Tuesday, August 21, 2007

Ke Puncak Gunung & Ke Hujung Benua

Saya di Puncak Gunung Mat Chincang, Langkawi

Sejak kembali menjadi pengusaha anggur, saya fikirkan saya punya banyak masa untuk iseng-isengan dengan diri sendiri. Banyak sekali perancangan telah saya fikir dan rancang semasa minggu terakhir sebelum menghantar resign letter kepada atasan saya. Dalam perancangan saya, saya ingin kembali aktif menulis dan membaca buku-buku yang sekian lama ini hanya sempat dibeli tapi tidak sempat untuk dibaca. Saya juga merancang ingin keluar membeli belah (almaklum Jualan Mega).

Gambar dari Puncak Gunung Mat Chincang, Langkawi

Namun apa yang terjadi sebaliknya. Saya tidak punya masa untuk diri sendiri. Hari pertama berhenti sahaja, saya sudah diajak ke Langkawi bercuti. Sebenarnya percutian ini sudah lama dirancang, cuma tunggu ayah dan saya punya kelapangan. Kebetulan, pada waktu yang sama ayah juga tidak ada urusan. Dalam keadaan yang agak suntuk, hotel ditempah dan kami pun berangkatlah ke Langkawi.

Bercerita mengenai Langkawi, kali terakhir saya ke sana adalah pada tahun 2005 bersama dengan rakan-rakan sekelas sewaktu menuntut. Keadaan Langkawi nampak sekali berbeza dengan kali terakhir saya ke sana. Gedung-gedung sudah tidak banyak menjual barangan dan harga pun boleh tahan mahal. Yang masih banyak dijual disini adalah coklat. Hehehe...Maka tak hairan lah kalau setiap kali ke pekan Kuah, pelancong menyerbu membeli coklat. Saya juga sama. Tambahan pula banyak sangat orang yang mengirim untuk beli coklat jenama inilah, itulah. Pokai sekejap saya kesana.

Sementara di Langkawi sempat juga saya bawa emak dan ayah ke Puncak Gunung Mat Chinchang menikmati udara dingin gunung. Bukan udara dingin itu yang buat saya teruja ingin membawa emak dan ayah tetapi, kerana perkhidmatan kereta kabel Langkawi. Saya ingin emak dan ayah merasa trill naik kereta kabel di Langkawi yang saya rasa antara yang terbaik di Asia Tenggara. Saya sudah merasa menaiki kereta kabel dari Mount Faber ke Pulau Sentosa seorang diri pada tahun lepas dan saya juga pernah menaiki kereta kabel di Genting Highlands. Namun di Langkawi, perasaannya berbeza lagi. Itulah pengalaman yang ingin saya kongsikan dengan emak dan ayah. Satu nasihat saya kepada anda yang ingin menaiki kereta kabel di Langkawi. Jangan lupa memperlihatkan mykad anda di kaunter tiket kerana pasti anda akan menikmati harga tiket yang jauh lebih murah daripada pelancong asing. Percayalah!.

Air Terjun Telaga Tujuh (Gambar diambil dalam kereta kabel)

Oleh kerana trill menaiki kereta kabel ini, emak sempat memaut erat lengan saya kerana ngeri melihat jurang dibawah kereta kabel kami. Saya dan ayah hanya gelak-gelakkan emak yang ngeri. Mak menjerit melihat saya bangun dari tempat duduk dalam kereta kabel berkenaan. Lagilah geli hati saya dan ayah.

Pemandangan Kereta Kabel dari atas puncak Gunung Mat Chincang

Menaiki kereta kabel Langkawi satu pengalaman yang menyeronokkan. Sepanjang didalamnya anda akan berasa dingin gunung menampar muka. Sewaktu naik anda akan melihat permandangan bukit bukau yang menghijau dan semasa turun pula anda akan melihat laut Selat Melaka yang membiru. Sewaktu dipuncak gunung nanti (jika gunung tidak berkabus tebal) akan jelas pemandangan anda ke Lautan Andaman dan pulau-pulau disekitarnya. Bukan itu sahaja, pada anda yang mungkin kehabisan bateri kamera dan terasa haus, kedai jualan menunggu anda dipuncaknya. Anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan massage kaki disini. Jadi kalau sakit kaki, bukan penghalang mahu kemari ya.

Keseronokan dalam kereta kabel

Saya berharap semasa di Langkawi (selain beli coklat), saya dapat buat Island Hoping tapi, apa hendak dibuat kepergian kali ini bersama dua warga emas yang lebih gemar bershopping daripada aktiviti fizikal sebegitu. Apa hendak buat...Nasib baiklah saya pernah merasainya dahulu bersama rakan sekuliah. Jadi, kalau anda ke Langkawi (dengan teman-teman yang muda lela), pergilah menikmati keindahan alam ciptaan tuhan dengan Islang Hoping.

Seusai ke Langkawi, sepupu saya beria-ia mengajak saya ke Pontian untuk menghantarnya bertandang ke rumah mertua. Sekali lagi perancangan saya tergendala. Kali ini ke Pontian saya berempat pula campur abang saya yang sulung (gambar kami berempat ada dalam antologi Tunas Karyawan 3 ye Yana).

Setiba di Pontian tiada apa yang menarik pada mulanya. Sekadar bandar kecil dan perkampungan nelayan. Namun abang saya berkeras mahu ke Kukup kerana katanya disana kita boleh melihat penghujung benua Asia.

Penghujung Benua Asia? Wow…saya teruja.

Penghujung Benua? Eh, betul ke ni?

Setibanya di Kukup, saya hairan. Kukup hanya sekadar sebuah perlabuhan pendatang yang ingin pulang dan pergi ke Tanjung Balai, Indonesia. Tiada tanda khas lagi special yang menandakan “Inilah Penghujung Benua ASIA”. Saya hairan dan dengan tiba-tiba baru saya teringat, rakan-rakan saya di Muzik FM tempohari pernah bersiaran secara terus-terusan dari Penghujung Benua Asia dan saya lihat sendiri gambar teman (DJ Faez Saripin) dengan bangga menyandar pada plat “Taniah anda di penghunjung benua”. Saya perlu ke sana. Saya perlu merakam pengalaman sendiri.

Taman Negara Tanjung Piai

Abang saya, Kharil, semacam faham dengan niat saya berpusing kembali mencari-cari lagi destinasi kami yang sebetulnya. Setelah berhenti, bertanya, berhenti dan bertanya lagi penduduk tempatan barulah kami sampai ke destinasi yang ingin kami sampai. Hampa sekali kami dengan usaha pihak setempat yang kononnya ingin memperkenalkan tanah terselatan ini sebagai tempat perlancongan seperti yang saya baca pada lobi hotel (semasa daftar masuk beberapa jam sebelum itu). Sepatutnya kawasan ke tempat berkenaan haruslah diperbanyakan papan tanda agar pengunjung tidak sesat sana sini. Sesuai juga dengan kempen melawat Malaysia 2007. Penduduk setempat juga diharap dapat memberi kerjasama anda kepada pengunjung luar. Hulurkan senyum yang ikhlas jika ditanya mereka ya…;)

Emak dan saya didepan tugu Taman Negara Tanjung Piai

Setelah hampir senja kami tiba ke tempat sepatutnya, Taman Negara Tanjung Piai, untuk melihat tanah paling selatan ataupun penghujung benua Asia. Sepatutnya tempat berkenaan sudah tutup tetapi, kerana ada rombongan yang masuk melihat, petugas berkenaan pun melepas kami masuk. Yang menarik, tiket pun tidak di caj pada kami. Hahaha…

Pada anda yang tidak mempunyai kekuatan fizikal, saya cadangkan anda lihat sahajalah gambar kembara saya ini. Bukan saya menghalang anda tetapi, untuk sampai ke lokasi papan tanda menunjukkan anda berada di penghujung benua sahaja anda harus berjalan 1.2 km pergi balik. Tidak boleh naik kereta kerana tempat berkenaan berada di paya bakau.

Taniah...setelah berpenat lelah berjalan, tiba di penghujung benua. Cey. macam dah sampai penghujung dunia je rasa...hehehe

Saya dan abang sahaja yang mampu menamatkan ekspedisi ke tanah terhujung benua Asia. Saya akui, saya pancit juga hendak ke tempat berkenaan. Ini kerana saya terpaksa jalan cepat memandangkan hari semakin gelap dan kawasan sekitar yang menyeramkan. Namun bila sudah tiba ke sana…tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ini. Sungguh mengasyikkan.

Sunday, August 19, 2007

Setelah Usai Majlis Diskusi MPR


Diskusi MPR 2007...mantan yang ceria belaka!

Usai sudah satu majlis yang sekian lama ditangguh-tangguh; Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2007. Majlis yang seakan dipandang sepi oleh pihak berwajib ini, sedikit sebanyak telah mengumpulkan graduan-graduan MPR yang selama ini hanya tahu nama, tahu karya...tak pernah bersua muka. Saya pasti yang paling bersyukur mestilah mereka yang telah berusaha keras tidak mahu acara ini dibatalkan sama sekali iaitu Saudari Ummu Hani, Ghafirah, Nasriah, Faisal Tehrani (sekadar menyebut beberapa nama), setelah pihak berwajib itu dengan banyak alasan dan kebanyakannya saya dengar, tidak logik sama sekali.


Mantan sedang mendaftar

Saya & Ummu yang "berdebar" menanti peserta diskusi

Maaf juga dari pihak urusetia dan ahli jawatankuasa (yang tidak pernah berjawatan ini) sekiranya banyak sekali kekurangan dalam majlis ini. Secara jujurnya, saya dan rakan-rakan yang lain diberi tugas last minute oleh Saudari Ummu Hani ahad lepas. Jadi banyaklah juga benda yang kecil-kecil kami terlepas pandang. Harap dimaafkan dan diberi tunjuk ajar yang sepatutnya rakan-rakan graduan senior juga sesiapa sahaja yang sudi hadir semalam.

Firdaus & Hidayah (MPR 2006)...ramai mantan 2006 datang berpasang-pasang ...tak lama lagi alumni MPR akan makan nasi minyak!

Pagi sebelum acara dimulakan, saya dan rakan-rakan yang lain sangat takut jika tidak ramai peserta yang akan ikut serta dalam acara diskusi ini. "Ketakutan" kami ini semakin beransur kurang bila melihat rakan-rakan graduan manaiki escalator, tersenyum melihat kami di meja pendaftaran. Yang pasti kredit perlu diberikan pada mantan paling meletopp…Kak Rai yang telah menjadi mantan senior pertama yang hadir. Selepas itu pula satu demi satu graduan senior mendekati meja pendaftaran. Yang paling mencuit hati bila melihat Kak Nisah Haron turun naik menghantar anak-anaknya ke meja pendaftaran. Betul kata orang, sudah berkahwin, punya anak bukan alasan tidak boleh aktif dalam penulisan dan acara-acara sebegini. Sekali lagi saya dilanda perasaan bersalah kerana sudah lama tidak aktif menulis. Selepas ini, insyallah semacam aura baru masuk menjengah diri untuk kembali aktif semula.

Adik-adik Ummu dari AMN Publication sibuk menyusun buku untuk jualan

Kulit hadapan antologi 9! (Boleh didapati di Ujanailmu)

Fahd Razy dan para pembentang...sempat lagi nak tunjuk muka di kamera si Fahd Razy ni...hehe

Selain diskusi novel, cerpen dan puisi adik-adik mantan MPR, pastinya jualan buku oleh Ujana Ilmu, AMN Publications dan rakan-rakan mantan yang lain menjadi acara sampingan. Yang paling mendapat sambutan hangat pastilah antologi 9! edisi 1. Karya 9! mantan MPR ini hanya mengambil masa beberapa hari sahaja untuk diterbitkan. Saya kira ini satu usaha yang baik untuk membuka mata pihak berwajib. Kepada mantan yang lain sekiranya berminat dengan antologi ini bolehlah mendapatkan naskah anda. Boleh kunjungi Ujana Ilmu untuk berbuat demikian. Duit anda itu bukan sekadar membeli antologi malah turut menyumbang kepada tabung MPR dalam usaha untuk menyatu padukan kembali warga MPR.

Hafezin: Apala yang dia baca tu erk?

Rosie: Aku pun dok pikir ni

Rai: Cover cun...ada orang ambik gambar aku nih...

Sepanjang acara berlangsung, saya tidak dapat begitu fokus sangat. Jadi acara yang saya beri fokus yang banyak adalah ketika acara mengenang Hizairi Othman. Ada diantara adik-adik mantan MPR edisi baru tidak mengenali Hizairi. Ada yang tertanya pada saya siapa tu kak…siapa tu kak?. Terpaksa pula saya menerang satu-satu agar mereka kenal dengan Hizairi. Naskah yang dibaca oleh Kak Rai, Kak Rosie, Abang Hafezin dan Abang Khairul (eh…betul ke nama dia ni?) mencuit rasa. Sejujurnya saya suka karya berkenaan. Mungkin gaya penceritanya yang baik barangkali dan sememangnya naskah itu juga sangat baik saya kira, maka, semuanya nampak baik-baik sahaja.

Juruacara yang "ada apa-apa"...hehe!

Saya teruja. Teruja kerana hampir semua pembimbing saya di MPR 2001 (Genting) semuanya ada. Daripada Abang Faisal, Kak Rai, Kak Rosie, Abang Saharil, Kak Salina, Kak Ade Irma, Abang Ridzuan, Abang Hafezin semuanya ada. Melihat mereka semua (walau sudah banyak berubah bentuk dan saiz...hehe!) membuatkan kenangan MPR di Genting menerobos ingatan pula.

Penulis buku motivasi PTS (Hidup Zero Alasan) Rehan dan saya waktu makan tengahari. Terima kasih yer Rehan ikut serta diskusi ni. Tahun ni masuk la MPR yer...

Selepas diskusi, ada sedikit meeting dengan semua mantan. Tak sangka saya pun sudah dikategorikan orang tua oleh Abang Faisal Tehrani (Hehehe). Mana tidaknya, kebanyakan mereka dalam dewan berkenaan masih lagi pangkat adik-adik dengan saya. Malu juga diperkenalkan sebagai penulis lirik kerana saya pun masih cuba-cuba lagi. Pendapat abang saya (Mohariz) pun, lirik saya masih teruk. Hehehe.

Firdaus , Azree Ariffin, Saya, Yana, Hidayah dan adik MPR 2006...(maaf nama tak ingat)

Azizul Ikhwan (Ode), Azree Ariffin dan Saya. Dua mantan MPR yang mula saya kenali di internet. Sekarang dah jadi "adik-adik" saya di alam nyata!

Jumpa lagi! ;)

Sunday, August 12, 2007

Diskusi Karya Alumni MPR 2007


Urusetia Diskusi Karya Alumni MPR sedang berbincang

DISKUSI KARYA ALUMNI MPR NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan sukacitanya menjemput para penggiat dan peminat sastera ke program DISKUSI KARYA ALUMNI MPR 2007 (NOVEL, CERPEN DAN PUISI) yang akan diadakan pada 18 Ogos 2007 (Sabtu) bertempat di DBP. Maklumat lanjut berkenaan diskusi tersebut adalah seperti berikut:


TENTATIF DISKUSI KARYA ALUMNI MPR NOVEL, CERPEN DAN PUISI 2007


TARIKH : 18 OGOS 2007

TEMPAT: DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KL

MASA: 9.00 PAGI HINGGA 4.00 PETANG



9.00 PAGI - PENDAFTARAN

9.20 PAGI - UCAPAN PENGERUSI MAJLIS DAN BACAAN DOA

9.30 PAGI- DISKUSI NOVEL



NOVEL 1- JUSTERU IMPIAN DI JARING KARYA ZAID AKHTAR

PEMBENTANG : DR KAMARIAH KAMARUDDIN (UPM)


NOVEL 2- LADANG HATI MUSTIKA KARYA UMMU HANI ABU HASSAN

PEMBENTANG ; PROF MADYA AMIDA ABDUL HAMID


NOVEL 3 - MISI PIRAMID KARYA IDA MUNIRA ABU BAKAR

PEMBENTANG : DR MISRAN LOKIMIN



11.30 PAGI - BERKONGSI PENGALAMAN DENGAN PENULIS NOVEL

PEMBENTANG : ZAID AKHTAR

UMMU HANI ABU HASSAN

IDA MUNIRA ABU BAKAR



12.30 PETANG - REHAT DAN MAKAN TENGAH HARI


2.00 PETANG - DISKUSI CERPEN DAN PUISI



SESI SATU (CERPEN)

PEMBENTANG : SAUDARA SM ZAKIR


CERPEN :

1.
J e Zu Be (Ummu Hani Abu Hassan) Dewan Siswa 2007

2. Surat Buat Kristina (Ghafirah Idris) Dewan Kosmik 2007

3. Selembar Sejadah di Lantai Madrasah ( Salman Sulaiman)

4. Mencari Qudwah (Ainunl Muaiyanah Muhd Sulaiman) Dewan Siswa 2006

5. Mati Pasti Menang ( Abdul Rauf Baharuddin) Tunas Cipta 2005

6. Sayang Si Mamat (Nur Afiqah Abu Samah) Tunas Cipta 2006

7. Ustazah Es (Amir Muhkriz) Antologi Kudeta

8. Warkah Perang Melaka (Khairul Nizam Raub)

SESI DUA (PUISI)

PEBENTANG : SAUDARA RAHIMIDIN ZAHARI


PUISI:

1. Menyembelih Haiwan (Fahd Razy) Dewan Sastera 2006

2. Mantera Ababil ( Azizul Ikhwan) Tunas Cipta 2005

3. Kasih Siapa (Nurul Iman Dashuki) Dewan Siswa 2006

4. Segugus Kunci ( Nissa Yusuf) Utusan Melayu 2007

5. Nyanyian Seorang Teman (Azree Arifin) Dewan Siswa 2007

6. Tangisan Luka (Farahana Hussain) Tunas Cipta 2006

7. Kisah Kasih II (Mohd Hafiz Abdul Latiff) Remaja 2005

8. Azam Baru (Nimoiz TY) Dewan Sastera, 2007

9.Salam Buat Nablus II (Khairun Nasriah Abdul Salam)

10. Bukan Remang Sangka (Ida Munira Abu Bakar) Tunas Cipta 2006


4.00 PETANG- MINUM PETANG DAN BERSURAI

***Kepada yang berminat untuk menjual buku pada hari diskusi berkenaann bolehlah berhubung dengan Saudari Ummu Hani Abu Hassan. Harap Maklum.

***Diharap anda semua penggemar dan penggiat sastera bukan sahaja alumni MPR boleh turut serta dalam acara ini.