Saturday, June 14, 2008

Ayah, Abah, Walid & Papa

Ayah saya mantan tentera laut. Oleh kerana itu, dia memang jarang berada di rumah seperti ayah kawan-kawan seusia dengan saya. Namun, saya tidak berasa sangat akan ketidakberadaan ayah di rumah hatta, saya sangat kecil sekali waktu itu. Ayah saya bersara awal daripada tugasnya sebagai tentera laut. Maka, usia kanak-kanak saya sentiasa sahaja bersama ayah.

Sejak ayah masih bekerja sebagai tentera lagi, waktu kelapangannya akan dipenuhi dengan upacara minum air tebu di pekan Sitiawan, Perak. Selain daripada itu, saya juga akan dibawa berjalan-jalan ke pasar malam mahupun ke mana sahaja dengan motor biru ayah (Motor biru itu pun masih ada di rumah kami di Kajang, cuma tidak boleh digunakan lagi). Selepas ayah pencen, kami berpindah ke Ipoh dan diwaktu ini ayah membeli sebuah kereta. Kereta merah pertama kami itu adalah kereta Mitsubishi Tredea berplat BCA 1662. Daripada bermotor biru kesana kemari, kami sudah bertukar angin naik kereta pula.

Abang-abang dan kakak memberi saya jolokan "anak ayah". Haha...saya hanya ketawa. Mungkin kerana saya yang paling bongsu dan kebetulan abang dan kakak semuanya ke sekolah berasrama lalu, perhatian itu lebih tercurah pada saya.

Lumrah seorang ayah lebih banyak memerhati daripada bersuara. Begitu juga ayah saya. Jika dahulu saya kurang dan agak takut untuk berkongsi segala permasalahan atau kusut dihati. Namun, sejak ke universiti oleh kerana pergaulan yang semakin melebar, saya lebih senang untuk berkongsi dengan ayah mengenai apa sahaja termasuklah hal-hal kecil sekalipun. Nyata pendapat yang diberi kadang-kadang lebih bernas dan lebih berkesan daripada pemikiran seorang anak yang bergelar perempuan.

Teringat banyak sungguh pengorbanan yang diberi ayah, membuat saya kadang-kadang sendu. Beliaulah orang yang beria-ia mengusahakan diri saya ke universiti, bersusah payah menghantar dan mengambil saya setiap hari pergi juga pulang dari Kajang-Shah Alam (sewaktu beliau belum mampu membelikan saya sebuah kereta), penyokong dan pendorong untuk saya sentiasa berjaya dalam pengajian (selain emak) dan bermacam-macam lagi.

Saya selalu melihat wajah beliau (juga emak) kini. Terutama sewaktu mereka lena tidur. Saya takut sekali saya tidak mampu dan sempat membalas semua jasanya. Apa yang mampu saya lakukan hanya hari-hari berdoa untuk kesejahteraan hidup, kesihatan yang baik, keimanan Allah SWT untuk mereka dan keredhaan daripada mereka untuk saya dalam menjalani kehidupan setiap hari.

Dua orang penting dalam kehidupan saya...Emak (Hjh Jaharah Yusof) & Ayah (Hj Yaakup Maakip)

Tuan Haji Yaakup b Maakip, semoga hidup kita bersama kekal berbahagia selama-lamanya. Selamat Hari Ayah!

0 comments: