan yang masuk lewat SMS ke telefon genggam, di Friendster, Facebook, mesej pada YM, panggilan telefon malah ucapan yang ada di blog ini. Saya terharu kerana ada juga yang mengingati tarikh "menambah" umur saya tahun ini. Setiap tahun itu jugalah ada sahaja teman-teman baharu yang sudi menghulur ucapan. Wah, betapa tidak sedarnya saya bahawa setiap masa ada sahaja kenalan baharu yang kita ciptakan ya?

Walaubagaimanapun, TERIMA KASIH BANYAK! Hanya itu yang mampu saya balas. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki saudara semua...Amin!


"Trilogi Armageddon"

Banyak benar yang menggembirakan hati dan membuatkan rasa sayang saya semakin membuak-buak dalam diri. Pertama, untuk emak. Emak telah menghadiahkan antara trilogi Arena Wati yang pingin sekali saya miliki (setelah usaha mencari "Bunga Dari Kuburan" tidak membawa sebarang penghasilan). Untuk emak, terima kasih banyak!

Seterusnya buat Abang saya Mohariz (abang nak sign...gegege!) & Kak Ina. Untuk sambutan hari lahir alias majlis berbuka yang walaupun tampak sederhana tapi, sangat-sangat-sangat bererti buat adik anda yang baru berusia suku abad ini. Anda boleh lihat betapa "meriah"nya acara makan-makan kami dibawah. Amaran, jangan lihat gambar ini sekiranya anda sedang berpuasa. Segala ke'batal'an puasa anda tidak akan di jamin...gegege!


"Buah hati saya, Amir Luqman dan Ayahnya"


"Kak Ina Yang Menjadi Tukang Dengar Radio untuk Azan"


"Luq...tengok ayah punya spagetti ada bola-bola api"


"Amir Luqman diberi peluang "ambil bau". Macam filem "3 Abdul" la pulak"

"Chicken Mushroom"


"Chicken Kebab"

Untuk teman sekelas saya di UKM, terima kasih juga untuk ucapan "belated"nya dan Idahyah yang sempat membeli Marble Cheese Cake di Starbucks, Bangsar semata-mata mengenangkan hari jadi saya. Kamu buat saya rasa mahu menangis!

Usia di suku abad ini (bak kata Nas, usia perak. Hehe!), banyak sekali membuat saya berfikir dan menetapkan kembali matlamat dan cita-cita yang seringkali seakan mahu tercicir dari gendongan jemala fikir. Tahun ini sambutan hari lahir sangat bererti kerana di sambut pada bulan ramadhan (juga seperti tahun lepas) dan berada pula pada 15 Ramadhan. Bulan yang mulia untuk memulakan sesuatu cita-cita yang murni.

Seiring dengan pertukaran nombor pada usia ini, saya diserang tanya dalam sanubari sendiri. Kenapa perasaan "itu" pada sesuatu yang "lama" perlu hadir lagi? Payahkah sempena bulan mulia ini dia mengangkat telefon dan memohon kemaafan? Lalu, berkata 'Ayuh, mari kita bersahabat lagi'. Ah, rasa ini kenapa begitu payah untuk diungkapkan?

Sunday, September 14, 2008

Zapin Bunga Hutan

Tidak ada apa-apa coretan terbaharu mahu saya kongsikan bersama dengan anda. Cuma kini saya sedang "gilakan" lagu Zapin Bunga Hutan dari filem Bawang Puteh Bawang Merah lakonan Dato' Mustafa Maarof & Latifah Omar terbitan tahun 1959 (bukan senetron lakonan Nia Ramadhani yang memualkan itu ya!). Filem ini arahan Allahyarham S Roomai Noor dan diterbitkan oleh Studio Chaty Keris, Singapura. Lagu asal nyanyian Orkes Budi.

Kali ini biarlah saya berkongsi keriangannya bersama anda pula. Ayuh, mari berzapin!



Saya juga gemarkan versi Bunga Hutan oleh Dewangga Sakti!

Wednesday, September 10, 2008

Hadiah 4 Bulan

Buah hati saya dapat naik kereta merah yang dipandunya sendiri. Yang tak best...muka dia monyok sangat. Agaknya "dipaksa" memandu kereta dalam keadaan mengantuk teramat barangkali.

"Aiyaa Apek ini stereng apa pasat talak bulih pusing-pusing punya?"

"Bilalah agaknya Ayah nak beli kereta ni. Boleh aku bawak awek aku kat taska tu jalan-jalan"

Sempena hari jadi yang ke empat bulan, ayah dan mama Amir Luqman membelikan hadiah kerusi goyang untuk memudahkannya menonton televisyen dengan lebih relaks. Ini antara koleksi gambar Mir Luq sempena mendapat hadiah barunya.

"La hai...Ayah nak beli kerusi goyang ni je ke? Bolehla daripada tak de"

"What are you looking at?"

Terakhir adalah wajah terbaharu Mir Luq yang dibotakkan dengan sengaja. Kata Mir Luq secara peribadi kepada saya, perbuatan ini adalah untuk menambahkan kekacakkannya. Dia berharap dengan ketampanan wajahnya kini, dia dapat mencuri hati gadis-gadis manis berhampiran dengannya. Terutama kawan-kawan perempuannya di taska.

"Amacam hensem tak saya dah takde rambut? Ada can tak nak tackle anak perempuan pakcik dan makcik?"

Sunday, September 07, 2008

Bolehkah Anda Membantu Saya?

Kulit Buku Ketiga Trilogi Oleh Pak Arena Wati, Sakura Mengorak Kelopak

Sebenarnya saya kecewa dengan sikap diri sendiri yang tidak pernah pun ada hati hendak membeli dan membaca antara trilogi terhebat Arena Wati ini dahulu. Kali pertama digiat untuk membaca trilogi ini adalah ketika mengikuti MPR dalam tahun 2001 di Genting Highlands. Saya ingat lagi Abang Faisal Tehranilah (antara pembimbing MPR tahun berkenaan) yang bersungguh-sungguh menyuruh kami meletakkan trilogi ini dalam senarai buku mesti baca oleh calon penulis.

Mungkin waktu itu saya terlalu muda untuk menilai buku-buku malar hijau sebegini. Ditambah pula semasa itu saya masih lagi terpaksa mengharapkan wang saku dari mak ayah. Lalu, payah benarlah hendak membeli sekian-sekian buku. Mak ayah tidak menghalang jika saya mahu membeli buku apa sekali pun. Tetapi, waktu itu saya lebih tidak mahu membebankan mereka dicampur pula dengan tiada desakan yang menggila dalam hati untuk saya miliki buku berkenaan.

Jujur saya katakan disini, saya membaca trilogi ini bermula daripada buku ketiga, Sakura Mengorak Kelopak. Terus diterjah busur kenikmatan membaca. Isinya yang fanastik membuat saya terkedu beberapa ketika. Pak Arena memiliki suatu keistimewaan iaitu bercerita dan pemikirannya yang berbeza dalam sesuatu novel yang ditulisnya menghambat saya untuk setia membaca. Tidak saya nafikan novel Pak Arena memang berat (daripada segi isi, pemikiran malah timbangan bukunya kerana majoriti buku Pak Arena tebal-tebal belaka -- Kak Nisah Haron pun bersetuju dengan saya kerana katanya sesetengah buku Pak Arena perlu dibaca diatas rehal kerana tebal).

Justeru itulah sebenarnya kelazatan himpunan trilogi ini. Saya "kelelahan" untuk menghabiskan Sakura Mengorak Kelopak. Namun, sebuah perasaan malah terbit dalam sukma seusai saya menghadam buku berkenaan. Saya cari buku-buku lain dalam triloginya. Alhamdulillah saya terjumpa di DAWAMA, buku keduanya iaitu Kuntum Tulip Biru bersama Nasriah tahun lepas. Sekali lagi saya jatuh cinta.

Tapi, sayang sayang sayang buku pertama dalam trilogi ini malah tidak ada dan tidak pernah diulang cetak oleh DBP dan mana-mana rumah penerbitan. Ah, sayunya nasib buku di Malaysia. Buku yang baik seakan tidak pernah dihargai!

Jadi bolehkah anda membantu saya menjejaki buku pertama dalam trilogi ini yang diberi tajuk Bunga Dari Kuburan? Saya benar benar benar dan sangat sangat sangat sangat inginkan buku berkenaan. Saya tegaskan sekali lagi, saya INGIN MILIKI buku berkenaan. Jika anda ingin menjual naskah yang anda punya atau mungkin mengetahui dimana dapat saya beli buku berkenaan, saya minta benar anda khabarkan pada saya. Biarlah harganya sedikit mahal asalkan saya mempunyai trilogi lengkap buku ini.

Bantu saya ya! Oh terlupa lagi sebuah buku yang sedang saya cari adalah buku berjudul Enda Gulingku sebuah buku biografi Pak Arena. Tolong ya...!

Monday, September 01, 2008

Ramadhan Menjenguk Lagi


Suatu perasaan yang berbeza akan saya alami setiap kali kedatangan musim bulan Ramadhan. Perasaan yang bentuknya bagaimana, payah hendak saya perincikan di sini. Yang pasti, saya sukakan perasaan yang begini dan berdoa padaNYA agar ia kekal berada dalam pojok jiwa.

Ramadhan kali ini hendaknya kita sentiasa berada di bawah payungan rahmat Sang Maha Pencipta. Musim yang ditunggu-tunggu semua penduduk alam untuk menanam pahala dan menabur benih cinta pada DIA.

Selamat Menjalani Ibadah Puasa dengan hati penuh tunduk padaNYA buat semua pengunjung blog saya ini. Semoga bertemu kita dengan kemanisan Ramadhan itu bersama-sama. Insyallah! Amin...