Monday, November 12, 2007

Separuh Akhir Juara Lagu dan Kasihnya Balqis

Saya dan Mohariz Yaakup di MACP Dinner 2006
(Gambar diambil oleh Abang Azlan Abu Hassan)


i) Kisah Kasihnya Balqis

Sehari sebelum pertandingan Separuh Akhir Juara Lagu kategori Etnik Kreatif, Saya, Abang Dee(Adnan Abu Hassan) dan Abang Saya (Mohariz Yaakup) sempat berborak mengenai pertandingan keesokkan harinya. Semua daripada kami beranggapan lagu "Kasihnya Balqis" tidak mampu untuk ke peringkat akhir. Keyakinan ini timbul kerana penyanyi lagu tersebut, Aishah sudah seminggu menghidap demam teruk dan mengalami masalah tekak. Jadi tiada harapan yang digantungkan untuk lagu berkenaan. Ditambah lagi dengan pencalonan lagu-lagu yang kebanyakannya memang hebat, Abang Dee dan Abang Mohariz dengan yakin tidak akan hadir ke majlis berkenaan.

Jadi, kami semua duduk bersantai menonton pertandingan tersebut lewat tivi sahaja dirumah. Emak dan ayah menaruh kepercayaan pada lagu mereka. Kata emak dan ayah mereka mungkin akan ke final. Saya hanya gelak dan tidak berkata apa-apa. Mendengar Aishah yang menyanyi kurang "um" menambahkan keyakinan dalam hati bahawa lagu ini tidak akan ke final.

Kalah ke final bukan perkara baru dalam diari Juara Lagu bagi mereka. Sudah berkali-kali lolos ke separuh akhir namun kesempatan hendak ke final masih belum punya. Sebelum ini gabungan Adnan Abu Hassan dan Mohariz Yaakup berkali-kali dicalonkan dengan lagu daripada Misha Omar lah, Aishah lah, Nassier Wahab lah, Khai lah dan nama-nama lain. Namun satu pun tidak sangkut.

Agaknya benar juga kata orang, sesuatu perkara kalau kita terlalu berharap, selalunya tidak dapat. Yang kita harapkan sekadar sahaja itu lebih berjaya. Maka inilah yang terjadi pada mereka bertiga (Abg Dee, Abg Mohariz dan Kak Aishah). Kalau rezeki sudah dicatatkan Sang Maha Pencipta itu untuk mereka, jadi hak mereka juga.

Tahniah untuk lagu Kasihnya Balqis yang berjaya ke final Juara Lagu. Agaknya sudah jadi rezeki anak-anak mereka barangkali!

ii) Lirik lagu

Sepanjang separuh akhir berkenaan, berkali-kali saya cuba pasang telinga mengerti makna yang cuba disampaikan oleh si tukang kata bagi semua lagu yang dipertandingkan. Berkali-kali juga saya naik semput (walau tiada semput) mendengar lirik-lirik itu.

Apa yang mereka ini cuba nak bagitau khalayak kita?

Kalau yang baik malam tersebut, terlampau-lampau baik sangat sampai saya naik pening mendengar perbendaharaan katanya. Hanya perbendaharaan kata sahajalah yang saya dengar. Maksud, minta maaflah saya tak mengerti sepatah haram pun.

Jadi, bagaimana lirik yang baik untuk pendengar kita? Selain isinya janganlah asyik asmara cinta, rindu setia dan berkocak-kocak gelodak jiwa?

Bagi mata renung saya ini, kita mendengar lagu bukan seperti kita menelaah sebuah buku atau puisi yang mana kita punya masa lama untuk berfikir itu ini. Selalunya kita mendengar lagu ketika sedang melaksanakan tugas lain seperti memandu. Jadi, liriknya kita dengar pun sepintas lalu. Justeru kata-kata yang terpilih dalam sesebuah lirik haruslah mudah dan terus sampai kepada pendengar sekali sahaja mereka mendengar dan ini secara tidak langsung akan merangsang mereka untuk dengar dan dengar lagi.

Saya mengerti kemungkinan si tukang kata yang besar perbendaharaan katanya itu mahu memartabatkan bahasa. Saya sokong niatnya itu. Malah menggalakkan. Namun sahabat, kalau setiap perkataan anda itu terlalu arkaik atau klasik, justeru dikesudahan si pendengar mendengarkan lagu itu apa yang akan mereka peroleh? Saya fikir, hanya melodi indahnya sahajalah dan anda pula gagal menyampaikan maksud lirik anda tersebut.

Cuba anda dengar lagu klasik kita. Gurindam jiwa sebagai contohnya. Perbendaharaan katanya biasa sahaja tidak perlu perkataan bombastik ala fanastik. Kemurnian, kehalusan bahasa kita itu tersampai juga ke hati pendengar malah maksudnya juga difahami mereka. Malah jangka hayat lagu itu juga bertahan lama.

Jadi fikir-fikirkanlah...

0 comments: