Saturday, January 26, 2008

Jika Harus Memilih

Seorang teman baik saya menolak tawaran ke KPLI (Krusus Perguruan Lepasan Ijazah) baru-baru ini. Semua pihak termasuk keluarga marah pada teman ini sehingga dia bagaikan tertekan dengan keputusannya sendiri. Saya juga akui memang sedikit keliru kenapa beliau sanggup melepaskan peluang itu. Padahal beliau sudah pun meletakkan jawatan beliau sebagai sub-editor di sebuah "surat khabar" tempatan semata-mata ingin mengejar peluang tersebut pada mulanya.

Kesibukan yang terlalu setelah bergelar "pelajar" banyak sekali membataskan saya untuk tahu cerita lebih lanjut daripada mulut beliau sendiri. Cuti baru-baru ini barulah saya berpeluang untuk menemuinya. Katanya, setibanya di kampung halaman beliau menyedari bahawa profession perguruan bukanlah sesuatu yang dikejarnya. Dia tidak mahu menjadi guru semata-mata kerana gajinya yang agak baik dan pekerjaannya tetap. Teman ini juga tidak mahu hanya jadi guru "25 haribulan". Beliau tidak ada "passion" untuk semua ini. Keputusan menerima KPLI ini akan membuatkan dirinya terbelenggu dan terhimpit dengan bebanan yang tidak sudah-sudah yang sudah pasti tidak datang dari hati. Akhirnya dia takut "anak didik" hanya jadi pelepas sahaja dan bila ditanya Allah SWT nanti beliau gentar apabila tidak mampu menjalankan tanggungjawab ini sebaiknya.

Saya bukanlah penasihat yang baik. Apa yang boleh saya lakukan hanya mendengar keluhan teman baik saya ini satu persatu. Memang benar apa yang saya sempat pelajari sewaktu mengambil subjek psikologi semasa menuntut diploma dahulu. Seseorang yang dilanda masalah bukan semuanya hendak permasalahanya disudahkan tetapi, lebih untuk meluahkan perasaan. Jadi apa yang boleh dilakukan sebagai pihak ketiga hanyalah menjadi pendengar yang baik.

"Confuse...confuse. Mana satu nak pilih ni?"

Baiklah, ke masalah teman ini semula. Keluarganya memulaukannya hampir seminggu. Semua marah sangat kerana teman ini menolak "gading bertuah" dan kembali menjadi "orang surat khabar". Kata teman ini semua ahli keluarganya tidak pernah faham apa yang dia mahukan dalam hidup ini. Semua yang dilakukan olehnya dipandang negatif. Mengambil jurusan komunikasi massa di UiTM sahaja dikatakan tidak bermasa depan apatah lagi, menolak jurusan pekerjaan yang dikatakan "selamat" dan "tetap" ini.

Tanggapan masyarakat yang menggangap profession perguruan sebagai profession "selamat", "tetap" dan "bergaji baik" ini yang menjadi punca kenapa ramai anak murid kini tidak menjadi. Apa lagi berilmu dan berakhlak. Yang paling teruknya pengajaran KOMSAS yang dikatakan akan menjadi payah jika menggunakan teks karya Sasterawan Negara! Ini semua kerana guru-gurunya yang hanya berpegang kepada prinsip diatas (Baca: Bukan semua guru sebegini. Kepada guru-guru yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, terima kasih banyak!).

Kepada teman saya ini (anda tahu siapa anda). Jujur saya katakan saya hormat dengan keputusan anda yang bertindak bijak dengan tidak menjadikan profession perguruan ini sebagai batu loncatan untuk mendapat "kenikmatan yang hanya sementara". Memang payah untuk membuat pilihan yang tepat dalam hidup dan kehidupan yang semakin membelit. Tambahan pula jika keputusan itu akan menjadi punca petelagahan antara kita dan keluarga. Yang penting jika kita yakin dengan keputusan kita (setelah meminta petunjuk Yang Maha Kuasa) maka, laluinya dengan tenang. Lama kelamaan jika keluarga lihat kita sudah berjaya dengan profession yang kita pilih, mereka akan sedar juga!.

Kisah teman ini banyak menyedarkan saya dalam hal membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan sendiri. Setakat ini, Alhamdulillah semua keputusan yang dibuat disokong ayah bonda dan mendapat restu Allah SWT, saya kira. Semoga keputusan-keputusan yang akan saya buat dimasa hadapan moga akan terus ada DIA yang memberi petunjuk dan rahmat!.

0 comments: