Sunday, December 25, 2011

Ironi


Ironi

Penghujung musim lalu

ada belati paling tajam

kau tusukkan pada rasa

yang cuba kuberikan padamu


Jiwaku membuak merah

menghambur resah duka

kempis hilang cinta


Penghujung musim ini

tiba-tiba kau tawarkan manis

dari seberkas rasa kasih

yang kau temui lewat kembaramu

mencari tenang jiwa


Hatiku semerbak harum

kembang mewarnai taman


Ironi…


Alamanda, Putrajaya

Friday, December 23, 2011

Kadangkala


Kadangkala bukan mudah
untuk kembali
menjadi aku
ketika kau mengutip kembali
serpihan hati yang berterabur
dan memintaku untuk
mencantumnya semula

Kadangkala bukan payah
tetapi
mungkin ku bimbang
cantuman itu nanti akan
melukakanku kembali


Kajang, Selangor

Hani Salwah Yaakup

*Gambar dari sini

Friday, October 14, 2011

Rahsia (Untuk B)


Bila kata-kata
menjadi terlalu kecil
daripada senyum dan pandang mata
ketika cinta berteriak
menalun relung jiwa
sepasang manusia
yang berahsia di hujung hati

13 Oktober 2011
FST,UKM

Thursday, October 13, 2011

Kesunyian


Waktu malam menjelang
dan ketika bulan bersinar terang
ku harapkan sepasang tangan awan
datang mendakap
dan memberi dingin padaku
yang terdiam kaku
dan mengintai
rasa dalam kalbumu

Hani Salwah Yaakup
13 Oktober 2011
Kajang, Selangor

Saturday, September 24, 2011

Kembali Ke Sana!


Kembali semula untuk belajar (lagi dan lagi dan lagi).
Insyallah semoga dipermudahkan segala-galanya. Amin :)

Friday, August 19, 2011

Tentang


Tentang
diri kadang-kadang
tak pernah pasti

Tentang
rasa yang bergema
di langit malam
tak ada jawapannya

Hidup ini
yang pastinya adalah
mengenai tentang yang lainnya
bila pastinya untuk sendiri?

19 Ogos 2011
Kajang, Selangor

*Foto dari sini

Wednesday, August 10, 2011

PPN V, Palembang

Alhamdulilah sempat ke Palembang sebelum ramadhan lepas untuk acara Pertemuan Penyair Nusantara. Insyallah kalau ada rezeki, mahu kembara ke tanah Ujung Pandang atau Makassar. Semoga dipermudahkan dipertemukan dengan jodoh...eh...silap...kerja. Jadi adalah duit untuk berjalan mencari ilham yang bergelimpangan di sekitar udara yang mengapung.

Di Pintu Gerbang, Bukit Siguntang, Palembang

Kami bersama-sama dengan SN Muhammad Haji Salleh ;)

Jambatan Ampera, Palembang


Wednesday, July 13, 2011

Segarit Senyum


Ada matahari bersorak riang dihujung sana
menyambut sebuah senyum
yang sudah lama hilang
di hujung hati seorang perempuan

Kajang
13 Julai 2011

*Gambar dari sini

Monday, July 04, 2011


Tidak ingin kuingati
tentang kisah
sebuah cinta yang tidak pernah
akan bertemu
di antara ruas buku, tinta dan aksara

*Gambar dari sini

Wednesday, June 01, 2011

Sepucuk Surat Kepada Aku


Telah kulipatkan surat
ke dalam sampul kelabu

Padanya
kutulis alamat sendiri
lalu kumasukkan ke peti pos
dan berjalan pergi

Meski telah jauh
isinya masih kuingati
"Kupulangkan cintaku pada diri
setelah kurampas daripada penyewanya
yang enggan membayar dengan sebuah hati
Cinta sedikit terluka
tapi kutuangkan percaya
dan semula kuingatkan tentang Tuhan
yang sentiasa ada...
Yang benar,AKU"

Hani Salwah Yaakup
Bandung

Tunas Cipta, Mei 2011

Monday, May 30, 2011

Hujan Yang Memiliki Rahsia


Hujan
ada setitis dirimu
yang melekat
di jendela kamarku

Merenung dari luar
dengan wajah berbeza
berserta senyuman yang
gagal kutafsirkan

Tapi,
masih aku belum pasti
adakah kau akan kekal disitu
sebelum hilang dibakar mentari
atau jatuh menyimbah bumi
setiap kali guyur baharu
yang berat datang menandingi

Aku masih tegar disini menanti
tentang rahsiamu wahai hujan

Hani Salwah Yaakup
Bandung-Kajang

(Disiarkan dalam Antologi Gema Membelah Gema, Hari Puisi Nasional, Membakut Sabah)

Wednesday, May 04, 2011

Orang Kata

Orang boleh kata macam-macam tentang keputusan anda. Percayalah mungkin ada yang akan kata begini:

ORANG A:
"Kau ni tak bersyukur dengan apa yang Tuhan beri pada kau"

ataupun ada yang kata begini:

ORANG B
"Kau tu yang tak tahan! Anak manja!"

yang macam ini pun ada:

ORANG C:
"At least kau ada kerja!"

yang macam ni baik sikitlah:

ORANG D:
"Tahan...senang nak naik pangkat kalau kat sana"


Apa sahaja orang mahu kata, yang penting setelah panjang dan lama bertanya pada TUHAN, tanyalah pula pada hati. Akhirnya orang hanya mampu berkata apa sahaja tapi, anda yang akan lalui hidup anda.

Thursday, April 21, 2011

Berpergian


Aku berpergian
dan sudah kutemukan
apa yang kucari
dalam kembaraku

tetaplah mata dan senyum itu
yang tidak pernah
hilang dalam hati ini

Sudah saat aku kembali
dan mungkin tidak
lagi pergi

Hani Salwah Yaakup

Kota Kinabalu
21 April 2011

Wednesday, April 20, 2011

Mungkin Suatu Hari Nanti


Kepada teman-temanku Y, N, P & J

Ketika ini mungkin
hati kita telah hancur
dan debunya cuba kita kuburkan
dalam liang lahad paling dalam
yang mampu kita gali dengan tangan

Namun setelah tumbuhnya
hati yang baharu nanti
ingatilah ini
ruang kosong itu
jangan kau penuhkan dengan
dendam dan marak emosi benci

Siapa tahu dengan hanya
jelingan ekor mata pertama kali
atau dengan hanya bermula sebagai teman
dan secangkir kopi
ada kesempatan baharu untuk bahagia

Nikmatilah kini rasa kecewa
juga nikmati nanti bila TUHAN
berbicara sudah tiba masa untuk gembira

Bersabarlah teman...bersabarlah

Kota Kinabalu
20 April 2011

*Gambar dari sini

Tuesday, April 05, 2011

Selepas Teduh Nanti


Sudah lama
kita tidak bersua dan bertanya
tentang khabar

Laut di tempatmu
masih tenang
dan birukah airnya?

Hujan yang menggeluyur
masih seringkah membasah
padang permainan itu?

Aku mahu bertemu kamu
selepas teduh nanti
dalam keadaan yang sunyi
dan menikmati
cangkir kopi dan hangat
dan menenangkan hati

Masihkah bisa kau luangkan masa itu?

Sepanggar, Kota Kinabalu
5 April 2011


*Gambar dari sini

Wednesday, March 16, 2011

Pecah


Tidak aku
mengajak duka bercantum denganku

Sudahku pecahkan bahagian
yang telah tersatu denganku
dengan membalingkannya ke batu


Kota Kinabalu
16 Mac 2011

Monday, March 14, 2011

Menjelang Tengahari


Hujan telah lama menghantar duka
yang terkurung dipojok luka
mengalir lenyap ke kobakan
hitam bernama kecewa

Tidak ia merancang untuk mengumpul
setiap rasa gundah
lalu, bila teduhnya hujan
dan dipijar mentari
hilang setiap satunya
menjelang tengahari


Kota Kinabalu
14 Mac 2011

Monday, February 28, 2011

Tsunami Hati


Aku meminta untuk kali ini
berakhir sahaja disini

...dan untuk pengetahuanmu
telah kucampakkan dirimu
jauh...

ke dasar Pantai Binsulok
di antara lipatan ombak yang ganas
di antara kerang yang tajam
di antara rusuh tsunami hatiku


Pantai Binsulok, Membakut, Sabah
26 Februari 2011

Thursday, February 24, 2011

Kita


Sebentar sahaja lagi
kita akan berpamitan
dan mengucap selamat tinggal

Hey, nanti dulu
ada sepasang baju cintamu
yang kubawa bersama
untuk kurapikan jahitan
yang telah tertetas

Akan kukirimkan padamu nanti
pabila ianya sudah benar benar elok
tunggu sahaja di peti pos
bungkusan berisi
pakaian jiwa
yang padanya
ada aku disetiap incinya

24 Februari 2011
Kajang, Selangor

Monday, January 31, 2011

Sebelum Menutup Lembaran


Sebelum malam
menutup lembaran
ada cinta yang terkurung
dalam sangkarnya
untuk ku sentuh
kemudian kumasukkan
ke hatiku pula

Hani Salwah Yaakup
Menjelang Tahun Baharu 2011
Pangkor
28 Disember 2010

*Gambar dari sini