Wednesday, March 19, 2008

Hari Lahir, Donut J CO & Peluang Kerja

1) Hari Lahir & Donut J CO

Kesibukan membuatkan saya semakin kurang punya masa untuk keluarga dan teman-teman rapat. Semakin ke akhir semester ini, bertambah pula beban tugas yang dihulurkan tenaga pengajar di institusi bernama menara gading. Namun, semua ini tidak wajar andai saya jadikan alasan kerana pilihan untuk menyambung pengajian ini juga pilihan hati sendiri dan sememangnya saya memang gemar menghabiskan masa dengan menambah ilmu didada sebelum masa menambah usia diri ini.

Kebetulan hari minggu lalu, seorang teman rapat mengajak saya keluar meraikan hari lahirnya. Pada mulanya saya teragak-agak membuat keputusan untuk keluar. Setelah menimbang mana yang patut dan perlu, kaki ini laju saja melangkah ke sekitar Bukit Bintang dengan masa yang hanya diperuntukan sekian sekian jam. Teman saya agak sedih kerana saya hanya dapat meluangkan masa yang sedikit. Untuk memujuk teman ini saya terpaksa membawanya berjalan iseng disekitar gedung membeli belah dan ke Pavillion.


Comelnya Cupcakes!

Walaupun kali ini saya tidak punya masa yang banyak, saya ingin si teman berasa senang dan seronok meluang hari minggunya bersama saya. Lalu, saya buat keputusan untuk sama-sama meraikan hari lahirnya itu dengan menikmati donut J CO di Pavillon yang ternyata sudah menambat hati saya. Sungguhpun tiada kek cawan yang cantik mahupun kek biasa yang menarik, kami masih ada donut yang gebu sedang-sedang dan rasanya yang menikam kalbu.


Donut J CO...Nyum nyum!

Pada mulanya saya fikirkan donut gebu-gebu manja ini datangnya dari benua nun disebelah sana. Rupanya telaahan saya salah. Menurut salah seorang teman yang sempat menjalani latihan praktikumnya di Jakarta Post, Donut JCO asalnya adalah dari Indonesia. Kisah bagaimana beliau boleh menjual donut bermula apabila menunaikan hasrat isterinya membawa seorang chef dari negara atas angin untuk mencipta donut yang lebih sedap rasanya. Mahu tahu kenapa? Isterinya menurut cerita sangat gemarkan donut, jadi dengan cara ini diharapkan isterinya akan mendapat pelbagai jenis donut dan donut yang dihasilkan boleh tahan lebih lama (tidaklah seperti donut dari sebuah syarikat antarabangsa yang boleh menjadikan dinding retak apabila dibaling setelah dibiarkan beberapa jam!)

2) Peluang Kerja

Setelah meninggalkan dunia penyiaran, tiba-tiba sepucuk surat lamaran datang menjengah. Pada mulanya saya semacam tidak percaya kerana saya sudah menantikan lamaran ini hampir setahun. Namun, setelah menyedari hakikat bahawa saya juga sedang dilamun cinta dengan pengajian saya kini, impian ini menjadikan kekusutan dalam relung jiwa pula.

Sungguh pun kerjaya yang dijanjikan belumlah muktamad menjadi hak milik diri, namun andainya saya lolos dalam temuduga yang terakhir ini, mampukah saya membiarkan impian saya yang sekian lama saya mimpikan hanya tinggal kenangan dengan melepaskan dan meredhakan dia pergi begitu sahaja? Atau jika saya ambil kerjaya ini nanti mampukah saya jalankan kedua-duanya? Maksud saya kini pelajaran dan pekerjaan sebagai seorang penerbit rancangan di sebuah radio?


Sungguhku merindui saat-saat ini...Aduh!

Kekeliruan dan kerisauan ini semakin merantai diri apabila peluang untuk meraih tempat sebagai juruhebah di stesen radio RTM memberi ruang pada diri yang sekian lama ingin membuktikan kemampuannya. Argh...kacau juga diri ini memikirkannya. Atas cadangan rakan-rakan yang saya adukan persoalan ini, Insyallah, akan pergi juga saya kedua-dua lokasi yang telah ditetapkan. Mahu cuba nasib saya yang selalu tidak bernasib ini. Haha.

Doakan ya!

6 comments:

rai said...

Apa bubuh gambar2 donut nih?Mujur bukan bulan pose....hehehe!

Anyway selamat membuat pilihanraya dan keputusan demokrasi dalam diri sendiri!

hani salwah yaakup said...

Kak Rai,

Sebab tau kak rai nak mai la tu yang saja letak gambar donut & cupcakes tu...kasik terliur skit...hahaha...mmg JCO Donut tu sedap...pi la try.

Mengenai pilihanraya, ni tgh sibuk berkempen sebelum tiba pilihanraya...harap2 keputusan demokrasi pada diri tu adalah pilihan yang tepat!

Apa-apa pun terima kasih untuk kata-kata perangsangnya!

Wan Nor Azriq said...

Donut JCO memang sedap, tapi saya suka Dunkin Donut kagi :)

hani salwah yaakup said...

Azriq,

Mungkin lain org lain pandangannya...tapi, bagi saya Dunkin kalau biar sejam je dah keras skit...tapi biasala lain orang lain pulak kegemarannya...hehe ;)

Wan Nor Azriq said...

hehe janganlah biar donut keras, makan terus waktu beli. :)

hani salwah yaakup said...

Baiklah ;)