Friday, March 07, 2008

Keputusan Yang Ke"Putus"an

Saya belum buat keputusan lagi! Semacam keyakinan yang maha bulat itu tidak mahu menyinggah lagi. Barangkali belum didatangi ilham, agaknya (Wah, saya seperti Pak Lah pula mahu tunggu ilham untuk bubarkan parlimen). Entahlah dalam jangka masa kurang lebih 48 jam ini bisakah saya memilih parti mana yang patut dipangkah. Aduh, kacau juga itu.

"Marilah mari, pergi mengundi...Lalala"

Menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara yang bertanggungjawab ini tidaklah semudah menanyikan lagu "marilah mari pergi mengundi, tunaikan kewajipan pada negara". Tidak juga seperti mengambil bahagian dalam kuiz silang pangkah atau mencuba nasib dalam "gores & menang". Semua keputusan di meja memangkah nanti tergantung kepada minda yang sihat dan penilaian yang tepat. Bukan main "o som" dan hanya berharap pada nasib.

Saya bercampur dengan mereka yang menyokong sesebuah parti ini. Namun tidak semestinya saya akan cenderung untuk memilih parti tersebut sebagai parti yang akan memerintah negara. Penilaian saya dalam memangkah masih juga terpulang dengan manifesto (parti & calon) dan individu yang dipilih sebagai calon. Saya bukan orang yang melulu sahaja meletak kepercayaan, kesetiaan dan masa depan saya pada mereka yang saya fikir tidak dapat memakmurkan negara kita.


Tersentuh jiwa saya dengan pernyataan Pak Habib (Syed Hussein Al-Attas) ketika sama-sama berbicara mengenai piliharaya (dalam rancangan Penulis Wanita di Wanita FM bersama Zainal Din Zainal dan Kak Nisah Haron). Kata beliau ada pemimpin yang dilahirkan sebagai pemimpin dan ada juga pemimpin yang belajar untuk jadi pemimpin. Namun, katanya pilihlah pemimpin yang berilmu insyallah nescaya orang yang berilmu ini mampu berkongsi dan menggunakan ilmunya dalam memakmur dan mentadbir.


Sekaligus memberi contoh seperti Bung Karno (Soekarno Hatta), mantan presiden Indonesia yang pertama. Lihatlah bagaimana Bung Karno mampu memberi pengucapan awam yang berkesan hingga pencopet sekalipun dizaman itu bisa duduk diam, kaku mendengar ucapannya yang mampu menggugah perasaan cinta, setia dan sedia berkorban hanya untuk negara (bila beri contoh sebegini, saya akan pasti teringat babak ini dalam filem
Naga Bonar Jadi 2). Masihkan ada pemimpin sebegitu di Malaysia ini? Saya harap kita masih ada seseorang yang layak menjadi pemimpin sekaligus menimbulkan kembali rasa sebegini dalam masyarakat kita. Rasa dan perasaan yang semakin pupus hari demi hari dek kerana perbezaan parti.

Itu belum lagi bercerita mengenai kempen pilihanraya. Sebagai salah seorang yang mempelajari media secara mendalam terutama mengambil pengkhususan penyiaran, saya sangat berasa sedih, jengkel dan muak dengan kempen sebuah parti ini. Memang sudah diperuntukan SPR semua parti dibenarkan untuk berkempen habis-habisan sepanjang masa dua minggu ini. Namun jika iklan meng"kempen" ini sudah jadi hampir 10 minit sekali, rasa menyampah pula timbul.


Salah satu cara berkempen tahun ini

Tidak perlulah saya perturunkan teori komunikasi dan konsep penyiaran yang saya pelajari. Malah anda sendiri yang mungkin tidak punya ilmu ini pun tahu apa sudah jadi dengan tivi dan penyiaran kita. Belum lagi saya sentuh medium yang lainnya pula. Anda yang bijak-bijak dianugerahkan Allah SWT dengan akal fikiran ini pun pandai untuk menilai.

Saya belum buat keputusan lagi. Saya berharap agar saya bangun esok pagi-pagi, keputusan itu sudah menyelinap dalam diri. Ataupun mungkin tengah malam ini seusai 12 malam setelah mendengar kempen-kempen setiap parti, hati ini disinggahi alamat yang paling tepat.

Untuk anda, tunaikanlah kewajipan. Jadilah masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian negara. Kitalah yang akan menentukan hal tuju negara tercinta.

1 comments:

Anonymous said...

Jangan lupa buat istikharah sebelum turun mengundi nanti.
;-)