Tuesday, November 25, 2008

Membaca, Buku & Kanak-Kanak


Koleksi Harry Potter saya!

Saya tidak ingat pasti bila saya mula jatuh hati dengan membaca. Namun, saya masih ingat utuh dalam memori akan sebuah buku bertajuk "Bawang Merah, Bawang Putih". Buku itu sememangnya menimbulkan kenangan yang kejap di ruang ingatan kerana buku itulah yang mengasak saya untuk baca dan baca dan baca lagi. Buku keluaran Dewan Bahasa Dan Pustaka berkulit warna ungu itu saya temui lagi di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Kuala Lumpur. Mengimbau kenangan semasa saya masih anak-anak. Yang membuat saya lebih terharu, saya masih ingat akan ilustrasi Bawang Merah yang menangis memanggil ikan kaloi di tepi perigi sambil diintai emak dan adik tirinya. Aduhai!


Setelah saya menginjak umur lingkungan 10 tahun, saya sudah mula menguliti novel-novel awal remaja dan kanak-kanak keluaran Edusystem Sdn Bhd atau lebih dikenali melalui kelab membacanya yang popular ketika itu, Kelab Buku Kenari. Saya terjumpa sekian banyak koleksi buku kelab ini tempohari ketika sibuk mengatur semula buku pada rak di bilik saya. Oh, baru saya teringat bahawa saya pernah diterbangkan imiginasi pelbagai penulis dengan cerita fiksyen sains, kekeluargaan dan misteri. Mungkin mereka yang pernah juga membaca buku kelab ini masih teringat nama-nama penting seperti Adi Al-Hadi, Ghazali Ngah Azia, Ghazali Tocheh, Samsuri A Hamid, Razali Mohd Hassan, Nabila Akmal dan ramai lagi.


Tidak malu saya katakan mereka inilah yang telah mewarnai kehidupan awal remaja dan akhir kanak-kanak saya dengan pelbagai kisah yang saya kira waktu itu sangat mengesankan jiwa muda saya. Walau bagaimanapun, nama kelab itu tidak lagi saya dengar setelah menuntut di sekolah menengah. Mungkin kegawatan ekonomi tahun-tahun awal saya di sekolah menengah telah membawa kepada penutupan kelab membaca yang banyak menyuntik semangat membaca dikalangan saya dan teman-teman.


Kini, anak dara abang saya yang sulung sudah pandai menyelongkar rak buku saya mencari novel untuk pembacaannya. Malah, dia selalu juga kini menanyakan buku mana yang harus dibaca dan buku mana yang menarik. Anak ini juga sudah pandai menanyakan saya bagaimana untuk menulis sajak dan mengarang karangan yang berkesan untuk menduduki peperiksaan UPSR yang bakal mendekat. Saya rasa sangat terharu dengan pertanyaan-pertanyaannya.


Sesungguhnya dirumah tiada buku-buku awal remaja dan kanak-kanak yang terbaharu untuk bacaannya. Jika ada pun sebuah buku keluaran PTS yang saya dapat ketika mengendalikan segmen novel di PUTRA FM. Lalu, buku itu saya berikan terus untuk bacaan anak buah saya ini. Juga tidak dilupakan buku-buku kelab buku kenari yang telah mewarnai saban hari saya dahulu. Setiap minggu kutub kanah kecil saya dalam bilik akan menjadi tempat dia meminjam dan memulangkan buku. Saya pernah bersuara agar dia mengambil semua buku-buku tersebut tapi, dia tidak pernah mengiakan atau menidakkan. Mungkin pada firasatnya meminjam daripada saya lebih mendatangkan mood membaca yang berlebihan. Entahlah...


Kalau saya ke kedai buku kini, selalu juga saya mendatangi rak bacaan kanak-kanak. Kadang-kadang datang juga niat untuk membelinya kerana reka letak dan warna yang digunakan untuk buku bacaan kanak-kanak sangat fancy. Berbeza dengan buku-buku yang saya punya dan pernah saya baca dahulu. Warnanya dull dan tidak mendatangkan semangat untuk membaca. Oleh sebab inilah, buku-buku bacaan yang baik-baik sering tidak dibaca dan dijumpai kerana dilitupi oleh warna-warna yang tidak menarik pembacanya.


Namun, tidak semestinya kulit yang cantik sahaja memberi kisah yang baik kepada pembaca muda sebegini. Timbul juga keraguan di cepu jiwa sekiranya buku yang dibeli hanya sekadar membuang wang yang tidak seberapa di kantung saya. Pemilihan saya untuk buku kanak-kanak seharusnya bukan sahaja berwajah cantik tetapi, mendatangkan kesan kepada mereka tanpa perlu keluarga atau ibu bapa menerangkan buku ini tentang apa untuk apa. Tidak mahulah pula saya memberi buku yang hanya merasuah keinginan bukan-bukan dan hanya membuang masa anak-anak muda sebegini.


Saya rindukan adanya sebuah kelab membaca seperti yang saya sertai dahulu. Setidak-tidaknya dengan katalog (selain potongan harga yang menarik) mereka yang lebih dewasa akan mengetahui apa yang terbaik untuk kanak-kanak mereka. Jadi, tidak timbullah masalah kesalahan memilih bacaan yang sesuai.


Anda tahu buku kanak-kanak tempatan yang baik untuk anak-anak buah saya? Silalah beri cadangan, ya!

2 comments:

Anonymous said...

Saya pun dulu, zaman kanak-kanak saya diwarnai oleh buku-buku terbitan Kenari. Dan sampai sekarang, saya masih ingat lagi buku pertamanya yang saya baca ketika di darjah, erm, rasanya darjah dua atau tiga kot. Tajuknya, Hilangnya Tempat Bermanja oleh Osman Dol. Memang sangat-sangat mengesankan jiwa saya waktu itu. Semenjak itu saya memang menjadi pencandu buku-buku terbitan Kenari.

Cadangan untuk buku kanak-kanak buat anak buah Kak Hanie, saya cadangkan, tentunya, novel kanak-kanak Abg Faisal Tehrani, Nama Beta Sultan Alauddin. Selain itu, novel-novel dalam siri sejarah Islam tulisan Abdul Latip Talib juga baik. Walaupun novel-novelnya sebenarnya adalah novel dewasa, tetapi kerana laras bahasa yang digunakan adalah mudah, serta plotnya tidak berbelit, jadi ianya memang sesuai dibaca oleh semua peringkat umur.

hani salwah yaakup said...

Aidil,

Terima kasih atas cadangan yang menarik. Nanti akan dicadangkan pada anak buah kak hani.