Tuesday, January 20, 2009

Catatan Selepas Dikusi MPR & Anugerah Juara Lagu

Hujung minggu yang padat dengan acara! Itulah kisah hujung minggu lepas buat saya. Seawal hari jumaat saya sudah pun tidak ada dirumah kerana bermalam di rumah Puspanita bersama adik-adik MPR kesayangan saya. Persiapan dikusi yang paling lama, teratur dan seronok!. Maklumlah sudah beberapa bulan tidak berjumpa, ngobrol dan bergurau senda beramai-ramai.

Bila diberi peluang berjumpa, saya tidak melepaskannya. Tambahan pula, Nasriah tidak dapat untuk hadir memantau adik-adik maka, secara tidak langsung saya rasa saya perlu untuk berada disana. Bukanlah pekara yang menyulitkan pun dan kebetulan kelas pada malam jumaat itu dibatalkan tiba-tiba.

Cuba lihat Zulfazlan (berbaju hijau) & Nimoiz TY. Aduh duh duh...

Malam berkenaan, ada sesi taaruf ketika makan malam berjemaah di Restoran Tupai-Tupai. Almaklum, ada mantan daripada edisi terbaharu dan ada mantan daripada edisi terdahulu yang mungkin sudah atau tidak dikenali mantan-mantan lain. Maka, inilah masa yang paling sesuai untuk berkenal-kenalan dan bertukar-tukar fikiran. Yang mungkin tidak mudah diluputkan dari ruang memori adalah kami memesan makanan dan minuman yang sama sambil makan bersila seramai 14 orang!. Aduh, terasa makan bersama ahli keluarga yang bahagia!

Nasriah & Saya. Kakak-kakak glamour MPR. Hahaha.

Seusai acara makan-makan, kami pulang semula ke Puspanita dan menyudahkan apa-apa sahaja pekerjaan yang masih belum dapat diselesaikan. Sempat juga bermesyuarat memberi taklimat perjalanan program dan adik-adik yang membawa karya bersama berkongsi pula dengan teman-teman selain untuk mendapat tunjuk ajar mantan yang lebih senior. Malah bukan itu sahaja, ada yang baik hati menawarkan diri mengambil teman yang lewat tiba dari Kuantan di Pudu. Tersentuh hati kecil saya.

Terima kasih buat adik-adik yang tidak tidur (Hafiz & Ode) kerana memastikan kami tidak telat bangun pagi itu. Yang paling menyeronokkan sewaktu makan pagi sebelum diskusi, semua turun berbaju warna tema yang telah ditetapkan. Kadang-kadang saya ketawakan diri sendiri mengenai hal berpakaian warna tema ini. Seingat saya idea warna tema ini datangnya daripada saya ketika saya mula bercampur semula dengan geng MPR sewaktu diskusi MPR 2007. Kini, hal ini menjadi seakan wajib jika mantan MPR menghadiri apa-apa sahaja majlis rasmi MPR. Kawan-kawan selepas ini warna apa pula? Hehe!

Adik-adik MPR yang vogue gitu!

Kak Rai pun pagi-pagi sudah menghantar sms ucapan selamat. Agak menyedihkan juga "skandal" yang selalu Mohariz Yaakup kaitkan antara kami tidak dapat untuk ikut serta. Namun, ingatan dan semangat yang diberikan beliau sangat berharga untuk kami semua.

Alhamdulilah, diskusi berjalan lancar dan mudah walaupun, agak telat mula dan berakhir. Sambutan pelajar-pelajar UPM dari FPP (Fakulti Pengajian Pendidikan) sangat memeriahkan majlis. Kehadiran mantan senior, penulis mapan dan aktivis sastera tanahair membuat saya teruja. Maaf kepada semua hadirin andai saya tidak sempat menyapa dan bersalaman.

Pose-pose terlebihhh sudah!

Keesokan, saya ke Anugerah Juara Lagu (AJL) 23. Saya kesana menemani kakak ipar dan abang saya, Mohariz Yaakup yang diberi amanat sebagai juri untuk malam tersebut. Tahun ini nampak gayanya persediaan dan acaranya lebih teratur daripada tahun lepas. Tiada pengawal keselamatan yang garang dan tidak berhati perut, penyambut tetamu serasa diva ataupun ruang parkir yang sempit. Barangkali tahun ini kami diberi layanan istimewa sebagai penonton yang hadir dengan tiket VIP atau keluarga kepada sang juri, itu saya tidak mahu komen apa-apa. Yang penting tahun ini kami tidak dilayan seburuk tahun lalu (walaupun tahun lalu abang saya merupakan salah seorang finalis!).

Baiklah lupakan soal itu. Secara umumnya sebagai penonton, saya puas hati dengan keseluruhan produksi. Bermula dengan taklimat pengurus lantai (floor manager) yang disampaikan melalui video yang sangat mencuit hati dan bersahaja. Satu pendekatan baharu untuk menarik perhatian semua penonton. Memudahkan tugas encik pengurus lantai dan tidak perlu menjerit-jerit menarik perhatian semua hadirin yang beranggaran 15 ribu orang dalam stadium berkenaan.

Pengacara yang serasi bersama dan juga hiburan dalam bentuk jenaka oleh Din Beramboi dan Os ketika berhenti rehat untuk iklan turut mendapat perhatian ramai. Kalau tidak mencuit hati manakan tidak penonton akan bersorak-sorai memanggil nama Os dan Din apabila tiba sahaja waktu rehat.


Kak Ina & Saya di AJL. Tengok belakang kami beribu-ribu manusia!

Mengenai persembahan artis malam itu, secara jujur saya sukakan vokal Faizal Tahir & Aizat. Saya seakan dimagis mendengar suara mereka berdua terutama Faizal. Tidak hairanlah jika mereka ke peringat akhir. Namun, mungkin belum rezeki mereka untuk memenagi hadiah keseluruhan iaitu "Juara Lagu".

Kemenangan sudah ditentukan milik siapa. Keputusan pihak juri pun saya kira baik sekali (saya bukan bias kerana salah seorang juri adalah ahli keluarga sendiri). Jika saya diberi peluang untuk menentukan juara milik siapa, saya rasa semua pun boleh menang. Namun, juri lebih arif dengan pengalaman sekian banyak tahun yang digendong mereka selama bertahun-tahun itu.

Sesungguhnya saya sedari kini, penyanyi, ahli muzik dan penulis lirik kita pun punya taraf tersendiri dan mungkin daripada aspek-aspek tertentu lebih baik dalam banyak hal. Mungkin kerana kekangan tertentu ataupun kecenderungan masyarakat kita yang melihat yang dari luar itu baik sedikit sebanyak membantutkan niat murni mereka dalam melestarikan seni muzik tanahair. Jangan nanti orang luar pula lebih kenal potensi orang seni kita dan kita pula tidak kenal langsung hasil kerja orang kita. Sesekali (kalau tidak boleh selalunya) berilah peluang untuk orang seni kita.


Secara kesimpulannya untuk kedua-dua acara ini;

Biasalah, jika kita punya perasaan karya (baca: dalam apa-apa bidang seni pun) kita sudah cukup baik namun, dimata pengkritik masih ada cacat celanya. Kritikan dan pengiktirafan itu sama penting kerana tanpa kedua-duanya kita akan gagal mengenal pasti dimana dan karya bagaimana yang sepatutnya kita hasilkan.

Terima kasih untuk Dr Mawar Shafie yang telah sudi memberi kritikan, tunjuk ajar dan kesedaran untuk menghasilkan yang terbaik!

6 comments:

ODE said...

ya...seronok sewaktu bermalam di Puspanita tu. rasanya kita perlukan program yg melibatkan mantan bermalam la. barulah kita boleh berbual2 sampai titis embun yg terakhir.hehehe

Nissa' Yusof said...

kita buat program ala-ala '24 jam berdiskusi tanpa henti' ataupun 'jalan-jalan berembun'. hehehe..

memang kenangan yang manis, selain semasa menjadi peserta MPR

roslan jomel said...

Alfatihah buat penulis lirik genius, Loloq.

Bila pulak sdr Honey nak jadi juri AJL?

hani salwah yaakup said...

Ode & Nissa',

khabarnya lepas ni program kita lagi best...masuk hutan, keluar hutan. Hehehe....apakah program itu...tungguuuuu!!!

Abang Roslan,

Setahun Allahyarham meninggal dunia. Teringat kali terakhir berborak dengan beliau.

Saya jadi juri? Tak layak langsung! Hehehe...tulis karya kreatif pun terlalu banyak kelemahan lagi.

Anonymous said...

kak hani, masa tgk abg kak hani jadi juri, saya terkejut juga..
wah2.. boleh tahan juga ya..

kak hani bila lagi?

hani salwah yaakup said...

Yana,

tak layak kot nak jadi juri. siapalah saya...masih merangkak dalam penulisan kreatif ni!